Memimpin sebuah syarikat gergasi media sosial bertaraf dunia, tentunya kedengaran hebat. Apatah lagi jika bekerja di syarikat antarabangsa seperti Facebook. Nona mengatur pertemuan eksklusif dengan Country Director Meta Malaysia, Nicole Tan, bersembang tentang pengalaman beliau sebagai pemimpin di sini.
Melangkah masuk ke Meta Malaysia di KL Sentral, suasana santai dengan dekorasi yang ‘playful’ serta ruang kerja yang terbuka menyambut kedatangan.
Setenang perasaan di rumah, begitulah yang dirasai penulis saat dibawa berkunjung ke serata pejabat Facebook, yang kini dijenamakan semula sebagai Meta Platforms.
Ketika menatap tanda tangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpampang di Facebook Wall, Nicole Tan tiba sambil membantu menerangkan serba-sedikit konsep di sini.
Wanita hebat yang memegang jawatan Country Director Meta Malaysia itu sesungguhnya cukup menyenangkan. Selama lima tahun memimpin syarikat, banyak perkara baru yang telah diperkenalkan untuk manfaat pengguna.
Meskipun berusia 40-an, Nicole Tan sebenarnya baru mendapat cahaya mata sulung. Lebih beruntung, beliau diberi tempoh cuti bersalin yang lama iaitu 6 bulan!
“Dalam tempoh pandemik dua tahun ini, banyak masa saya di rumah bersama si kecil yang kini sudah pun mencecah umur setahun.
Sebelum menyertai Meta, saya pernah berkhidmat di agensi kreatif, pengiklanan dan teknologi selama 20 tahun.” Nicole Tan
Pernah bertugas sebagai Pengarah Urusan di J.Walter Thompson Malaysia serta menetap di China selama beberapa tahun, pengalaman kerja Nicole selama ini sudah tentunya memberi kelebihan besar kepada Meta.
Beliau juga lambang wanita kuat, yang mengutamakan kerjaya serta berani menentang ‘norma’ demi mengejar minat dan impiannya.
Ads
Berperanan sebagai pemimpin di Meta Malaysia, wanita asal Petaling Jaya ini bertanggungjawab membantu rakyat agar lebih celik digital, membina teknologi yang lebih cekap dan menyokong perniagaan ke arah pengalaman baru.
“Di seluruh dunia, kami ada 2.8 billion pengguna yang menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi Meta, tak kiralah Facebook, Instagram atau WhatsApp.
Di Malaysia pula, kami ada 26 juta pengguna yang menggunakan Facebook setiap bulan.
Bayangkan pada waktu pandemik, kajian mendapati trend penggunaan digital lima tahun telah dipercepatkan dalam masa satu tahun saja.
Dan di Malaysia, penetrasi penggunaan digital adalah 88% – yang tertinggi di rantau Asia Tenggara!” Nicole Tan
Ads
Tambahnya, orang ramai memang sering memilih aplikasi Meta untuk berhubung, mengekspresikan diri dan berniaga secara online sewaktu PKP berkuat kuasa.
Nicole turut berkongsi tentang pelancaran Reels di Facebook, susulan kejayaan Reels yang diperkenalkan sebelum ini di Instagram.
“Reels di Facebook baru dilancarkan dua minggu lalu. Berdasarkan kajian terhadap trend di media sosial, kami dapati jumlah tontonan terhadap video yang cepat, pendek dan menarik telah meningkat.
Kandungan berbentuk hiburan, masakan atau life hacks paling mendapat tontonan tinggi. Tambahan lagi jika ada ‘peralatan’ untuk mengekspresikan diri seperti filter.”
USAHAWAN
Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang bertemakan #SaksamaBersama atau #BreakTheBias, Nicole menerusi Meta turut meraikan kecekalan wanita di Malaysia.
Ads
Selain ingin terus memperkasakan golongan Hawa dengan ilmu pengetahuan, beliau juga ingin membantu wanita yang berniaga serta yang menyokong perubahan.
Terdapat peningkatan sebanyak lebih 25% perniagaan Instagram dan lebih 40% halaman perniagaan (Pages) Facebook yang diterajui wanita sejak pandemik bermula.
Malah terdapat lebih 45% kumpulan Facebook berkaitan dengan keusahawanan telah dicipta oleh wanita sejak tahun 2021.
“Wanita mewakili separuh populasi dunia dan separuh daripada potensinya untuk berkembang, mencipta peluang dan membasmi kemiskinan.
Oleh itu kesaksamaan jantina amat penting untuk kemakmuran ekonomi dan komuniti. Kami percaya akan usaha bagi membantu wanita meneroka potensi diri dan pembinaan masyarakat yang lebih berdaya tahan.
Antara teras utama Meta adalah memupuk perkembangan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) milik wanita dengan memberi akses kepada pendidikan, wawasan dan peralatan menerusi webinar, latihan, kursus dan program pensijilan seperti Blueprint, Facebook IQ dan sebagainya.” Nicole Tan
Di sebalik komitmen sebagai pemimpin, Nicole senang memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor di tempat kerja. Beliau juga mahu melihat lebih ramai wanita lain bangkit menjadi pemimpin seperti dirinya.
Mengakhiri perbualan, Nicole sempat mengajak para wanita agar membeli daripada usahawan wanita sebagai sokongan.
“Kami akan menampilkan usahawan wanita tempatan seperti peniaga katering dari rumah (vegetarian), Preeti’s Farsan di Pages Facebook Meta Malaysia dan kami mengalu-alukan ahli komuniti untuk berkongsi perniagaan dan komuniti yang diterajui wanita kegemaran di bahagian komen bersama tanda pagar #BuyFromHer.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru berusia 30 tahun tapi pelbagai kejayaan membanggakan telah dikecapi wanita muda ini. Mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak zaman universiti lagi, Nur Liyana Abdul Rahman atau mesra disapa Yana mampu tersenyum bangga apabila kerja keras selama ini membuahkan hasil menguntungkan. Lebih manis, daripada perusahaan pakaian… Yana yang merupakan pengasas LeeyanaRahman turut mengembangkan sayap perniagaan dalam industri kosmetik dan terbaharu, bisnes makanan!
Diam tak diam dah sembilan tahun jenama LeeyanaRahman berada di pasaran. Seperti kebanyakan usahawan lain, Yana juga terlepas ditipu dan berdepan situasi sukar saban tahun. Bagaikan sudah lali dengan kritikan pelanggan, Yana bagaimana pun cekal mengharungi dugaan dan sedaya upaya memperbaiki kualiti perniagaan pada masa depan.
Terus kreatif mempelbagaikan cabang bisnes yang ada, Yana ketika dihubungi Nona teruja berkongsi perkembangan terbaharu LeeyanaRahman. “Sejak PKP butik sekejap tutup sekejap buka. Jadi kami memang 100% fokus kepada online retail and reseller. Buat masa sekarang, kami tengah tunggu production koleksi Raya 2021 untuk siap. Di samping itu, kami juga tengah dalam proses membesarkan warehouse dua kali ganda dari asal.
Selain sedang sibuk uruskan bisnes baru iaitu ‘Tepung Pengaseh’ yang akan dilancarkan pada 12 Mac ini. Alhamdulillah, walaupun stok belum ada tapi kami sudah menerima stokis dan agen yang berdaftar yang dah purchase almost 200 orang dah. Tepung Pengaseh ialah bisnes tepung instant yang customer boleh buat kek dalam masa tak sampai 3 minit. Banyak kelebihan Tepung Pengaseh ini dan syukur permintaan sangat-sangat tinggi.”
Ditanya aktiviti Yana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19, ibu kepada seorang cahaya mata ini menjelaskan, “Sepanjang PKP saya banyak habiskan masa dengan design baru untuk LeeyanaRahman. Alhamdulillah dalam tempoh itu juga saya dah berjaya siapkan sample production untuk September 2021.
PKP 2.0 kali ini saya rasakan lebih terancang daripada PKP yang lalu. Tahun lepas memang kami agak kelam-kabut sebab tak ada backup plan, tak ada plan B. Apatah lagi masa PKP awal hari tu ialah peak season untuk kami jual baju raya. Terus down sebab tak boleh nak buat apa. Tapi alhamdulillah, saya banyak belajar dari pengalaman tu. Bila PKP 2.0, bisnes semuanya berjalan lancar sebab kami dah ada planning dan belajar dari kesilapan tahun lepas. Malah, apa yang paling kami tak jangka ialah sale waktu PKP lebih dari target yang kita tetapkan.”
Empayar LeeyanaRahman berjaya bertapak kukuh dalam industri fesyen negara. Melihat kemegahan butiknya yang terletak di Bandar Baru Bangi pasti membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum. Tidak hanya dikurniakan bisnes yang semakin berkembang maju, Yana juga bertuah kerana mampu memiliki rumah besar, beberapa kereta mewah dan mempunyai suami penyayang dan anak perempuan comel.
Menyingkap rahsia kejayaan wanita ini, Yana lantas berkongsi amalan. “Satu je. Balas jasa mak ayah, bahagiakan dia. Secara tak langsung mereka akan doakan kita. Saya rasa tu adalah salah satu rahsia kejayaan LeeyanaRahman. Dalam setiap gaji saya, saya akan dahulukan parents, family saya dan lebihan tu baru saya guna untuk kegunaan sediri.
Saya amalkan semua ini sebelum saya ada butik lagi. Waktu saya masih student UiTM, saya dah start bisnes LeeyanaRahman. Walaupun saya seorang student, saya tetap dahulukan parent saya setiap bulan after closing account. Saya tak pernah missed sampai sekarang.
Juga, setiap kali keluar rumah nak pergi office dengan harapan, ‘Aku nak cari rezeki hari ni bukan untuk aku seorang. Tapi untuk family, staf dan untuk team.’ Niat nak bagi manfaat untuk ramai orang dan setiap tahun saya akan bawa mak ayah dan mertua pergi umrah. Di sana saya akan doa betul-betul dan minta mereka doakan sekali untuk saya dan keluarga.”
Membahagiakan masa antara kerjaya dan keluarga nyata bukan tugas mudah. Tambahan pula ketika ini anak Yana baru berusia dua tahun dan memerlukan lebih perhatian. Bercerita mengenai kehadiran cahaya mata yang diberi nama Tyara Luthfia, Yana tanpa berselindung mengakui anak kecil inilah yang menjadi sumber kekuatannya.
“Memang sumber kekuatan saya ialah anak. Memandangkan saya bukan senang nak mengandung macam wanita lain. Saya dapat anak ini melalui kaedah IVF pada tahun 2019. Bagi saya anak saya sangat berharga dan dia dalah kekuatan untuk saya terus kerja kuat.”
Ujarnya lagi, sebagai menghargai pelanggan dan mahu membantu masyarakat yang terjejas akibat Covid-19, Yana turut terpanggil untuk memberi sumbangan. “Ya, kami banyak bagi sumbangan kepada yang memerlukan during Covid-19. Cuma kami tak tunjuk di media sosial. Alhamdulillah Year End Sale tahun lepas kami buat sale besar-besaran ‘Pandemic Hero Sale’ iaitu membeli sambil menderma dan kami dah berikan satu amaun kepada Tabung Mercy Covid-19.
Secara tak langsung customer yang shopping pun dapat pahala bila turut menyumbang kepada tabung berkenaan. Selain itu, salah satu sebab kami jalankan bisnes Tepung Pengaseh juga sebab kami sedar ramai sangat yang kena buang kerja sebab banyak company tak boleh sustain. Jadi, kami ambil langkah untuk buka bisnes baru untuk sama-sama jana income dengan team di samping buka peluang pekerjaan khusus untuk mereka yang memerlukan,” akhiri isteri Hafiz Hamid ini.
Kredit foto: Instagram Yana Lee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selama lebih dua dekad berbakti kepada negara, bekas atlet Datuk Leong Mun Yee kini menikmati kehidupan selepas persaraan dengan tenang dan bahagia. Biarpun tidak lagi bergelar jaguh sukan namun pengalaman luas yang diraih sepanjang menjadi atlet membolehkannya menjadi jurulatih bagi skuad terjun negara.
Kejayaan Datuk Leong Mun Yee
Kejayaan yang ditempa anak jati kelahiran Ipoh, Perak ini bukan calang-calang. Atas komitmennya dalam sukan akuatik, nama Datuk Leong Mun Yee tersenarai dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak lima kali.
Lebih manis, dia berjaya menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa di temasya dwi tahunan Sukan SEA.
Bersandarkan pencapaian membanggakan itu, figura ini dikurniakan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada Februari 2022.
Dalam temu bual bersama Nona sebelum ini, personaliti ini terbuka berkongsi amalan gaya hidup sihatnya bagi menjaga kecergasan diri.
“Untuk mengekalkan kecergasan, saya ada juga belajar shuffle dance tapi sekadar di peringkat asas sajalah. Tapi bila sudah tidak lagi bergelar atlet sepenuh masa, rutin harian berbeza sedikit tetapi saya tetap kekal aktif dengan latihan ringan seperti bermain bola tampar dengan atlet-atlet lain.”
Datuk Leong Mun Yee Bahagia Galas Tugas Ibu
Meniti usia 41 tahun, fasa kehidupan Datuk Mun Yee lebih bermakna apabila menimang cahaya mata sulung lelaki yang dikenali sebagai Lucas pada Mei 2023.
Menerusi perkongsian di media sosial jelas terserlah wajah bahagia rakan gandingan Dato’ Pandelela Rinong berkenaan menggalas tugas sebagai ibu.
Bahkan kebanyakan posting Datuk Mun Yee kini banyak berkisar mengenai anak kesayangan. Difahamkan dia mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan yang tidak didedahkan identitinya pada pertengahan tahun 2022.
Tidak hanya berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia dalam bidang sukan, Datuk Leong Mun Yee melakar kejayaan peribadi menggenggam Sarjana Komunikasi Korporat dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada November 2022.
Semoga kejayaan diraih Datuk Mun Yee jadi inspirasi kepada golongan muda untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Buat pertama kalinya dalam sejarah Australia, seorang wanita berhijab telah dipilih menjadi senator! Lebih membanggakan, pada usia 27 tahun, wanita ini telah mendapat kepercayaan memegang jawatan sebagai Senator Dewan Parlimen Australia awal bulan lalu.
Foto: @senatorfatimapayman
Memetik perkongsian Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin di laman Facebook, beliau berkongsi tentang wanita muda Muslim pertama berhijab dilantik sebagai Senator di Australia.
Perjalanan Fatima Payman untuk menjadi seorang ahli parlimen pertama berhijab di Australia bukanlah mudah kerana dia pernah berhadapan dengan pelbagai situasi apabila terdapat rakan sekelas universiti mengejek tudungnya.
Pelajar jurusan Farmasi ini berkongsi kisahnya, dia merasa diterima sejak tiba di Australia selepas melarikan diri dari Afghanistan ketika bayi walaupun dia pernah diejek dalam bilik tutorial di universiti.
Senator Payman, 27, memaklumkan bahawa bapanya sentiasa berdepan ‘diskriminasi dan penderaan kepada tidakpastian pekerjaan dan gaji rendah’. Namun pengorbanan ayahnya itu membolehkan Payman menjalani zaman kanak-kanak yang bahagia.
Ucapan Payman penuh emosi di Parlimen pada malam Selasa dimana dia menzahirkan ucapan terima kasih atas pengorbanan arwah bapanya itu.
“Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan apabila seorang lelaki telah mengejek hijab saya. Perkara tersebut telah membuatkan saya berasa seperti ‘orang asing’ di dalam kelas tutorial tersebut.”
“Sebelum itu, saya tidak pernah berasa berbeza atau pelik, saya berasa seperti kanak-kanak Aussie yang lain, membesar di pinggir bandar Perth, menaiki pengangkutan awam ke universiti dan berharap untuk menjadi ahli masyarakat yang produktif.”
Foto: Instagram @senatorfatimapayman
“Tetapi penghinaan seperti ‘Go back to where you came from’, menggelarnya sebagai ekstrimis telah memaksanya merasa seperti orang asing di Australia.”
Perkara tersebut telah membakar semangatnya untuk terlibat dalam politik, menyertai kumpulan kepimpinan belia, kumpulan penasihat polis dan persatuan pelajar Islam. Bijak mengatur langkah, beliau menyertai Parti Buruh selepas menyaksikan kedua ibu bapanya diambil kesempatan di tempat kerja mereka.
“Saya menyaksikan perjuangan ibu bapa saya demi meletakkan makanan di atas meja, demi membayar pendidikan kami dan demi menyediakan tempat berlindung untuk kami.”
Dalam ucapan pelantikannya, senator termuda itu turut berikrar untuk membawa perubahan dalam sistem Parlimen Australia.
Foto: Instagram @senatorfatimapayman
“Sebagai anak perempuan pelarian yang datang ke tanah ini dengan impian masa depan yang selamat dan lebih baik, saya memberikan diri saya keberanian untuk mencabar sistem dan untuk melihat… sejauh mana perubahan yang boleh saya lakukan,” kata Senator Fatima.
Malah, beliau juga menyeru rakan-rakan ahli parlimennya untuk menghapuskan ketaksuban, perkauman dan diskriminasi, bukan hanya diam membisu. Lebih manis, Fatima Payman menjadi pemecah tembok stigma untuk wanita Islam selepas dia menjadi ahli politik berhijab pertama yang memenangi undi yang mencukupi untuk menduduki kerusi di Dewan Senat Australia melalui parti Buruh.
Foto: Instagram @senatorfatimapayman
“Saya mahu menormalisasikan pemakaian hijab. Saya berharap dapat menjadi inspirasi kepada ramai anak muda Australia yang lain, bahawa hanya kerana anda percaya kepada Tuhan, atau hanya kerana anda kelihatan berbeza, ia tidak seharusnya menghalang anda daripada terlibat dalam institusi yang penting.”
Berada dalam negara yang minoriti beragama Islam, pemilihan Fatima oleh rakyat kulit putih yang lain menonjolkan keterbukaan dan penerimaan terhadap masyarakat Islam. Mereka saling hormat sebagai satu komuniti yang berusaha menjadikan persekitaran kehidupan yang positif.
Foto: Instagram @senatorfatimapayman
Semoga dengan perlantikan Fatima Payman dapat membuka mata dunia tentang Islam dan sekaligus menjauhkan stigma Islamophobia yang bukan sahaja boleh merosakkan bangsa, malah negara.
Sumber: www.dailymail.co.uk
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!