Kita semakin bimbang dengan keadaan mereka yang berada di barisan hadapan tumbang yang akan menyebabkan keadaan bertambah buruk. Kita berharap sangat rakyat negara ini tidak jadi seperti negara yang parah dengan jumlah peningkatan tinggi dan kritikal. Kita semua tidak mahu mengikut jejak langkah tersebut.
Nona sempat menghubungi Dato’ Ziela Jalil tentang perkara ini, “Sepanjang berada di rumah, saya nasihatkan anak-anak kalau nak keluar pastikan sorang dan terus beli barang dan kembali, patuhilah apa yang diperintahkan oleh Kerajaan.
Kita tidak mahu menyusahkan orang lain, virus ini jika kita lihat jangkitan itu sangat cepat. Kalau keluar kita tak tahu siapa yang kita jumpa dan tahap kesihatannya. Kita tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan ini.
Kalau saya mendengar, membaca dan mengikuti perkongsian kakitangan KKM di hospital, menitik air mata saya. Keadaan mereka makan tak sempat, tidur tak cukup, pakaian yang dikenakan pun susah untuk bergerak, mereka meninggalkan keluarga untuk berkhidmat dan pengorbanan mereka itu sangat tinggi.
Ads
Jadi kita ini, perlu bertimbang rasa jangan menambahkan lagi beban tugas mereka yang sedia ada. Bagi saya, insyaAllah ia mudah kalau kita ikut peraturan stay at home supaya dapat matikan kuman agar tidak membiak lagi.
Ads
Kita yang berada di rumah, berkongsilah sesuatu yang positif secara online dan jangan pula menyebarkan berita-berita yang tidak sahih. Kita juga boleh mengaji Al-Quran dan berzikir kerana kita harus ingat, walau apa pun usaha kita segala yang berlaku ini adalah daripada Allah dan kepada Allah jugalah akan dikembalikan.
Kita buatlah sesuatu yang Allah senang dan sayangkan kepada kita semua. Semoga Allah memusnahkan virus dan kita dapat melaksanakan kehidupan kita seperti biasa semula.
Ads
Selain itu, kesempatan berada di rumah kita boleh buat aktiviti deko umah, kemas baju dan sebagainya yang saya rasakan kerja rumah pun tidak pernah habis-habis rasanya. Cubalah isi kebosanan di rumah dengan pelbagai aktiviti,” pesan Dato’ Ziela.
Pesanan buat semua wanita, “Jangan terlalu panik dengan keadaan yang berlaku sekarang, cubalah untuk bertenang. Doa banyak-banyak, ikut arahan Kerajaan. Jaga kesihatan diri kita sebaik mungkin, sering basuh tangan.
Saya doakan kita semua berada di bawah pemeliharaan Allah, insyaAllah. Kepada semua tidaklah perlu membeli stok makanan macam untuk tiga bulan. Kita belilah berpada-pada, simpan yang cukup untuk seisi keluarga kita. Jangan pentingkan diri dan bertimbang rasa dengan orang lain yang turut memerlukan,” ujar Dato’ Ziela mengakhiri bicara. Kiffy Razak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sepanjang dua tahun negara memerangi wabak akut pernafasan teruk itu, nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga sentiasa di tangga teratas serta dikenali sebagai adi wira oleh setiap warga Malaysia.
Ruang waktu yang diberikan cukup singkat. Pagi Jumaat yang hening, awal-awal lagi kami sudah berkejaran ke Putrajaya demi memastikan sesi bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M ini, tidak seminit pun disia-siakan.
Tepat jam 10.30, Tan Sri Dr Noor Hisham muncul dengan senyuman, segak bersut biru, berkemeja putih dan bertali leher batik. Karisma beliau cukup menyerlah meskipun terlihat jelas riak-riak kepenatan di matanya.
Bagi Tan Sri, setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus COVID-19. Semua pihak mesti bersiap membuat perubahan kerana memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam.
Cabaran hidup bersama COVID-19 semakin sukar.
Belum reda varian Delta, muncul pula varian Omicron yang diklasifikasikan sebagai varian dalam pemerhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penularan strain baharu ini bagaikan suatu ‘teguran keras’ tatkala penghuni dunia mula alpa tentang kelonggaran SOP COVID-19 – lebih membimbangkan dan mungkin juga kalis vaksin, selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sedikit stres. Barangkali terlalu banyak perkara penting yang difikirkan termasuk yang terkini, mutasi COVID-19 Omicron terhadap masyarakat sejak kes pertama dikesan di Malaysia pada Disember.
Ekoran risiko varian ini sekaligus turut mendesak kerajaan untuk menangguhkan usaha peralihan fasa endemik buat sementara waktu.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
Terang Tan Sri Dr Noor Hisham lagi, “TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
JASA IBU
Dua tahun berlalu, bermakna sudah hampir 24 bulan tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri, di ambang lesu. Meskipun sasaran KKM untuk mencapai imuniti kelompok tercapai namun kes aktif COVID-19 tetap perlu dipantau rapi.
Jasa petugas barisan hadapan negara amat besar, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung wabak berjangkit itu dapat dilandaikan.
Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, Tan Sri Dr Noor Hisham menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.
“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”
Ditanya siapakah superhero di mata Tan Sri Dr Noor Hisham, beliau dengan pantas menjawab, “Semestinya ibu saya. Dialah sumber inspirasi saya hingga berjaya ke tahap ini dan dialah juga kunci keberkatan hidup anak-anak.
Kekuatan dan pengorbanan ibu selama ini mengalirkan energi untuk saya terus berbakti menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan anugerah tertinggi dalam Nona Superhero Award yang dipancarkan secara langsung dari One World Hotel, Petaling Jaya.
HERO NEGARA
Tan Sri Dr Noor Hisham baru saja menerima pengiktirafan antarabangsa, International Surgical Fellowship Award daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).
Beberapa bulan sebelum itu, lelaki hebat berusia 58 tahun ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membantu orang lain,” ringkas jawapan Tan Sri sewaktu ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang.
Kredibiliti beliau terus menjadi inspirasi setiap petugas kesihatan KKM yang menganggap kerjaya mulia ini sebagai fardu kifayah.
Sebagai seorang Muslim, pengorbanan beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain merupakan sesuatu yang wajar disanjung tinggi.
Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, kredibiliti Tan Sri Dr Noor Hisham sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan.
Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Sepang, Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.
Dilahirkan pada 21 April 1963, Tan Sri Dr Noor Hisham memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menggengam ijazah kedoktoran Doctor of Medicine dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selepas menamatkan ijazah kepakaran Master of Surgery dari universiti yang sama, beliau telah melanjutkan latihan pengkhususan dalam pembedahan payudara dan endokrin di Australia pada tahun 1997.
Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Sehingga kini, Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah dan sering melakukan pembedahan ketika beliau tidak bertugas di ibu pejabat.
Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan lebih daripada 60 artikel dalam jurnal perubatan dan pembedahan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin terutamanya pembedahan tiroid secara bius setempat.
Kepakaran beliau di dalam bidang pembedahan tiroid ini menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia pembedahan dan dijemput untuk memberikan ceramah kepada pakar-pakar bedah di peringkat antarabangsa seperti di Martin Allgower Lecture yang berlangsung di World Congress of Surgery di Krakow, Poland pada 12 Ogos 2019.
Selain berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara, Endokrin & Pembedahan Am, beliau juga berperanan besar dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di dunia untuk rawatan Hepatitis C.
Bersama-sama agensi antarabangsa Drug of Neglected Disease (DNDi) yang berpusat di Geneva, Malaysia telah berjaya merevolusi rawatan penyakit itu yang selama ini sukar diakses.
Namun dengan usaha gigih Tan Sri Dr Noor Hisham serta pakar-pakar perubatan tempatan, penyakit Hepatitis C kini boleh didiagnos dengan cepat dan mudah serta boleh dirawat di klinik-klinik dalam komuniti.
Seperkara yang jelas, kebimbangan beliau terhadap COVID-19 sangat berasas melihatkan gaya hidup masyarakat yang kembali rancak mengabaikan SOP.
“Apabila manusia bergerak dan berhimpun, virus juga akan merebak dan menjangkiti individu lain, membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian-varian baharu.
Percayalah, kita masih belum menang. Langkah terbaik bagi memutuskan penularan adalah dengan mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berstatus ibu tunggal tak bermakna kehidupan seorang wanita itu akan gagal selamanya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui kerana setiap ujian yang diturunkan sebagai tanda sayang terhadap hamba-hamba Nya. Pasti ada hikmah yang tersirat.
Kagum dengan wanita berani dan berinspirasi ini, Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah. Biarpun berstatus ibu tunggal namun wanita berusia 49 tahun yang mesra disapa sebagai Tengku Adena ini bukanlah seorang yang mudah merintih dengan setiap ujian yang menimpa. Selain tenang dan matang, Tengku Adena juga seorang yang sangat positif.
Sejak bergelar ibu tunggal kira-kira empat tahun lalu, Tengku Adena cekal meneruskan kehidupan bersama anak perempuannya yang berusia 20-an. Selayaknya, Tengku Adena digelar superwoman kerana berjaya mengatur kehidupannya dengan baik walau tanpa seorang lelaki bergelar suami.
Tengku Adena kini komited melebarkan empayar niaganya, Royal Adena dan Royal Rendang ke tahap tertinggi. Selain itu, Tengku Adena turut memiliki kilang menjahit tempahan baju korporat serta mengeluarkan produk Royal Cardigan secara ekslusif.
PERNAH MUFLIS
“Kisah yang dikongsikan ini adalah sebagai pengajaran buat diri sendiri dan wanita-wanita di luar sana yang mempunyai nasib yang sama. Sebelum ini, ketika berlaku pergolakan rumahtangga saya sentiasa sibukkan diri kerana tak mahu fikirkan masalah. Saya mula mencari sesuatu sebagai persediaan kerana sudah dapat rasa perkahwinan kami tak dapat diselamatkan lagi. Saya juga banyak membaca tentang kisah-kisah ibu tunggal.
Sehinggalah sampai satu tahap akhirnya saya surrender kerana dah tak sanggup lagi nak tanggung semua masalahnya. Saya juga pernah jatuh muflis kerana dia. Semua wang saya dalam akaun bank dibekukan. Waktu itu saya sangat terkejut dan rasa down.
Nama saya disalahguna sebagai penjamin dan sayalah yang terpaksa menanggung akibatnya. Itulah titik tolak kepada keputusan nekad saya untuk berpisah. Alhamdulillah saya dapat banyak sokongan daripada keluarga, adik beradik dan teman-teman rapat. Kami berpisah secara baik.
MUHASABAH DIRI
“Selepas apa yang berlaku saya banyak muhasabah diri. Saya betulkan semula hubungan dengan Allah SWT. Saya kerap mengadu dan menangis di sejadah, yakin Dia Maha Mendengar. Saya yakin Dia bagi dugaan ini kerana ada sebab. Selain banyakkan solat sunat, saya banyakkan sedekah setiap hari. Ia umpama back up untuk mendapatkan ketenangan hidup.
Alhamdulillah kini saya pun dah boleh move on. Sekarang saya nak kekalkan momentum bisnes dan kehidupan. Saya berusaha dan tawakal kepada Allah SWT. Sejak menjadi ibu tunggal saya lebih faham masalah-masalah golongan ini. Saya banyak mendengar tazkirah, belajar tentang kerohanian.
Bagi saya kena belajar redha baru hati tenang. Sangka baik, Allah SWT akan bagi yang baik-baik,” kongsi Ketua Pengarah Skuad Kasih dan Presiden Srikandi ini. Tengku Adena merupakan penerima Anugerah Ikon Usahawanita Selangor dari Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia.
HARAPAN
“Anak juga ada menunjukkan minat terhadap bisnes. Dialah yang menjaga bisnes Royal Rendang bahagian pemasaran, sosial media, menjaga outlet dan sebagainya. Alhamdulillah saya dikurniakan staf yang bagus walaupun semuanya perempuan.
Saya harap Royal Adena semakin berkembang. Sekarang belum masanya untuk bersenang lenang kerana saya mahu berusaha gigih untuk membawa jenama ini ke tahap lebih tinggi.
Tip sukses saya, jangan berhenti bersedekah. Saya didik diri sendiri, setiap hari sebelum tiba ke pejabat saya akan singgah surau atau masjid berhampiran untuk bersedekah. Bermula dengan nilai yang kecil, kemudian naikkan sedikit demi sedikit. Yang penting ikhlas.
Antara hikmah yang saya belajar atas apa yang berlaku ialah yakin dengan aturan Allah SWT, redha dan tenang,” akhiri Tengku Adena yang kini aktif sebagai motivator.
Kredit Foto: Instagram Tengku Adena & Puteri Nadzirah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pada Julai 2022, pelakon jelita Nelydia Senrose dan suaminya, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid telah menunaikan ibadah haji.
Tahun ini Nelydia memanjatkan kesyukuran apabila ibu tercintanya, Rosmizai Mohd Noor berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu.
Nelydia atau nama penuhnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen berkongsi berita gembira itu dalam satu hantaran di Instastory.
Menerusi video tersebut, Nelydia bersama beberapa ahli keluarganya yang lain termasuk Uqasha Senrose dilihat turut sama-sama menghantar ibunya ke lapangan terbang.
Malah, pelakon berusia 29 tahun ini kelihatan sebak serta tidak dapat menahan air mata saat menadah tangan ketika doa dibaca.
“Alhamdulillah telah Kau kabulkan salah satu impianku dan doa-doa kami ketika di Arafah tahun lalu di mana kami berhajat untuk ibu menjadi tetamu Allah pula bagi menunaikan haji,” tulis Nelydia dalam Instastory.
Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana doa dan usahanya itu diizinkan Allah SWT. Dia juga berdoa agar ibadah ibunya itu diterima olehNya.
Semoga dimudahkan segala urusan ibu Nelydia dan dikurniakan haji yang mabrur.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!