Terpikat dengan aura dan pesona Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah. 9 April nanti, personaliti diraja Brunei ini bakal menginjak usia 39 tahun. Meskipun menghampiri umur 40 tahun namun kejelitaan wanita bangsawan ini seakan tidak memudar.
Mana tidaknya, Pengiran Anak Sarah seorang wanita yang aktif bersukan. Tahun lalu saja, beberapa program kecergasan telah disertai.
Antaranya perlumbaan kecergasan global iaitu Hyrox yang berlangsung di Singapura pada Julai 2025. Menerusinya, Pengiran Anak Sarah dan tiga lagi ahli pasukan berjaya menduduki tempat ketiga.
Diputerikan sebagai Dayangku Sarah binti Pengiran Salleh Abdul Rahaman pada 9 April 1987 di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Bandar Seri Begawan, Brunei, YTM Pengiran Anak Sarah merupakan satu-satunya puteri kepada pasangan Yang Mulia Pengiran Salleh Abdul Rahaman dan Yang Bahagia Rinawati binti Abdullah.
Personaliti diraja ini sentiasa mencuri perhatian khalayak. Bukan hanya kerana raut wajah yang cantik dan penuh kelembutan. Bahkan juga kerana keperibadian yang dimiliki.
Menerusi kemas kini di akaun SR Design Brunei, Pengiran Anak Sarah komited dalam usahanya menderma darah setiap tahun. Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah kelihatan tenang menjalani prosedur menderma darah di Pusat Derma Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Ujarnya, “Blood can’t be made or replaced. It has to come from people willing to give. And for someone going through surgery, an accident, or even childbirth, that one donation could be the reason they survive.
Ads
What keeps me going is knowing that each time I donate, I’m helping someone – a child, a mother, a father has another chance. It’s such a simple act, but it truly saves lives. That’s what inspires me.”
Setuju dengan kenyataan Pengiran Anak Sarah mengenai pendermaan darah. Walau usaha ini nampak kecil kepada penderma namun ia sangat besar maknanya buat penerima yang memerlukan.
Apatah lagi, menderma darah juga memberi manfaat tersendiri kepada tubuh badan si pemberi.
Ads
Antara kelebihan menderma darah ialah berupaya menurunkan risiko serangan jantung, merangsang penghasilan sel darah baru dan mengurangkan risiko kanser.
Rumah Tangga Pengiran Anak Sarah
Pengiran Anak Sarah berkahwin dengan pewaris Sultan Brunei, Pengiran Muda Mahkota ketika berusia 17 tahun.
Perkahwinan Baginda berdua pernah mendapat perhatian dunia dan mendapat julukan ‘Asian Wedding of the Year’ kerana berlangsung dengan cukup gilang-gemilang dan mewah serta dihadiri pemimpin-pemimpin dari seluruh pelusuk dunia.
Hasil perkahwinan dengan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, pasangan diraja ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Biarpun berbangsa Cina namun Datin Sri Jessie Wong Siaw Puie atau lebih mesra disapa sebagai Datin Sri Jessie fasih berbahasa Melayu. Ini kerana Datin Sri Jessie memiliki ramai kenalan berbangsa Melayu di samping aktif dengan aktiviti-aktiviti sosial kemasyarakatan.
Lebih membanggakan dalam usia 38 tahun Datin Sri Jessie selesa di platformnya sebagai usahawan sukses. Melihat kepada biografi yang dikongsi ternyata Datin Sri Jessie bukan calang-calang wanita. Mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak usianya 24 tahun Datin Sri Jessie menerima berbagai pengiktirafan serta anugerah.
Memiliki kelulusan dalam bidang pemasaran, penerima pingat Darjah Seri Melaka (D.S.M) ini seorang yang sangat komited serta cemerlang dalam kerjayanya.
Bidang perniagaan terkini yang dikendalikan oleh Datin Sri Jessie antaranya ialah berkaitan dengan perancangan kewangan dan pelaburan hartanah. Kini Datin Sri Jessie menyandang beberapa jawatan besar antaranya Pengarah Urusan di World Trade Regal Trading Sdn Bhd, dan All Stars Arena Sdn Bhd (Influencers Online Education & Agency Platform).
Selain itu, Datin Sri Jessie juga merupakan perancang kewangan di syarikat JWC Agency, dan Centre Director di CID Realtor (hartanah). Antara pencapaian dan pengiktirafan yang pernah diterima oleh Datin Sri Jessie ialah beliau pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Wanita 2019 dari Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail (ketika itu) di seminar “Gift of Love” – Women Empowerment 2019 anjuran Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur Selangor (KLSCWO).
Anak jati Johor Bahru ini turut menerima pengiktirafan Top of the Table (TOT) 5 Times dari tahun 2015 sehingga 2019. Beliau juga penerima IDA Platinum Dragon Award 2015-2017 dan 2019. Beliau juga merupakan salah seorang wanita Malaysia yang dipilih sebagai ahli The Ten Million Club by China Million Forum (CMF) sebuah forum elit paling terkenal di China. Lebih membanggakan lagi ialah Datin Sri Jessie pernah tersenarai sebagai 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100 MYE Award) 2017.
Selain cemerlang dalam lapangan kerjaya, Datin Sri Jessie turut aktif dalam aktiviti sosial antaranya dilantik sebagai Presiden Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA), Penolong Pesuruhjaya RELA (PPjR) Jabatan Sukarelawan Malaysia, Presiden Malaysia Influencers Online Association (MIOA), dan Naib Presiden Persatuan Penasihat kebajikan China Malaysia.
“Saya seorang yang sangat komited dengan apa jua tugas yang dilakukan. Tambahan pula saya sukakan cabaran. Maka sebab itulah saya sentiasa bersedia untuk memberikan seratus peratus komitmen terhadap skop kerjaya saya. Dalam setiap tugasan yang diamanahkan memerlukan tindakan yang pantas. Saya berpegang kepada prinsip sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh walau apa pun halangannya.
Nasihat saya buat wanita yang mahu sukses dalam apa jua bidang yang dilakukan seterusnya menjadi wanita berdikari perlu mengetahui nilai diri serta kekuatan yang dimiliki. Manfaatkan kekuatan itu untuk meningkatkan taraf kehidupan kita sebaik mungkin.
Restu dan sokongan suami sangat penting untuk menjadikan saya seorang wanita sukses. Saya bertuah kerana suami juga seorang usahawan berjaya. Beliau lebih lama dalam bidang ini serta sudah betah tentang selok belok perniagaan.
Selama lebih 10 tahun kami berkahwin suamilah yang menjadi tulang belakang saya untuk menjadi seorang usahawan yang bagus. Siapa pun kita hari ini hasilnya bukan sahaja daripada usaha sendiri bahkan daripada circle yang menyokong kita selama ini,” jelas Datin Sri Jessie. Beliau turut menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi serta lambang kekuatan untuk beliau terus bergerak ke hadapan.
Semoga segala impian Datin Sri Jessie menjadi kenyataan seterusnya dapat membantu lebih ramai usahawan khususnya wanita dan generasi muda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Namanya seringkali meniti di bibir ramai selebriti tanah air. Dia di antara jurusolek artis yang menjadi ‘orang kuat’ dalam menghasilkan solekan yang indah di wajah-wajah persona negara. Hasil karyanya diminati dan personalitinya disenangi orang-orang sekeliling. Sheila Mohamad bukanlah nama asing lagi dalam industri solekan. Perintis muda yang baharu ingin menceburi bidang ini turut mengangkat Sheila Mohamad sebagai ‘guru’ bidang solekan.
Tidak pernah sunyi laman Instagram daripada post yang menunjukkan hasil karyanya, Sheila Mohamad bangga kerana apa yang dilakukannya ini mendapat perhatian. Usaha dan kegigihannya selama ini juga diabadikan dalam sebuah pertandingan pencarian makeup artis, Malaysian Makeup Artis Awards (MMA) yang diadakan dengan gah sekali pada Ogos lalu.
Bagaimana bermulanya kerjaya sebagai jurusolek?
Saya sudah mula sebagai jurusolek sejak tahun 1995 dan ini adalah tahun ke 26 saya bergelar jurusolek artis. Waktu itu, saya masih di tanah kelahiran saya iaitu Alor Setar Kedah. Apabila tinggal bersama keluarga dan adik beradik perempuan, saya jadi seronok melihat mereka bersolek. Calit sana, calit sini.
Lebih seronok lagi apabila saya melihat orang bersolek sakan untuk menghadiri majlis-majlis yang diadakan. Mungkin menjadi lumrah setiap insan, suka melihat kecantikan dan kesempurnaan. Sejak itu, saya mula menanam minat dan berusaha ke arah minat ini.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Alhamdulillah, keluarga saya tidak pernah membantah. Mereka tahu apa yang terbaik untuk anak-anak asalkan apa yang saya lakukan ini dilaksanakan dengan sepenuh hati. Minat itu sangat mendalam, tidak mungkin saya akan sia-siakan kepercayaan yang keluarga berikan kepada saya selama ini.
Apakah cabaran anda sebagai jurusolek?
Setiap kerjaya ada cabarannya tersendiri. Walaupun saya sudah lama di dalma industri, tipulah jika saya boleh bersenang-lenang dan terus hidup dalam kepompong ‘aku otai’. Persaingannya sangat sengit tambah-tambah lagi bidang solekan kini melahirkan ramai jurusolek-jurusolek baru melalui sosial media khususnya.
Untuk bersaing dengan mereka, saya juga perlu banyak belajar. Teknik-teknik yang mereka gunakan melalui peredaran zaman dan mengikut permintaan ramai. Jadi, saya tidak boleh duduk diam dan terus belajar, waima daripada jurusolek baru sekalipun.
Siapakah idola anda dalam kehidupan?
Saya meletakkan bapa saya sebagai idola dalam kehidupan. Selain itu, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad adalah idola yang sangat saya hormati.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Tidak susah sebenarnya untuk kekal relevan dalam industri. Just be professional, never stop learning and be creative. Sebagai jurusolek, kita bagai mempunyai hubungan erat dengan selebriti dan pelanggan yang memberi kepercayaan kepada kita untuk mencantikkan mereka. Jadi, dalam apa juga keadaan kita perlu sentiasa bersedia.
Sebagai contoh, apabila saya menerima job dan konsep diberikan pada hari penggambaran, saya perlu bersedia dengan peralatan yang ada. Kita perlu bijak menyampaikan apa yang diingin pelanggan walaupun peralatan tidak mencukupi.
Dan sebagai jurusolek ‘lama’, jangan pernah ego untuk belajar Teknik-teknik baru dalam solekan daripada orang lain. Lain orang, lain kelebihan mereka. Jangan segan untuk belajar, jangan sombong untuk bertanya. Kita cuba kekalkan kedudukan kita sebagai jurusolek artis.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Semakin lama kita menyolek orang, kita sebenarnya mengasah skil yang kita ada. Jujurnya saya merasakan skil, teknik dan pengalaman saya adalah perkara yang membuatkan orang mengenali siapa Sheila Mohamad. Teknik dan skil ini boleh dipelajari tetapi untuk lebih menajamkan keupayaan dan kelebihan itu, kita perlu sentiasa praktis.
Dari segi pengalaman pula, mungkin saya sudah lama dalam industri ini membuatkan saya sudah faham apa yang dikehendaki seseorang. Apabila bertemu pelanggan, saya sudah mengenali karaktor mereka dan sesuaikan dengan solekan yang betul. Kita tak boleh syok sendiri. Apa yang cantik di mata kita, mungkin tidak sesuai dengan personaliti mereka jadi kita perlu memahami pelanggan itu.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
Ia sangat bagus! Dek kerana kebanjiran jurusolek ini membuatkan saya mengadakan pertandingan MMA bersama teman seperjuangan, Deq Sha. Mereka mempunyai bakat yang sangat besar dan kreativiti mereka benar-benar mengikut arus zaman. Apa yang mereka miliki itu adalah satu cabaran yang perlu kita sahut kerana dari situlah persaingan jurusolek lama dan baru akan mengembangkan lagi skil dan dunia solekan kini.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Nasihat saya, walaupun jauh mana kita berada sebagai jurusolek, kita tetap perlu terus belajar dan mencari ilmu supaya skil yang ada tidak hanya setakat itu sahaja. Paling penting, belajar merendah diri dan buangkan sikap ego dan sombong agar disenangi orang sekeliling. Sekalipun kita ada bakat namun andai personaliti kita negatif, ia tidak akan ke mana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Allah adalah sebaik-baik perancang. Biarpun Nurul Adlinna Mohd Bakri mempunyai kelulusan Kejuruteraan Mekanikal tetapi takdir Tuhan telah membawa anak kelahiran Rawang, Selangor ini jauh menempa kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Tidak menyangka dunia perniagaan membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya, wanita berfikiran optimis ini bagaimana pun enggan mensia-siakan ilmu kejuruteraan yang diperoleh begitu sahaja. Sebaliknya memanfaatkan pengetahuan tersebut untuk kegunaan firma perniagaan yang diusahakan hari ini.
Ternyata gabungan minat berniaga sejak kecil dan kecintaan wanita berusia 37 tahun ini terhadap dunia kecantikan serta inovasi menjadi kelebihan untuk beliau berdiri teguh dan berdaya saing dalam industri. Hasilnya, Nurul Adlinna atau mesra disapa Kak Lin kini pencetus revolusi bidang kecantikan menerusi jenama Bartech Beautee.
“Kalau ikutkan bidang kejuruteraan dengan kecantikan ini memang jauh sangat. Tapi sebab naluri seorang wanita yang suka benda cantik, saya tertarik untuk ambil jurusan beautician masa masih belajar dulu.
Tambahan pula, saya ialah orang yang sukakan inovasi dan akan innovate sesuatu benda itu jadi benda baharu. Misalnya kalau orang buat produk, saya juga hasilkan tapi dengan cara dan kreativiti sendiri,” ujarnya memulakan bicara.
Jelas Pengasas Bartech Beautee ini, beliau mendapat pendedahan awal mengenai bidang perniagaan daripada bapa tersayang yang juga usahawan automatif dan mempunyai latar belakang kejuruteraan.
“Sebelum ada bisnes sendiri, saya mula bantu ayah di syarikatnya yang menguruskan trading and supply barang-barang kereta kepada pembekal kenderaan di Perodua, Naza, Honda, Proton dan banyak lagi. Kami juga ada kilang sendiri untuk buat auto parts kereta.
Semasa masih belajar di universiti, saya pernah kerja separuh masa di kedai serbaneka untuk kumpul duit. Habis saja belajar, saya kerja sebagai beautician. Kemudian jadi ejen insuran dan pelaburan. Dari situ saya belajar cara berkomunikasi dengan klien dan budaya orang berniaga.
Tak lama lepas itu, ayah minta saya kerja balik dengannya. Sambil kerja di syarikat ayah dan semangat berkobar-kobar nak berniaga, saya dalam masa sama jadi reseller barangan pakaian, fesyen dan kosmetik termasuklah food and beverages (F&B). Asalnya sekadar suka-suka saja sebab nak dapat extra income,” dedah Kak Lin yang memiliki pengalaman berniaga selama 15 tahun.
BARTECH BEAUTEE
Mengulas mengenai Bartech Beautee, jenama ini secara rasminya berada di pasaran pada tahun 2023. “Pada tahun 2019, suami saya menjalankan bisnes kecergasan yang dinamakan Bartech Fitness. Waktu itu, saya urus bahagian jualan dan operasi. Nak dijadikan cerita, satu hari suami beli energy bar berperisa dan saya makan.
Disebabkan saya suka inovasi, saya buat R&D cara hasilkan energy bar versi sendiri. Tak terfikir nak jual pun. Selepas dua ke tiga kali R&D barulah jadi seperti yang saya inginkan dan tak sangka laris terjual beribu-ribu unit setiap hari.
Nama Bartech itu sebenarnya berasal daripada ‘Bar’ yang merujuk ‘Energy Bar’ ciptaan kami. Manakala ‘Tech’ pula singkatan daripada perkataan ‘Technology’ sebab saya dan suami masing-masing dari bidang engineering. Memandangkan masa itu tak ada idea lagi nak letak nama apa untuk bisnes kecantikan saya, maka lahirlah jenama Bartech Beautee.”
Tambah Nurul Adlinna Mohd Bakri lagi, idea menghasilkan produk kecantikan berkenaan tercetus selepas anak perempuannya berusia 13 tahun berdepan insiden di sekolah.
“Selepas PKP tahun 2022, saya dan anak perempuan sulung ada sesi meet and greet dengan guru dan ibu bapa di sekolah. Dulu kami duduk di Kajang dan kemudian pindah ke Rawang. Jadi, anak saya kena tempuh persekitaran baru dan tak ada kawan lagi.
Sampai saja di sekolah, kawan-kawan baru ini pelik tengok beza kulit anak dengan saya. Mereka cakap, “Kenapa kau hitam? Mak kau tak hitam pun.” Tak sangka, anak saya ambil serius kata-kata itu dan berubah kelakuan daripada seorang yang ceria dan suka berkawan terus jadi pendiam dan suka menyendiri.
Sejak peristiwa itu dia mula hantar link produk-produk supplemen kecantikan yang dijual di TikTok dekat saya sebab nak cantik. Sampaikan mahu berniaga online sebab nak duit beli produk tersebut. Bila tengok keadaan anak yang terdesak macam itu, saya pergi jumpa seorang chemist yang saya kenal waktu jual produk mak saya dulu untuk buat produk kecantikan khas buat anak.
Kami hasilkan dengan beberapa bahan untuk dapatkan formulasi terbaik. Lepas saya pakai dan dijamin selamat, baru saya beri dekat anak. Hampir sebulan dia pakai barulah nampak kesan dan kawan-kawan mula perasan perubahan kulit anak saya makin cerah,” jelasnya panjang lebar.
Bermula dengan hanya untuk kegunaan anak, Kak Lin akhirnya mengambil keputusan memasarkan produk tersebut ekoran permintaan tinggi daripada pelajar dan guru di sekolah.
CABARAN
Dek sambutan hangat yang diterima, Kak Lin selaku Chief Business Officer (CBO) ligat merancang strategi pemasaran dengan mengaktifkan akaun di TikTok kerana berpandangan pasti ada generasi sebaya anak-anaknya yang berdepan masalah sama.
Percaturan ibu kepada empat cahaya mata ini nyata membuahkan hasil apabila produk Bartech Beautee mendapat tempat di hati pengguna dalam tempoh singkat.
“Bila dah viral, ketika itulah kami berdepan macam-macam cabaran. Salah satunya kecaman netizen yang terlalu negatif hinggakan ada yang kata produk kami ini tak selamat. Bagi saya, inilah asam garam dunia perniagaan. Satu proses yang terpaksa kami lalui sebelum produk kami berkembang.
Jujurnya, saya melihat komen sedemikian dari sudut positif untuk kami lebih improved. Kecaman daripada mereka kami ambil dan hormat. Secara tak langsung buka ruang dan peluang untuk kami perbaiki sebelum jadi lebih baik. Itulah salah satu cabaran besar bila saya masuk dalam industri ini. Walau baru setahun tapi rasa macam dah 10 tahun,” ucapnya sambil tertawa.
Ditanya sama ada produk Bartech Beautee menjadi mangsa eksploitasi dan tiruan pihak tidak bertanggungjawab, ini jawapan jujur Kak Lin. “Sudah tentu, lagi-lagi saat kami belum buat trademark. Jadi senang sangat untuk mereka tiru. Saya sedar bila produk ditiru, ia sedikit sebanyak membantu menaikkan lagi jenama kami. Ibarat macam free publicity.
Maksudnya, brand trust itu dah ada bila orang mula meniru. Kalau jenama kita sendu, mana mungkin orang nak tiru. Alhamdulillah, sekarang kami dah registered Bartech Beautee dan ada trademark. Kalau ada yang meniru lagi selepas ini, kami boleh atasi secara profesional.”
Setakat ini terdapat dua rangkaian produk Bartech Beautee di pasaran iaitu Whitening Gel 20 mililiter (ml) untuk kegunaan wajah dan Whitening Cream 20 gram serta 100 gram bagi kegunaan pencerahan wajah dan badan.
JUALAN
Sungguhpun menerima permintaan memberangsangkan daripada pelanggan pada awal perniagaan namun demi mengurangkan risiko kerugian, usahawan berjiwa cekal ini nekad mengambil tempahan secara pra pesanan atau pre order.
“Kami bermula dengan jualan di TikTok dan tak sangka dalam tempoh tiga bulan saja dah cecah RM1 juta! Memang terperanjat sebab kami letak sasaran RM1 juta dalam masa setahun. Itu pun kami ragu-ragu sama ada dapat capai sasaran tersebut atau tidak. Tapi Allah adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki.
Dari satu juta pertama itu kami susun strategi dan pasang impian. Bukan saya saja tapi satu team bertungkus-lumus dan bersengkang mata untuk capai target tersebut. Sekarang kami boleh achieved sampai tujuh ke lapan angka. Alhamdulillah.
Tak sangka Bartech Beautee melonjak dengan sangat drastik. Lebih utama, saya dapat bantu team kejar impian mereka. Apabila ada perancangan yang rapi dan delegate task kepada team dengan baik, saya percaya kami boleh capai jualan sampai 10 angka.”
Tidak sekadar mempromosikan Bartech Beautee di platform TikTok dan mempunyai puluhan ribu entiti niaga menerusi sistem Affiliate Marketing, Kak Lin turut memperluas jualan dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee.
“Tak dinafikan, timbul rasa bimbang kalau saya selaku pemilik tak mampu lagi pertahankan bisnes ini satu hari nanti. Iyalah, produk kami naik dengan begitu cepat. Tak mustahil boleh jatuh dalam sekelip mata.
It’s not easy to sustain. Apatah lagi produk viral. InshaAllah, kami merancang misi yang besar untuk tahun 2025-2026 kelak,” ulas peneraju Bartech Beautee berkenaan yang disokong oleh 12 orang kakitangan.
PENGORBANAN
Di sebalik kesenangan dan kejayaan yang dinikmati hari ini, ada kisah duka yang tersimpan kemas di sanubari Kak Lin. Tidak bermaksud mahu membangga diri jauh sekali meraih simpati, isteri kepada Shaharuddin Abdul Karim ini tegas menekankan bahawa perkongsian yang dibuat adalah demi memberi iktibar dan menyuntik inspirasi.
Bergenang air mata figura hebat ini tatkala diaju persoalan mengenai detik terendah dalam hidup yang pernah dialami. Sambil menahan sebak, Kak Lin membuka rahsia.
“Betul, tak mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Impian saya sebenarnya mahu jadi suri rumah yang uruskan keluarga dan berniaga kecil-kecilan saja. Saya pernah cakap dengan suami, kalau saya aktif bisnes ada benda yang terpaksa saya korbankan iaitu masa.
Jadi usahawan memang penat. Tambahan pula saya menghidap asma sejak usia lima tahun. Boleh dikatakan inhaler itulah best friend yang saya bawa ke mana saja. Masa buat live pun, asyik dengan pam inhaler sebab cepat rasa penat.
Saya mudah diserang asma bila tak cukup rehat. Kalau tidur, saya rasa macam ruginya. Banyak benda boleh buat. Tapi fikirkan tanggungjawab sebagai majikan untuk jaga staf, saya kuatkan semangat. Apa yang saya dapat sekarang ini pun berkat doa suami, anak-anak dan orang sekeliling.”
Puas menahan tangis, air mata Nurul Adlinna akhirnya jatuh berjuraian apabila mengenang kegagalan rumah tangga dek kerana kesibukan membina empayar niaga.
“Ini merupakan perkahwinan kedua saya. Dalam perkahwinan dulu saya rasa sangat sengsara dengar kata-kata cemuhan orang terdekat yang memperkecil kemampuan saya untuk jadi usahawan berjaya. Kata mereka, saya hanya boleh jadi pekerja terbaik tapi bukan usahawan berjaya sebab saya tak pandai berniaga.
Tiada sekelumit pun rasa benci atau dendam. Saya ambil kata-kata itu sebagai satu perkara positif dan buktikan mereka silap. Kesenangan yang kita tunjuk kepada orang hari ini bukan sebab hendak riak tapi itu sebenarnya satu kepuasan. Mujur saya ada team yang sentiasa menyokong dan suami yang setia menjadi tulang belakang. Bagi saya, success is the best revenge!”
INSPIRASI
Dalam keterujaan memajukan syarikat dan membantu pekerja serta anak didik di bawah jagaannya mendapat kehidupan lebih baik, Nurul Adlinna sentiasa meletakkan Allah SWT di kedudukan teratas untuk menggapai matlamat tersebut.
“Saya sudah ada semua yang saya mahukan dalam hidup. Sekarang adalah masa untuk saya bagi manfaat kepada orang lain pula. Kerja yang kita buat ini ialah ibadah. Berdosa kalau saya abaikan pekerja. Untuk itu, saya akan pastikan mereka dapat hidup lebih baik daripada saya.
Kepada wanita sama ada ibu berkerjaya atau pun tidak dan mereka yang bergelar ibu tunggal, bangkitlah sebab saya juga pernah jadi single mom. Hendak berjaya dalam hidup, kita kena fokus dan jelas dengan apa yang kita nak buat.
Kita juga kena ada energy. Jangan bersedih terlalu lama takut-takut nanti kemurungan. Tak perlu salahkan orang lain. Kita mampu kawal emosi dan diri kita sendiri. Kalau stress, nak menangis dalam bilik air, pergi karaoke atau menari, buatlah!
Bila dah lega, kembali dengan misi. Mana yang boleh datangkan manfaat kepada kita, teruskan buat yang terbaik. Akhir sekali, tawakal dan berdoa. Apa saja yang kita buat kena bersungguh-sungguh ibarat seperti esok kita mati,” pesannya bersungguh-sungguh.
Semoga segala kebaikan dan jerit-perih Nurul Adlinna Mohd Bakri mengusahakan perniagaan dengan niat untuk membantu lebih ramai orang keluar daripada kepompong kesusahan mendapat keberkatan serta perkenan dari-Nya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
The Devil Wears Prada mengupas realiti salah guna kuasa di tempat kerja, memperlihatkan peralihan dunia fesyen ke era digital dan konflik kepimpinan moden.