Penghayatan watak sebagai Puteri oleh Uqasha Senrose dan Noah Farizam oleh Fikry Ibrahim dalam drama Hero Seorang Cinderella begitu membekas di hujung sanubari peminat.
Biarpun sudah beberapa ketika berlalu, namun masih ramai yang merindui serta rajin mengikuti perkembangan mereka menerusi laman sosial. Bakat yang dimiliki oleh dua pelakon muda ini dikatakan setaraf aktor Awie dan heroinnya, Erra Fazira.
Ketika pasangan ini hadir ke sesi fotografi cover Nona, kedua-duanya jelas menunjukkan keserasian dan rasa ‘selesa’ apabila berdekatan satu sama lain. Bahasa anak muda, masing-masing kuat menyakat dan sesekali terlihat Uqasha menarik muncung pabila gurauan Fikry terdengar agak ‘kasar’.
Walau bagaimanapun, keletah Uqasha, 25, dan Fikry, 23, cukup menghidupkan suasana. Usikan mereka menyimpan seribu satu persoalan yang hanya dapat dirungkai oleh empunya badan. Puas ditanya, namun akhirnya Nona akur pada jawapan bahawa jodoh adalah sesuatu yang menjadi rahsia Allah SWT. Sama-samalah kita mendoakan yang baik-baik buat mereka.
Fikry Ibrahim
Biarpun Fikry lahir dari sebuah program realiti komedi, namun bakatnya sebagai pelakon lebih menyerlah berbanding pelawak. Malah, drama pertama lakonannya, Hero Seorang Cinderella mendapat pujian di kalangan peminat yang menjangkakan Fikry boleh pergi lebih jauh dalam bidang lakonan suatu hari nanti.
“Alhamdulillah, tidak sia-sia saya menghadiri uji bakat yang dijalankan seterusnya terpilih memegang watak yang sedikit sebanyak telah melonjakkan nama dalam industri ini. Kepercayaan itu sebagai refleksi bahawa karyawan seni menerima dan percaya akan kebolehan saya.
Ads
Saya anggap ini sebagai amanah dan perlu untuk mencabar diri. Walaupun bergelar pelakon, saya tidak akan meminggirkan komedi kerana ia juga membuka ruang untuk diri saya dalam bidang ini.
Itulah antara sebab mengapa saya turut melibatkan diri dalam bidang pengacaraan,” ujar Fikry yang menganggap kehadirannya dalam industri memberi warna dan nafas baru dalam industri.
Selain bergiat dalam bidang seni, Fikry tidak pernah memadamkan hasrat untuk menggenggam segulung ijazah sebagai motivasi diri untuk dirinya.
Dia yang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Pengiklanan di Fakulti Komunikasi Massa dan Pengajian Media berharap dapat menghabiskan pengajiannya tidak lama lagi setelah menangguhkan sementara pembelajarannya demi memberi fokus terhadap kerjaya baharunya ini.
Ads
Uqasha Senrose
Tidak berkedip mata penulis melihat kulit wajahnya yang mulus dan berbayang rona kemerah-merahan. Menyelongkar rejim kecantikan gadis ini, Uqasha menekankan bahawa dia tidak mempunyai rahsia tertentu dalam penjagaan kecantikan kecuali amalan-amalan berikut.
“Memandangkan saya sering bersolek tebal, sama ada di set penggambaran mahupun sesi fotografi, jadi saya amat prihatin tentang soal penjagaan wajah.
Ads
Saya amat mementingkan rawatan facial kerana kulit harus dibersihkan dengan betul untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang baik,” ujar Uqasha yang menjadikan rawatan wajah di spa sebagai aktiviti wajib setiap bulan.
Uqasha turut melahirkan rasa syukur kerana mempunyai adik-beradik yang turut bergiat aktif dalam bidang seni. Bermula dengan Nelydia kemudian dirinya, diikuti Raysha.
“Saya happy kerana kami memilih kerjaya yang sama. Jangan tak tahu kami mempunyai hubungan kekeluargaan yang utuh dan saling menyokong kerjaya satu sama lain.
Tiada istilah membandingkan bakat masing-masing tetapi bagi kami, sesiapa yang berjaya sudah semestinya membanggakan. Yang penting, kami sentiasa ada bila diperlukan,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan. Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai yang suka membaca tetapi sejauh mana minat membaca ini meresap ke jiwa golongan pertengahan? Atau kita sekadar ‘memaksa’ anak membaca sedangkan mak ayah sibuk dengan gajet di tangan!
Puan Emmy Hermina Nathasia binti Abdul Latif atau mesra dengan sapaan Emmy menerangkan, tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. Ini berita baik!
“Kajian interim tahun 2017 oleh Perpustakaan Negara Malaysia telah mendapati bahawa tabiat membaca rakyat Malaysia telah meningkat dari dua buah buku pada kajian tahun 1996 ke purata sebanyak 15 ke 20 buah buku setahun.”
Malah menurut Emmy lagi, senarai buku bahasa Malaysia yang mengungguli carta kebanyakannya bacaan umum ringan seperti genre travelog, motivasi, misteri, dan Islam, dengan genre cinta menggungguli takhta.
Sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Emmy yang juga seorang aktivis buku mula menyintai buku sejak kecil lagi.
“Penerapan minat membaca dimulakan di rumah. Ibu saya sendiri merupakan seorang pembaca tegar. Saya dan adik dibesarkan dikelilingi buku, kami ada Book Corner sendiri di dalam bilik tidur. Ibu juga akan membacakan buku kepada kami sebelum tidur.
Saya percaya, kedua-dua faktor ini berjaya memupuk minat membaca saya sehingga menjadi pencinta buku yang aktif menyokong dan mempromosi kegiatan perbukuan, pada hari ini.
Saya mula membaca Reader’s Digest pada usia 10 tahun, dan buku-buku Danielle Steel, Sidney Sheldon dan novel-novel cinta Mills and Boons di usia 11 tahun. Dan sejak dari itu, saya tidak berhenti.”
Emmy juga turut berkongsi tips untuk golongan middle age mulakan tabiat membaca.
Membaca e-book.
E-book merupakan medium buku elektronik yang boleh digunakan untuk membaca buku pada bila-bila masa dengan menggunakan telefon pintar. Di samping harga yang murah, anda juga dapat menjimatkan masa dengan membeli secara dalam talian dan tak perlu ke kedai buku.
Tetapkan masa
Nasihat yang sering diberikan untuk memulakan dan memupuk disiplin membaca ialah dengan membaca 20 minit sehari. Waktu terbaik membaca ialah pada waktu pagi, kerana minda kita segar. Boleh juga ikut kesesuaian masa anda.
Pilih bacaan ringan dan santai
Pilih bahan bacaan yang anda minat Jika anda minat memasak, mulakan dengan membaca buku berkaitan genre masakan. Jika anda seorang ibu, mungkin anda mahu mulakan dengan bacaan mengenai tip keibubapaan. Jika anda seorang usahawan wanita, anda mungkin mahu membaca buku mengenai pengurusan kewangan dan perniagaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hidup dalam sebuah negara yang aman daripada peperangan wajar disyukuri dengan penuh nikmat. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam pelarian akibat peperangan yang melanda tempat tumpah darah.
Hidup dalam ketakutan dan sentiasa was-was dan tidak mempercayai orang di sekeliling. Lebih sedih lagi apabila melihat kanak-kanak terbiar tanpa menikmati keriangan seperti kanak-kanak yang lain dan tertinggal dalam pelajaran.
Sebagai seorang wanita yang prihatin terhadap keamanan negara, telah membawa Syafinaz Yunus bangun melakukan misi kemanusiaan di negara yang sedang bergolak.
Tidak mahu menoleh ke belakang kaki yang melangkah akan terus melangkah sehingga ke penghujung yang belum pasti masanya. “Terlalu banyak peranan yang boleh dimainkan oleh seorang wanita dalam setiap misi kemanusiaan.
Saya sendiri melalui pengalaman di Syria melihat seorang ibu sedang mengusung jenazah bayinya. Juga seorang ibu muda yang menangis kerana bayinya kelaparan akibat 3 hari tidak makan dan minum.
Selain daripada bantuan makanan, apa yang mereka paling perlukan adalah sokongan moral seorang wanita lain kepada mereka,” jelas Syafinaz yang bertugas di stesen TV Al-Hijrah sebagai pembaca berita dan pengacara program Analisis.
“Penderitaan yang mereka dilalui membuatkan ada yang berputus asa dengan kehidupan yang dilalui. Justeru mereka sangat perlukan motivasi daripada wanita lain untuk lebih kuat dalam meneruskan kehidupan.
Itu juga yang sering saya lakukan sewaktu di lapangan di negara perang. Saya akan peluk mereka, comfort them and tell them that they’re our inspiration. Kekuatan mereka adalah sumber inspirasi kita wanita seluruh dunia. Jadi mereka perlu terus kuat menghadapi ujian Allah ini. Itulah peranan seorang wanita kepada wanita lain lebih-lebih lagi di negara yang sedang bergolak,” tutur Syafinaz lembut.
Menurut Syafinaz, pegangannya ketika sedang melakukan misi kemanusiaan adalah kerana Allah SWT semata-mata. “Ini adalah sumbangan kecil saya sebagai ‘bekalan’ untuk dibawa pulang kelak.
Ini sahaja yang dapat saya bantu sebagai saudara seislam yang sedang dalam kesusahan. Selain itu ‘pedang’ yang boleh saya hunus untuk melawan pihak yang menzalimi mereka iaitu melalui penulisan. Melalui penulisan saya boleh menyampaikan kisah yang sebenar buat rakyat Malaysia.
Sehingga ke hari ini saya memperjuangkan dan membantu sehabis daya saudara Islam yang sedang dizalimi seperti di Palestin, Rakhine dan Syria.
Kalau diizinkan Allah SWT saya mahu membantu membebaskan Al-Aqsa daripada cengkaman mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata Syafinaz bersungguh-sungguh. Tambah Syafinaz yang dapat dipelajarinya sepanjang terlibat dengan misi kemanusiaan adalah menjadi hamba yang bersyukur ketika menerusi misi-misi bersama Aman Palestin ke negara-negara perang.
Bersyukur dilahirkan sebagai umat Islam, bersyukur masih tinggal di negara yang aman, bersyukur dengan apa sahaja kurniaan-Nya tidak kira ujian mahupun rezeki. Namun, kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan masih kurang. Masyarakat kita lebih gemar dengan isu sensasi berbanding ambil tahu apa yang sedang berlaku pada dunia Islam.
Menyingkap pengalaman ibu kepada seorang anak lelaki ini dalam misi kemanusiaan, “Pengalaman yang paling tak mampu saya lupakan apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Kem Yarmouk di Syria.
Melihat puluhan ribu saudara Islam dizalimi dan saudara Islam iaitu rakyat Palestin seakan mayat hidup kerana kebuluran disebabkan sekatan tentera Bashar Al-Assad. Dalam hati ketika itu bertanya, dimanakah perginya nilai kemanusiaan?
Nasihat saya jika ada wanita lain yang turut sama mahu meneruskan usaha kemanusiaan, teruskan niat murni itu. Banyakkan membaca isu-isu dunia dan kemanusiaan.
Dapatkan informasi berkenaan misi kemanusiaan di NGO yang diyakini kredibilitinya seperti Aman Palestin dan lain-lain,” tutur Syafinaz penuh semangat mengakhiri perbualan kami pada petang itu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Memang benar, isteri Dato’ Jovian Mandagie ini persis seorang puteri. Selain dikurniakan raut wajah yang cantik, peribadi Datin Nina Sabrina Ismail Sabri mampu membuatkan sesiapa saja tertawan dengan persona dirinya. Tutur bicaranya penuh kelembutan.. tidak kurang juga tingkah laku yang sangat menyenangkan. Masih ingat lagi keramahan anak bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini tatkala menjalani sesi fotografi Nona Edisi Platinum 3 Dekad, lima tahun lalu.
Disifatkan seorang yang bercita-cita tinggi dan berjiwa penyayang.. Datin Nina kini bahagia melayari alam perkahwinan bersama pereka fesyen ternama negara. Lebih-lebih lagi sejak kehadiran puteri sulungnya, Jeanelle Nika Mandagie. Dalam temu bual bersama Datin Nina pada tahun 2013 itu nyata ia mencerminkan siapa dirinya yang sebenar.
Saya sangat sukakan kanak-kanak dan pernah menjadi sukarelawan untuk menjaga kanak-kanak ketika masih menuntut di University of Queensland, Australia. Rasa kagum terhadap perwatakan seorang puteri yang memiliki sikap penyayang dan cantik menyebabkan saya gemar berpenampilan anggun dan menawan persis seorang puteri.
Mantera fesyen?
Owh, I love colorful and pastel fancy things! Saya gemar mengenakan gaya feminin dengan memakai gaun berbanding pants. Dalam bergaya tidak perlu mengenakan banyak aksesori kerana bagi saya, less is more.
Aktiviti di waktu senggang?
Membaca, memasak dan saya suka ‘Google’ bermacam-macam benda untuk mengetahui sesuatu perkara itu dengan lebih lanjut. Resipi masakan saya tentunya masakan tradisional seperti ayam masak merah dan sambal belacan. Tambahan pula, Jovian sangat sukakan masakan tersebut.
Sumber inspirasi anda dalam dunia fesyen…
Saya kagum dengan personaliti Olivia Palermo dan Kate Middleton yang kelihatan sangat bergaya dan classy.
Untuk kasut, saya sukakan jenama Prada dan Salvatore Ferragamo. Bagi aksesori dan beg tangan pula, Chanel menjadi pilihan. Sementara busana, Jovian Mandagie.
‘Chic’ membawa maksud …
young, fresh and edgy.
Destinasi percutian idaman?
Beach! Apabila bercuti di pantai atau pulau, saya tidak perlu bermekap atau mengusung gajet-gajet canggih. Cukup menenangkan! Destinasi percutian pilihan saya tentunya di Vanuatu Island, Bali, Phuket, Pulau Perhentian dan Pulau Tioman.
Individu paling anda kagumi?
Tentunya kedua ibu bapa saya. Saya begitu kagum dengan semangat papa terutama dalam urusan perniagaan. Beliau bijak menguruskan perniagaan dan komited dengan pekerjaan yang dilakukan. Sementara sikap rendah diri dan penyayang mama dalam mendidik kami adik-beradik dan menjaga keluarga menjadi contoh terbaik yang wajar diteladani.
Dalam temu bual itu juga penulis ada bertanyakan tentang impian Datin Nina dan katanya beliau berhasrat untuk mengusahakan salun kecantikan rambut yang dikhaskan untuk golongan wanita berhijab. Tidak hanya pekerja salun bahkan pelanggan juga terdiri daripada kaum wanita sahaja di samping menggunakan hanya produk organik yang mendapat pengiktirafan sijil halal.
Kini, selepas lima tahun berlalu.. kakak kepada penyanyi Dafi ini membuktikan ia bukan angan-angan kosong. Berkat kerja keras dan sokongan padu keluarga, Datin Nina berjaya mengusahakan salun yang diimpikan iaitu Capello by Nina di empat lokasi strategik iaitu Shah Alam, Bangi, Ampang dan Johor. Luar biasa semangat yang ada dalam diri isteri Dato’ Jovian ini. Beliau sememangnya lambang inspirasi kepada seluruh wanita di Malaysia!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Memiliki raut wajah persis ‘barbie’ bermata bundar serta pandai memasak dengan gaya bersahaja itulah keistimewaan dimiliki oleh pempengaruh dan Chef viral dari Lubnan, Abir El Saghir...