Wow, bangga bila kredibiliti kaum wanita sekali lagi diperakui dan diangkat menyandang jawatan tertinggi dalam institusi perundangan negara. Apa yang pasti pencapaian Tan Sri Zaharah Ibrahim ini mampu menjadi suntikan semangat buat para wanita terutamanya yang berkecimpung dalam bidang undang-undang untuk memasang impian menyandang jawatan sama suatu hari nanti.

IKLAN

Jujurnya, rasa terharu dan sebak saat menyaksikan upacara angkat sumpah tersebut yang berlangsung semalam. Kejayaan Tan Sri Zaharah membuktikan setiap wanita berpeluang menjadi individu penting dalam sesebuah organisasi asalkan mempunyai pemikiran yang tajam dan sarat dengan ilmu pengetahuan. Dengan selesainya upacara berkenaan, sekaligus menjadikan wanita berusia 66 tahun ini memegang jawatan ketiga tertinggi dalam institusi perundangan Malaysia. Bukan calang-calang tugas tu!

Tan Sri Zaharah menggantikan jawatan yang dipegang Tan Sri Ahmad Maarop yang kini dilantik Presiden Mahkamah Rayuan. Sebelum ini, Tan Sri Datuk Siti Norma Yaakob pernah diberi kepercayaan menggalas tugas Hakim Besar Malaya pada tahun 2005 hingga 2007 sekaligus menjadikan beliau wanita pertama menerima pengiktirafan besar itu.

Tan Sri Zaharah Wanita Kedua Pegang Jawatan HAKIM BESAR MALAYA, Berpengalaman Lebih 40 Tahun Dalam Bidang Perundangan!

Hadir menyaksikan majlis angkat sumpah berkenaan ialah Peguam Negara Tommy Thomas, wakil Bar Malaysia, Roger Chan dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop.

Tan Sri Zaharah dilahirkan di Johor Bahru pada 17 November 1952 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Pontian sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru. Beliau kemudian menyambung pengajian di Universiti Malaya dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.

Kerjaya beliau dalam bidang perundangan bermula pada 26 April 1977 sebagai Pegawai Undang-undang (Sangkut) sebelum dilantik dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Majistret Melaka Tengah dan Majistret Litar di Alor Gajah, Jasin, Masjid Tanah dan Merlimau.

IKLAN

Selain itu beliau juga menjawat jawatan Penolong Kanan Penggubal Undang-undang  Parlimen dari 1 Januari 1981 hingga 15 Februari 1992 di Seksyen Bahasa Melayu dan Bahasa Kebangsaan di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara.

Tan Sri Zaharah kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Harta Intelek di Bahagian Harta Intelek Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 16 Februari  hingga 15 Julai 1992. Beliau seterusnya menjadi Timbalan Penggubal Undang-undang Parlimen (ll) pada 16 Julai 1992 hingga 31 Mac 1994 sebelum dilantik Penasihat Undang-undang Negeri Selangor.

IKLAN

Sementara itu pada 1 Ogos 1996 beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya dan memulakan perkhidmatan sebagai hakim mahkamah atasan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam. Terdahulu, Tan Sri Zaharah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April 2010 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari 2015.

Sumber: Sinar Harian

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI