Kedatangan Ramadan dan Syawal sememangnya menjadi salah satu detik paling menggembirakan buat seluruh umat Islam di seluruh dunia. Mana tidaknya, dua bulan istimewa umat Islam ini menjanjikan seribu keberkatan dan keistimewaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata.

Nikmat Lebaran Yang Sederhana NURUL ILHAM & NURUL IMAN ANWAR

IKLAN

Jika tahun lalu penulis berpeluang menemu ramah lima puteri Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri  Dr Wan Azizah Wan Ismail secara eksklusif untuk muka depan NONA, kali ini penulis menyelami erti Syawal bersama dua daripada mereka. Diam tak diam, ini merupakan tahun kedua mereka menyambut Syawal sebagai sebuah keluarga sempurna dengan kehadiran bapa tersayang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sesi fotografi yang bertempat di Seri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri menjadi pilihan untuk dua beradik ini berkongsi kisah Syawal mereka bersama pembaca Nona. Secara eksklusif, team NONA dibawa melihat kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri yang menjadi lokasi rasmi untuk sebarang acara melibatkan aktiviti bersama pemimpin mahupun masyarakat. Kedatangan kami disambut mesra oleh Nurul Ilham dan Nurul Iman yang ramah dan tidak lekang dengan senyuman. Menggayakan busana tradisi dengan sentuhan minimalis dari Neng Geulis dan solekan dari Ann Karim dan Za Zain, kedua-duanya tampak anggun dan berseri.

Nikmat Lebaran Yang Sederhana NURUL ILHAM & NURUL IMAN ANWAR

Sebaik melangkah ke ruang menunggu di Seri Satria, penulis kagum melihat dekorasi yang diterapkan kerana ia nampak begitu sederhana dan tersusun rapi. Menurut Nurul Ilham, ibunya tidak menetap di kediaman rasmi tersebut tetapi lebih selesa menetap di kediaman keluarga mereka yang terletak di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

“Kediaman rasmi ini hanya digunakan untuk upacara rasmi kerajaan sahaja seperti majlis bacaan Yassin, tahlil dan menyambut kedatangan tetamu sahaja. Kami berdua pun sudah mempunyai keluarga sendiri, jadi kami lebih selesa menetap di kediaman sendiri,” jelas Nurul Ilham sambil membawa penulis melihat ke segenap ruang kediaman rasmi kerajaan tersebut.

Nikmat Lebaran Yang Sederhana NURUL ILHAM & NURUL IMAN ANWAR

Umum mengetahui, tahun ini merupakan tahun kedua keluarga Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut Syawal sebagai pemimpin kedua tertinggi dalam kerajaan. Sudah semestinya, suasana menyambut musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidilfitri agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.

“Alhamdulillah, tahun ini kami dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Sama seperti tahun lalu, pagi raya kami akan berkumpul di kediaman keluarga sambil berjumpa datuk dan nenek yang juga menetap di ibu kota. Selepas selesai solat Aidilfitri dan bersalam-salaman, mama akan melaksanakan tanggungjawabnya menyambut Aidilfitri bersama masyarakat. Seperti tahun lalu, jamuan Hari Raya Aidilfitri dilakukan sekaligus. Jadi, di situlah masyarakat dapat menyambut raya bersama pemimpin. Bagi kami pula, ini masanya untuk beraya dengan keluarga mertua masing-masing,” ujar Nurul Ilham yang kini mempunyai dua orang puteri.

Nikmat Lebaran Yang Sederhana NURUL ILHAM & NURUL IMAN ANWAR

“Sewaktu papa di penjara, kebiasaannya kami akan beraya di Penjara Sungai Buloh pada waktu pagi, hari raya keempat. Dulu selepas bawa anak cucu jumpa dengan papa, kami akan ke rumah datuk nenek dan saudara yang berdekatan. Alhamdulillah sekarang sudah masuk tahun kedua suasana raya bagi kami sekeluarga kembali ceria,” sambung Ilham lagi.

IKLAN

Memahami tugas dan tanggungjawab besar yang digalas oleh ibu mereka, Ilham sentiasa memberi sokongan dan dorongan buat ibu tersayang melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin. “Saya rasa mungkin tahun ini Aidilfitri agak sibuk untuk mama dan papa tetapi mereka tetap mempunyai masa untuk kami. Kami menyambut raya sama seperti keluarga biasa lain,” ujar Ilham mengakhiri perbualan.

Nikmat Lebaran Yang Sederhana NURUL ILHAM & NURUL IMAN ANWAR

Bercerita mengenai Syawal, puteri keempat Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini berkata sejak kecil lagi kedua ibu bapa mereka sudah menerapkan sikap sederhana. Malah, sikap tersebut menjadi sebahagian daripada rutin mereka sekeluarga yang masih kekal diamalkan sehingga kini.

“Sejak kecil lagi, kami sudah dididik untuk bersederhana dalam apa jua perkara. Baik ketika menyambut raya mahupun dalam kehidupan seharian. Tetapi ini tidak bermakna kami tidak menikmati keindahan Syawal dengan penuh kegembiraan. Saya masih ingat, ketika zaman kanak-kanak, kami akan beraya di kampung papa di Ceruk Tok Kun, Pulau Pinang dan bermain bunga api pada malam raya,” ujar Iman sambil disambut anggukan oleh Nurul Ilham.

IKLAN

“Menyentuh aktiviti raya pula, saya rasa tidak banyak akan berubah. Namun, saya sangat teruja dan bersyukur bahawa kami sekeluarga dapat luangkan masa bersama dan papa akhirnya berada di sisi kami sejak tahun lalu.”

Nikmat Lebaran Yang Sederhana NURUL ILHAM & NURUL IMAN ANWAR

Menyentuh persiapan Iman untuk menyambut Aidilfitri, menurutnya semua telah dilakukan secara berperingkat kerana tidak mahu tergesa-gesa menguruskan keperluan dengan jadual kerja yang agak padat. “Alhamdulillah, apa yang penting saya dapat memanfaatkan waktu sepenuhnya dengan papa dan keluarga sebelum semua kembali sibuk dengan urusan masing masing.

Papa dan mama selalu pesan agar kita sentiasa bersabar dan bertakwa kerana segala yang berlaku adalah sebahagian dari percaturan Allah SWT. Keperibadian papa dan mama yang sentiasa cekal memberi teladan yang baik untuk kami adik-beradik. Saya sentiasa ingat pesan mereka untuk bersederhana dalam kehidupan kerana sikap sederhana itu menjadi kunci untuk seseorang dihormati dan menghormati antara satu sama lain,” ujar Iman sebelum mengakhiri perbualan.

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI