Menyifatkan jodoh kali kedua ini ibarat perkahwinan pertama, kegembiraan selebriti Mas Idayu dalam membuat persiapan majlisnya dengan Penerbit Eksekutif, Muhammad Sufian Che Isa pada 16 September nanti, menarik perhatian. Dengan nilai tajaan mencecah RM7 juta, Nona bersama perancang perkahwinan ‘Wedding of the Year’ mereka iaitu Anas Abdullah.
Selama lebih 12 tahun berkecimpung dalam industri fesyen tempatan, busana pereka Anas Abdullah Kuala Lumpur sering tersarung di tubuh selebriti terkenal antaranya Dato’ Sri Siti Nurhaliza ke majlis-majlis berprestij.
Beliau juga menempa nama sebagai perancang perkahwinan Mas Idayu dan Sufian dimana kali ini, tema dongeng dan fantasi jadi pilihan.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka perkahwinan kali kedua dikurniakan rezeki tajaan dianggarkan mencecah RM7 juta berbentuk barang kemas, tajaan lokasi dan busana perkahwinan.
Dulu saya tak pernah merasa majlis persandingan. Tapi sekarang saya dapat rasa sesuatu yang tak pernah dirasai sejak 15 tahun lalu, ibarat (debarannya) berkahwin buat kali pertama.” Mas Idayu
Anas Abdullah
Nona: Apakah kelainan yang bakal ditampilkan? Anas Abdullah: Kalau diperhatikan trend terkini, banyak bakal mempelai yang mahukan majlis ringkas atau sekadar bernikah saja.
Tapi bila dapat peluang merancang perkahwinan ‘Mummy’ Mas Idayu, saya teringin nak ‘membalas dendam’ dengan menghasilkan fesyen yang lain dari yang lain. Walaupun Mummy bertudung namun dia masih ingin kelihatan fashionable pada hari bahagianya.
Ads
Nona: Beza uruskan majlis perkahwinan anak dara dengan pasangan yang sudah pernah berkahwin? Anas Abdullah: Selama dalam industri fesyen dan perkahwinan ni, sebenarnya perbezaan yang ketara hanyalah dari aspek bajet. Jumlah peruntukan pasangan yang baru berkahwin dengan yang pernah berkahwin selalunya ada sedikit jurangnya. Tapi bukan semua anak dara ‘kurang bajet’.
Ads
Macam Mummy ni, semua sedia maklum dia banyak rahsiakan tentang perkahwinan pertama dulu. Tapi sekarang, Mummy nak uar-uarkan pada semua, pihak wartawan dan peminat. Jadi saya pegang tanggungjawab ni untuk merealisasikan impiannya – Mummy teringin konsep fairytale dan Inggeris. Inilah pegangan saya dalam mereka busana bakal mempelai nanti.
Menariknya, pengalaman luas Anas Abdullah sebagai pereka fesyen membuat Mas Idayu selesa berkerjasama dengannya. Tak hairanlah lelaki ini turut dilantik sebagai pengurus beliau.
“Mummy ni seorang yang punctual dan profesional. Kalau appointment kita pukul 3, kena datang tepat pukul 3 atau 5-10 minit lebih awal. Saya rasa pucuk pangkalnya susun atur kerja agar memudahkan semua pihak.
Dan selepas menjadi fashion designer, sekarang manager Mummy dan alhamdulillah atas dasar kepercayaaan telah menjadi business partner juga untuk produk baharu Mummy, Twenty Skincare.
Saya dilantik sebagai CEO dalam Twenty Skincare sementara Mummy sebagai pengasasnya.” Anas Abdullah
Terdahulu, Mas Idayu juga penyanyi lagu Cintaku 100% pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Aman Graseka pada 1997, namun, bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Dayini Ashiqah, 25 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelakon terkenal Salma Hayek sangat beruntung kerana mempunyai suami yang kaya-raya dan yang lebih penting bersifat dermawan. Keikhlasan suaminya, seorang hartawan dari Perancis Francois-Henri Pinault membantu pembinaan semula bangunan yang terbakar, telah menjadi bualan ramai.
Baru-baru ini dunia digemparkan dengan berita kebakaran bangunan Notre-Dame di Paris. Sejurus selepas berita kebakaran suami kepada Salma Hayek ini telah menyatakan kesudiannya untuk membiayai kos pembinaan semula bangunan tersebut.
Salma begitu bangga dengan sifat dermawan suaminya dan menyatakannya di laman media sosialnya. “Today more than ever I feel proud to be part of the Pinault family. Not only for their personal and heart felt participation in the reconstruction of Notre-Dame de Paris but also because their contribution wont be claiming any tax deductions from the government.
My husband and father in law are two generous french citizens, who sincerely understand the importance of this spiritual, cultural and historical treasure from Paris to the world,”.
Suami Salma dilaporkan telah menderma sejumlah 100 juta euro (lebih S$153 juta) bagi pembinaan semula Gereja Notre-Dame di Paris yang terjejas dengan teruk setelah dijilat api.
Suami Salma yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kering iaitu sebuah kumpulan jenama mewah berpangkalan di Perancis yang memiliki gedung-gedung fesyen Gucci serta Yves Saint Laurent.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Puteri keempat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Iman Anwar mendedahkan Perdana Menteri Malaysia ke 10 itu merupakan seorang yang tidak cerewet soal makanan tetapi menggemari hidangan ringkas seperti cekodok atau jemput-jemput.
“Papa suka makan cekodok, walau ada banyak hidangan untuk lain, kami pastikan cekodok antara menu untuk hidangan papa,” ujar Iman yang berkongsi minat memasak bersama kakaknya Nurul Ilham Anwar.
Nurul Iman Anwar berkongsi menu kegemaran Datuk Seri Anwar dalam satu sesi temuramah bersama Majalah NONA beberapa tahun yang lalu.
Ditanya mengenai nasihat yang sering dititipkan oleh kedua ibubapanya dalam menempuhi setiap cabaran sepanjang keluarga ini bergiat aktif sebagai keluarga politik, menurut Nurul Iman pesanan papa dan mama supaya sentiasa bersabar dan bertakwa menjadi pegangan hidupnya untuk berfikiran lebih rasional dalam setiap tindak tanduk dan keputusan.
“Papa dan mama selalu berpesan bahawa sentiasa bersabar dan bertakwa kerana segala yang berlaku adalah sebahagian dari percaturan Allah SWT. Keperibadian papa dan mama yang sentiasa cekal memberi teladan yang baik untuk kami adik-beradik.
Saya sentiasa berfikir jika mama boleh melalui ujian yang sungguh perit itu, maka takkan saya tidak boleh melakukan perkara yang sama,” ujar Iman mengukir senyuman penuh makna.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan sekadar cantik, Joheirry Mola merupakan guru, wartawan dan aktivis pendidikan. Pada usia 24 tahun, beliau mencipta sejarah apabila dinobatkan Miss World 2026.