Di sebalik kelembutan Datuk Seri Siti Nurhaliza rupa-rupanya tersimpan sifat nakal dan suka mengusik. Bagi mereka yang sudah lama mengenali isteri Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini, pasti sudah lali dengan perangai nakal beliau. Lebih-lebih lagi dalam kalangan keluarga dan adik-beradik. Malah Siti Norsaida dan Siti Nursairah turut menyifatkan Datuk Seri Siti antara adik-beradik yang kuat menyakat.
Berpeluang mengimbas kembali memori adik-beradik popular ini ketika masih kecil dan tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang… ada kisah lucu yang disampaikan mereka bertiga. Tertawa saat ditanya pengalaman mereka membantu ibu tersayang menjual kuih, Saida selaku kakak sulung memberitahu dia berperanan membuat kuih. Sairah pula bertindak sebagai ‘runner’ sementara Datuk Seri Siti diberi tugas untuk menjual.
Datuk Seri Siti di samping ibu tersayangBersama mak, Sairah dan Saida
Memberi gambaran jelas tentang situasi mereka tiga beradik waktu itu, Siti lantas menyusun bicara. “Kak Saida dia memang malu. Dia akan cakap tak nak! Tak nak! So, keje dia adalah kelim-kelim, goreng kuih dan kemas. Dah siap semua kuih tu nanti Siti akan ambil dan pergi jual. Mak akan kejut kami pukul 5 pagi dan kami akan seret bantal dengan selimut dekat dapur sebab mengantuk sangat. Selalu kuih mak alhamdulillah habis. Apa saja mak buat alhamdulillah habis.”
Meskipun terpaksa menahan mata dan bersusah-payah namun ia bukan kenangan pahit buat Datuk Seri Siti, Saida mahupun Sairah. Sebaliknya, kenangan tersebut juga tanpa sedar telah mengajar mereka mengenai erti kehidupan sebenar.
Ads
“Siti pernah ada pengalaman menjual dekat pasar malam. Itulah pertama kali Siti belajar berkomunikasi dengan orang. Kalau tidak, Siti akan jadi pemalu sampai bila-bila. Bila ada komunikasi tu, kita boleh bina kita punya keyakinan.”
Ads
Ujarnya, sepanjang menjual kuih di kawasan rumah yang didiami anggota polis ia adalah kenangan yang tidak ternilai. “Kalau masa kuih masih banyak, volume dia tu kuat. Tapi kalau dah tinggal sikit, saya perlahankanlah volume tu. Pernah saya jerit masa kuih dah habis, iyalah… rasa gembira. Kebetulan saya tengah lalu di berek polis bujang dan nak dijadikan cerita ada pulak yang tahan sebab nak beli kuih.
Terus Siti cakap “Alamak, kuih dah habis bang.” Dia marah sambil kata, “Habis tu kenapa kau jerit!” Sejak hari tu Siti dah tak berani jerit kalau kuih dah habis.”
Ads
Tambah ibu Aafiyah ini lagi, “Pengalaman ini takkan dapat di mana-mana dan pengalaman inilah yang mengajar Siti dan adik-beradik macam mana hendak dapatkan rezeki. Susah kita macam mana, kita kena sentiasa bersyukurlah dengan pengorbanan yang mak buat.”
Buat penggemar kopi, pasti sangat familiar dengan tagline Kopi Kapal Api – Betul-Betul Kaw. Berasal dari Indonesia, jenama kopi legenda ini kembali diperkatakan apabila ia tiba-tiba dikhabarkan berdepan masalah kewangan yang serius.
Diasaskan oleh Go Soe Loet, bisnes Kopi Kapal Api dimajukan oleh Soedomo Mergonoto, anak lelaki Go kelahiran Surabaya.
Beliau merupakan CEO PT Kapal Api Global yang memulakan bisnes Kopi Kapal Api dari rumah ibu bapanya, yang terlebih dahulu mengusahakan bisnes kopi sejak tahun 1927.
Nama Kapal Api diambil daripada kenangan bapa Soedomo iaitu Go Soe Loet yang menaiki pengangkutan tersebut dari negara asalnya di Fujian, China ke Indonesia.
Pada saat itu, Go Soe Loet bersama dua saudaranya iaitu Go Bie Tjong dan Go Soe Bie menaiki kapal api belayar ke Surabaya pada tahun 20-an, seterusnya menjual serbuk kopi dari rumah ke rumah.
Melihat ayahnya yang bekerja keras mencari rezeki, Soedomo turut sama membantu mengayuh basikal ke Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya untuk menjual kopi.
Beliau pun belajar berniaga sedikit demi sedikit dari pengalaman membantu ayahnya itu sehinggalah timbul keberanian mengiklankan kopi jualannya pada tahun 1978.
Seiring berjalannya waktu, pengasas Kopi Kapal Api mengambil keputusan mengiklankan produknya di televisyen. Dengan penampilan seorang pelawak, kopi tersebut mula meraih perhatian dan dikenali secara meluas sehingga ia dieksport ke Malaysia, Arab Saudi, Hong Kong dan Taiwan.
Bermula tahun 2009, jenama ini terus melebarkan sayap ke tahap global khususnya Asia Tenggara. Dengan aroma kopi yang harum dan rasanya yang mantap, penggemar kopi begitu terpikat dengan Kopi Kapal Api yang kaya dengan sejarah tersendiri.
Kini perusahaan Kopi Kapal Api dimajukan oleh anak Soedomo iaitu Christeven Mergonoto yang mempunyai kelulusan tinggi dari Amerika Syarikat. Christeven merupakan anak sulung Soedomo daripada empat adik-beradik.
Meskipun keluarga usahawan kopi legenda Indonesia ini sedang terpalit kontroversi hebat, namun jenama Kopi Kapal Api tetap menjadi pilihan ramai dan segar dalam fikiran. Yang penting, kekayaan yang dikumpul oleh keluarga kopi ini sudah mampu diwariskan pada generasi mereka!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perlantikan sebagai Profesor Perubatan Diabetes dan Metabolik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Nottingham, United Kingdom bukan sahaja kemuncak kejayaan peribadi Prof Dr Iskandar Idris malah melakar sejarah buat Malaysia.
Ini membuktikan anak Malaysia mampu bersaing di universiti bertaraf antarabangsa dan menjadi pendorong serta sumber inspirasi kepada rakyat negara ini khususnya golongan muda.
Tidak menyangka akan dipilih menyandang jawatan tersebut pada Januari 2022, Dr Iskandar, 52, menyifatkan pencapaian itu berkat usaha dan penat lelahnya selama ini sekali gus menjadi pengiktirafan tertinggi buat dirinya di persada antarabangsa.
Universiti Nottingham tersenarai dalam Kumpulan Russell yang terdiri daripada 24 universiti penyelidikan awam berprestij di United Kingdom dan ditubuhkan pada tahun 1798, kemudian menjadi kolej Universiti pada tahun 1881.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati memandangkan Universiti Nottingham sangat kompetitif. Bukan satu laluan mudah untuk seseorang itu dilantik menyandang jawatan ini. Saya juga turut menjalankan penyelidikan dalam rawatan baharu untuk penghidap diabetes,” katanya.
Menurut Dr Iskandar, beliau meluangkan 50 peratus daripada masanya untuk memberi perhatian kepada kajian dan penyelidikan manakala sebahagian lagi dihabiskan dengan melakukan rutin klinikal.
Selain persaingan sengit, beliau turut diuji dengan pelbagai cabaran dalam proses menjalankan penyelidikan serta kajian di perantauan.
Menurut anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini, kekangan kewangan, masalah mendapatkan dana, beban tugas selain pada masa sama terikat dengan tanggungjawab pekerjaan hakiki antara isu yang harus ditangani secara bijak.
Ditanya mengenai pemilihan bidang diabetes untuk diterokai berbanding bidang lain, Dr Iskandar menjelaskan penyakit itu dilihat semakin meningkat dan mengancam masyarakat di negara ini.
“Faktor kedua ialah pengkhususan dalam diabetes turut membabitkan endokrinologi iaitu kajian tentang kelenjar endokrin dan rembesan hormon, jadi bidang ini turut membabitkan banyak penyakit lain.
“Misalnya diabetes turut mencakupi aspek kesihatan mata, buah pinggang, jantung, kaki selain melibatkan pelbagai golongan pesakit kanak-kanak, wanita hamil selain kami turut melakukan praktis perubatan am,” jelasnya.
GIAT JALAN PENYELIDIKAN Mendapat sokongan padu daripada bapanya, bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Idris Abdul Rauf, beliau menyatakan isterinya, Hayley Hobbs Iskandar serta tiga anak mereka Zakary (17), Luq (14) dan Erica (12) turut menjadi tulang belakang utama.
“Bapa saya insan paling banyak memberi dorongan dan inspirasi untuk saya terus berjaya dalam bidang yang diceburi. Beliau amat menyokong anak-anaknya untuk terus belajar dan mendalami ilmu.
“Isteri sangat memahami minat dan kerjaya saya memandangkan beliau juga dalam dunia perubatan,” katanya.
Isteri Dr Iskandar merupakan tenaga pengajar di Universiti Nottingham dan jururawat di Jabatan Kardiologi.
Berkongsi perjalanan kehidupannya, Dr Iskandar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya, sebelum bersekolah menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
“Pada tahun 1988, saya melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham dalam jurusan perubatan. Pada tahun 1994 saya menamatkan pengajian dan bergelar doktor.
“Selain itu saya turut menjalankan penyelidikan Eksperimen Farmakologi Kebolehtelapan Endothelial dan Rintangan Insulin ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Nottingham, United Kingdom dari tahun 2000 hingga 2002,” katanya.
Dr Iskandar menjalani latihan perubatan am di Birmingham dan menamatkan latihan kepakaran dalam bidang Diabetes, Endokrinologi dan Perubatan Am pada tahun 2004.
Beliau juga Pakar Perunding Kehormat di Hospital Pengajar Derby, pakar perubatan utama Institut Bariatrik dan Metabolik East Midlands, England di Hospital Pengajar Derby selain menganggotai Persatuan Pakar Perubatan Pengkhususan dalam Obesiti UK (APSO-UK).
Kini, beliau giat meneruskan penyelidikan dalam bidang terapeutik dan pemakanan dalam aspek obesiti, metabolisme otot dan komplikasi vaskular diabetes.
Dr Iskandar turut berperanan sebagai Pengetua Penyiasat Majlis Penyelidikan Perubatan (MRC) Pusat Penyelidikan Arthritis United Kingdom untuk Kumpulan Penyelidikan Penuaan Muskuloskeletal dan Perubatan Vaskular.
Di samping hasil kajian dan penyelidikannya diterbitkan secara meluas dalam bidang diabetes, obesiti dan farmakologi, beliau turut aktif menyampaikan syarahan dalam aspek klinikal dan penyelidikan di dalam dan luar negara.
Menyentuh mengenai diabetes di Malaysia, Dr Iskandar berpendapat rakyat negara ini memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap penyakit tidak berjangkit itu.
Namun katanya, kekangan kos perubatan yang tinggi terutama bagi membiayai kos rawatan baharu memberikan sedikit kesulitan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik.
“Diabetes berlaku di mana-mana sahaja sama ada di England atau Malaysia, sehingga memaksa (sektor) penjagaan kesihatan bekerja keras dalam merawat pesakit diabetes terutama yang berisiko tinggi,” jelasnya.
Dr Iskandar menambah, faktor genetik termasuk trend tertentu melibatkan etnik berbeza seperti Melayu, Cina serta India, diet harian, gaya hidup dan kurang bersenam adalah antara penyebab kepada diabetes.
“Masyarakat perlu melakukan langkah pencegahan dengan menjalani gaya hidup sihat selain mengawal pengambilan makanan yang mengandungi lemak dan karbohidrat mengikut keperluan tubuh.
“Paling penting, pesakit melakukan rutin pemeriksaan seperti mata, buah pinggang dan jantung sebagai langkah berjaga-jaga dalam berdepan risiko komplikasi penyakit yang berkait rapat dengan diabetes,” katanya.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehilangan insan yang tersayang akibat penyakit kanser kira-kira enam bulan yang lalu masih segar di ingatan Juliana Amirullah. Suami tercinta, Mohd Fauzi Mansor yang dinikahi 10 tahun yang lalu menghembuskan nafas terakhir setelah hampir tiga tahun berjuang menentang penyakit kanser. Ketabahan wanita tabah ini berkongsi pengalaman menjadi pendorong utama buat si suami berjuang untuk menentang penyakit kanser wajar dijadikan inspirasi.
Biarpun kadang-kala rebah dalam usaian semangat yang sedikit luntur, namun ia tidak ditunjukkan di hadapan suami tersayang semata-mata ingin memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi untuk dirinya berhadapan dengan situasi getir. Namun begitu, naluri wanita meronta-ronta mencari solusi terbaik untuk memastikan insan tersayang dapat sembuh seperti sedia kala.
“Kehidupan saya berubah sebaik sahaja arwah disahkan menghidap kanser secara tiba-tiba kira-kira tiga tahun yang lalu. Saya tidak menduga arwah yang kelihatan sihat tiba-tiba diuji dengan penyakit yang amat ditakuti oleh semua orang. Sebagai isteri, saya mengambil alih tanggungjawab menjaga arwah sepenuh masa kerana dia kerap kali dimasukkan ke hospital. Saya juga sanggup berhenti kerja untuk membolehkan tumpuan menjaga dirinya diberikan sepenuhnya.”
Bercerita lanjut mengenai bagaimana dia melihat arwah melawan kesakitan dalam menjalani proses rawatan, Juliana berkata sepanjang arwah ditempatkan di wad, pelbagai jenis rawatan kimoterapi terpaksa dilalui namun nasib tidak banyak menyebelahinya apabila kesemua rawatan tersebut gagal membunuh sel kanser.
“Hancur luluh hati apabila doktor memberitahu sel kanser yang menyerang arwah amat aktif. Arwah juga turut melalui rawatan radioterapi sehinggakan melakukan prosedur transplan. Namun begitu, keadaan kesihatan arwah semakin merosot dan kritikal selama 21 hari,” ujar Juliana yang menanggung sendiri kos rawatan suami tersayang.
Masih segar diingatannya momen sedih yang dikongsi bersama arwah apabila mereka diberikan kaunseling oleh doktor apabila arwah disahkan mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja untuk hidup. Ketika itu, seluruh dunia menjadi gelap gelita buat Juliana mahupun Fauzi.
“Enam bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, doktor memberitahu dia hanya mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja. Ini merupakan tamparan hebat buat saya dan arwah. Tetapi arwah amat tenang. Dia menerima perkhabaran tersebut dengan reda dan doktor meminta saya agar lebih berhati-hati dalam segala pertuturan dan percakapan bersama arwah.
Bayangkan, seseorang yang sudah tahu anggaran tarikh kematiannya. Jadi, kami menghabiskan masa dengan mengenang kembali keindahan apabila arwah banyak menasihati saya agar redha dengan ujian ini. Ternyata, arwah menghembuskan nafas terakhirnya seperti anggaran dokotr setelah tidak sedarkan diri selama dua hari.” tutur Juliana sambil menyeka mata yang berkaca.
Tahun ini, sebagai Ramadan pertama tanpa suami tersayang, hanya titipan doa dapat mengiringi perjalanan harinya semoga rohnya dicucuri rahmat. Segala kenangan indah hampir 10 tahun bergelar isteri tersimpul rapi di kotak pemikirannya dan menjadikan momen Ramadan bersama arwah sebagai sesuatu yang manis untuk dikenang. Hanya doa mengiringi perjalanan Ramadan dan Syawal tahun ini sebagai tanda kasih seorang isteri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!