Cantik manis orangnya dan sangat merendah diri biarpun berasal dari golongan bangsawan. Engku Liyana Zafirah Engku Mohd Suhaimi, kerabat Diraja Pahang, 29, yang mesra digelar sebagai Engku Liyana ini sebenarnya seorang yang sangat aktif dan bijak.
Dalam erti kata lain beauty with brain! Engku Liyana juga seorang anak muda yang sangat komited serta cemerlang dalam kariernya.
Sebelum bergelar Pegawai Eksekutif di salah sebuah universiti tempatan, siapa sangka Engku Liyana pernah bekerja sebagai juruwang di sebuah farmasi kesihatan sekitar tahun 2007. Terbukti, sejak usianya belasan tahun Engku Liyana sudah pun mempunyai semangat juang yang tinggi untuk berdikari.
“Saya seorang yang komited dengan apa yang dilakukan dan sukakan cabaran. Prinsip saya sentiasa berusaha, ikhtiar, tawakal dan doa. Namun dalam masa sama saya perlu beringat juga, tak semua yang kita nak tu akan dapat.”
AKTIF BERSUKAN
“Selalunya selepas waktu kerja jadual saya penuh dengan aktiviti sukan. 1-2 kali dalam seminggu saya bersama rakan-rakan akan turun ke Kuala Lumpur untuk bermain badminton atau futsal. Namun memandangkan keadaan semasa sekarang, saya hanya melakukan aktiviti kecergasan di rumah.
Ads
Kadang-kadang lepas kerja saya akan berjoging saja di trek berhampiran tempat kerja. Kalau terlalu penat barulah saya akan berehat di rumah sambil meluangkan masa bersama anak-anak saudara. Walaupun aktif bersukan saya juga seorang yang family oriented. Saya juga tak akan membawa semua urusan kerja ke rumah kecuali kalau terlalu mustahak.”
AMAL PEMAKANAN SIHAT “Saya hanya amalkan air kosong secukupnya setiap hari. Disebabkan aktif bersukan telah mendorong saya untuk minum air dengan banyak. Saya turut mengurangkan makanan berminyak dan bergoreng.
Sejak kecil keluarga saya memang tak galakkan kami ambil makanan ringan, minuman manis dan bergas. Alhamdulillah sampai sekarang kami masih pegang nasihat itu.
Ads
Selain itu, saya sentiasa melalui hari-hari dengan positif demi kesihatan mental dan fizikal yang baik sekaligus dapat mengekalkan awet muda.”
MAHU MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
“Sebagai anak saya sentiasa berusaha untuk membahagiakan dan menyenangkan kedua ibu bapa. Mungkin tak akan terbalas jasa mereka tapi saya akan merasa puas jika dapat melihat mereka bahagia dan gembira.
Ads
Merekalah sumber inspirasi saya sejak kecil. Kedua-duanya tegas dan berdisiplin dalam mendidik. Sejak kecil saya dan adik beradik dah diajar untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sampai jadi. Seterusnya saya mahu fokus kepada kerjaya. Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya lakukan yang terbaik.”
WANITA INSPIRASI
“Perjalanan untuk mencapai gelaran sebagai wanita inspirasi masih jauh. Setiap wanita ada potensi tersendiri untuk berjaya walaupun apa pun statusnya. Tuhan menjadikan wanita untuk memberi manfaat luar biasa buat keluarga, masyarakat dan negara.
Apa yang penting yakin untuk menjadi yang terbaik dalam bidang kerjaya masing-masing. Seorang wanita inspirasi mampu berdiri di kaki sendiri dan tak bergantung sepenuhnya dengan lelaki walaupun bergelar isteri dan ibu.” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hari ini saya sepertinya tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Tidak juga terlintas di fikiran, 2018 menjadi hamparan tsunami apabila tampuk Kerajaan beralih kuasa. Hebat sungguh penampilan kembali matan kesayangan ramai rakyat Malaysia, Tun Dr. Mahathir. Buat kali kedua beliau kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia di usia, 93 tahun. Lantas itu, saya Kiffy Razak mengambil kesempatan untuk mengembalikan memori terindah saya bersama Majalah NONA yang berkesempatan berbual panjang bersama Tun Dr. Siti Hasmah, Tun Dr. Mahathir pada tahun 2016. Perkongsian buat ini ikhlas mereka yang mungkin tidak berkesempatan memiliki Majalan Nona Jun 2016, di pasaran ketika itu.
