Pengalaman bercerai yang pernah dilalui pasangan suami isteri bukan penamat untuk mereka membina semula kehidupan berumah tangga yang lebih bahagia. Ini kerana pasangan yang pernah bercerai dan berkahwin kali kedua mahupun kali ketiga disifatkan sebagai lebih bertanggungjawab, bertolerasi dan bijak mengawal keadaan jika berlaku pergeseran dalam rumah tangga.
Perceraian sememangnya tidak digalakkan namun tragedi yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dalam memberikan ruang kepada suami atau isteri terlibat bermuhasabah diri. Bagi Farah Asyikin Zulkifli, pertemuan dengan pasangan hidup yang baharu pada perkahwinan kali ketiga membuatkan dirinya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kisah duka sebelum ini berulang kembali.

IKLAN

Perkahwinan Ketiga Bawa Bahagia, Farah Asyikin & Raja Iskandar Temui Titik Keserasian
Farah Asyikin, mendirikan rumahtangga buat kali ketiga bersama pasangannya, Raja Iskandar Raja Muktharuddin kira-kira dua tahun yang lalu. Manakala perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua buat Raja Iskandar. Bagi Farah, urusan jodoh merupakan rahsia Allah dan selepas melakukan solat istiqarah, hatinya terbuka untuk menerima kehadiran seorang lelaki bergelar suami setelah gagal dalam dua perkahwinan terdahulu.

Perkahwinan Ketiga Bawa Bahagia, Farah Asyikin & Raja Iskandar Temui Titik Keserasian

Setelah dua tahun melayari bahtera perkahwinan bersama suami tersayang, isteri kepada pengurus di sebuah syarikat minyak dan gas ini ternyata amat bersyukur dipertemukan dengan Raja Iskandar yang disifatkan sebagai seorang lelaki yang terlalu istimewa dan mempunyai hati yang baik.
“Alhamdulillah tahun ini sudah dua tahun saya menjadi isteri kepada suami, Raja Iskandar. Saya amat bersyukur dipertemukan dengan seorang lelaki yang baik serta menjadi pelindung untuk diri saya. Dia menunjukkan sifat yang penuh tanggungjawab, kasih sayang dan keikhlasan menerima saya sebagai isteri. Tetapi apa yang lebih utama, dia menerima dan menyayangi anak saya, Uwais seperti anaknya sendiri,” ujar Farah Asyikin yang amat menyanjung tinggi keperibadian yang dimiliki oleh suami tersayang.
Ditanya mengenai detik perkenalan dengan suami tersayang, menurut Farah dia mengenali suaminya ketika terbabit dalam kerja amal bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dengan program kemanusiaan, Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakaf).
“Secara kebetulan, kawan saya mengajak suami menyertai kerja amal ketika kami melancarkan kumpulan Addin Gaza bagi mengutip dana membantu penduduk. Saya menguruskan aktiviti kumpulan itu dan sejak itu, kami mula berkenalan,” katanya mengimbas kembali detik perkenalan dengan suami tersayang.
“Saya bersyukur dipertemukan dengannya. Dia banyak membantu saya untuk terus kekal istiqamah. Sebagai manusia biasa, saya tidak selalu sempurna, namun dia sentiasa membimbing saya untuk menjadi insan yang lebih baik.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya mengenali suami setahun sebelum dia mengambil keputusan untuk melamar saya. Malah saya bersyukur suami sempat mengenali arwah bapa yang meninggal dunia pada bulan dia melamar saya dan hubungan kami direstui keluarga. Arwah bapa dan keluarga begitu menyayanginya,” katanya yang bersyukur menjalani kehidupan sebagai isteri.

IKLAN

Perkahwinan Ketiga Bawa Bahagia, Farah Asyikin & Raja Iskandar Temui Titik Keserasian

IKLAN

Ketika ditanya mengenai perasaannya setelah gagal dalam perkahwinan terdahulu dan kembali bergelar isteri kira-kira dua tahun yang lalu, Farah ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila Raja Iskandar menyatakan hasrat untuk memperisterikan dirinya kira-kira dua tahun yang lalu.
“Saya akui agak gementar untuk kembali berumah tangga tetapi perasaan kali ini sangat berbeza. Pertemuan dengannya membuatkan saya berasa seperti kali pertama bernikah. Sifat penyayang dan bertanggungjawab Raja Iskandar membuatkan saya serta anak berasa selamat dan disayangi,” katanya.

Perkahwinan Ketiga Bawa Bahagia, Farah Asyikin & Raja Iskandar Temui Titik Keserasian
Tambah Farah lagi, perkahwinan yang dibina di atas asas agama yang kukuh juga menjadi pegangan untuk dirinya terus istiqamah dalam usaha menjadi isteri terbaik buat suami tersayang serta ibu terbaik untuk anak tunggal kesayangannya.
“Saya tidak nafikan banyak cabaran yang harus saya dan suami lalu dalam perkahwinan ini memandangkan suami sudah biasa menduda selama 18 tahun dan mempunyai anak-anak yang sudah meningkat dewasa.Tetapi kami belajar untuk sepakat dan bersatu dalam melayari rumahtangga. Kami masih dalam proses mempelajari antara satu sama lain kerana perkahwinan bukan sahaja melibatkan saya dan suami, malah ia turut melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak. Kami sering mengingatkan antara satu sama lain dan menjadikan solat sebagai cara untuk kami berkongsi rasa,” ujar Farah yang percaya setiap apa yang berlaku di dalam kehidupan merupakan hikmah yang dikurniakan olehNya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Farah mahupun Raja Iskandar sempat menitipkan rasa bahawa rumahtangga yang dibina berlandaskan rasa cinta terhadap Yang Maha Esa adalah antara tiang yang mampu mengukuhkan rumahtangga yang dibina. Farah dan Raja Iskandar amat menitik beratkan soal keseimbangan dan tolak ansur memandangkan ia merupakan antara kunci kebahagiaan yang nyata tidak boleh disangkalkan lagi.
“Alhamdulillah, Raja Iskandar menjadi pembimbing saya dan anak agar terus istiqamah. Doakan semoga rumahtangga kami kekal hingga ke akhir hayat,” ujar Farah seraya mengakhiri perbualan.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI