Nak Cemerlang Di Tempat Kerja? 8 Trik Ini ‘Senjata” Wujudkan Zon Selesa Di Tempat Kerja

Apabila negara sudah beralih ke fasa endemik, kebanyakan pejabat sudah memulakan pengoperasian penuh di pejabat manakala hanya sebilangan kecil masih mengguna pakai konsep bekerja dari rumah.

Apabila sudah selesa bekerja dari rumah, mungkin agak ‘liat’ dan ‘janggal’ apabila terpaksa bekerja dari pejabat bukan?

Buat anda yang bekerja di pejabat, meja kerja adalah zon peribadi kedua selepas rumah. Sudahkah meja kerja anda terasa seperti rumah kesayangan yang menenangkan? Jika belum, 8 trik ini boleh dimanfaatkan untuk mengembalikan mood bekerja pasca endemik ini. Selamat mencuba!


Koleksi Kesayangan
Barangan kesayangan atau salah satu koleksi terbaik mampu menghilangkan tekanan dek kerana bebanan kerja yang menimbun. Ambil masa untuk menatap koleksi kesayangan anda. Ia mampu meningkatkan semangat bekerja.

Foto Insan Tersayang
Perasaan sayang terhadap keluarga sentiasa menjadi sumber motivasi yang terbaik. Susun koleksi foto kenangan bersama keluarga seperti percutian di sudut meja kerja. Atau, anda boleh menampalnya sahaja di papan tanda.

Quotes
Paling bernilai ialah kata-kata yang diungkapkan oleh mereka yang berpengalaman seperti ibu bapa. Catatkan kata-kata tersebut dan tampal. Anda juga boleh menjadi lebih kreatif dengan menjadikannya sebagai wallpaper desktop komputer di meja kerja.

Post-It Notes
Selain berfungsi sebagai peringatan untuk tugas-tugas dan deadline, lembaran post-it juga boleh dikreatifkan dengan dekorasi yang mempunyai pelbagai variasi warna. Kumpulkan beberapa klasifikasi tugasan ke dalam warna-warna tertentu dan atur bersama-sama foto insan tersayang.

Papan Tulis
Dua jenis papan tulis yang sesuai digunakan di meja kerja ialah papan styrofoam dan papan putih. Papan styrofoam boleh dicantikkan dengan kertas dinding. Pilih warna post-it yang sepadan dan kontra dengan kertas dinding. Kertas dinding juga boleh digunakan untuk dekorasi penyekat antara meja kerja dengan kerja meja lain.

Tanaman Pasu Mini
Tanaman mampu memberikan impak yang segar pada minda. Meletakkan sebuah pasu mini berisi tanaman hijau tanpa bunga boleh memberi kesan umpama membawa ‘halaman rumah’ ke ruang kerja. Kajian menunjukkan ia mampu meningkatkan mood serta produktiviti kerja.


Kebersihan Dan Kekemasan
Letak berbagai-bagai item dekoratif secara teratur. Letakkan bakul sampah berhampiran meja kerja dan pastikan ia sentiasa berada dalam keadaan bersih. Atur ritma kerja mengikut keutamaan dan deadline. Letakkan barang-barang yang tidak digunakan ke dalam rak atau laci. Jadikan meja kerja sebersih dan sekemas yang mungkin.

Warna
Menurut kajian, warna terang dan lembut boleh menjadikan seseorang lebih tenang. Nuansa Scandinavian hitam putih juga boleh diterapkan. Letak aksen warna dengan memilih peralatan menulis berwarna cerah seperti kuning atau merah. Menambah tanaman atau bunga boleh juga dilakukan bagi memberikan nuansa warna pada meja kerja.

IKLAN
Share