Terinspirasi dengan semangat dan kegigihan usahawan wanita ini dalam mengemudi empayar miliknya. Mula menjual air mangga di pasar malam satu ketika dahulu, kini bisnes minuman buah-buahan Siti Aisyah Kamaruddin terus berkembang maju di pasaran. Malah dia juga bijak mengembangkan perniagaan dengan mempelbagaikan variasi produk termasuk sajian pencuci mulut.
Meniti usia 30 tahun, Aisyah ialah usahawan kelahiran Kuala Lumpur yang juga merupakan pengasas Ayaq World Sdn Bhd. “Saya mula fokus berniaga jus mangga di pasar malam pada tahun 2011 di Sentul dan HKL. Daripada pemerhatian saya, kebanyakan jus mangga yang dijual di kedai tidak menepati cita rasa.
Rasa kecewa tersebut mencetuskan ilham buat saya untuk menghasilkan dan menjual jus mangga yang lebih pekat, segar dan tanpa bahan pengawet. Ia bersesuaian dengan tagline produk kami iaitu iaitu ‘Pekat, Likat, Melekat’.
Pada tahun 2016, air minuman berasaskan mangga seperti mango shake dan mango float mendapat sambutan cukup hangat. Fenomena ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan yang saya usahakan. Dari situ tercetusnya idea untuk menukar strategi dengan membotolkan jus mangga tersebut.
Ads
Semuanya bermula apabila seorang rakan menghubungi saya untuk memesan jus mangga. Apa yang saya lakukan ketika itu, saya beli air mineral kemudian buang air mineral tersebut. Saya gantikan dengan jus mangga saya. Kiranya itulah pertama kali saya ‘membotolkan’ jus mangga saya.
Sejak itu, jus saya mula dijual di tepi-tepi jalan, berdekatan bank, tepi kedai makan. Kemudian perniagaan ini semakin berkembang dan mula diagihkan kepada agen dan stokis,” kongsi Aisyah.
Ads
Dia yang merupakan salah seorang penerima anugerah Nona Superwoman Award pada tahun 2018 turut memberitahu, “Saya sangat menjaga orang-orang di sekeliling saya iaitu pekerja saya dan itulah rahsia kejayaan saya. Saya sangat menjaga kebajikan mereka termasuk rumah, makan dan sebagainya. Selain itu, saya juga menjaga dan pegang stokis serta agen saya dengan membeli jiwa mereka.
Tambah Aisyah lagi, untuk berjaya dalam perniagaan seseorang itu perlu berani mendepani cabaran. “Ramai orang diluar sana takut untuk menjadi usahawan terutama mereka yang bergelar wanita. kerana merasakan diri itu terlalu muda.
Ads
Apa yang boleh saya katakan ialah try and adjust! not try and error! Kita tidak tahu jika kita tidak mencuba. Selain itu, untuk memulakan sesuatu bisnes, kita perlu memberikan sepenuhnya fokus. Komited itu sangat penting dalam perniagaan.
Alhamdulillah, kejayaan saya selama ini di dorong oleh keluarga, adik-beradik dan suami. Tanpa mereka, tidak mungkin saya berada di tahap sekarang ini. Pekerja saya juga merupakan kekuatan saya.
Tambahan pula, anything happens to this business, mungkin mereka pun tidak mempunyai pekerjaan. Jadi yang benar-benar membuatkan saya kuat bertahan ialah team saya,” telus wanita berjiwa besar ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.
Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…
‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban
Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.
Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban
ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.
“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.
Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun kelibat Wardina Safiyyah tidak lagi kelihatan di acara hiburan namun pesona dan bakat wanita ini yang pernah mewarnai dunia seni negara tetap diingati ramai khususnya dalam kalangan peminat. Ketika masih aktif bergelar anak seni, populariti Wardina pernah melonjak naik selepas dia memutuskan untuk berhijab.
Saat itu, figura ini menerima banyak tawaran lakonan dan iklan komersial hingga menjadi salah seorang selebriti inspirasi masyarakat dek kerana keanggunan dan peribadi yang baik. Kini, Wardina atau nama penuhnya Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Nama bintang Spanar Jaya ini kembali menjadi bualan hangat baru-baru ini selepas foto persandingan puteri sulung iaitu Amna Nafeesa bertebaran di media sosial. Kemunculan Wardina begitu dinanti-nantikan apatah lagi sejak dia berhijrah dan menetap di Australia.
Menerusi perkongsian foto rakan artis Wardina yang meraikan hari bahagia Amna di ibu negara, kelihatan graduan Psikologi tersebut tampil jelita dan awet muda! Kecantikan ibu berusia 45 tahun ini seakan tidak memudar.
Wardina sememangnya cukup bertuah kerana dikurniakan rupa paras cantik dan ‘murah’ dengan senyuman. Pada majlis itu, Wardina dan suami tampil sedondon dalam persalinan rona pastel mint.
Tidak terkecuali memeriahkan majlis Amna Nafeesa dan suami, Yusuf Guller ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Kongsi Fadhlina, “Tahniah buat Amna dan Yusuf! Makcik Fadh rasa tua sangat bila Amna sudah berkahwin! Majlis resepsi bertukar menjadi majlis ukhuwah, menghimpun semula kekuatan sokongan serta saling memperkuat antara kami.
Gambar-gambar yang saya kongsikan ini adalah bukti ekosistem sokongan persahabatan yang telah lama dibina dalam pelbagai aspek termasuk empowerment, psikososial, multi ras dan kasih sayang merentas latar belakang masing-masing.
Entah mengapa ada kesayuan kerana bukan selalu kami dapat dihimpunkan dalam majlis sebegini. Seperti biasa, kawan-kawan mak pengantin lagi kecoh atas pelamin daripada pengantin. Semoga Allah menjaga kalian dalam lembayung rahmat dan hidayahnya.”
Seorang lagi kenalan Wardina ialah pengacara terkenal, Fedtri Yahya. “Lamanya tak jumpa Wardina, rakan penyampai MHI yang juga artis popular. Tahniah terima menantu. Tahniah mempelai Amna Ikhwan & Yusuf Gullèr.
Dalam pada itu, Fedtri turut memaklumkan Wardina pulang ke tanah air selama dua minggu.
Anak sulung Wardina Safiyyah, Amna Nafeesa sah bergelar isteri kepada Yusuf Guller pada 3 September 2023 di sebuah masjid di Australia.
Selain Amna, dua lagi anak personaliti popular ini ialah Azra Sareera dan Imran Arrazi. Wardina mendirikan rumah tangga dengan arkitek, Ikhwan Johari pada September 2002.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ratu cantik datang dan pergi, namun berapa ramai saja yang tetap meneruskan misi kemanusiaan mereka demi “world peace” yang dicanang-canang ketika sesi soal jawab di atas pentas, namun tidak bagi Deborah Henry.
Walaupun sudah tidak terlibat dalam bidang ‘pageantry’ sejak 2011, sewaktu beliau mewakili Malaysia pada pertandingan Miss Malaysia World 2007 dan Miss Universe Malaysia 2011, namun siapa menyangka empunya badan masih lagi aktif dengan aktiviti kemanusiaan.
Berkelulusan University of Queensland, Australia; Deborah yang mula berkecimpung dalam dunia peragaan seawal usia 14 tahun lagi, dilahirkan di Dublin dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Kini, Deborah dilihat sibuk mengurus dan mengusahakan Fugee School, sebuah badan atau organisasi sosial tanpa keuntungan yang memberikan perlindungan dan bantuan seperti tempat tinggal dan pendidikan kepada anak anak pelarian atau ‘refugees’.
Namun tidak semuanya mudah buat Deborah apatah lagi dirinya perlu berhadapan dengan stigma masyarakat terhadap pelarian atau pendatang. Jelas Deborah dalam satu temubual media, “ Bagi sesetengah rakyat Malaysia, pelarian dianggap komuniti yang menakutkan. Rakyat Malaysia tidak tahu siapa mereka, dari mana mereka berasal, atau apa yang mereka mahu lakukan apabila mereka berada di sini”.
Sejak memenangi gelaran Miss World pada 2007, Deborah kekal dan masih memperjuangkan nasib pelarian apatah lagi ia dianggap satu tanggungjawab “untuk melakukan sesuatu” selepas melihat sendiri apa yang mereka lalui.
“Saya mula menyedari tentang situasi sukar yang dilalui pelarian di Malaysia apabila menjadi hos dokumentari berhubung pelarian untuk Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada 2008.
Semasa penggambaran, saya bertemu dengan keluarga pelarian Somalia dengan empat anak berusia 10 hingga 14 tahun. Kanak-kanak itu hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Mereka tidak pergi ke sekolah dan hampir tidak boleh bercakap, membaca atau menulis dalam bahasa Inggeris.
Selepas lebih sedekad memperjuangkan nasib pelarian di Malaysia, Deborah berkata disinilah Fugee School serta Fugeelah berfungsi. Fugeelah berhasrat memperkasakan perniagaan dan jenamanya untuk mewujudkan kesedaran mengenai nasib kanak-kanak dan belia pelarian dalam transit di Malaysia, dan pada masa yang sama memberi inspirasi kepada individu untuk mengambil tindakan dalam apa jua cara yang mereka boleh dan akhirnya melaksanakan perubahan, menerusi perusahaan barang kemas dan hiasan wanita.
“Jadi pada tahun 2014, saya mula menceburi perniagaan yang mampan untuk Fugee School bagi menjamin sumber untuk sekolah ini agar kami dapat menumpukan sepenuh masa dalam menambah baik program pendidikan kami dan membangunkan pendekatan yang lebih inovatif”, jelas Deborah dalam temubual bersama majalah Prestige.
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.