Nona berkongsi coretan yang pernah dibuat sewaktu arwah Datuk Wira Dr. Maznah Hamid masih bersama kita. Pemergiannya masih dirasai dan beliau di antara wanita inspirasi terbaik buat semua wanita Malaysia. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman di sana, amin.
==========================
Saya melontar kata ini untuk pembaca jadikannya sebagai inspirasi, motivasi dan kesedaran kepada semua. Jika saya boleh, anda semua boleh! Tidak kira anda anak penoreh getah, pesawah padi atau siapa sahaja dari mana asal usulnya, paling penting apa akhirnya… anda boleh menjadi diri sendiri!
Saya tidak mahu wanita merasa mudah tertindas, merana ikut emosi hingga hidup tidak teratur dan tidak bangun semula. Saya tidak mahu mereka mengalah dan harus bangun kembali berjuang supaya hidup ini dihadapi dengan kuat biarpun pelbagai cabaran. Kita perlu enjoy menikmati kehidupan dan hadapi cabaran untuk menjadi lebih kuat.
Saya orang kampung, bila ibu bapa bercerai saya dijaga oleh nenek sebagai cucu sulung. Saya juga dibesarkan dalam sawah bendang dalam suasana yang sememangnya tidak mengenali erti kekayaan atau kemewahan.
Tetapi mungkin bagi sesetengah manusia, keadaan begini akan membuatkannya menjadi lemah dan pasrah. Namun saya jadikan keadaan ini sebagai satu rahmat untuk bangun berjuang, kebal dan never say die attitude akhirnya.
Dahulunya saya seorang yang sensitif, takut, pemalu dan tidak bijaksana. Saya seorang gadis biasa dengan kebiasaannya. Tetapi saya berikrar tidak mahu jadi sebegitu selamanya. Saya ingin mencipta 3K… kejayaan, kekayaan dan kesenangan.
Ads
Itulah yang saya rasa perlu ubah segala-galanya. Saya keluar dari kepompong tersebut, lalu menjelajah dunia untuk belajar untuk memperoleh pelbagai ilmu bagi mencapai kejayaan.
Pada peringkat permulaan saya mula berniaga di awal 80-an, saya gagal untuk mendapat sebarang bantuan kewangan kerana saya seorang wanita. Kata mereka, “Maznah, you salah pilih bidang! Perempuan mana boleh buat perniagaan yang melibatkan senjata api dan sebagainya. Ini bukan mainan wanita, lelaki sahaja boleh berjaya.
Tetapi saya berdoa kepada Allah untuk memberi kekuatan kerana saya ingin buktikan kemampuan untuk melakukannya. Kerana saya percaya wanita seperti saya mempunyai nilai kejujuran, kepercayaan dan amanah yang tinggi. Inilah asas paling utama dalam pelaksanaan apa sahaja bidang perniagaan sekalipun selain daripada kuat untuk menghadapi cabaran.
Perniagaan saya ini melibatkan mereka yang ternama dan kaya raya, menjaga keselamatan secara menyeluruh. Bukan mudah untuk melalui semua keadaan ini… tapi saya boleh berjaya daripada lelaki. Wanita kadang-kadang tidak faham keistimewaan dan keunikan yang Tuhan berikan. Kekuatan dalaman yang diberikan tidak digunakan dan diperkuatkan.
Wanita hanya melihat dia lemah fizikal atau beremosi mengikut perasaan, seharusnya wanita perlu cabar untuk menghadapi pelbagai cabaran di abad ke-21 ini. Seperti saya, saya ingin menjadi wanita luar biasa, tidak mahu sama sekali dikatakan lemah, putus asa, ‘mandom’ dan ‘loy’ – loghat bahasa orang utara Kedah.
Ads
‘The best man for the job is a woman’ kata-kata ini setiap pagi saya baca. Ini kerana perniagaan utama saya ialah keselamatan, senjata api, kereta kebal dan monitor dengan penggunaan sistem teknologi terkini. Jadi orang ingat wanita hanya sesuai buat perniagaan tradisi seperti memasak, mengandam, menjahit dan sebagainya.
Saya ingin menjadi seorang yang luar biasa. Lelaki yang berada dalam dunia kerjaya wanita, akan menjadi hebat dan begitu juga wanita apabila berada dalam dunia lelaki, dia akan menjadi perkasa dan bertambah powerful. Jadi wahai wanita, keluarlah daripada bidang tradisi mu.
Saya bersyukur kepada Allah SWT telah mengubah keperibadian saya dahulu menjadi wanita perkasa disebabkan perniagaan saya ini. Sekarang karakter berani dengan kekuatan dalaman yang kuat, mempunyai personaliti yang tidak mudah ‘terancam’ tetapi ‘mengancam’. Tidak mudah tergugat tetapi menggugat.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri perubahan ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dicapai. Ia tidak datang bergolek begitu sahaja, ia memerlukan latihan demi latihan, mengharungi pelbagai cabaran dan godaan yang tidak henti tanpa noktahnya.
Ads
Sebab itu saya percaya kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Kita haruslah berupaya untuk membuat persediaan yang rapi untuk mempunyai keupayaan mengharungi segala-galanya.
Namun saya tidak menafikan, sebagai wanita biasa, saya juga tidak terlepas untuk meluahkan perasaan sedih dengan menangis. Tetapi saya melatih diri saya untuk jangan menangis seperti dahulu, kecuali untuk perkara yang membantu saya. Suami dan anak-anak saya, kalau saya menangis semua akan menjadi takut kerana saya jarang menangis.
Tetapi kadangkala saya menangis mungkin kerana saya gembira bukan kecewa. Andai kata musibah berlaku dan kalau saya ingin menangis, saya akan masuk bilik kecil dan menangis sekurang-kurangnya sejam. Selepas itu saya akan menarik nafas dan memohon pada Tuhan untuk memberi saya kekuatan dan keluar untuk menghadapi cabaran dunia ini.
Jelas untuk menjadi wanita perkasa bukan mudah sebenarnya. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan saya seorang suami terbaik, life partner, business partner and sleeping partner yang cukup memahami serta menghormati keistimewaan serta keunikan saya.
Dan alhamdulillah, saya kini mengecap segala keseimbangan ini. Saya bersyukur perjalanan hidup saya sempurna sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan nenda yang terbaik… Dan kini saya ingin kembalikan segala-galanya kepada masyarakat untuk berjaya bersama. KR
DATUK WIRA DR. MAZNAH HAMID
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Faktor usia bukanlah halangan buat selebriti jelita, Vanidah Imran menggenggam Master. Kejayaan beliau turut sekaligus membuktikan bahawa anak seni juga berpelajaran tinggi.
Merupakan bekas naib juara Miss World Malaysia 1993, Vanidah yang mesra disapa Vee, baru saja menerima Sarjana Seni Persembahan (Drama) di Istiadat Konvokesyen ke-61 Universiti Malaya pada Mac lepas.
Beliau sebelum ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dari Universiti Terbuka Malaysia (2015).
Berasal dari Pulau Pinang, kejayaan Vee yang merupakan ibu kepada Mikail dan Maryam cukup menyuntik inspirasi. Bahkan beliau turut menjadikan semangat bapanya, Haji Imran Abdullah sebagai motivasi untuk terus belajar ke tahap tertinggi.
Lebih sebak bila membaca perkongsian Vee tentang hasrat Abahnya yang tak kesampaian menggenggam Master dulu…
Vee di sisi Abah kesayangannya
“Saya tujukan kejayaan ini buat cinta pertama saya, iaitu Abah saya sendiri, Haji Imran Abdullah @ Indiran Koothayan.
Abah pernah melanjutkan pengajian beliau ke peringkat Master sewaktu arwah ibu jatuh sakit dan dikesan menghidap kanser.
Ketika itu, saya baru berumur 3 tahun sementara adik baru berumur 10 bulan ketika arwah ibu meninggal dunia. Abah terpaksa bekerja sambil menjaga kami dua beradik (dengan bantuan nenek).
Dalam masa yang sama Abah sangat bersedih dengan kehilangan isteri tercinta. Akhirnya beliau tidak dapat meneruskan pengajian tersebut.
Abah, hari ini saya di sini kerana kasih sayang, restu, redha dan berkat doa Abah untuk saya. Terima kasih kerana menjadi sangat tegas tentang menjaga maruah diri dan keluarga.
Semoga Allah SWT panjangkan umur dan berikan kesihatan yang baik kepada Abah hingga akhir perjalanan saya ke peringkat PhD. InshaAllah… Amin, saya sayang Abah.
Untuk anak-anakku, Mikail dan Maryam… Kejayaan, malah hidup itu sendiri, tidak akan bermakna tanpa kehadiran kalian berdua. Hidup ibu akan sentiasa bersama anak-anak ibu, no matter how big you get.” Vanidah Imran
Insan-insan penting dalam hidup Vee
Bersama anak-anak, Mikail dan Maryam
Siapa bilang anak seni tak mementingkan pelajaran? Kini bekas pelajar Convent Bukit Nanas itu membuktikan tanggapan negatif masyarakat silap.
Selepas melalui pelbagai halangan, kejayaan Vee menggenggam Master pastinya menjadi kenangan termanis buat pelakon, model dan pengacara terkenal itu.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor pada 5 hingga 13 Mac melibatkan lebih 7,000 graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2021.
Selain itu beliau juga membuktikan bahawa usia bukanlah halangan untuk terus belajar ke peringkat tertinggi. Vee kini berusia 49 tahun tapi masih yakin akan kemampuan dirinya menambah ilmu pengetahuan.
Bercakap tentang rancangan masa depan, Vee yang kini masih aktif berlakon merancang untuk meneruskan pengajian beliau ke peringkat lebih tinggi sekaligus memberi manfaat kepada orang lain. Syabas!
Tampil sebagai cameo dalam filem ‘Padang Kertas’
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Unik dan klasik sungguh nama anak-anak Dahlia Nadirah ni. Bukan hanya sedap disebut, ia sebenarnya memiliki maksud tersendiri. Dahlia yang merupakan isteri kepada penyanyi dan pencipta lagu terkenal tanahair, MonoloQue, adalah pengasas kepada SO.LEK Cosmetics.
“Semasa dikurniakan anak pertama iaitu Anggerik Dang Jelita, LoQue inginkan satu ‘tema’ untuk nama anak. Disebabkan nama saya Dahlia iaitu nama bunga maka LoQue tanya ok tak nama anak pun bunga? Saya setuju.
Kami memang suka nama klasik kerana ia represent our personalities. Kami juga obses dengan unsur klasik dan tradisional yang menggambarkan betapa indahnya Bahasa Melayu. Nama Anggerik Dang Jelita seratus peratus diilhamkan oleh LoQue. Kami rasa nama tu sangat cantik dan sempurna. Anggerik yang kini berusia 6 tahun seorang yang sangat matang, artistik, peramah dan thoughtful.
Seroja Dewi Harapan pula, ketika saya mengandungkanya kami pernah ‘kehilangan’ Seroja dua kali. Kali pertama, degup jantungnya tak dapat dikesan. Kali kedua, kandungan disahkan ‘gugur’. Namun semasa saya ke hospital untuk membuat procedure tiba-tiba degup jantungnya dapat dikesan! Kami amat bersyukur dan gembira. Memandangkan banyak cabaran sepanjang mengandungkan Seroja maka kami selitkan perkataan Harapan dalam namanya. Seroja sangat individualistic, protective dan berani. Usianya kini 2 tahun.
Sementara Melor Pelangi Merdu yang baru 42 hari dilahirkan, LoQue dah tak nak letak nama bunga. Tapi saya terfikir kalau nama lain, dah besar nanti takut dia persoalkan kenapa nama saya dan kakak-kakak nama bunga tapi namanya lain. Akhirnya kami memilih Melor Pelangi Merdu.”
PERNAH DIEJEK & DIKUTUK
“Selama ni memang banyak komen yang tanya kenapa nama anak pelik? Kenapa panjang sangat? Kebanyakannya dari keluarga dan teman-teman sendiri. Setiap kali media siarkan nama anak, pasti ada yang mengejek dan mengutuk. Paling banyak dikomen nama anak ketiga kerana banyak media, blog publish article about her name and it went viral.
Saya sangat terguris dan sedih pada mulanya tapi LoQue hanya ketawa dan cakap jangan layan. Katanya orang yang banyak masa mengutuk orang lain sebab nak tutup kekurangan diri sendiri. So saya berhenti membaca dan unfollow the accounts and gossip sites.”
LEBIH TERBUKA DIDIK ANAK-ANAK
“Kami sangat terbuka dengan anak anak. Cara kami bergaul dan bercakap dengan mereka pun macam orang dewasa. Mereka bebas bersuara dan bertanya tentang apa jua perkara. Bila mereka menangis atau marah, kami akan duduk dan tanya kenapa mereka begitu. We feel like open communication is the best. Kami juga dedahkan mereka dengan didikan agama. Tak terlalu memaksa tapi more to create curiousity tentang apa yang diajar. Maka, mereka akan banyak bertanya.
Kami juga dedahkan mereka dengan muzik dan seni. Seawal umur setahun, kami bawa mereka ke theater atau melihat tarian tradisional dan persembahan antarabangsa. Kami mahu mereka menjadi seorang yang bangga dengan asal usul dan diri sendiri. Kami juga akan sokong dan asah bakat mereka. Contohnya Anggerik, she likes Maths and arts than reading, so di rumah kami banyak buat Maths dan encourage dia untuk melukis dan mewarna.
Harapan kami biarlah mereka menjadi insan yang sentiasa gembira serta tak pernah malu dengan diri sendiri dan asal usul. Untuk kerjaya, kami tak kisah asalkan mereka rajin berusaha dan tak mudah putus asa bila dugaan menimpa. Usaha, doa dan tawakal tiga perkara utama yang kami bimbing untuk mereka. Buat masa ni tiada perancangan untuk tambah anak. Tapi kalau ada rezeki kami terima dengan hati terbuka.”
RAHSIA CANTIK IBU ANAK TIGA
“Positif dan sentiasa belajar benda baru, biar otak cerdas serta sihat. Saya tak suka benda-benda rumit, lagi-lagi setelah ada tiga anak. Untuk penampilan, saya suka solekan natural dan ringkas. Produk SO.LEK Cosmetics as natural is my first choice of make up product. Selain itu, prioritizing and time planning are the most important thing. Buat yang termampu, jangan bandingkan diri kita dengan orang lain.”
Kredit Foto: Instagram Dahlia Nadirah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seperti yang kita sedia maklum, pelakon wanita Malaysia berketurunan Cina, yang pernah popular menerusi watak Lucy dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada era 1990-an kini telah memeluk agama Islam sebaik bergelar isteri kepada pelakon veteran, Sabri Yunus.
Ardini Angeline Tan merupakan nama Islam yang dipilih oleh Sabri sendiri khusus buat isteri tercinta apabila mereka selamat diijabkabulkan pada 14 Oktober lalu.
Angeline Tan Mahu Jadi Contoh Kepada Anak, Jika Mereka Berhajat Peluk Islam!
Nona sempat menemubual Angeline dan bertanya tentang bagaimanakah penerimaan anak-anaknya yang masih menganuti agama Buddha apabila mengetahui ibunya kini sudah memeluk Islam?
“Pada masa ini anak-anak saya menerima pengislaman saya dan mereka sangat baik serta memahami,” ujar Angeline.
Sehubungan itu, memandangkan Angeline menerima maklum balas positif dari anak-anak dan ketika di soal adakah mereka (anak-anak) akan turut mengikut jejak langkah Angeline memeluk Islam, ini respon yang diberikan.
“Bagi Angeline, bukan tak mahu mengajak anak-anak sekali memeluk agama Islam. Tetapi biar Angeline menjadi satu contoh yang baik dahulu.
“Apabila tiba masanya, jika anak-anak sendiri punyai kemahuan untuk memeluk Islam, fahami konsep dan menerima Islam, Angeline akan berbesar hati mengajak mereka,” katanya.
Angeline berkata demikian ketika ditemui team NONA pada majlis resepsi perkahwinan yang ketiga, berlansung di Rose Hall, Glo Damansara Mall pada Ahad lalu.
Angeline Belajar Agama Dengan ‘Ustaz’ Sabri Yunus Dulu
Mengulas lanjut tentang bagaimana dia mempelajari Islam sebagai seorang saudara baharu, Angeline mendedahkan bahawa ia bukan perkara yang mudah. Namun, bebrsyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan baik yang sudi berkongsi ilmu agama bersama dirinya.
Jelasnya lagi, dek kerana jadual tuntutan kerja yang mulai padat, dia belum sempat untuk menghadiri mana-mana kursus agama untuk memantapkan iman sebagai seorang mualaf.
“Sebenarnya selama ini, abang Sabri adalah ustaz Angeline. Dia yang bimbing Angeline. Saya belum lagi sempat hadiri kursus agama.
“Tapi saya banyak belajar dari abang, orang sekeliling dan juga ustaz-ustaz lain yang abang kenal dan mereka banyak beri ilmu kepada saya.
“Malah, abang selalu ada masa untuk terangkan kepada saya tentang konteks-konteks dalam Islam. Jadi buat masa ni, saya belajar dengan ustaz Sabri Yunus dulu,” jelasnya sambil senyuman manis terukir di bibir.
Jelas terpancar kebahagiaan dan keserian di wajah kedua-dua mempelai tatkala bersama-sama menjawab soalan yang diajukan wartawan dengan begitu tenang.
Nona mendoakan agar ikatan perkahwinan yang terjalin diantara Sabri Yunus dan Ardini Angelin Tan berkekalan hingga ke syurga.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kurniaan terindah, suri hati Raja Britain Raja Charles III iaitu Ratu Camilla rasmi bergelar wanita pertama mendapat gelaran Laksamana Madya (Vice Admiral) UK sempena ulang tahun ke-78.