Puas berteka-teki akhirnya spekulasi mengenai hubungan cinta selebriti jelita, Erra Fazira dengan usahawan Kueh iaitu Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau lebih dikenali sebagai Mr E terjawab!
Enggan lagi terus berselindung, primadona filem Melayu berkenaan mengumumkan bahawa dirinya bakal bernikah dengan ahli perniagaan berusia 44 tahun itu pada tanggal 12 Disember 2025.
Khabar gembira itu dibuat ketika pelancaran video muzik Cinta Abadi. Erra Fazira yang tampil anggun dalam persalinan serba putih kelihatan sebak tatkala menjawab persoalan rakan media mengenai berita pernikahannya.
Dengan linangan air mata gembira, aktres yang juga pengacara televisyen ini berkata, “InsyaAllah, saya rasa ini berkat doa semua. Dengan izin Allah, sekiranya tiada aral melintang, pada tanggal 12 Disember bersamaan Hari Jumaat, saya menjemput rakan media dan semua datang mendoakan agar majlis pernikahan saya berlangsung dengan baik dan berkekalan. Jadi ya, tanggal keramat saya ialah 12 Disember 2025.”
Difahamkan majlis pernikahan akan diadakan di Shah Alam, Selangor dengan pasangan mempelai akan diraikan dalam majlis resepsi pada 13 Disember.
Khabarnya, lagu Cinta Abadi yang baru dilancarkan tersebut juga merupakan lagu tema perkahwinan mereka berdua.
Erra Fazira yang kini meniti usia 51 tahun pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Yusry Abdul Halim dan Engku Emran namun kedua-dua perkahwinan tersebut tidak berkekalan.
Menerusi perkahwinan dengan Engku Emran, Erra dikurniakan seorang anak perempuan diberi nama Engku Aleesya.
Semoga ikatan suci yang bakal dibina Erra dan Mr E mendapat keberkatan Allah SWT serta berjalan lancar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganjurkan Pink Ribbon Run 2025 dan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin di Dataran Wawasan, Putrajaya.
Acara ini menjadi simbol solidariti dan penutup rasmi kepada kempen Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025 yang berlangsung di seluruh negara sepanjang Oktober dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti Majalah Nona, Mingguan Wanita, Pertubuhan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), UniSZA dan MHTC.
Ia menunjukkan komitmen berterusan KKM dalam memperkukuh usaha advokasi dan pendidikan kesihatan wanita di Malaysia.
Program tahun ini membawa tema Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa yang menzahirkan semangat perpaduan seluruh masyarakat dalam melindungi wanita Malaysia daripada ancaman kanser payudara.
Tema ini menyeru masyarakat untuk bertindak secara kolektif dan memberi sokongan moral kepada pesakit serta pejuang kanser di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam ucapannya menegaskan bahawa kanser payudara kekal sebagai kanser utama di Malaysia dengan 50.5% kes masih dikesan pada tahap 3 dan 4.
“KKM mensasarkan seramai 20,000 wanita menjalankan saringan awal barah payudara dari Oktober hingga Disember ini. Namun setakat semalam, KKM berjaya menyaingi seramai 19,678 wanita,” katanya.
Ini membuktikan betapa pentingnya saringan awal bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Beliau turut menambah bahawa program seperti Pink Ribbon Run 2025 berperanan besar dalam meningkatkan kesedaran masyarakat dan memperluas akses terhadap saringan serta rawatan awal kanser payudara di seluruh negara.
Pink Ribbon Run 2025 menghimpunkan 900 peserta daripada pelbagai latar belakang sebagai simbol perpaduan perjuangan melawan kanser payudara.
Program ini turut menampilkan promosi kesihatan, sesi Sembang Wanita Xtra serta pemeriksaan saringan kanser payudara percuma, khususnya untuk kumpulan B40.
Acara larian 5KM yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu turut diserikan oleh selebriti Nas Adila dan finalis Dewi Remaja 2025, Zumba, sesi talkshow Sembang Wanita Xtra, persembahan artis Ella, Elite serta Bella Astillah, penyampaian Anugerah Inspirasi Cancer Survivor, sumbangan kebajikan kepada Breast Cancer Welfare Association (BCWA), hadiah kepada pemenang Pink Futsal Tournament serta cabutan bertuah tajaan Mydin Malaysia dan Batik Air.
Aktiviti sebegini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi juga memperkukuh komuniti dalam menyokong usaha kerajaan menangani penyakit ini melalui advokasi dan gaya hidup sihat.
Walaupun Pink October telah melabuhkan tirainya, KKM akan meneruskan aktiviti di bawah inisiatif Post-Pink October bagi memastikan mesej kesedaran dan aktiviti saringan kanser payudara diteruskan sepanjang tahun.
Inisiatif ini menegaskan komitmen KKM untuk memperkukuh akses saringan, meningkatkan rawatan serta memastikan setiap wanita di Malaysia mempunyai peluang dikesan dan dirawat lebih awal.
KKM mensasarkan sekurang-kurangnya 20,000 wanita menjalani saringan kanser payudara sepanjang Oktober hingga Disember 2025 melalui kempen ini.
Sasaran ini selaras dengan komitmen kementerian untuk memperluas jaringan saringan, mempercepatkan pengesanan awal dan memastikan rawatan awal diberi.
