9 Syawal menjadi tarikh paling bermakna buat pelakon popular, Mira Filzah apabila selamat bergelar seorang ibu. Mira selamat melahirkan zuriat sulungnya itu tepat jam 3.40 pagi. Lebih mengujakan ialah bayi mereka itu berkongsi tarikh sama dengan Mira iaitu 9 Syawal (mengikut kalender Islam).
Berita gembira ini telah dikongsi oleh suami Mira iaitu Wan Emir Astar melalui satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagramnya sebentar tadi. Wan Emir memaklumkan isterinya itu selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka tepat jam 3.40 pagi.
Wan Emir turut menyatakan isteri dan bayi lelaki mereka itu kini berada dalam keadaan sangat baik.
Pastinya Syawal tahun ini lebih meriah dengan kehadiran cucu dalam keluarga sebelah Mira dan juga Wan Emir.
“Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT Pencipta sekalian alam, serta selawat ke atas junjungan mulia Baginda Nabi Muhammad SAW. Isteri syurgaku Nur Amirah Filzah binti Badioezaman telah selamat melahirkan putera sulung kami pada tarikh sama seperti ibunya iaitu pada tarikh 9 Syawal, bersamaan 10 haribulan 5 tahun 2022 pada jam 3.40pagi.
Ads
Putera kami yang bergema nyaring tangisannya berada dalam keadaan sihat, di samping ibunya yang juga dalam keadaan sihat wal’afiat.”
Wan Emir tidak lupa untuk menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengirimkan doa serta harapan terhadap perkahwinan mereka.
“Kami mengucapkan jazakallahu khairan dan jutaan terima kasih kepada semua atas doa dan harapan yang telah dicurahkan ke atas perjalanan kami sekeluarga ini, moga segala kebaikan buat kalian semua juga.
Ads
May Allah SWT bless & guide each and every one of us in our own personal journeys through this temporary life, aamin YRA.”
Meninjau di ruangan komen, rakan-rakan selebriti dan warganet menitipkan ucapan tahniah buat pasangan ini.
Ads
Semoga cahaya mata sulung mereka itu menjadi anak yang soleh buat ibu ayah.
Untuk rekod, Mira Filzah dan Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar bertunang pada 17 Julai 2020 dan sah bergelar suami isteri pada 3 September 2020. Majlis pernikahan mereka diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara Kuala Lumpur. Manakala majlis resepsi berlangsung di Le Meridian, Putrajaya serta A-Park, Pulau Meranti Puchong.
Wan Emir adalah anak sulung kepada Datin Mastura Mohd Yazid yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas)
Wan Emir bersama ibu tercinta, Datin Mastura Mohd Yazid.
Kredit Foto: Instagram Wan Emir Astar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mendapat jolokan ‘Primadona’ Malaysia, pemilik nama penuh Fazira Wan Chek atau lebih mesra disapa sebagai Erra Fazira yang juga merupakan bekas Ratu Cantik (Miss Malaysia World) 1992 sebelum akhirnya mencapai puncak populariti sebagai penyanyi dan pelakon tanah air.
Namun, siapa sangka aktress jelita ini sudah pun berada di usia 50-an pada tanggal 9 Februari lalu. Meski, wajah dan kelangsingan tubuh badan yang dimiliki oleh ibu kepada Ungku Aleesya itu tidak mencerminkan selayaknya kerana Erra tampak muda berbanding usia. Tidak dinafikan aura dan pesona Erra Fazira masih utuh dan mampu memikat pandangan ramai hingga ke hari ini.
Ini membuktikan bahawa Erra bijak menjaga penampilan diri dan kecantikan. Dalam kesibukan menguruskan keluarga dan kerjaya sebagai anak seni, duta dan ahli perniagaan pun Erra kekal aktif mengamalkan gaya hidup sihat dan bersukan.
Walau usia semakin meningkat, ia nyata tidak menjadi penghalang buat pemenang anugerah Pelakon Filem Wanita Popular tersebut untuk melakukan aktiviti lasak dan bersukan.
Misalnya, pemilik nama Fazira Wan Chek ini berkesempatan meluangkan masa bermain bola jaring bersama kelab peminat setianya. Bukan saja popular dan cantik, Erra juga ramah dan menghargai para peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini.
Aktres filem Maria Mariana ini juga dilihat gemar beriadah seperti berbasikal bersama teman-teman dan anak tersayang, Engku Aleesya.
Tak hairanlah dia mampu mengekalkan susuk tubuh langsing dan kekal berstamina. Malah, peminat Erra sendiri mengetahui figura ini seorang wanita yang berjiwa lasak dan aktif bersukan.
Mengimbas temu bual Nona bersama Erra ketika dia menjadi penghias cover Nona Oktober 2018, aktres ini mendedahkan jika tidak bergelar selebriti dia mungkin menjadi ahli perniagaan.
“Saya rasa saya akan menjadi seorang businesswoman. Sebab saya suka berniaga. Dari saya kecil lagi saya dah berniaga. Kecil-kecil dulu saya pergi sekolah.. saya berniaga keropok. Sayalah yang menggoreng, cabut sendiri ubi kayu dan segala-galanya saya buat sendiri.”
Disifatkan sebagai seorang wanita yang berdikari, Erra yang kini berstatus ibu tunggal enggan melihat perkara itu sesuatu yang menyukarkan. Sebaliknya, melontarkan kata-kata semangat ini buat semua wanita yang melalui nasib sama seperti dirinya.
“Jangan menghempas diri.. Kita kena bangun. Kita tak ada orang lain untuk kita nak bersandar. Jadi, semua sandaran tu hanya kepada kita. Maka bangunlah. Kita ketepikan tanggapan orang lain terhadap kita. Tapi kadang-kadang yang paling sakit itu adalah tanggapan daripada keluarga atau saudara-mara sendiri.
“Tapi tak apa, itu semua cliche. Kita buktikan bahawa ibu tunggal boleh membesarkan anak, boleh hidup dengan baik.. boleh didik anak dengan baik. Yang penting, kita balance dunia akhirat,” ujar primadona Malaysia itu.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Majalah NONA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Menarik perkongsian Datin Belina Abdul Hamid yang mesra disapa sebagai Datin Belina ini. Maka tak hairanlah anak-anak sangat akrab dengannya walaupun beliau menyifatkan dirinya seorang ibu yang tegas.
Berusia 34 tahun, Datin Belina merupakan ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Shahputra Nasri berusia 10 tahun, dan sepasang anak kembar perempuan iaitu Shahirah Safiyya dan Shahirah Silfiyya, masing-masing kini berusia enam tahun.
“Saya mengamalkan menyuap anak-anak ketika makan seperti mana yang diajar oleh ibu saya sendiri. Amalan ini dapat mengeratkan ikatan kasih sayang dan ikatan adik beradik.
Alhamdulillah berkat amalan itu hubungan saya dan adik beradik akrab sampai ke hari ini. Itulah yang cuba saya terapkan terhadap anak-anak agar keakraban itu kekal sampailah mereka dewasa nanti.
Saya percaya air tangan ibu sangat berkat dalam kehidupan seorang anak. Walaupun ada pembantu rumah tetapi memasak tetap menjadi tugas utama saya. Ini juga antara pesanan ibu saya sejak kecil.
Selain memasak, jangan kedekut dengan jiran tetangga. Selalunya saya akan masak lebih untuk sedekah kepada jiran-jiran. Sama-sama kongsi rezeki.”
Datin Belina turut mengamalkan solat berjemaah setiap hari bersama suami dan anak-anak.
DIDIK ANAK HIDUP BERSEDERHANA
Saya dan suami menerapkan cara hidup Islam dalam mendidik anak-anak. Kami banyak membaca dan merujuk buku-buku berkaitan cara-cara didikan Islam termasuk amalan Rasulullah SAW.
Manakala dari segi pendidikan pula kami sangat tegas. Kalau waktu bermain mereka bebas bermain tapi kalau waktu belajar mereka perlu fokus betul-betul. Saya seorang ibu yang sangat tegas maka anak-anak mudah mendengar kata.
Satu lagi didikan kami ialah mengajar anak-anak agar tidak bermewah-mewahan. Kami ajar anak-anak bagaimana susahnya untuk mendapatkan sesuatu. Kena usaha sendiri dan hidup bersederhana.
INSPIRASI WANITA LAIN
Untuk masa depan anak-anak, saya dan suami mendoakan agar mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diminati.
Sebagai ibu bapa kami tak boleh memaksa asalkan mereka menjadi insan berguna di dunia dan akhirat.”
Walaupun bergelar suri rumahtangga sepenuh masa, Datin Belina menjadikan wanita lain sebagai inspirasi terutama wanita yang bekerja.
Apa yang membuatkan Datin Belina kagum ialah kebolehan mereka dalam menguruskan hal kerjaya, keluarga dan diri sendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan semangat anak muda ini. Walau sudah mempunyai kerjaya yang menjamin masa depan namun tetap rajin berusaha mencari kemahiran dan menambah pendapatan. Tekad menjadi wanita yang serba boleh dan mahu menjadi inspirasi kepada keluarga serta masyarakat, keberanian Nur Atiqah Rozali mencabar potensi diri untuk bergelar ahli perniagaan patut diberikan pujian.
Meniti usia 31 tahun, Nur Atiqah atau mesra disapa Iqa dilahirkan pada 6 Mac 1990 di Kuala Lumpur. Anak sulung daripada tiga beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga ini merupakan graduan Perguruan di Institut Perguruan Kampus Keningau, Sabah dan ibu kepada dua cahaya mata.
“Saya berasal dari Batu Pahat, Johor. Bersekolah rendah dan menengah di daerah Parit Sulong, Johor kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Ibu bapa berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara kami sekeluarga. Dari berniaga kain untuk buat baju, sampai jual produk kesihatan pun mak ayah buat.
Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya cuba sedikit sebanyak untuk membantu mereka. Alhamdulillah, sekarang saya bekerja sebagai pendidik yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di salah sebuah sekolah di daerah Yong Peng dan telah berkhidmat selama 7 tahun. Suami pula kerja sebagai pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Yong Peng dan kami dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Ameena Humaira dan Norameen Mukmin.”
Mengimbau perjalanan awal sebagai pengusaha kolam ternakan ikan, Iqa mengakui tidak pernah terlintas untuk menjadi usahawan akuakultur. Segalanya bermula selepas kedua-dua ibu bapa berpisah dan membuatkan dia lebih tabah mendepani masa depan demi keluarga tersayang.
“Idea untuk jadi usahawan tercetus pada tahun 2019. Waktu itu ibu berpindah ke Negeri Sembilan selepas berpisah dengan ayah. Di sini bermulalah titik kesedihan buat kami adik-beradik. Namun, kami perlu terima dan reda dengan perancangan Allah SWT.
Dari situ timbul hasrat untuk saya bantu ibu dengan mengusahakan tanah pusaka miliknya yang telah lama terbiar. Terdetik untuk berbakti kepada tanah dan saya buat keputusan tersebut atas faktor geografi yang menarik dan bersesuaian.
Maka tercetuslah idea untuk memulakan bidang akuakultur ini. Tak lupa juga, galakan daripada suami dan ibu yang menjadi faktor utama saya menceburi bidang ini,” telus isteri Noralim Azhim ini.
Menjadikan Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan, Iqa cukup bersemangat mendalami selok-belok dunia akuakultur walau tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai bidang berkenaan.
“Banyak perkara yang boleh dipelajari tentang cara Khadijah berniaga yang boleh dicontohi pada zaman moden ini. Beliau sangat bijak mengembangkan harta selain sangat pandai berniaga walaupun pada ketika itu, masyarakat Arab memandang rendah pada kaum wanita yang berniaga.
Begitu juga pada zaman ini, wanita perlu berani mencuba dan bersaing dengan golongan lelaki. Pada zaman moden ini, semua wanita yang berjaya telah menjadi sumber inspirasi buat saya. Ramai wanita di luar sana yang saya kagumi dan ingin contohi keperibadian dan kehebatan mereka dalam perniagaan.”
Tambahnya lagi, “Tak dinafikan, dua bidang ini merupakan bidang yang berbeza. Saya beranggapan bahawa saya tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang ada. Menjadi guru merupakan profesion yang mulia di mana saya perlu sentiasa komited dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
Saya amat menyayangi profesion perguruan ini dan dalam masa yang sama saya juga ingin menjadi guru yang mempunyai pelbagai kemahiran yang lain. Setiap orang berhak untuk belajar pelbagai bidang kemahiran, sama juga seperti saya yang ingin belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai bidang akuakultur ini.
Saya juga menganggap bahawa bidang penternakan ikan merupakan ‘terapi diri’ di mana saya dapat mendekatkan diri dengan alam flora dan fauna. Selain ia juga membuahkan hasil suatu hari nanti. InshaAllah. Setiap orang mempunyai keupayaan dan kecenderungan yang tersendiri yang perlu kita cungkil untuk memperkasakan diri.”
Status guru dan peranan Iqa sebagai anak sulung dalam keluarga telah membentuk dirinya menjadi seorang wanita yang matang dan berfikiran jauh. Sedar risiko yang perlu dihadapi apabila menceburi bidang keusahawaan, Iqa tanpa berselindung mengakui berdepan dugaan sebaik mengusahakan kolam ternakan ikan.
“Dalam perniagaan sudah tentu ada cabaran tersendiri. Antara yang tidak dapat dilupakan apabila saya mengalami kerugian sewaktu proses menukar ikan ke dalam sangkar. Proses penukaran ini mengakibatkan ikan ‘stres’ dan banyak yang mati. Ini pengalaman baru buat saya.
Selain itu, situasi pandemik Covid-19 ini juga membataskan pergerakan saya untuk memantau perkembangan ternakan. Sepatutnya tiap minggu saya akan berulang alik dari Johor ke Negeri Sembilan untuk mengendalikan proses ternakan ini tapi saya tak dapat rentas negeri. Sudahnya, ibu yang terpaksa kawal selia,” dedah Iqa yang mengusahakan ternakan ikan di Linggi, Negeri Sembilan.
Bercerita mengenai impian yang diinginkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan nada semangat Iqa memberitahu, “Jujur saya katakan, saya masih belum berjaya dan masih jauh lagi perjalanan yang perlu saya tempuh. Banyak yang perlu dipelajari dan perbaiki dalam bidang ini. Tapi dalam masa 10 tahun akan datang, saya ingin memperluas lagi pasaran ikan tilapia ke seluruh Malaysia.
Buat masa sekrang, saya mensasarkan pasaran ke kawasan tempatan seperti di kedai-kedai makan, kedai runcit dan pasaraya terdekat. InshaAllah jika diizinkan saya ingin membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam penternakan ini. Terutamanya kaum wanita.
Dalam masa sama, membantu mereka yang memerlukan. Saya ingin terus berbakti kepada tanah milik Allah Yang Esa. Mungkin mencuba jadi petani yang berjaya pula.”
Semoga segala impian Iqa dipermudahkan kelak dan semangat ibu ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai kaum wanita di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyakit buah pinggang kronik semakin meningkat dalam kalangan wanita muda di Malaysia. Ketahui simptom awal, faktor risiko dan kepentingan ujian awal sebelum terlambat.