Walaupun baharu tiga tahun memulakan perniagaannya namun langkah selebriti dan Ketua Pengarah Eksekutif Absolut Brand, Nadiyah Shahab semakin deras merencana empayar perniagaannya.
Nadiyah Shahab bersama suaminya, pelakon Ben Ali telah memberanikan diri melawan arus dengan membuka cawangan stor fizikal pertamanya di pusat beli belah terkemuka, Mid Valley Megamall.
Ben atau nama penuhnya, Nur Ali Nadzwan selaku Pengarah Urusan syarikat berkenaan berkata tujuan utama memasuki pasaran ‘offline’ dengan menyasarkan ke semua pasar raya terkemuka sekitar Lembah Klang itu sebagai strategi keluar dari zon selesa.
“Ini kerana sektor ‘offline’ terutamanya di dalam pasar raya mega ini didominasi oleh bangsa lain selain Melayu. Lantas ia menjadikan faktor sebagai satu cabaran dan batu loncatan kepada kami untuk terus maju ke hadapan melalui visi dan misi yang diperjuangkan,” katanya.
Nadiyah yang turut memayungi dua lagi jenama lain iaitu Absolut Food Festival dan Absolut Talent & Management pula berkata tentang dugaan berniaga kala pandemik COVID-19, “Pada tahun lalu, syukur perniagaan kami tidak terkesan.
Ini kerana fasa sekatan pergerakan perjalanan pertama menyaksikan kebanyakan masyarakat banyak berbelanja di sektor online. Sekali gus ia menyebabkan kami mencatat hasil jualan yang tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Namun bagi tahun ini pula, aliran perbelanjaan masyarakat dilihat agak sedikit perlahan. Mungkin disebabkan oleh faktor mahu berjimat cermat apabila sudah memasuki fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kami sejujurnya sedikit terkesan,” katanya.
Ads
Teringat kisah dan ketabahan Nadiyah Shahab saat bercerita saat mula bertatih dalam dunia perniagaan. “Saya mula membina bisnes ini dengan suami pada 18 Februari 2018. Suka duka, turun naik yang kami berdua lalui jadi kenangan dan pengalaman berharga.
Bayangkan di pondok rehat perumahan awam, segala operasi dan urusan dilaksanakan. Di situlah kami membungkus kek ke dalam kotak beserta sos.
Sukar dibayangkan memori itu, malah kami pernah melakukan khidmat penghantaran kepada pelanggan,” katanya yang kini tersenyum bangga apabila mampu memiliki sebuah kilang sendiri dan merancang membuka lima cawangan kios lagi juga di Lembah Klang sebelum April tahun depan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masuk tahun ini, sudah sebelas tahun Sharifah Aminah Syed Mohssain bergelar ibu kepada lima orang anak. Secara luaran, tiada apa yang membezakan wanita berusia 39 tahun ini dengan ibu-ibu lain yang mempunyai anak kecil dan dalam masa sama sibuk dengan kerjaya masing-masing. Naluri keibuan yang terpancar pada wajah Sharifah Aminah menutupi segala kekurangan diri.
Realitinya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sharifah Aminah. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang telah dijaga dengan sempurna oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu sejak kecil lagi.
Dialah ibu dan dia jugalah bapa kepada lima anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 11 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 10 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 9 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 4 tahun. Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami… Sharifah Aminah teguh menguruskan segala keperluan anak-anak seorang diri.
Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan. Sungguh mulia!
Namun, tanggal 25 Disember dua tahun lalu… tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa penyayang ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah saya sementara menunggu dia mencari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi lepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis… kami berdua gilir-gilir jaga.
Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua sampai anak yang kelima. Masa sudah ada anak dua, majikan beritahu yang dia mahu ambil anak angkat juga sebab belum dapat anak lagi.
Tapi bila saya sudah dapatkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat dan selamat dilahirkan, lain pula jadinya sebab majikan saya tadi cakap yang dia belum bersedia. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya lapangkan dada untuk jaga anak kembar mereka sekaligus jadi anak ketiga dan keempat. Alhamdulillah.
Ingatkan sampai takat itu saja… tapi rupanya Allah hendak bagi rezeki anak angkat lagi dekat saya. Hendak dijadikan cerita, ada seorang kawan bawa wanita yang sarat mengandung ke rumah saya pukul 2 pagi. Seminggu kemudian, dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, suami isteri yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Sudahnya, saya yang ambil anak ini dan bawa ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Jujur saya beritahu, ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan yang kita sudah mengambil anak angkat, kemudian perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk tanda tangan beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkat. Selepas tempoh 2 tahun, barulah secara rasminya proses pengambilan anak angkat selesai.”
Membahasakan diri dengan gelaran Umi ketika berada bersama anak-anak, Sharifah Aminah juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu semata-mata mahu menyembunyikan status diri. Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib lima anaknya.
“Tak dinafikan saya terima banyak feedback orang ramai tentang hal ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua. Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri.
Alhamdulillah, semua anak-anak disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri. Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah… walaupun hakikatnya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia.
Paling penting, ambil anak dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka akan terbela kelak,” pesannya yang kini sedang hamil zuriat sulungnya sendiri hasil perkahwinan bersama suami tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak sukar membayangkan kenapa NIMS CRISPY CHOCOTUB dikatakan ‘berhantu’. Tidak seperti coklat biasa, tapi coklat cair premium yang melimpah-ruah digaul sebati dengan bijirin rangup. Rasanya sedap dan mudah dibawa ke mana-mana. Beradaptasi dengan perubahan produk ready-to-eat, kini jenama NIMS yang diilhamkan oleh Tengku Norhanim bersama pasangannya Faiz Hussamuddin juga melahirkan inovasi Crispy Chocotub pertama di Malaysia.
Berusia 32 tahun, kecintaan Tengku Norhanim terhadap coklat melahirkan produk NIMS yang disifatkan sebagai happy food. Rasa bahagia membuat orang gembira adalah kekuatan beliau agar berusaha memajukan bisnes.
Anak sulung daripada lapan adik-beradik ini juga bersyukur dapat membantu ramai orang menjana pendapatan, khususnya team NIMS menambah rezeki.
Fenomena choco jar ini pada awalnya mendapat tempat di kalangan anak muda. Sewaktu Tengku Norhanim mula berniaga pada usia 24 tahun, produk keluarannya itu tepat pada sasaran kategori pembeli seusia. Niat berniaga secara suka-suka akhirnya bertukar serius.
“Saya mula bisnes ketika baru setahun berkahwin dan kami juga baru dikurniakan seorang anak. Saya pula masih belajar di universiti. Suatu hari, suami bawa balik dua balang choco jar yang diberi oleh seorang kawan. Dia tanya saya berminat ke nak jual sebab kawannya tengah mencari ejen.
Terus saya rasa seronok tak terkata. Mungkin sebab dapat lampu hijau untuk berniaga dan mungkin juga ia boleh menambah pendapatan kami. Jadi saya pun cuba iklankan choco jar tadi dalam Facebook dan Instagram. Rasa punyalah terkejut bila ada orang nak beli.” Tengku Norhanim
Sewaktu masih menuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Timur dari Universiti Malaya, Tengku Norhanim terpaksa merayu ihsan modal dari suami tercinta untuk meneruskan bisnes.
“Suami bagi RM300 untuk beli stok. Kerana banyak permintaan, saya berjaya habiskan semua stok choco jar dalam tempoh yang singkat. Dari situ saya repeat order hingga tiga kali sebelum tiba-tiba pembekal maklumkan dia terpaksa berhenti.
Saya kecewa, sampailah tergerak hati nak cuba buat sendiri. Lantas dengan bantuan sepupu suami yang mahir dalam bidang coklat, kami pun sama-sama jalankan R&D. Akhirnya kami berjaya jumpa resipi yang betul dan sedap untuk dijual.”
Dalam kesibukan menyiapkan tesis, menghadiri kuliah dan menguruskan keluarga, Tengku Norhanim gigih menguruskan tempahan yang berpusu-pusu masuk. Hanya dengan bantuan suami yang ketika itu bekerja sepenuh masa dan seorang pembantu rumah, mereka bertungkus-lumus mengembangkan produk NIMS hingga turut mendapat banyak tempahan di Thailand.
Sayangnya menjelang tahun 2014, perniagaan Tengku Norhanim ditimpa musibah yang menyebabkan beliau rugi berpuluh ribu. Sebaik mahu memindahkan urusan production ke rumah ibu bapanya di Kelantan, semua bahan mentah yang dihantar ke sana ditenggelami banjir besar. Peristiwa tersebut membuatkan beliau terpaksa slow down buat seketika.
PENGALAMAN
Selepas selesai pengajian pada bulan April 2015, anak jati Kelantan ini tekad meneruskan perniagaan yang terhenti separuh jalan.
“Sebenarnya saya memang sangat suka berniaga sejak kecil, malah impian saya nak jadi usahawan berjaya. Jadi berbekalkan wang simpanan yang ada, kami mulakan semula production choco jar. Alhamdulillah sejak itu bisnes rancak dari tahun ke tahun, malah kami punya barisan ejen di Brunei serta Sabah dan Sarawak.
Apabila saya mula mencari ilmu pemasaran dan mempelajarinya, jualan terus melonjak, dan yang tertinggi waktu tu RM500,000 sebulan. Namun, jualan tersebut tidak bertahan lama kerana kami tidak menguruskan kewangan dengan baik, cepat rasa selesa dan menyebabkan jualan makin merudum. Kami juga tidak konsisten menjalankan marketing di media sosial.
Hampir setahun terkesan dengan kerugian. Tanpa disedari duit simpanan dan modal pusingan juga habis. Dalam akaun bank pun tidak sampai RM3,000. Waktu tu kami cuba dapatkan bantuan dengan bapa mertua saya, namun gagal, bapa mertua saya berikan mutiara kata dan nasihat yang berguna buat kami suami isteri agar kami sedar serta bangkit semula.” Tengku Norhanim
Menyedari persaingan di kalangan pengusaha makanan semakin sengit, Tengku Norhanim yakin sesuatu harus dilakukan.
“Alhamdulillah Tuhan masih bagi kami peluang untuk mengumpul rezeki pada musim perayaan. Kami ambil tempahan dulu daripada pelanggan dan jual choco bar yang ketika itu disukai ramai. Itulah caranya kami pusingkan modal sedikit demi sedikit.
Selepas episod kejatuhan kami pada 2018, saya tekad buat perubahan drastik bagi menarik pelanggan. Sebenarnya bila kita rasa selesa atau terlalu bagus, kita enggan berubah.
Sedangkan orang lain dah mula naik dan mendahului kita. Maka bertitik-tolak dari pengalaman pahit, akhirnya kami pun buat inovasi dan kelainan yang orang lain tidak terfikir lagi.”
Daripada balang kaca ke balang plastik (atau tub), produk NIMS berpindah bekas. Tub hitam dengan saiz lebih besar, lengkap sudu comel dan rasa premium merupakan taruhan baru mereka bagi mendominasi semula pasaran.
Langkah berani itu menjadikan NIMS sebagai pelopor CRISPY CHOCOTUB pertama di Malaysia, sekaligus menggemparkan industri makanan berasaskan coklat dan bijirin.
“Sebaik NIMS CRISPY CHOCOTUB dilancarkan di platform Facebook kami pada Ogos 2019, sebanyak 5,000 bekas habis terjual dalam masa 1 jam. Transisi itulah yang mendorong landskap perniagaan berubah sepenuhnya.
Sewaktu dunia dilanda pandemik dan Malaysia menguatkuasakan PKP pada tahun 2020, permintaan terhadap produk NIMS pula terus meningkat.
Team berkembang dan leader pula semakin ramai mencapai 6,500 orang. Kami berjaya tembusi pasaran Brunei, Singapura dan Thailand, selain mempunyai tiga buah kilang yang menjalankan operasi pembuatan menggunakan teknologi mesin sepenuhnya.
Pencapaian terbaik NIMS adalah apabila kami berjaya buat jualan mececah puluhan juta.”
