
Menyebutnya mungkin indah, tapi rupa Milia yang tumbuh di permukaan kulit wajah mungkin boleh membuat mana-mana wanita hilang keyakinan diri.
Sekilas, rupa Milia atau bintil-bintil kolesterol yang berwarna putih ini kelihatan sama seperti whiteheads namun ia sebenarnya sejenis keratin berisi minyak yang sebati dengan kulit. Kehadirannya kerap ditemui di sekitar mata sehingga menjejaskan penampilan wajah yang licin sempurna.
Tatkala mata bertentang mata, usah biarkan pandangan si dia diganggu sang Milia. Kehadiran ‘si kecil’ ini menunjukkan anda telah menggunakan produk yang salah seperti krim pelembap mata yang tinggi kandungan minyak.
Walaupun kulit nipis tersebut memerlukan lembapan yang seimbang, namun jangan tergesa-gesa mencalit sembarangan krim kerana dikhuatiri menjemput Milia pada saat anda berusaha mengusir kedutan.
Milia terjadi akibat sel kulit mati yang terperangkap di bawah liang pori-pori yang tersumbat dengan minyak. Lazimnya, kerosakan UV menjadi punca utama yang mendorong pertumbuhan Milia kerana kulit menebal melebihi lapisan yang sepatutnya.
Rawatan
- Berhenti daripada menggunakan losen atau pencuci solekan anda yang biasa. Ini bagi mengelak Milia daripada tersebar ke bahagian kulit yang lain.
- Jangan gunakan sebarang produk pengelupasan yang didapati mencetuskan masalah Milia.
- Dapatkan perhatian doktor jika Milia bertambah banyak dan serius. Anda mungkin akan diberi krim retinoid atau Milia tersebut dicungkil menggunakan sejenis alat yang dikenali sebagai comedone extractor.
- Pakar kulit juga mungkin mencadangkan rawatan pengelupasan asid buah atau prosedur sampingan lain seperti microdermasion.
- Selain itu, implikasi Milia juga timbul akibat penggunaan ubat steroid topikal atau rawatan spa seperti prosedur skin resurfacing atau dermabrasion. Prosedur-prosedur ini merupakan kesan sampingan terhadap proses pengelupasan, ditambah penggunaan produk penjagaan wajah tertentu yang menambah penghasilan minyak dan menjejaskan pori-pori kulit anda. Contohnya produk krim wajah yang bersifat komedogenik atau menyumbat pori-pori. Norzalina Mohd Alias
Wanita & Perfume Berpisah Tiada, Ke Mana Suami Pergi PASTI RINDU Bau Isteri Tercinta!

Setiap wanita tidak akan melangkah keluar dari rumah tanpa semburan minyak wangi. Ia bukan sahaja penting untuk memastikan keharuman dan kesegaran pada diri sendiri tetapi untuk sesiapa sahaja bersama anda merasa selesa dan menyenangkan.
Sememangnya haruman tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian anda. Sama ada anda menggunakan sabun mandi, menyembur pewangi atau menyapu bedak badan, ia tetap sejenis haruman, cuma berlainan sifat.
Sejarah Perfume
Pada ribuan tahun dahulu perkataan ‘parfum’ berasal dari Bahasa Latin perfumum atau ‘melalui asap’. Salah satu kegunaan pada ketika itu parfum membentuk melalui pembakaran dupa dan rempah-rempah yang beraroma yang digunakan dalam upacara keagamaan, seperti aromatik gusi, kemenyan dan mur, yang dikumpulkan dari pohon-pohon semula jadi.
Orang Mesir (Egypt) adalah yang pertama untuk memasukkan minyak wangi ke dalam budaya mereka diikuti oleh China purba, Hindu, Afrika dan diikuti negara-negara yang lain.
Penggunaan wangian aromatik tumbuhan dan bunga untuk haruman yang semerbak telah dikenali untuk waktu yang sangat lama. Orang-orang Rom telah memperkenalkan banyak spesis tanaman aromatik pinggiran empayar di mana mereka masih tertanam.
Dalam membuat persiapan wangian, tanaman semula jadi biasanya diproses menjadi bunga kering, daun kering, akar kering, atau ekstrak dalam air dan minyak.
Hari ini, hampir semua orang menggunakan salah satu antara pelbagai jenis haruman terdapat di pasaran.

Tahap Haruman
Pure Perfume: Tahap haruman paling kuat, paling mahal dan ketahanannya 5 hingga 6 jam. Pewangi yang mempunyai julat minyak pati paling tinggi tanpa alkohol dan asli. Jika anda mengenakan wangian ini, bukan sahaja tubuh akan berbau harum malah boleh dihidu dari jarak yang cukup jauh dan tahan lama. Jangan menyemburkan semburan perfume ke baju kerana teksturnya yang berminyak dapat meninggalkan noda. Cukup dengan menyapunya sedikit di nadi tangan dan belakang telinga.
Eau de Parfume: Tinggi kekuatan harumannya tetapi kurang sedikit daripada perfume. Ia mengandungi sedikit alkohol sebagai fixatives. Selalunya lebih sesuai digunakan pada malam hari, terutama untuk menghadiri acara formal.
Cologne: Haruman paling nipis, ringan dan ketahanan hanya di antara 2 hingga 3 jam sahaja. Minyak wangi yang paling lemah dan kebiasaannya dipasarkan kepada lelaki. Mengandungi sedikit minyak pati berbanding parfume dan mempunyai asas alkohol. Amat sesuai digunakan di bahagian tubuh untuk menyegarkan dan memberikan aroma harum selepas mandi. Biasanya wangian ini beraroma menyegarkan. Contohnya kita boleh dapati pada tisu basah yang sesuai digunakan sebagai penyegar selepas melakukan sebarang aktiviti.
Toilet water: Ia tidak mengandungi sebarang lapisan haruman selain haruman asli. Pati minyak tidak serupa dengan haruman kerana sesetengah bahan rumusan semula jadi telah diubahsuai. Untuk kesegaran yang bertahan lama, wangian jenis ini adalah pilihan yang sesuai kerana aromanya ringan, tidak terlalu tajam dan sesuai untuk banyak acara mahu pun saat bersantai bersama teman.
Body Splash: Ia memiliki kadar pati terendah di antara semua jenis wangian dengan campuran kurang dari 3% dan bertahan hanya sekitar 1 jam saja. Wanginya tidak bertahan lama kerana kadar alkoholnya yang tinggi. Sama seperti eau de cologne, body splash lebih sesuai dipakai untuk mengharumkan tubuh.
Tip Sapuan Haruman
- Jangan sembur dari jarak dekat – Pastikan jarak semburan wangian itu tidak terlalu dekat dengan bahagian kulit anda, ia akan menyebabkan tumpuan hanya pada satu kawasan. Malah bau tersebut akan menjadi terlalu kuat dan berbeza daripada bau yang sebenar.
- Pastikan kulit lembap – Bau haruman mudah hilang pada kulit kering kerana sel kulit yang tertanggal akan membawa bersama haruman tersebut. Lebih kerap kulit disapu pelembap, lebih lama haruman itu mampu bertahan. Haruman bertaup dengan minyak atas kulit dan haba badan pula membantu haruman itu menyemarakkan baunya.
- Semburan dari atas – Semburkan wangian dari atas dan bergerak sehingga ke bawah supaya wangian tersebut terkena pada seluruh anggota badan.
- Sembur pada kulit bukan pakaian – Ada di antara anda yang menyembur wangian pada baju tetapi jika mengikut cara yang betul adalah semburan ke kulit. Setiap kali lepas mandi, tunggu selepas lima minit dan kemudian sembur wangian. Ketika itu badan dalam keadaan bersih, lembap dan liang roma terbuka. Ia memudahkan proses wangian meresap masuk ke kulit dan bertahan lama.
- Elakkan dari terkena barang perhiasan – Elakkan semasa menyembur wangian terkena pada barang perhiasan seperti rantai, gelang, cincin dan sebagainya. sebab boleh rosakkan perhiasan yang dipakai.
- Sembur pada tempat yang bernadi – Ini adalah perkara paling asas. sebelum menyembur wangian ke tempat-tempat lain, sembur dulu wangian ke tempat-tempat nadi seperti leher, dalam siku, belakang pergelangan tangan, belakang lutut dan lekuk di buku lali.
- Amalkan selepas menyembur minyak wangi pakai pelembap dari pewangi yang sama – Selepas sembur minyak wangi, sapu pelembap daripada wangian yang sama agar ia terkunci sebati dan bertahan lama. Cuba bayangkan jika minyak wangi bau lain, pelembap berbau lain, ia boleh membuatkan orang di sisi anda jadi pening dengan pelbagai campuran wangian.
- Jangan gosok selepas sembur – Kesalahan yang seriang dilakukan adalah menggosok pergelangan tangan selepas menyembur minyak wangi. Tindakan ini boleh membuatkan molekul minyak wangi itu pecah sekali gus membuatkan bau haruman hilang lebih pantas daripada jangka masa sebenarnya.
Nota
Kita sering menjumpai jenis EDP dan EDT. Perlu kita fahami bahawa tidak semua wangian tersedia dalam 2 jenis ini. Untuk wangian wanita sebahagian besar berjenis EDP, sebaliknya untuk lelaki sebahagian besar berjenis EDT.
Umumnya, wangian jenis EDP lebih tahan lama daripada EDT. Namun ketahanan aroma sebuah wangian dipengaruhi oleh banyak hal. Salah satunya jenis aroma daripada wangian tersebut. Ada yang kuat, sedang, dan halus. Ada wangian berjenis EDP yang jenisnya halus, tentunya ia tidak akan bertahan lama. Banyak juga jenis EDT yang aromanya kuat sehingga aromanya bertahan lama.
Kebanyakan produk wangian mengandung alkohol. Jadi, semakin tinggi kadar kepekatan pati wangian semakin sedikit kadar alkoholnya. Karena sifat alkohol yang menguap, fungsi alkohol di sini untuk membantu menyebarkan aroma wangian agar tercium oleh orang-orang di sekitar anda. KR
Gaya Sederhana & Menutup Aurat, ‘Sejuk’ Tengok Penampilan REVALINA TEMAT!

Fenomena drama sinetron ‘Bawang Putih Bawang Merah’ suatu ketika dulu cukup terkesan hingga ke hari ini. Gandingan mantap Nia Ramadhani sebagai Bawang Merah dan Revalina S Temat sebagai Bawang Putih ketika masing-masing masih bergelar anak dara turut membuatkan ramai jejaka di Malaysia tertarik dengan kecantikan mereka berdua. Seiring
peredaran zaman dan peningkatan usia, Revalina yang kini memegang status isteri dan ibu dua anak masih terserlah dengan aura tersendiri.
Mendirikan rumah tangga pada 15 Mac 2015 dengan pilihan hati, Rendy Aditwa Gunawan, Revalina yang ketika zaman gadisnya sering berpakaian seksi memilih untuk tampil lebih sopan dan berhijab selepas pulang mengerjakan umrah sekitar tahun 2017 lalu. Dengan gaya muslimah yang elegan, ibu kepada Rihga Sadiwasakti Rabbani ini juga tetap kelihatan cantik meskipun hanya bergaya dengan tudung bawal!
Awal Januari 2019, Revalina selamat melahirkan anak keduanya iaitu Rajendra Satya Razzani yang dilahirkan secara pembedahan. Walau sudah beranak dua namun selebriti Indonesia ini tetap bijak menjaga penampilan diri. Memperlahankan aktiviti seni sejak sudah berumah tangga dan mempunyai anak, Revalina bagaimana pun aktif menjana pendapatan sendiri melalui beberapa perusahaan yang dijalankan. Antaranya bisnes pakaian kanak-kanak, Tifle’s by Revalina S Temat.
Terbaru, wanita berusia 33 tahun ini juga dilihat rancak mempromosikan hijab di bawah jenama Revalinastory by Revalina S Temat. Paling mencuri tumpuan setiap kali melihat Revalina adalah gaya muslimahnya. Mengintai fesyen pilihan aktres ini jelas menggambarkan peribadi Revalina yang gemar memakai jubah dan bertudung labuh.
Memang serba sederhana. Dengan menggayakan tudung bawal dan solekan ringkas, ia sudah memadai untuk menyerlahkan kelembutan wajah Revalina. Biarpun agak jarang muncul di kaca TV, kelibat selebriti cantik ini sering ditemui dalam majlis sosialit Indonesia terutamanya ketika acara pelancaran produk kosmetik muslimah, kanak-kanak-kanak dan hijab.
Tips Mudah Lagi Berkhasiat Bersahur Yang Bakal Membuatkan Anda Kekal Bertenaga Seharian!

Apabila bercerita mengenai bulan Ramadan, semestinya kita akan melalui dua waktu yang sangat sinonim iaitu waktu berbuka dan waktu bersahur. Entah kenapa apabila tiba saja bulan Ramadan, nafsu pun mula membuak-buak nak cuba pelbagai jenis hidangan sewaktu berbuka.Tapi bagaimana pula untuk sahur?
Harus diingatkan, sahur itu bukan saja penting, malah di dalam bersahur tu ada keberkatannya. Pemilihan makanan dan cara anda bersahur inilah akan menentukan tahap kecergasan anda sepanjang hari.
Nona ingin kongsikan kepada anda 6 tips bersahur yang boleh dipraktikkan sepanjang bulan Ramadan untuk anda kekal bertenaga!
1. Hasilkan jem daripada buah-buahan lembut
Gunakan buah-buahan yang lembut dan tidak berbiji seperti pisang dan beri-beri untuk dijadikan jem instant. Bukan saja cepat, malah buah-buahan segar ini pastinya memberikan anda nutrisi yang cukup sepanjang hari. Sapukan di atas roti dan taburkan gula untuk menambah rasa. Oh ya, anda juga boleh gunakan kurma yang tidak berbiji untuk menghasilkan jem ini.
Info tambahan: Gunakan pisang raja atau pisang berangan kerana ia lebih lembik dan mudah dilumatkan.
2. Sediakan telur rebus dalam kuantiti yang banyak
Didihkan air dengan garam dan baking soda di dalam satu periuk. Masukkan telur ke dalam selama 96 saat. Padamkan api dan tutup periuk tersebut dengan penutupnya selama 8 minit.
Bakar dalam ketuhar pada 325-350 darjah selama 30 minit. (Suhu bergantung kepada ketuhar anda). Gunakan talam muffin mini supaya mereka tidak bergoyang. Setelah selesai keluarkan, kupas kulitnya dan simpan di dalam peti ais. Bersedia untuk makan sahur nanti!
Info tambahan: Sediakan telur rebus ini malam sebelum anda tidur.
3. Simpan oat semalaman di dalam peti sejuk
Seperti kita tahu, oat memang baik untuk mengawal tahap kolestrol dalam badan malah ia juga memang mengenyangkan. Jadi apa yang anda hanya perlu lakukan ialah bekukan oat semalaman sebelum anda menjamahnya sewaktu bersahur.
Campurkan oat bersama kacang, kismis dan juga kurma di dalam satu bekas. Kemudian tuangkan susu segar sehingga menutupi lapisan oat dan simpankan di dalam peti ais. Nak lagi sedap, tambah lagi satu lapisan serbuk chocomalt MILO®! Bangun sahur nanti, buka peti dan terus makan. Sangat sedap!
Info tambahan: Old fashioned oats atau instant oats lebih sesuai digunakan.
4. Panaskan semula lauk waktu berbuka dengan tambahan ingredients seperti sayur atau telur
Seringkali kita mendengar, beli makanan banyak-banyak waktu berbuka, sudahnya tidak habis. Apa kata anda simpan lebihan makanan sewaktu berbuka tersebut dengan memanaskannya semula waktu bersahur. Untuk mengekalkan ia dalam keadaan fresh dan enak dimakan, tambahkan sedikit sayur-sayuran yang sihat. Ini akan mempercepatkan lagi persiapan juadah sahur anda.
Info tambahan: Kurangkan makanan yang berminyak sewaktu sahur.
5. Praktikkan mengambil brown rice
Kita sedia maklum, brown rice atau juga dikenali sebagai beras perang mempunyai banyak manfaat. Antaranya adalah mengurangkan kolestrol dan juga amat baik bagi tulang. Ia kaya dengan magnesium dan mineral yang boleh menguatkan tulang dang mengurangkan inflamasi pada sendi. Bulan puasa ini juga sangat sesuai jika anda mahu mengurangkan tahap kolestrol dalam badan. Jadi apa kata kerapkan mengambil brown rice pada waktu sahur tahun ini. Di samping kekal sihat, anda juga mungkin dapat badan baru menjelang raya nanti.
Info tambahan: Brown rice juga merupakan sumber karbohidrat kompleks yang membekalkan sumber tenaga dengan lebih perlahan dan lebih mengenyangkan.
6. Elakkan garam dan minum air berlebihan
Garam adalah penyerap atau penyimpan air. Dalam keadaan berpuasa, pengambilan sumber makanan bergaram seperti biskut, kicap, masakan bergoreng dan lain-lain ia lagi cepatkan dehidrasi dan akan buat anda cepat berasa haus. Minum terlalu banyak air pun kurang bagus dan akan menghasilkan tindak balas yang sama. Paling baik, ambillah 2-3 gelas sahaja.
Info tambahan: Kalau nak minum air manis, pastikan jumlah pengambilan adalah kurang daripada air kosong. Contoh: 1 gelas air manis, 2 gelas air kosong.