Sepertinya seorang ayahanda dan bonda, berdiri di hadapan saya dengan budi bicara yang mesra dan tenang. Seindah itu juga senyuman terukir di wajah isteri tercinta Tun Dr. Siti Hasmah menyambut suami tercinta. Pasangan sejoli kekal bersama dalam suka dan duka mengharungi setiap liku kehidupan sepanjang perjalanan di pentas bumi bertuah. Lantas mengheret ingatan saya kepada nukilan puisi yang pernah menjadi tamparan kepada kehebatan semangat politik setiap warga Malaysia. ‘Perjuangan belum selesai’ – 4 Mei 1996, karya seni mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, saya menyelami dan menjiwai setiap baris ayat itu dan bila saya merenung ke dalam dasar insan empunya puisi tersebut, rasanya noktah itu belum berakhir. Saya memetik ayat-ayat cita puisi itu, ‘Masa depan belum menjanjikan syurga, bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa. Perjuangan kita belum selesai kerana hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsa yang berjaya…’
Terlalu banyak saya rasakan masih tersimpul dalam mindanya. Saya percaya sehingga di ketika ini dan di saat kami berbual bicara bersama majalah Nona, (biarpun tempoh masa yang diberikan tidak terlalu lama) di dalam kotak mindanya mempunyai pelbagai perkara yang terus difikirkan. Begitulah hebatnya jiwa seorang pemimpin yang telah banyak berbudi dan berjasa kepada rakyat dan negara, tidak perlu saya merungkaikan kehebatannya kerana segala-galanya telah terbukti di hadapan mata.
Tipu kiranya saya menyatakan tidak berasa gementar pada awal pertemuan kerana auranya dirasakan cukup besar. Namun, Tun Dr. Mahathir membuka ruang dirinya untuk sesiapa sahaja yang berada di sekeliling, berasa cukup selesa. Tutur kata kala berbicara sopan dan lemah lembut, jelas mencerminkan keperibadian dirinya yang intelek, merendah diri dan disenangi.
Editor Nona, Kiffy Razak ketika temubual Tun M & Tun Siti dua tahun lalu
Sempat bergurau senda, “Kiffy tidak perlu takut, saya tidak garang!” Ya benar beliau bukanlah seorang yang garang tetapi di sebalik personaliti itu saya dapat menilai beliau seorang bapa dan pemimpin yang sangat tegas dan amat fokus kepada setiap apa yang dilaksanakan. Alhamdulillah, komitmen yang diberikan oleh pihak Tun sekeluarga sewaktu sesi fotografi bersama majalah NONA ini, amat kami hargai. Suasana berlangsung dengan tenang dan bersahaja, disulam bersama ketawa kala bahasa loghat orang utara, Kedah dituturkan. Sekapal saya dan Tun Mahathir, berasal dari Alor Setar dan membesar di kawasan kampung yang sama. Lantas itu kami terus rancak berbual…
Ramadan bakal kembali. Membawa kebahagiaan, persaudaraan dan makna pengorbanan. Ia merupakan bulan cinta dari Maha Pencipta. Bagi Tun sendiri pengertian Ramadan dan kenangan suasana menyambutnya dahulu dan sekarang, “Bagi saya, kita perlu menunaikan ibadah puasa dengan kerelaan hati yang ikhlas. Niat itu penting dan jadikan ia sebagai satu ibadat. Semaikan kekuatan iman yang kukuh dan jangan berpuasa kerana takut.
Ramadan dahulu dan sekarang memang jauh bezanya, dulu masa kecil seronok sangat bila tibanya bulan mulia ini. Paling istimewa apabila bulan ini dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan yang luar biasa dari hari kebiasaannya. Saya seronok pergi beli ais di pasar dan paling penting mesti berbuka dengan air sirap dan kurma. Warnanya yang merah membuatkan saya sering kali teruja untuk berbuka. Suasana sewaktu saya di Alor Setar, Kedah dahulu lebih tenang, tidak ramai orang dan masjid Zahir pun tidak sesesak seperti sekarang. Jika ingin diimbas kembali, terlalu banyak keindahan yang saya amat hargai. Alhamdulillah saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T dengan kesihatan yang baik untuk saya teruskan kehidupan sebagai seorang hamba-Nya dan melaksanakan ibadah puasa sehingga kini,” jelas Tun Mahathir tenang.
“Seperkara lagi kalau tibanya Raya, paling gembira bila dapat baju baru. Zaman dahulu, kalau dapat sehelai baju raya itu sudah mencukupi dan teramat gembira kerana baju itulah yang akan dipakai sepanjang tahun. Saya rasa semua individu mempunyai kenangan terindah setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.
