Perkongsian peribadi Nadir Al-Nuri, satu-satunya rakyat Malaysia di wilayah Palestin berkenaan kontroversi dengan Ustaz Ebit Lew semalam, menjawab pelbagai persoalan yang viral sejak menjelangnya sambutan Aidiladha 1442H.
Tidak ingin terus ‘memanaskan’ keadaan, Majalah Nona terpanggil untuk berkongsi satu kisah menyedihkan tentang Nadir Al-Nuri, yang menjadi asbab perjuangannya sebagai aktivis kemanusiaan di sana.
Tapi sebelum itu, mungkin tidak ramai mengenali siapa Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. Berusia 34 tahun, Nadir sebenarnya dilahirkan di Scotland ketika bapanya membuat PhD di sana.
Bapa Nadir iaitu Prof Dr Kamaruzaman Yusoff merupakan seorang ahli akademik terkenal di UTM. Dia dibesarkan dengan asas pendidikan yang kuat dimana Nadir sendiri adalah bekas mahasiswa Asasi Sains UM, graduan Ijazah Sains Marin (UMS), Diploma Syariah dan Bahasa Arab (Kolej Antarabangsa Damsyik) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Universiti Islam Gaza).
Nadir bersama ibu bapa dan adiknya, Ahmad Musa Al-Nuwayri
Keluarga Prof Dr Kamaruzaman Yusoff
Prof Dr Kamaruzaman Yusoff
Sebagai orang terpelajar dan lahir dalam sebuah keluarga berada, secara zahirnya pasti kita menyangka… Untuk apalah dia bersusah-payah tinggal di sana? Apa lagi berjuang sebagai satu-satunya warga Malaysia di Palestin sewaktu perang melanda?
Bertubi-tubi pertanyaan demi pertanyaan bermain di fikiran. Nadir tenang menjawab pertanyaan saya melalui kiriman voice note, termasuk kisah sedih yang menimpa isterinya, Reem Al-Minawi.
Nadir Al-Nuri dibesarkan di Bangi
Keramahan Nadir disenangi penduduk di sana
“Mengenang hari-hari di Gaza, kadangkala saya pelik sendiri bagaimana ianya dilalui. Elektrik yang datang seadanya, sempadan yang dibuka mengikut selera, keluarga yang terpisah bertahun lamanya.
Ads
Mungkin, di dunia yang ini, untuk saya sudah ada suratan. Suratan bahawa hidup saya untuk mengusap kepala anak yatim dan menyuap sang miskin, untuk berkorban usia membebas Palestin, dan bersedia, pada bila-bila masa, kalau ada ikhlas dan istiqamah, diseru Allah bertemu-Nya dengan tangan ibu dan ayah dipimpin.” Nadir Al-Nuri
“Hai, saya Haura’. Saya anak Melayu pertama yang lahir di Palestin. Comel tak saya?”
Kecomelan Haura’ mencuit hati
Nadir dan Haura’
MERANGKAK UNTUK PULANG
Ads
Saya rasa ini kali pertama saya bercerita kepada khalayak tentang satu pengalaman yang sangat menyedihkan saya.
Sebagaimana yang kalian tahu, untuk masuk ke Gaza ni kita perlu melepasi sempadan Rafah. Ia terletak di antara bumi Gaza dan Mesir. Ia tidak selalu dibuka kerana dikawal dengan keizinan kerajaan Mesir dan Israel. Kadang-kadang 3 bulan atau 4 bulan sekali.
Jadi beberapa tahun lepas, saya bersama isteri dan anak sulung (Naeem) telah bermusafir ke Malaysia. Sekembalinya dari tanah air, dan dalam perjalanan untuk sampai ke Gaza semula, di Mesir, keadaan di sempadan Rafah ini seolah-olah keadaan di padang Mahsyar.
Berkumpul ribuan penduduk yang cuba untuk masuk ke Gaza dari pintu sempadan ni, dengan pengurusannya yang sangat-sangat buruk dan tidak sistematik.
Kadang-kadang kena tunggu 2 hari.
Masa ketika itu isteri saya menunggu dalam keadaan sedang mengandung, anak yang pertama (sepatutnya). Sebabkan keadaan itu, pihak kerajaan Mesir rasa kesian dan dia tak dibenarkan masuk cara biasa tapi dibuka sebuah pintu yang kecil.
Itu pun selepas beberapa jam menunggu dalam keadaan yang penat dan terpaksa berdiri untuk dibenarkan masuk.
Ads
Kami pun masuk melalui bawah pagar tu, merangkak perlahan-lahan untuk sampai kepada isteri. Alhamdulilah selepas penat yang begitu panjang, kami akhirnya dapat masuk ke Gaza semula.
Tapi selepas dua minggu, suatu hari isteri saya tiba-tiba meraung kesakitan. diikuti pendarahan dan ketulan-ketulan janin yang hancur. Kami dapat tahu kami kehilangan anak yang pertama kerana kepenatan yang melampau dalam tempoh dua minggu lepas, atau setepatnya ketika di sempadan tu.
Itulah pengalaman peribadi yang sangat menyedihkan, susah payah yang terpaksa kami tempuhi untuk masuk ke Gaza dalam keadaan yang sangat menyusahkan hingga anak yang dikandung pun terkorban.
KEBAIKAN BERPANJANGAN
Nadir Al-Nuri menjalin hubungan baik dengan kerajaan Palestin
Banyak kerjasama terjalin bagi membangunkan semula negera yang menempatkan Masjid Al-Aqsa itu
Setiap sumbangan yang disalurkan ke Persatuan Cinta Gaza Malaysia akan diagih-agihkan kepada mangsa di Palestin secepat mungkin. Nadir sendiri yang menjadi wakil penyumbang, dengan harapan dapat membantu mereka yang terjejas teruk di Gaza.
“Selepas perang, kita mahu memastikan bantuan penyediaan tempat tidur, sumber air, tandas sementara tak sampai ke tahap pusat pelarian.
Kita perlukan jumlah yang lebih besar selepas perang untuk pastikan rumah, hospital dan sekolah yang telah dibom dapat dibangunkan semula selepas perang.” Nadir Al-Nuri
Kasih sayang terhadap isteri dan anak-anaknya di Palestin membuatkan semangat Nadir lebih berkobar-kobar ingin memberikan yang terbaik buat semua pihak. Semoga segala usaha ‘frontliner bantuan kemanusiaan’ Malaysia ini dipermudahkan serta mendapat pembalasan terindah daripada Allah Taala.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hari ini genaplah usia sosok isteri negarawan, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mencapai 95 tahun. Suatu angka yang besar, sarat dengan pelbagai kisah hidup bersejarah sebagai isteri kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu kian bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Pada usia 95 tahun, beliau juga masih mempunyai memori yang bagus.
Pelbagai peristiwa bersejarah termasuk nama dan tarikh-tarikh penting masih tidak luput dari ingatan Tun Hasmah. Beliau bercerita seperti seorang diari yang bergerak. Ingatannya begitu kuat, mungkin ada rahsia yang diamalkan Tun Hasmah?
Jawab beliau, “Yang pertama sekali tu, kita kena buat sesuatu berulang-ulang, khasnya pemikiran. Selalu saya berdoa, ‘Waraskanlah pemikiran hamba’ sebab ini penting. Kalau kita tak berulang-ulang buat sesuatu tu, kita lupa.
Khasnya sekarang ni saya tak nampak. Jadi saya kena hafal untuk masukkan dalam memori. Contohnya lagu-lagu. Kalau lagu-lagu yang saya ingat, bolehlah saya ingat tapi kalau yang baru, kenalah kita dengar lagu tu berkali-kali supaya otak kita tu meresap,” dedah Tun Hasmah sambil mengakui bermain muzik dapat menajamkan fikiran.
MAHIR GESEK BIOLA
Mendengar alunan gesekan biola ‘The Moon Represents My Heart’ ini begitu syahdu rasanya. Mungkin kerana melihat wajah bonda Tun Hasmah, wanita tertua yang bermain biola pada usia bakal mencecah 95.
Bercerita kepada Nona, rupa-rupanya banyak sejarah di sebalik kemahiran beliau menggesek biola. Kemahiran muzik pun salah satu cara bijak untuk kuatkan ingatan.
Cerita Tun Hasmah, “Saya mula bermain biola pada usia 16 tahun. Masa tu zaman Jepun tiga tahun je. Disebabkan tidak bersekolah dan tiada apa yang boleh dibuat, ayah suruh saya main biola dan kakak-kakak main piano.
Lepas British masuk balik, saya terus sambung pengajian di Singapura. Sejak itu saya tak pernah main biola, dan biola itu pun dah dicuri dari rumah mak.
Selepas saya balik semula ke tanah air, bekerja, berkahwin, pindah ke Alor Setar dan ada famili semua, saya tak usik sikit pun biola. Cuma sesekali saya main keyboard bila ada masa.
Penulis, Norzalina Mohd Alias, bersama Tun HasmahTeam Nona ketika bertamu ke kediaman Tun Hasmah
Apabila Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau kena jelajah satu negara untuk terangkan tentang Kod Raja-Raja. Ketika di Melaka, mereka beri sebuah biola kepada beliau kerana ingatkan Tun pandai main biola. Tapi biola tu cuma dibawa pulang dan disimpan di pejabatnya.
Begitu juga artis Wah Idris pun pernah beri saya sebuah gitar, siap dengan tanda tangannya… pun saya simpan. Dapat trompet, simpan.
Sehinggalah pada tahun 2012, Petronas Philharmonic Orchestra (MPO) datang kepada saya yang pada masa tu Penaung MPO. Mereka nak adakan sebuah konsert kebajikan.
Masa tu saya boleh menyanyi koir je. Tapi Tun cakap pada saya, buatlah yang ganjil sikit dan orang tak pernah nampak. Saya pun fikir.
Jadi okay, BIOLA!
Bayangkan jarak 70 tahun, baru saya mula balik (main biola) sampai sekarang.
Bahu dan tengkuk saya ni pun baru rasa sakit-sakit. Doktor tak bagi saya main biola seketika,
Setiap hari Selasa, guru muzik akan datang mengajar di rumah saya. Winnie, guru saya, dia seorang yang tegas. Saya pernah cakap, ‘Winnie, pelajar baru ni dah tua.’ Dia tanya saya balik, ‘How old?’ dan saya jawab, 86. Dia pun diam tapi setuju mahu mengajar saya,” cerita Tun Hasmah.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Syabas Fynn Jamal kerana berjaya menjadi contoh anak yang baik. Walau sudah berstatus isteri dan ibu, tanggungjawab sebagai anak perempuan juga tetap tidak dilupakan. Kalau bukan anak sendiri yang membahagiakan kedua-dua orang tua, siapa lagi, bukan? Apa-apa pun moga segala kebaikan yang dilakukan Fynn Jamal ini memberi pengajaran buat semua agar sentiasa menghargai jasa pengorbanan ibu bapa.
Berangkat ke Eropah lima hari lalu, ia merupakan kali pertama Fynn atau nama sebenarnya Nur Affina Yanti Jamalludin ke sana bersama bapa tersayang. Tanpa ditemani suami dan anak-anak, selebriti yang terkenal dengan penulisan penuh puitis tersebut menganggap percutian istimewa ini adalah peluang terbaik baginya untuk menggembirakan hati insan yang banyak mendidik dan membesarkan dirinya selama ini.
Pemergian Fynn Jamal ke beberapa pelosok Eropah ini antara lain turut bertujuan untuk memenuhi undangan majlis-majlis ilmu yang diadakan di sana. Mengembara dari Birmingham, Glasgow, London dan Paris, ke mana saja destinasi hentian Fynn turut ditemani bapanya.
Malah, menerusi foto-foto yang dikongsikan bekas guru Bahasa Inggeris di Kazakhstan ini … jelas terpancar sinar bahagia dua beranak. Tidak kira ketika mereka sedang makan, dalam kereta api, melawat tempat tumpuan pelancong hinggalah masa di lapangan terbang, Fynn setia memotretkan wajah kesayangannya itu. Terserlah niat ikhlas seorang anak yang sanggup melakukan apa saja demi meraih senyuman bapanya yang berusia 67 tahun.
Selain berkongsi cerita-cerita lucu dan pengalaman mereka berdua sepanjang berada di bumi Eropah, Fynn tanpa melahirkan rasa bersyukur kerana hasrat untuk mencurah bakti kepada bapanya diperkenankan Allah, mendapat keizinan suami dan dipermudahkan.
“Semoga Allah izinkan pengalaman pertama abah di Paris untuk jadi yang manis-manis sahaja. Manchester, Glasgow, Birmingham, London were supernice to him. Hopefully this trip to France would do the same. Because he deserves all happiness in the world.
I make du’a as Allah promised the du’a of a musafir has no hijab. Semoga kalian semua berkesempatan meraikan ibu bapa kalian jua. Dengan rezeki yang halal, dengan niat yang terjaga. Amin.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berkali-kali ‘jatuh’ mengejar impian akhirnya kini kejayaan menjadi milik Shielawati Ahmad. Berbekalkan minat dan keazaman tinggi untuk berjaya meskipun sedar dirinya tidak memiliki ilmu yang luas dalam dunia perniagaan membuatkan Shiela cekal menghadapi cabaran mendatang.
Tidak hanya diuji dengan kesulitan dalam kerjaya malah wanita yang berasal dari Sungai Petani ini juga terpaksa akur apabila perkahwinan yang dibina tidak berkekalan.
Dilahirkan pada 9 Januari 1984, Sheila yang merupakan pengasas jenama kosmetik Sheiko tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti namun berjaya menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan baik.
Berkongsi kisah kehidupan, anak bongsu daripada lima beradik ini tanpa berselindung mendedahkan, “Saya ialah anak kepada bekas komando. Mak saya seorang suri rumah. Sebelum ada perniagaan sendiri, saya pernah bekerja dalam pelbagai bidang. Dari kerja di kilang, saya juga pernah jadi promoter produk kecantikan dan jadi model untuk sebuah agensi di Pulau Pinang sampai tahun 2004.
Pada tahun 2006, saya memutuskan untuk berkahwin dan menjadi suri rumah saja. Asalnya niat nak berniaga datang bila bisnes suami ‘jatuh’ dan waktu itu saya mula dengan membuka butik pengantin di Sungai Petani. Alhamdulillah, bisnes pengantin saya makin maju dan dapat sambutan.
Ini kerana saya selalu pergi ke kursus-kursus make up dan ramai yang suka dengan hasil mekap saya. Selain berusaha sendiri, adik-beradik pun banyak yang bantu untuk kembangkan lagi perniagaan dan mereka turut bagi modal.”
Langit tidak selalunya cerah. Pada saat perniagaannya sedang rancak dan membuahkan hasil, Shiela diuji dengan masalah rumah tangga. Buntu mencari jalan penyelesaian, mereka akhirnya berpisah. “Tahun 2012, saya bercerai dan menjadi ibu tunggal kepada seorang anak. Tak mahu terus menoleh belakang, pada tahun 2013 saya dapat peluang untuk menyertai bisnes jualan langsung atau MLM.
Komited dengan kerjaya itu, saya akhirnya berjaya jadi jutawan wanita pertama dalam syarikat berkenaan. Ketika dalam MLM, saya sangat terinspirasi dengan kejayaan jutawan-jutawan yang ada. Lebih-lebih lagi bila saya dapat tahu mereka meraih pendapatan 6 angka sebulan. Jadi, dari situ saya cuba belajar macam mana cara untuk ‘tarik’ orang untuk masuk ke bidang ini.”
Kira-kira lima tahun mempelajari selok-belok dunia bisnes jualan langsung, Shiela mengambil langkah berani dengan menubuhkan syarikat MLM miliknya sekitar tahun 2018. “Saya cuba tubuhkan syarikat MLM sendiri yang dikenali sebagai Beyond3. Waktu itu Beyond3 mendapat sambutan daripada orang ramai.
Tapi hendak dijadikan cerita, ada yang telah membuat aduan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai syarikat kami yang beroperasi tanpa lesen. Hakikatnya, saya sudahpun memohon lesen tersebut dan kerana tak mahu berpanjangan, ia diarahkan tutup segera,” dedah Shiela yang akur menamatkan operasi Beyond3 pada Oktober 2019.
Ujar Shiela, pada awal tahun 2020 semua wang simpanannya sudah habis digunakan. Namun dek kerana minat mendalam terhadap bisnes, Shiela kembali mengatur strategi untuk memulakan perniagaan trading.
Berbekalkan semangat baru, Shiela teruja mengeluarkan produk kosmetik miliknya sendiri iaitu Shieko Cosmetics pada 1 Mac 2020. Kali ini dia turut diduga dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19. “Saya sekali lagi dilanda ujian kerana mula berniaga ketika negara sedang dalam tempoh PKP 1.0. Shieko Cosmetics ditubuhkan betul-betul saat pandemik Covid-19 menular di Malaysia.
Hanya mampu berserah, saya perlu kuatkan semangat dan segera bangkit selepas tamat PKP tersebut. Alhamdulillah, saya dapat buka stokis negeri di seluruh negara. Seramai hampir 150 stokis daerah dan 200 agen berjaya dilahirkan hanya dalam tempoh lima bulan saja.
Hasil perniagaan Shieko Cosmetics, saya dapat beli sebuah kereta MPV untuk memudahkan urusan logistik barang niaga dan dalam masa enam bulan, saya dapat mendirikan pejabat urusan Shieko Cosmetics di Sungai Petani.”
Shieko Cosmetics yang pada mulanya menghasilkan rangkaian penjagaan kulit yang terdiri daripada pencuci muka, serum, Booster whitening dan pelindungan UV kini turut mempunyai 11 produk selepas lebih setahun berada di pasaran. Antaranya termasuk lipmatte, minuman kopi 3 jenis, supplement, produk pelangsingan dan losyen.
Tambahnya lagi, “Walau ketika pandemik melanda saya terpaksa berniaga hanya dari rumah tapi saya berjaya lakukan semua ini dan kejar impian. Niat saya, jika diizinkan bisnes ini terus berkembang maju… saya mahu mendirikan rumah anak yatim dan masjid.
Saya juga mahu melihat Shieko Cosmetics melahirkan lebih ramai usahawan berjaya di samping membantu orang ramai keluar daripada kesusahan hidup. InshaAllah.”
Moga perkongsian pengalaman dan kisah kehidupan Shiela dapat dijadikan suntikan semangat untuk lebih ramai wanita berjaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!