Hidayah milik Allah SWT dan ‘keistimewaan’ itu diberikan kepada sesiapa saja yang disukai. Sesungguhnya, Nurul Alis Aidil Akhbar atau lebih dikenali sebagai Kiki seorang wanita yang sangat beruntung. Ketika usia menghampiri 36 tahun, dia diberikan hidayah untuk menjadi muslimah yang lebih baik daripada sebelumnya. Tiada istilah terlewat atau terlalu tua untuk berubah kerana pintu taubat sentiasa terbuka luas buat hambaNya yang beriman dan bersyukur.

Mula mengenali personaliti berjiwa lasak ini sejak dia masih bergelar penyampai berita, Kiki yang pernah penulis kenal suatu ketika dulu masih individu sama yang sarat dengan perwatakan ‘warna-warni’… peramah, lincah dan cukup menghormati orang sekeliling. Meskipun penampilannya hari ini kian berubah ke arah yang lebih sopan, namun itu bukan penghalang kepada ibu empat anak ini terus menceburi bidang diminati.

IKLAN

Kagum dengan gaya muslimah Kiki, tanpa berselindung wanita ini tenang membuka kisah hati tatkala ditanya tentang kisah penghijrahan dirinya. “Saya dah pakai tudung lepas setahun melahirkan anak bongsu sekitar tahun 2012. Masa start pakai pun takda sesiapa tahu. Sama macam saya mula lumba kereta dulu.

“Nak Bina Tempat Selesa Di ‘SANA’… Saya Kena Mula Dari Sekarang,” NURUL ALIS Kongsi Kisah Penghijrahan

“Nak Bina Tempat Selesa Di ‘SANA’… Saya Kena Mula Dari Sekarang,” NURUL ALIS Kongsi Kisah Penghijrahan

Dalam simpanan memang ada beli beberapa helai tudung tapi waktu itu fesyen untuk wanita bertudung tak meriah macam sekarang. Dalam hati ini dah terdetik, ‘Saya perlu berubah.’ Masa mula pakai dan lilit tudung tu memang ada rasa pelik sedikit. Tapi saya puas hati.

Bagi saya, semua benda yang saya nak buat di dunia ni semuanya dah tercapai. Last time, saya teringin sangat nak bawa kapal terbang dan alhamdulillah impian tu dah tercapai. Nak masuk racing pun saya dah berjaya buat. Bila masuk dalam bidang media pula, macam-macam kerja dah pernah saya lalui. Dari belakang tabir sampailah depan kamera, semua saya dah cuba.”

Walaupun semua yang diinginkan sudah berada dalam genggaman, namun Kiki akui dirinya masih belum puas. Terasa ada sesuatu yang besar belum berjaya dipenuhi. Jenuh dia mencari… akhirnya wanita 43 tahun ini mempunyai jawapan yang dicari selama ini. Kebetulan, anak lelaki sulungnya waktu itu sedang melalui perubahan fasa remaja dan sebagai ibu dia harus menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak.

“Setelah puas mencari bahan rujukan untuk mendidik anak-anak, saya dapat semua penyelesaiannya daripada Al-Quran. Bila kita dah tak ada lagi dalam dunia… inilah yang menjadi penyelamat. Kita selalu takut dengan azab di akhirat tapi sebenarnya di dalam kubur pun kita dah kena seksa. So the only thing yang dapat tolong kita semua adalah Al-Quran.

“Nak Bina Tempat Selesa Di ‘SANA’… Saya Kena Mula Dari Sekarang,” NURUL ALIS Kongsi Kisah Penghijrahan

Saya mula mengaji Al-Quran dengan bacaan yang betul selama empat tahun. Saya belajar tajwid, masuk kelas mengaji dan macam-macam ilmu saya dapat termasuk amalan zikir yang patut dibaca ketika sedang sedih atau sebagainya. Lagipun guru agama saya seorang yang tegas. Setiap apa yang agama kita larang kita buat, dia akan jelaskan sebabnya satu persatu.

Jujur saya katakan, saya berubah untuk memakai tudung bukan dari dorongan sesiapa. Semuanya dari diri sendiri. Tambahan pula saya jenis orang yang suka mencuba benda baru. Saya nak bina tempat saya ‘di sana’ (akhirat) jadi saya perlu mula perbaiki diri dari sekarang. Masa untuk berubah sentiasa terbuka. Kita tak tahu nasib kita esok. Mungkin esok ajal kita dah tiba,” ujar Kiki.

IKLAN

Dari riak wajahnya jelas mencerminkan kepercayaan dan kesungguhannya terhadap Islam dan mempelajari segala ilmu yang diperoleh untuk dibawa sebagai bekalan ke akhir dunia kelak. “I love to talk about death. Ada kawan-kawan rasa pelik, tapi saya selalu tegaskan yang mahu atau tidak, ia adalah perkara yang kita kena lalui. Kena bersedia. Orang rasa takut sebab mereka tak bersedia.

“Nak Bina Tempat Selesa Di ‘SANA’… Saya Kena Mula Dari Sekarang,” NURUL ALIS Kongsi Kisah Penghijrahan

Bila cakap pasal mati, kita akan buat lebih banyak kebaikan dan persiapkan diri. Sebab itu saya nak prepare myself. Nak berubah kena kuat. Waktu awal pakai tudung dulu pun saya berdepan dengan macam-macam cabaran. Dari penganjur… bahkan kawan-kawan pun ramai yang lari. Biasalah, kebanyakannya berpendapat perubahan saya ni tak sesuai dengan imej motorsport yang saya ceburi.

Bila kawan-kawan mula jauhkan diri, saya tak fikir yang negatif sebaliknya saya selesa ambil pendekatan yang mereka bukan ditakdirkan untuk jadi kawan saya. Maybe saya boleh dapat better friends. Sedih memang ada tapi dengan sokongan my mother, my sister … itu sudah memadai.

IKLAN

Apa yang saya buat hanyalah untuk mencari jalan yang diredaiNya. Tak ada kena-mengena dengan mereka pun. Kalau mereka rasa dengan penampilan ini boleh jejaskan persahabatan kami, saya tak boleh buat apa-apa. Saya cuma nak buat sesuatu yang boleh buat saya rasa lebih baik.”

Harapan Nona agar Kiki terus istiqamah mendepani apa juga cabaran. Bila hati dan jiwa kita berpegang kuat kepada ajaran Dia Yang Satu, inshaAllah segalanya dipermudahkan.

 

Kredit foto: Instagram Kiki Joule

 

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI