Bermula dari bawah dan sekadar memenuhi minat dalam bidang fesyen, wanita ini memberanikan diri dengan menjual rekaan fesyen yang sedia ada di pasaran. Setelah lebih lima tahun menjual rekaan fesyen sedia ada dia memberanikan diri dengan mengeluarkan koleksi tersendiri yang diilhamkan daripada idea dan juga kreativitinya. Memilih untuk menggunakan namanya sendiri sebagai jenama, kini jenama Marinah Yazid semakin mendapat perhatian dari kelompok peminat fesyen tempatan.
CERITAKAN BAGAIMANA JENAMA INI BERMULA
Jenama Marinah Yazid bermula pada 11 September 2015 kira-kira dua tahun yang lalu. Namun sebelum itu jenama ini dikenali dengan nama Junkyard Avenue. Transisi perubahan dari Junkyard Avenue ke Marinah Yazid bermula apabila ramai sahabat handai dan juga pelanggan yang menyarankan kepada saya supaya mengeluarkan jenama sendiri. Jadi setelah lima tahun berniaga dalam bidang fesyen dengan jenama Junkyard Avenue saya akhirnya bersedia untuk menukar jenama dikenali sebagai Marinah Yazid sebagai satu permulaan baru rekaan yang diilhamkan oleh saya sendiri.
DUNIA FESYEN TEMPATAN SEMAKIN HARI SEMAKIN MERIAH DENGAN PELBAGAI JENAMA. MENGAPAKAH ANDA INGIN MENCEBURI BIDANG INI?
Niat saya pada mulanya adalah untuk menceburi perniagaan secara atas talian memandangkan saya seorang yang suka membeli belah. Dari hobi ini saya memulakan satu perniagaan secara atas talian dengan menjual item fesyen pre-loved dan kemudiannya perlahan-lahan bergerak dengan item fesyen sedia ada. Atas permintaan ramai saya mengembangkan jenama ini dari sekadar separuh masa kini ia menjadi satu kerjaya sepenuh masa. Saya menceburi bidang ini kerana punya minat yang mendalam kepada fesyen, ia bukan hanya bersandarkan trend atau mahu bergelar usahawan. Semuanya kerana minat, dan daripada minat ini ia telah membentuk perniagaan yang saya miliki kini.
ADAKAH ANDA SETUJU BAHAWA FESYEN MUSLIMAH ADALAH LUBUK EMAS BAGI JENAMA FESYEN TEMPATAN?
Perkara ini adalah satu situasi yang memang tidak boleh saya nafikan. Kalau kita lihat pun boleh dikatakan setiap jenama cuba menghasilkan rekaan yang sesuai dan menepati cita rasa dalam stail fesyen Muslimah. Permintaan yang ramai juga menjadi faktor utama. Jadi apabila situasi ini berlaku, terlalu banyak persaingan yang perlu dihadapi, menerusi jenama ini saya berusaha untuk mengeluarkan rekaan yang tidak terlalu fokus kepada gaya Muslimah sahaja. Seperti yang saya katakan dalam awal temu bual tadi, saya mahu semua golongan boleh menggayakan rekaan Marinah Yazid dengan tidak mengehadkan rekaan kepada kelompok tertentu sahaja.
BOLEH KONGSIKAN SEDIKIT TIP FESYEN KEPADA PEMBACA NONA?
Pertama, perkara paling penting dalam berfesyen adalah daripada segi pemilihan jenis bahan, potongan fabrik dan paten yang sesuai mengikut bentuk tubuh. Yang kedua, jika menggayakan busana dari fabrik penuh corak pastikan anda memadankannya dengan satu helaian yang polos bagi menyeimbangkan gaya. Ini bagi memastikan agar gaya keseluruhan tidak terlalu sarat.
ISTIMEWA
Untuk pembaca Nona anda berpeluang memenangi baucar bernilai RM200 dengan menjawab soalan mudah. Dapatkan borang asli di dalam majalah Nona edisi Ogos 2017. Tarikh tutup pertandingan ini adalah pada 31 Ogos 2017.