KKM juga merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang menjayakan kempen ini dan kerjasama erat antara semua pihak membuktikan bahawa kesedaran dan tindakan bersama berupaya memperkukuh dan memperkasa program pencegahan dan kawalan kanser serta memperluas capaian saringan kanser payudara di seluruh negara.
Ini selaras dengan nilai MADANI, Kesejahteraan dan Ihsan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang atau honoris causa oleh Universiti Filipina (UP) dalam majlis yang diadakan di Dewan Villamor universiti berkenaan di sini pada Khamis.
Menurut kenyataan universiti itu, Anwar dianugerahkan ijazah kehormat berkenaan kerana menjadi sarjana dan memiliki kepakaran antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam dan demokrasi serta keperluan akauntabiliti.
Ijazah kehormat berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Tinggi Pendidikan Filipina, J Prospero E De Vera III serta Presiden dan Pengerusi Bersama Lembaga Regen UP, Angelo A Jimenez.
“Perdana Menteri Malaysia menyanjungi kehidupan, karya dan pengajaran Jose Rizal.
“Minat Anwar terhadap Rizaliana semakin mendalam setelah kerap mengunjungi UP semasa muda di bawah bimbingan mendiang Prof Emeritus Sejarah Universiti dan Dekan Kolej Seni dan Sains UP Diliman Cesar Adib Majul,” menurut Naib Canselor Hal Ehwal Awam UP Jose Wendell Capili.
Beliau berkata, Anwar dihormati kerana memiliki prinsip menentang rasuah dan pengurusan terhadap ekonomi Malaysia semasa Krisis Kewangan Asia.
Anwar dalam lawatan rasmi dua hari, yang merupakan lawatan rasmi kelimanya ke negara ASEAN sejak dilantik sebagai perdana menteri akhir tahun lepas.
Sebaik tiba, beliau diberi sambutan rasmi oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr di Istana Malacanang.
Capili turut berkata usaha Anwar telah menyelamat ekonomi Malaysia ketika Krisis Kewangan Asia 1997 dan menerima pujian termasuk Asian of the Year daripada Newsweek International.
Terdahulu, Perdana Menteri memulakan lawatan rasmi hari kedua ke republik berkenaan dengan menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Rizal Park.
Beliau disambut oleh Datuk Bandar Manila Honey Lacuna-Pangan dan Ketua Staf Tentera Laut Filipina Laksamana Jose M-A Ambrosio Q Ezpeleta.
Sumber: Bernama
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya hidayah itu milik Allah dan mahal ‘harga’nya! Dia mengurniakan petunjuk ke arah kebaikan kepada sesiapa pun hamba yang disukai. Maka bersyukurlah kerana Allah masih mengingati diri kita. Berita penghijrahan anak kepada cef terkemuka negara, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali dengan nama Chef Wan ini nyata disambut syukur peminat dan rakan artis. Iyalah, benda baik memang patut diuar-uarkan.
Bukan apa… selain menyokong usaha murni sesama saudara Islam, diharapkan agar kisah penghijrahan Serina dapat suntik inspirasi kepada kaum muslimah lain untuk menggalakkan pemakaian hijab di samping berusaha menjadi insan lebih baik.
Meniti usia 36 tahun, aktres yang pernah membintangi filem Mr Cinderella ini terbuka berkongsi kegembiraan melalui episod cukup bermakna ini bersama para peminat di IG miliknya sejak semalam, 17 Jun 2019.
Ujarnya, “Alhamdulillah… sempena bulan Syawal yang mulia, Serina mengambil kesempatan ini nak umumkan I dah berhijab sepenuhnya. Memang bukan mudah nak bertekad. Tapi perlu ada pengorbanan dan guru untuk beri tunjuk ajar, serta semangat dan dorongan dari keluarga dan sahabat tersayang.
Terima kasih kepada Ustazah Asma Harun kerana banyak memberi inspirasi dan ilmu. Doakan Serina istiqamah. Sama-sama kita perbaiki kelemahan diri untuk jadi insan lebih sempurna.”
Dalam posting yang dibanjiri dengan komen positif netizen itu, Serina turut berkongsi foto terbarunya mengenakan hijab. Anggun berselendang polos berwarna kelabu dengan persalinan minimalis rona maroon sambil berlatarbelakangkan suasana masjid, terserlah wajah tenang dan gembira Serina dalam usahanya untuk menutup aurat.
Tak mengapa, biar perlahan-lahan. Yang penting, sentiasa ada niat untuk menjadi insan lebih baik dan menutup aurat dengan sempurna buat selama-lamanya. Antara rakan artis yang turut berasa gembira dengan perubahan usahawan Pengasas Serina RTW Fashion ini termasuk Datin Rebecca Nur Islam, Zakiah Anas, Datin Emylia Rosnaida, Azza Elite, Faradhiya dan ramai lagi.
Selain berlakon dan mengacara, ibu kepada dua cahaya mata iaitu Tristan Tareef O’luanaigh dan Isabella Saffiya O’luanaigh yang masing-masing berusia 8 dan 7 tahun ini juga aktif menceburi bidang keusahawanan.
Kredit: Instagram Serina Redzuawan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun sudah setahun berlalu namun pemergian isteri tercinta ke rahmatullah masih meninggalkan kesan mendalam terhadap Ridz Okumura sampai ke hari ini. ‘Kehilangan’ Allahyarham Akiko Okumura pada 28 Februari 2025 bukan hanya mengejutkan warga maya yang sentiasa mengikuti perkembangannya di media sosial suami, Ridz Okumura.