Pelakon kecil molek Noorkhiriah Ahmad Shapie bukan asing kepada peminat drama dan filem tempatan. Namun, namanya kembali mekar setelah membawa watak sebagai Aishah dalam drama rantaian, Nur dan Nur 2.
Tidak seperti wataknya dalam drama, Noorkhiriah bahagia bersama suaminya, Azfaizul Ahtan dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Hudhaifah dan Muhammad Yusoff. Pada tahun lalu, Noorkhiriah telah mengambil seorang bayi perempuan sebagai anak angkatnya.
Namun, apa yang mencuri perhatian apabila Noorkhiriah telah bermurah hati untuk menukar kereta mewahnya, MPV Hyundai Grand Starex menjadi van jenazah seperti yang telah dikongsinya di laman media sosial.
“Alhamdulilah lepaskan kerana Allah. Saya sayang, maka saya jadikan kereta ini sebagai van jenazah,” coret Noorkhiriah di laman Instagramnya.
Menurut Noorkhiriah perkhidmatan van jenazah itu akan diberi secara percuma kepada yang memerlukan. “Bagi yang memerlukan dialu-alukan. InshaAllah dah siap sepenuhnya nanti saya akan beritahu. Terima kasih juga pada yang menyumbang,” kata Noorkhiriah tentang niat murninya itu.
Noorkhiriah mengharapkan orang ramai mendoakan agar dirinya terus istiqamah dalam melakukan perkara baik. “Saya tak kaya tapi sebelum meninggal dunia saya nak tinggalkan sesuatu buat semua. Semoga kita istiqomah dalam perjuangan diri sendiri, amin,” coretnya lagi.
Mulia sungguh hati Noorkhiriah sanggup memberi apa yang dia sayang untuk kegunaan perkara yang baik. Semoga lebih ramai lagi insan berhati mulia seperti Noorkhiriah ini.
Belajar Bersama Di Amerika, DATIN SERI SHAMSHIDA Dedah Perkenalan Awal Bersama Dato’ Seri Azmin!
Siapa sangka, pemergian Datin Seri Shamshida Taharin ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran akhirnya ‘mendekatkan’ beliau dengan jodoh. Meskipun usia perkahwinan bersama Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali hampir mencecah 30 tahun namun pasangan ini kekal bahagia melayari bahtera rumah tangga di samping enam cahaya mata. Dari awal pembabitan Dato’ Seri Azmin dalam arena politik sehinggalah menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi hari ini… wanita berusia 52 tahun ini tetap setia berdiri di belakang suami tercinta.
Mengimbas kembali momen perkenalan pasangan genius ini, Datin Seri Shida membuka bicara. “Sebagai anak guru, saya memang sentiasa didedahkan tentang pentingnya pelajaran oleh ibu bapa. Terutama sekali ibu saya, Puan Siti Rahmah Ismail. Alhamdulilah, ketika di Sekolah Menengah Sains Bukit Mertajam, Pulau Pinang, saya selalu menjadi top student dan mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester. Saya juga pernah ditawarkan untuk mendalami bidang perubatan tapi akhirnya saya menolak.
Saya masih ingat pertemuan dengan Dato’ buat pertama kali. Hari itu dia datang ke tempat saya di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Bukit Gambang, bersama wakil universiti bagi memilih pelajar terbaik ke University of Minnesota. Tanpa disangka, saya terpilih dan menerima biasiswa MARA untuk ke American Degree Program. Maka bermulalah kisah hidup saya sebagai anak perantau di Amerika. Sayangnya ketika tiba di sana, bagasi saya hilang.
Pensyarah kami pernah mengusik. Katanya suami saya telah memilih saya dari awal untuk dijadikan isteri. Mungkin kerana selepas saya menamatkan baki pengajian dua tahun di Malaysia, tidak lama kemudian Dato’ pun masuk meminang. Tapi sebenarnya kami percaya pada jodoh dan alhamdulilah berkekalan sehingga ke hari ini,” kata Datin Seri Shida yang berbeza usia hanya setahun lebih muda daripada Dato’ Seri Azmin.
Selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat, Datin Seri Shida seterusnya bergelar pelatih di syarikat pembinaan EMKAY selama enam bulan dan di Malaysia Airlines sebagai management trainer selama enam bulan. Selepas mendirikan rumah tangga dengan Dato’, beliau menyertai Phileo Allied Bank sebagai konsultan. “Kini selain menumpukan perhatian pada anak-anak, masa saya lebih banyak terisi dengan program sendiri. Saya merupakan Pengerusi di Rumah Puteri Arafiah (di bawah kelolaan PEKAWANIS) yang merupakan sebuah rumah pemulihan dan perlindungan remaja bermasalah di antara usia 12 ke 21 tahun.
Saya dan anak-anak juga aktif berhubung melalui grup Whatsapp. Itulah cara kami bersembang dan mengeratkan hubungan bila masing-masing jauh di mata. Sebenarnya sepanjang hidup suami saya, dia memang seorang yang selalu sibuk. Dari seorang ahli politik, sehingga bergelar ADUN, Ahli Parlimen, dan Menteri Besar, tingkat kesibukannya semakin lama semakin tinggi. Sebagai teman hidup, saya cuma mengikut apabila kehadiran diperlukan. Tapi sebenarnya saya suka berjumpa rakyat dan melalui program-program tertentu, saya seronok dapat menyalurkan amal jariah serta membantu golongan susah.”
Dalam kesibukan mengurus keluarga dan suami, wanita kelahiran Taiping ini seorang yang ‘cukup dekat’ dengan ilmu agama. “Aktiviti saya sejak 11 tahun lalu, mesti menghadiri kelas tafsir Al-Quran setiap dua kali seminggu. Hari Selasa dan Khamis selalunya. Jadi pegawai saya sudah tahu, dua hari ini memang khas untuk saya menimba ilmu. Apa-apa program atau mesyuarat seboleh-bolehnya diatur bukan pada hari tersebut. Di rumah, kami juga jadikan aktiviti solat berjemaah sebagai amalan keluarga, berimamkan suami atau anak-anak, atau ibu saya, atau pun saya sendiri sebagai imam kepada anak-anak perempuan kami mengikut kesesuaian keadaan. Kami percaya bahawa ‘A family that prays together stays together’. Itulah caranya mengeratkan kasih sayang sesama kami.”
Seperti wanita lain, Datin Seri Shida juga senang memanjakan diri di spa. Perawatan seperti berurut dan facial menjadi pilihannya untuk beristirahat. “Saya tidak pernah cerewet tentang makanan. Bagi saya semuanya sedap jika cukup semua rasanya. Namun saya kurang mengambil nasi tapi melebihkan pengambilan sayur-sayuran. Mungkin itulah caranya saya menjaga kesihatan sampai sekarang.”
Datin Seri Shida dan Dato’ Seri Azmin dikurniakan enam cahaya mata iaitu Farah Shazliyana, Mohamed Ameer Shazrin, Farah Amira, Farah Afifah, Mohamed Basheer Noor Al-Haq dan Mohamed Yusuf Al-Sadiq. Keluarga ternama ini pernah menghiasi muka depan Majalah Nona Edisi Tahun Baru Januari 2017.
Ahli BOMBA Ini Pernah VIRAL Satu DUNIA, WANITA TUNGGAL Dalam Team KING COBRA!
Jangan pandang wanita sebelah mata! Masih ingat tak ahli boma wanita yang pernah tular dengan video bermain ular tedung? Kali ini, beliau kongsikan sebuah video yang lebih menggerunkan. Di sebalik kisah pengalaman beliau bersama ular tedung, frontliner ini turut bercerita pengalaman mengendalikan kes Covid-19 ketika penularannya di gelombang pertama.
Siapa sangka, di hadapan penulis kini seorang wanita berusia 38 tahun yang sudahpun 16 tahun berkhidmat kepada negara, khususnya bersama pasukan bomba. Kali keempat menjalani ujian memasuki pasukan bomba akhirnya meletakkan Fazida di mana dia berada kini.
“Arwah ayah saya adalah anggota bomba. Arwah ‘tewas’ ketika sedang menjalankan tugas. Pahit yang ditelan sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk terjun ke dunia penyelamatan. Dorongan dan sokongan ibu jadi sumber kekuatan ketika itu kerana pada saya bomba yang ‘membunuh’ ayah saya.
Bukan mudah melihat orang yang paling disayangi dan paling rapat pergi meninggalkan kita. Dari kecil melihat arwah ayah menyarungkan seragamnya malah saya sendiri sering berada di balai untuk menunggu ayah pulang dari kerja atau sekadar menemaninya di sana. Cinta arwah pada pasukannya sangat kuat, sekuat rasa kasihnya saya pada arwah. Benarlah kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sedikit demi sedikit minat itu semakin menebal,” ujarnya.
Sebagai salah seorang anggota frontliners yang turut bertugas di pintu masuk imigresen, menerima kepulangan rakyat Malaysia dari Wuhan, sebuah negeri di China yang mula-mula dikejutkan dengan wabak maut ini.
“Tentunya saat mendapat berita bas yang membawa pulang rakyat Malaysia semakin mendekati, jantung saya sudah berdebar-debar. Pakaian PPE sudah disarungkan seawal lagi. Panas, rimas dan cukup tidak selesa dalam persalinan pakai buang itu. Jantung yang berdebar-debar semakin kencang apabila kelibat bas berhenti di depan mata.
Seramai tujuh anggota bomba wanita ditempatkan di kawasan dekontiminasi. Kami tidak boleh bergilir-gilir kerana kami hanya bertujuh. Tentu sekali bahagian wanita tidak pernah sunyi kerana bukan sahaja wanita dewasa yang kami perlu periksa namun termasuk anak-anak yang dibawa.
Tiba di ‘khemah’, mereka perlu menyerahkan passport masing-masing. Seboleh-bolehnya kami pegang pun hanya pada bahagian paling hujung. Apabila bermain dengan benda yang tak nampak ni memang menakutkan. Selepas penyerahan passport, mereka perlu menanggalkan setiap pakaian luar dan dalam dan ditukarkan dengan persalinan lengkap.
Paling mencabar adalah untuk menguruskan bayi dan kanak-kanak. Bayangkan, seorang bayi berusia 15 hari terpaksa memasuki khemah yang panas, berkuap dan sangat tidak selesa. Bayi itu menangis saat kami terpaksa menanggalkan pakaiannya. Orang dewasa pun tidak selesa, apatah lagi bayi sekecil itu,” ceritanya.
Sebelum bermulanya gelombang Covid-19, pernah viral satu video pegawai bomba wanita ‘bermain’ dengan ular tedung. Rupa-rupanya Fazida merupakan wanita tunggal yang berada dalam Skuad King Cobra.
“Skuad King Cobra telah ditubuhkan sejak 2015. Saya bersama-sama empat pelatih lain pernah terlibat dalam operasi melibatkan ular tedung. Saya memang takut dengan ular tetapi saya perlu atasinya kerana sebagai anggota bomba, saya perlu membantu orang lain.
Saya cuba mengkaji mengenai reptilia ini untuk mengenali sifatnya. Malah saya juga mengikuti kursus selama sebulan untuk mempelajari tentang ular. Rakan sepasukan, Allahyarham Abu Zarin Hussin yang terkenal di laman sosial adalah antara ‘guru’ yang banyak mengajar saya kemahiran menangkap ular.” Katanya.
Balai Bomba & Penyelamat Malaysia Rawang bukan sahaja bertuah memiliki anggota bomba wanita yang cekal dan berkemahiran malah balai ini juga menjadi contoh kepada cawangan balai bomba lain kerana menepati ciri-ciri terbaik dalam pengendalian tugas dan dalam sistem pelaksanaan.
Salutasi kami berikan kepada semua anggota bomba Malaysia dan barisan frontliners yang telah bertarung nyawa dan berkorban ketika pandemik Covid-19 bermaharajalela di dalam negara. Selayaknya mereka mendapat pengiktirafan dunia dan semoga kita terus menjaga kita!
“Pengorbanan Ini Dipenuhi Air Mata” Atlet Bola Jaring Negara AN NAJWA Cemerlang, Berjaya Genggam Ijazah
Penjaring utama (GS) skuad bola jaring kebangsaan wanita, An Najwa Azizan baru-baru ini berjaya menggengam Ijazah Sarjana Muda pada Majlis Konvokesyen ke-46 Universiti Putra Malaysia (UPM).
Berusia 25 tahun, atlet tinggi lampai yang pernah merangkul pingat emas sulung ketika di temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2017 ini merupakan pelajar jurusan Komunikasi di UPM.
An Najwa yang merupakan anak kepada bekas pemain ragbi kebangsaan ini turut berkongsi detik terindah itu menerusi hantaran (posting) di Instagram. Hantarannya itu dihujani pujian serta ucapan tahniah daripada para pengikutnya.
Tulis An Najwa di ruangan kapsyen: –
“After years and years, I’ve finally, officially graduated. Grateful for such an amazing support system throughout this journey filled with tears & laughter (happy tears too of course!)”
“Setelah bertahun-tahun, akhirnya saya telah tamat pengajian secara rasmi. Bersyukur dengan sistem sokongan yang luar biasa sepanjang perjalanan ini yang dipenuhi dengan air mata dan ketawa (tentu saja air mata gembira!)”
Ternyata kejayaan ini bukan mudah untuk digapai kerana banyak pengorbanan yang dilakukan oleh An Najwa bukan hanya sebagai atlet bola jaring negara malah pada masa yang sama harus menggalas komitmen sebagai pelajar sepenuh masa.
“Saya sangat berbangga menjadi pelajar UPM kerana prestasi saya dalam bidang sukan semakin hari semakin bagus, pengajian pun bergerak seiring.
“Walaupun saya berkecimpung dalam sukan bola jaring, tetapi pada masa depan kita tak tahu apakah nasib kita.
“Jadi saya sarankan semua atlet untuk sambung belajar sama ada dalam bidang akademik mahupun kemahiran untuk membantu kita teruskan kehidupan,” ungkap An Najwa.
An Najwa yang sebelum ini pernah berhijrah di Australia pernah melakar sejarah buat negara untuk pertama kalinya dengan beraksi di liga luar negara menerusi kelab Bola Jaring Greater Western Sydney (GWS) Fury. Selain itu, dia juga pernah dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP).
Menurut atlet yang sudah berkecimpung selama 10 tahun dalam sukan bola jaring ini, dia akan mula mencari kerja pada tahun 2023 dalam bidang komunikasi seiring dengan ijazah yang diterima serta sukan yang diminatinya iaitu bola jaring.
Semoga segala impian An Najwa dipermudahkan dan terlaksana. Sebagai atlet harapan negara, teruslah melakar kejayaan buat Malaysia sekaligus menjadi inpirasai buat generasi muda.