Musim PKP ini banyak betul group-group baru ditubuhkan di Facebook. Majoritinya bertujuan untuk menghilangkan bosan, merapatkan ukhuwah dan berkongsi hobi sesama ahlinya.

Daripada sekadar berkongsi resipi, muncul pula group ‘Masak Apa Tak Jadi’ dan ‘Deko Rumah Dari Mr DIY’. Tak lama kemudian makin kreatif sampai ke tahap menayang harta-benda demi meraih Share dan Likes yang tinggi pula. Seronok bila hantaran itu tular dan jadi gurauan masyarakat.

IKLAN

Kupasan tentang perkongsian tidak berfaedah di group-group FB sebegini telah dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebentar tadi.

Padu sungguh penerangan di bawah. Mohon kita semua pun tinggalkan amalan normalisasi dosa secara halus, takut-takut niat nak berhibur jadi asbab bertambah dosa pula.

Mudah Terhibur Dengan Budaya Riak? Baca Penjelasan Pejabat Mufti Tentang Hiburan Normal Baharu Ini
Iklan tayang duit berkepuk

 

SOALAN:

Baru-baru ini ada viral berkenaan sebuah group di Facebook bernama ‘Riyak Apa Hari Ini’. Dalam group tersebut, hampir setiap hari akan post tentang barang kemas yang mereka ada, barang-barang yang mereka miliki. Ditambah pula adanya perbualan dan post yang tidak sepatutnya.

Para wanita ada yang mendedahkan aurat mereka. Adakah perkara sebegini dibenarkan dalam Islam? Tidakkah perkara ini adalah salah satu normalisasi dosa. Ini baru satu timbul, mungkin akan datang akan ada pula group ‘Dosa Apa Hari Ini’ atau sebagainya. Mohon pencerahan.

 

JAWAPAN:

Kewujudan group ‘Riyak Apa Hari Ini’ atau yang seumpama dengannya adalah salah satu perbuatan yang dianggap sebagai normalisasi dosa. Walaupun dengan niat bergurau, ianya bukan satu cara untuk menghalalkannya.

Hantaran-hantaran yang mendedahkan aurat dan perbualan antara lelaki dengan wanita yang tidak sepatutnya adalah perkara yang dilarang sama sekali. Islam mengajarkan umatnya untuk tidak terlibat dalam perlakuan dosa apatah lagi menzahirkannya.

Jika ingin bergurau sekalipun bukan dengan cara menzahirkan dosa, maksiat dan mempromosikan terma-terma negatif seperti perkataan Riyak. Perkara sebegini perlu dibendung dan dielakkan agar tidak lagi timbul normalisasi dosa yang lain.

Wallahu’alam.

Mudah Terhibur Dengan Budaya Riak? Baca Penjelasan Pejabat Mufti Tentang Hiburan Normal Baharu Ini

 

SYIRIK KECIL

Kesemua larangan yang dilarang oleh Allah SWT dianggap sebagai maksiat dan dosa jika dilakukan. Bahkan dosa dan maksiat adalah penyebab turunnya azab Allah SWT.

Allah SWT berfirman; Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. [1]

Bahkan dosa dan maksiat adalah penyebab kehidupan menjadi sempit. Maksudnya; Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. [2]

Justeru dosa dan maksiat sama ada yang zahir mahupun yang batin bukanlah perkara yang boleh diremehkan. Bahkan tidak boleh dipandang enteng. Termasuk juga dosa adalah sikap riyak, ujub, sum’ah (suka supaya orang lain melihat apa yang dilakukan olehnya), dan yang seumpama dengannya.

IKLAN

Kesemua ini adalah dosa yang tersembunyi dan halus yang tidak disedari oleh manusia. Antara contoh, Nabi SAW menyifatkan sifat ujub iaitu berbangga dengan diri sebagai satu sifat yang boleh membinasakan.

Nabi SAW bersabda, “Tiga perkara yang membinasakan. Kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang dituruti dan seseorang yang bangga dengan diri sendiri yang mana ia sebahagian dari kesombongan. [3]

Apabila disebut tentang riyak, Nabi SAW bersabda;

Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah? Nabi saw bersabda : Itulah Riya’! Allah SWT akan berfirman pada hari kiamat kelak : pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah ganjaran itu di sisi mereka? (dengan sebab amalan kamu).” [4]

Jelas seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas, kesemua ini adalah dosa tersembunyi dan halus yang boleh membawa si pelaku kepada kebinasaan. Apatah lagi, jika ianya diwar-warkan dan disebarkan tanpa ada rasa malu.

Nabi SAW memberi peringatan tentang kecaman Allah terhadap orang yang suka memperagakan maksiat, Baginda bersabda:

“Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” [5]

Ibn Hajar Al-Asqalani memperincikan maksud mujahirin. Beliau berkata :

IKLAN

وَالْمُجَاهِرُ الَّذِي أَظْهَرَ مَعْصِيَتَهُ وَكَشَفَ مَا سَتَرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيُحَدِّثُ بِهَا

“Al-Mujahir adalah orang yang menzahirkan maksiat yang dilakukannya dan mendedahkan apa yang telah Allah sembunyikan serta menceritakan tentang maksiat yang dilakukannya itu.” [6]

Justeru, hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa perbuatan mendedahkan dan menzahirkan maksiat adalah perbuatan yang dianggap boleh menjauhkan seseorang daripada rahmat Allah.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, kewujudan group ‘Riyak Apa Hari Ini’ atau yang seumpama dengannya adalah salah satu perbuatan yang dianggap sebagai normalisasi dosa. Walaupun dengan niat bergurau, ianya bukan satu cara untuk menghalalkannya. Satu kaedah fiqh ada menyebut bahawa tujuan tidak membenarkan cara.

 

Nota Hujung:

[1] Surah Al-Ankabut : 40

[2] Surah Taha : 124

[3] Riwayat Al-Tabarani no 5452, Al-Mu’jam Al-Awsat, Tahkik : Dr Tariq Iwadullah, Abdul Muhsin Bin Ibrahim Al-Husaini, cetakan Dar Al-Haramain, Kaherah,j.5 h.328.

[4] Riwayat Imam Ahmad no 23630 dalam Musnad.

[5] Riwayat Al-Bukhari no 6069

[6] Ibn Hajar Al-Asqalani, Ahmad Bin Ali, Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, cetakan Dar Al-Ma’rifah,Beirut,j.10 h.487.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI