Gaya Hidup

Meramal Kesihatan Seseorang Daripada RUPA KAKINYA, Ini Rahsia Yang Tidak Ramai Ketahui

Tidak ramai antara kita yang memberi perhatian pada kaki, sebagaimana kita memanjakan wajah, rambut dan tangan. Namun begitu, anggota badan yang terletak di tempat paling bawah ini sebenarnya amat penting kepada kesihatan diri secara keseluruhan.

Kaki juga turut menjadi penunjuk terhadap kesihatan seseorang. Dengan hanya melihat perubahan dan rupa kaki, anda dapat mengesan simptom tertentu dan segera mendapatkan rawatan selanjutnya. Tapi, bagaimana caranya?

(a) Kaki yang terlampau kering

Ini mungkin disebabkan oleh perubahan cuaca yang terlalu sejuk atau peredaran darah yang tidak lancar kerana penyakit arteri.

Kulit yang amat kering juga merupakan petanda masalah penyakit kaki makan air (athlete’s foot)

atau alahan. Bagi penghidap diabetes, masalah ini mungkin merupakan tanda masalah pada saraf dari otak ke jantung.

(b) Kerap kejang

Kejang biasanya disebabkan oleh kekurangan air dan magnesium, kalsium atau potasium. Pastikan anda mendapat sumber mineral secukupnya setiap hari.

(c) Kaki sejuk

Sekiranya kaki anda sentiasa sejuk, tiroid anda mungkin bermasalah. Hormon yang dirembes tidak mencukupi (hipotiroidisme) untuk mengawal metabolisme anda.

Disebabkan itu, badan tidak dapat menghasilkan haba secukupnya untuk memanaskan kaki dan tangan. Selain itu, anda juga mungkin berasa letih, bertambah berat badan dan keguguran rambut.

(d) Lepuh dan luka yang sukar sembuh

Ini adalah tanda diabetes. Peningkatan gula dalam darah boleh merosakkan saraf dan menghalang darah daripada sampai ke kaki. Luka yang terbuka ini mendedahkan anda kepada jangkitan dan mungkin juga amputasi.

(e) Ibu jari kaki yang luar biasa besar

Jika masalah ini disertai dengan rasa sakit, kemungkinan besar anda mengalami masalah gout. Ini terjadi apabila paras asid urik meningkat dan membentuk kristal dalam sendi.

(f) Berdenyut atau kebas

Salah satu tanda diabetes. Rasa kebas itu disebabkan oleh saraf yang rosak apabila gula dalam darah meningkat.

(g) Rambut pada jari kaki gugur

Peredaran darah yang tidak lancar menyebabkan folikel rambut tidak dapat bertahan. Ia merupakan petanda biasa untuk penyakit vaskular terutamanya jantung (skelerosis arteri).

(h) Jari-jari kaki yang bulat dan lebar

Petanda kanser paru-paru atau jantung kerana aliran darah ke arteri kecil di hujung jari sudah terhalang. Tisu di kawasan itu membengkak, lalu menyebabkan jari semakin bulat dan lebar. Ia juga boleh menyebabkan penyakit usus.

(i) Lengkuk kaki yang tinggi

Itu mungkin petanda masalah neuromaskular. Masalah ini boleh menyebabkan cara berjalan anda berubah, selain masalah kebas dan kehilangan otot.

(j) Kuku jari kekuningan

Biasa disebabkan oleh jangkitan fungus yang tidak serius. Mungkin juga bermaksud masalah pernafasan dan limfedema.

(k) Garis merah di bawah kuku

Tanda jangkitan pada jantung. Barangkali ada salur darah yang pecah disebabkan gumpalan darah yang merosakkan kapilari di bawah kuku. Jangkitan pada lapisan dalam jantung boleh menyebabkan kegagalan jantung jika tidak dirawat.

(l) Kuku yang menggerutu

Psoriasis, sejenis penyakit kulit mungkin penyebabnya. Penghidap penyakit ini mempunyai kuku yang berlubang-lubang kecil. Warna kuku juga mungkin kelihatan kekuningan atau perang. Norzalina Mohd Alias

Sumber: The Active Times

IKLAN
Share