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Crispy Chocotub Award, Tengku Norhanim Tengku Othman ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Solekan: Norezz Idris
Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pemergian Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 9 Ogos 2021 akibat wabak COVID-19 amat memberi kesan dan dianggap sebagai kematian yang dicemburui. Satu pengakhiran terindah dalam keadaan husnul khatimah.
Memetik kata-kata daripada pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menerusi hantaran video yang dimuat naik dalam Instagram miliknya:
“Subhanallah, ada beberapa tanda husnu khatimah pada kematian Sarah. Antaranya kematian kerana wabak dan melahirkan anak. Masya-Allah. Ia merupakan kematian yang baik (husnu khatimah).”
Selepas pemergian arwah, satu persatu kebaikannya didedah sama ada dari insan yang dikenali mahupun tidak. Namanya ‘harum’ sampai ke kota Mekah kerana turut didoakan serta diadakan solat ghaib buat arwah di Masjidil Haram. Benarlah, pemergiannya sangat dicemburui. Allah SWT mengatur perjalanan ke destinasi terakhirnya cukup indah. Masya-Allah.
PERSAHABATAN EZAN & SARAH
Kita sedia maklum, Shuib dan Sarah sangat rapat dengan penyanyi Mark Adam dan isterinya, Norazah Redzuan (Ezan). Hubungan yang pada mulanya sekadar sebagai peminat dan artis, akhirnya bertukar menjadi sahabat yang sangat akrab. Bukan sekadar dalam industri bahkan dalam kehidupan peribadi, mereka umpama adik beradik.
Gambaran keakraban ini telah dikongsi oleh Ezan (isteri Mark Adam) tentang sikap dan kebaikan Sarah sepanjang mereka bergelar sahabat. Menurut Ezan, arwah Sarah yang paling gembira bila dirinya mula berhijab.
Dapat disimpulkan, persahabatan mereka lebih kepada sahabat dunia akhirat. Menurut Ezan, tanah suci Mekah menjadi saksi kenangan terindah mereka. Inilah sahabat dunia akhirat, buat kebaikan sama-sama dan susah senang pun bersama.
“Banyak sebenarnya kalau nak dikongsikan, mungkin boleh buta mata ni menangis. Tapi bila tengok ramai sangat yang post pasal arwah, yang berkongsi pengalaman mereka dengan Sarah..happy sangat. Kenangan di Mekah itu lagi tak boleh lupa. Itu saya akan kenang sampai mati.
“Dialah yang paling excited sebenarnya yang nak bawa kami ke Mekah. Cerita nak pergi ke umrah ni macam magik. Kalau Allah tak jentik kita untuk pergi ke sana kita tak akan pergi. Kebetulan waktu tu saving kami belum cukup untuk ke sana.
“Kami cakap pada Shuib, kalau ada rezeki kita pergi. Tuhan nak permudahkan kami, last minute lepas. Pasport, visa dan medical check-up semua lepas. Itulah momen paling happy. Bersukur sangat-sangat.
“Di sana (Mekah) kami buat derma sama-sama. Sarah cakap, kalau ada duit lebih sikit dekat sini (Mekah) belilah roti banyak-banyak, kita sedekah kat orang sini.
“Kami beli banyak berplastik-plastik. Ada 4 plastik kalau tak silap. Semua orang yang kami jumpa kami bagi roti-roti tu.
“Esoknya kami plan lagi. Sarah cakap nak beli Quran nak wakafkan di masjid sini (Mekah). Pergi pula cari Quran, benda ni kami buat sama-sama. Saya beli dalam 20 naskhah, Sarah pun beli. Setiap orang kami berikan Quran tu. Momen tu memang susah nak lupa.
“Lepas balik umrah, Sarah ada suarakan hasrat untuk datang lagi dan kali ni nak bawa anak-anak. Tapi tak sempat nak pergi.”
Selain amalan Sarah yang gemar bersedekah, Ezan turut terinspirasi dengan sikap arwah sebagai seorang isteri yang baik dan taat. Ini nasihat Ezan buat buat wanita-wanita di luar sana untuk menjadi isteri yang baik.
“Sayangilah keluarga suami kerana bila kita sayang keluarganya kitalah wanita yang paling dia (suami) sayang.”
Kredit Foto: Instagram @ezzpowers
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!