Menjangkau usia 91 tahun ketika itu, Tun Mahathir masih lagi aktif melakukan pelbagai aktiviti dan melaksanakan tanggungjawab yang masih belum selesai. “Saya tidak boleh duduk diam, perlu membuat sesuatu dan bergerak aktif. Jika tidak membaca, saya akan menghabiskan masa bersama-sama rakan berbual tentang masalah semasa. Paling penting, setiap apa yang saya lakukan dan laksanakan jauh sekali, tidak akan memburukkan nama negara.”
Tun Siti Hasmah sempat memberitahu, “Sampai sekarang, Tun suka keluar hari minggu di waktu pagi atau petang, memandu sendiri menuju ke kawasan projek yang beliau laksanakan atau telah dilaksanakan. Ingat lagi saya sewaktu Menara Berkembar KLCC sedang di bina, setiap minggu Tun akan ke sana melawat tapak projek. Kadang-kadang saya ikut serta bersama Tun, dia memandu saya duduk di bahagian sebelah penumpang rasanya kaki ini seperti sekejap-kejap ingin menekan brek kereta, risau juga!” ketawa kecil Tun Siti Hasmah sambil bercerita.
Semasa membesarkan anak-anak, pernah Tun dan isteri merancang agar mereka mengikut jejak langkah dalam bidang perubatan? Dan benar, Tun dikatakan sebagai seorang bapa yang garang? “Saya mungkin seorang yang tegas dan menegur anak-anak sama seperti seorang bapa lain membesarkan anak mereka. Nak kata sampai anak-anak membenci saya, tidaklah. Kita sekeluarga rapat dan cara dahulu lebih kepada rasa hormat yang menebal, cuma sekarang cara membesar anak-anak lebih santai seperti kawan. Ya jujurnya, saya suka kalau anak-anak yang mengikut jejak kami dalam bidang perubatan tetapi mereka tidak menunjukkan minat ke aras itu, saya tidak boleh memaksa. Itu adalah pilihan mereka. Tetapi sekarang ada juga cucu yang telah menunjukkan minat dalam bidang kedoktoran.”
Sepanjang perjalanan Tun dalam menerajui Malaysia, pastinya ada kenangan yang menyentuh hati yang tidak mungkin dilupakan sehingga saat ini, “Tanggal 1969 sewaktu saya kalah di pilihan raya. Saya merasa amat sedih, sehingga menitiskan air mata. Dan saat paling menggembirakan sewaktu hari Tun Hussein Onn melantik saya menjadi Timbalan Perdana Menteri.” Jelas Tun Mahathir. Biarpun ada segelintir yang melabelkan beliau dengan pelbagai andaian sebagai seorang yang kejam, keras dan sebagainya tetapi baginya itu hanya pandangan mereka yang tidak benar-benar mengenali beliau.
Setelah hampir 13 tahun meninggalkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, jasa beliau pastinya tidak akan dilupakan oleh setiap generasi yang membesar bersama pembangunannya. “Alhamdulillah saya amat hargai mereka yang masih mengambil berat terhadap apa yang saya lakukan. Saya berasa cukup senang dan lega kalau tiada terpahat rasa benci dalam setiap hati manusia. Cuma andai suatu hari nanti saya telah tiada, cubalah untuk lupakan saya kerana saya sedar, saya tidak mampu membuat semua orang suka kepada kita, ada juga yang membenci,” kata-kata Tun terhenti di situ dan penulis terpaku seketika menahan sebak di dada. Dalam hati kecil ini, tidak mungkin kami akan melupakan pengorbanan mu begitu sahaja. Tun Mahathir adalah ikon, bapa wawasan dan di antara pemimpin terbaik menyumbangkan pembangunan kepada negara Malaysia.
Sebelum tempoh masa saya bersama Tun Mahathir dinoktahi, sedikit kata buat semua pembaca NONA, khususnya kaum wanita… “Saya bangga melihat wanita Malaysia hari ini yang bertindak dalam apa jua bidang sekalipun tidak keterlaluan sifatnya. Terus kekal menjaga keperibadian sebagai seorang wanita timur.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kesusahan adalah kunci kepada kejayaan dalam mendidik jiwa anak-anak. Kesusahan juga dapat melahirkan seorang insan berjiwa kental. Sebaliknya, kesenangan dan kemewahan umpama racun yang mampu membunuh jiwa insan. Perkongsian Pengurus Rumah Amal Limpahan Kasih Puchong, Rashidah Abdullah membuka membawa kita untuk melihat lebih dekat kehidupan anak-anak yatim di Rumah Amal Limpahan Kasih. Jelas terpancar raut wajah mereka yang bersih dan menenangkan jiwa.
Rumah Amal Limpahan Kasih, ia merupakan pusat kebajikan dan pendidikan yang menaungi anak-anak yatim, anak fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan asnaf zakat yang beroperasi sejak Januari 2007 di atas tanah milik persendirian.
SUKARELAWAN
Sejak kematian suami beberapa tahun lalu, Rashidah yang berusia 53 tahun ini menjadi sukarelawan sepenuh masa di Rumah Amal Limpahan Kasih. Rashidah amat bertuah kerana arwah suaminya juga seorang yang sangat menyokong tugas-tugas sukarelawan. Atas alasan itulah Rashidah mengambil keputusan untuk membantu anak-anak yang kurang bernasib baik di Rumah Amal Limpahan Kasih.
“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir kerana arwah suami sangat menggalakkan saya melakukan tugas-tugas sukarelawan. Memandangkan saya seorang ibu tunggal maka mudah untuk saya menyelami perasaan dan kehidupan anak-anak ini.
Naluri keibuan saya sangat kuat, maka mudah untuk menyemai kasih sayang dalam jiwa anak-anak di sini. Ada caranya untuk mendekati mereka yang sentiasa ingin dibelai dan dimanja. Mereka kurang kasih sayang. Rasulullah SAW juga seorang anak yatim piatu, Baginda juga membela anak-anak yatim. Saya mengambil inspirasi daripada Rasulullah SAW.
Hubungan kami umpama ibu dengan anak. Mereka menggelarkan saya Ibu. Tiada langsung jurang sebaliknya kami lebih mesra dan rapat. Apa jua masalah mudah dikongsi kerana keselesaan dan kemesraan telah ada. Selain saya, ada lapan lagi kakitangan wanita di sini yang digelar Ibu,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini yang memiliki 4 orang anak.
CABARAN
“Untuk mendidik anak-anak ini tak boleh terlalu tegas atau terlalu berlembut. Perlu banyak bersabar dan berikan kasih sayang sepenuhnya buat mereka. Ini salah satu cabaran buat saya selain mendapatkan dana untuk pendidikan dan pentadbiran.
Selain usaha dan doa, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Alhamdulillah rezeki datang menjemput tanpa diduga. Apa yang penting jangan meminta. Itulah yang kami didik ke dalam jiwa anak-anak di sini.
Anak-anak juga perlu dididik agar seimbang rohaniah dan lahiriah. Anak-anak dilatih dengan ketabahan, kekuatan jiwa dan hubungan hati dengan Allah SWT. Usaha secara berterusan ialah mendapatkan rasa takut setakutnya pada Allah SWT dan rindu serindu rindunya pada Nabi SAW.
Segalanya dilakukan melalui disiplin ibadah solat, selawat dan aktiviti kerohanian. Juga melalui usrah yang dapat mengasah bakat kepimpinan, rasa tanggungjawab, meningkatkan kemahiran hidup dan keyakinan diri mereka. Semua penghuni dibantu sehingga mereka dapat merasai hidup umpama sebuah keluarga,” kongsi Rashidah.
RAMADAN
“Setiap kali menjelang Ramadan, selain memenuhi jemputan berbuka puasa di luar kami turut menjemput warga emas dan ibu tunggal untuk sama-sama berbuka puasa di sini. Maka dapatlah kami berkongsi rezeki bersama-sama di samping mengeratkan silaturrahim,” akhiri Rashidah dengan senyuman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha dan azam yang tinggi. Pernah ditohmah dan difitnah serta harta-benda dicuri, namun perkara itu sedikit pun tidak mematahkan semangat anak kelahiran Sematan, Sarawak ini untuk terus maju dalam perniagaan.
Masih bertatih dalam dunia perniagaan, Shamsiah Yaman atau mesra disapa Shasha yang berusia 34 tahun cekal menghadapi ujian mendatang. Merupakan anak ketiga daripada enam beradik, Shasha juga satu-satunya anak yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Diploma Pengurusan Pelancongan. Berbekalkan rezeki hasil berniaga, Shasha berpeluang membeli beberapa ternakan ayam dan itik untuk ibu di kampung.
“Alhamdulillah, sebelum Covid-19 saya dapat belikan ibu beberapa ekor ayam dan itik untuk diternak dan bekerja di kampung. Ayah dah lama meninggal dunia akibat nahas jalan raya jadi kami kami adik-beradik yang menyara ibu sekarang. Adik-beradik saya ada enam orang semuanya dan mereka berjaya habiskan persekolahan sampai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Cuma saya saja yang melanjutkan pelajaran sampai Tingkatan 6 dan ke peringkat Diploma selama tiga tahun di Institusi Pengajian Antarabangsa ICATS Sarawak.
Shasha founder Shaluxury BeautyShasha di samping ibu & adik-beradik
Pada mulanya saya seorang kontraktor G1 dalam bidang perkhidmatan masakan Islam sejak tahun 2014. Semuanya berjalan seperti biasa sehinggalah ketika pengumuman lockdown Covid-19 yang pertama dulu, semua barang dan perkakasan jualan saya habis dicuri. Saya terpaksa tanggung kerugian hampir RM4 ribu. Setiap masa saya menangis kerana situasi sukar waktu itu dan buntu cari modal niaga.
Di atas tikar sejadah tempat saya mengadu kepada Yang Maha Esa dan mendapat kekuatan untuk terus berjuang demi diri serta keluarga. Kebetulan masa itu, saya nampak iklan Richwork yang mahu membantu pengusaha kecil untuk berjaya. Alhamdulillah, Allah SWT bagi jalan.”
Dari kerjaya kontraktor, Shasha mengambil langkah berani untuk bergelar usahawan kecantikan. Mei lalu, dia menggunakan simpanan yang ada untuk menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan. Ujar Shasha, produk keluarannya cukup istimewa kerana menggunakan herba berkualiti tinggi.
“Saya mula berjinak-jinak dengan bisnes kecantikan dan kesihatan sekitar bulan Ogos tahun lalu. Waktu itu saya buat mini spa. Tapi disebabkan lockdown, spa tak boleh beroperasi. Dari situ saya terdetik untuk menghasilkan wangian keluaran sendiri pada pertengahan Mei lepas. Saya diberi rezeki untuk simpan kewangan untuk beralih ke kecantikan dan kesihatan dengan menggunakan herba berkualiti tinggi.
Alhamdulillah, walau perjalananya perit dan ujian yang melanda, semangat untuk berjuang tetap menebal. Melalui bisnes ini, saya membuka peluang kepada sesiapa saja yang mahu menjana pendapatan tanpa modal. Sebab saya tahu di luar sana ramai yang kehilangan pendapatan. Produk terbaharu saya ialah wangian Syifa bagi menyambung perniagaan mini spa untuk Mandian Aura Seri Pengantin,” telus pengasas Shaluxury Beauty ini.
Tambah Shasha lagi, “Istimewanya produk ini ialah dia dapat bantu kesihatan dan kecantikan diri dengan menggunakan herba seperti kunyit, lengkuas dan serai serta telah diolah untuk dijadikan terapi. Ia juga mampu memberi ketenangan minda. Wangian Syifa terdapat dalam dua jenis iaitu untuk lelaki dan wanita.”
Terdetik untuk berniaga kerana percaya 9 daripada 10 punca rezeki datang daripada perniagaan, Shasha yang berasal dari keluarga susah ini mengakui terinspirasi dengan peribadi usahawan ternama, Tan Sri Syed Mokhtar yang tidak asing lagi dalam aktiviti kebajikan. Malah katanya, dia mahu perniagaan yang diusahakan memberi manfaat kepada masyarakat selain membantu mereka menjana pendapatan.
September 2017 menjadi detik yang tidak dapat dilupakan wanita ini apabila dia diuji dengan kemalangan jalan raya. “Akibat kemalangan tersebut saya mengalami hilang daya ingatan selama lima bulan. Waktu itu saya tiada satu sen pun dan ketika itu juga saya kenal siapa kawan dan lawan. Orang yang selalu ada bersama saya dulu, tinggalkan saya ketika saya dalam keadaan susah. Memang luluh fikirkan kejadian itu tapi hanya doa sebagai kekuatan.
Sepanjang jadi usahawan, sudah bermacam-macam saya hadapi. Antaranya kereta rosak dan tak dapat berniaga, kadang-kadang ada sale dan ada ketika pula jualan tak dapat langsung. Apa-apa pun saya bersyukur dengan rezeki Allah kerana saya percaya setiap kesusahan pasti ada kesenangan pada kemudian hari,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.