Memimpin sebuah syarikat gergasi media sosial bertaraf dunia, tentunya kedengaran hebat. Apatah lagi jika bekerja di syarikat antarabangsa seperti Facebook. Nona mengatur pertemuan eksklusif dengan Country Director Meta Malaysia, Nicole Tan, bersembang tentang pengalaman beliau sebagai pemimpin di sini.
Melangkah masuk ke Meta Malaysia di KL Sentral, suasana santai dengan dekorasi yang ‘playful’ serta ruang kerja yang terbuka menyambut kedatangan.
Setenang perasaan di rumah, begitulah yang dirasai penulis saat dibawa berkunjung ke serata pejabat Facebook, yang kini dijenamakan semula sebagai Meta Platforms.
Ketika menatap tanda tangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpampang di Facebook Wall, Nicole Tan tiba sambil membantu menerangkan serba-sedikit konsep di sini.
Wanita hebat yang memegang jawatan Country Director Meta Malaysia itu sesungguhnya cukup menyenangkan. Selama lima tahun memimpin syarikat, banyak perkara baru yang telah diperkenalkan untuk manfaat pengguna.
Meskipun berusia 40-an, Nicole Tan sebenarnya baru mendapat cahaya mata sulung. Lebih beruntung, beliau diberi tempoh cuti bersalin yang lama iaitu 6 bulan!
“Dalam tempoh pandemik dua tahun ini, banyak masa saya di rumah bersama si kecil yang kini sudah pun mencecah umur setahun.
Sebelum menyertai Meta, saya pernah berkhidmat di agensi kreatif, pengiklanan dan teknologi selama 20 tahun.” Nicole Tan
Pernah bertugas sebagai Pengarah Urusan di J.Walter Thompson Malaysia serta menetap di China selama beberapa tahun, pengalaman kerja Nicole selama ini sudah tentunya memberi kelebihan besar kepada Meta.
Beliau juga lambang wanita kuat, yang mengutamakan kerjaya serta berani menentang ‘norma’ demi mengejar minat dan impiannya.
Ads
Berperanan sebagai pemimpin di Meta Malaysia, wanita asal Petaling Jaya ini bertanggungjawab membantu rakyat agar lebih celik digital, membina teknologi yang lebih cekap dan menyokong perniagaan ke arah pengalaman baru.
“Di seluruh dunia, kami ada 2.8 billion pengguna yang menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi Meta, tak kiralah Facebook, Instagram atau WhatsApp.
Di Malaysia pula, kami ada 26 juta pengguna yang menggunakan Facebook setiap bulan.
Bayangkan pada waktu pandemik, kajian mendapati trend penggunaan digital lima tahun telah dipercepatkan dalam masa satu tahun saja.
Dan di Malaysia, penetrasi penggunaan digital adalah 88% – yang tertinggi di rantau Asia Tenggara!” Nicole Tan
Ads
Tambahnya, orang ramai memang sering memilih aplikasi Meta untuk berhubung, mengekspresikan diri dan berniaga secara online sewaktu PKP berkuat kuasa.
Nicole turut berkongsi tentang pelancaran Reels di Facebook, susulan kejayaan Reels yang diperkenalkan sebelum ini di Instagram.
“Reels di Facebook baru dilancarkan dua minggu lalu. Berdasarkan kajian terhadap trend di media sosial, kami dapati jumlah tontonan terhadap video yang cepat, pendek dan menarik telah meningkat.
Kandungan berbentuk hiburan, masakan atau life hacks paling mendapat tontonan tinggi. Tambahan lagi jika ada ‘peralatan’ untuk mengekspresikan diri seperti filter.”
USAHAWAN
Sempena Hari Wanita Sedunia yang bertemakan #SaksamaBersama atau #BreakTheBias, Nicole menerusi Meta turut meraikan kecekalan wanita di Malaysia.
Ads
Selain ingin terus memperkasakan golongan Hawa dengan ilmu pengetahuan, beliau juga ingin membantu wanita yang berniaga serta yang menyokong perubahan.
Terdapat peningkatan sebanyak lebih 25% perniagaan Instagram dan lebih 40% halaman perniagaan (Pages) Facebook yang diterajui wanita sejak pandemik bermula.
Malah terdapat lebih 45% kumpulan Facebook berkaitan dengan keusahawanan telah dicipta oleh wanita sejak tahun 2021.
“Wanita mewakili separuh populasi dunia dan separuh daripada potensinya untuk berkembang, mencipta peluang dan membasmi kemiskinan.
Oleh itu kesaksamaan jantina amat penting untuk kemakmuran ekonomi dan komuniti. Kami percaya akan usaha bagi membantu wanita meneroka potensi diri dan pembinaan masyarakat yang lebih berdaya tahan.
Antara teras utama Meta adalah memupuk perkembangan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) milik wanita dengan memberi akses kepada pendidikan, wawasan dan peralatan menerusi webinar, latihan, kursus dan program pensijilan seperti Blueprint, Facebook IQ dan sebagainya.” Nicole Tan
Di sebalik komitmen sebagai pemimpin, Nicole senang memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor di tempat kerja. Beliau juga mahu melihat lebih ramai wanita lain bangkit menjadi pemimpin seperti dirinya.
Mengakhiri perbualan, Nicole sempat mengajak para wanita agar membeli daripada usahawan wanita sebagai sokongan.
“Kami akan menampilkan usahawan wanita tempatan seperti peniaga katering dari rumah (vegetarian), Preeti’s Farsan di Pages Facebook Meta Malaysia dan kami mengalu-alukan ahli komuniti untuk berkongsi perniagaan dan komuniti yang diterajui wanita kegemaran di bahagian komen bersama tanda pagar #BuyFromHer.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Banyak sisi gelap buat bisnes keluarga, terkini Che Nom luah anak saudara tergamak lapor pihak berkuasa tak jaga kebajikan pekerja.
Pempengaruh masakan, Che Nom atau nama penuhnya Normah Bakar, berkongsi di media sosial apabila mendakwa telah dianiaya oleh anak saudara sendiri.
Menurut wanita asal Kedah itu, anak saudara yang dianggap seperti anak kandung dan diberikan pekerjaan itu tergamak membuat laporan atas kes majikan tidak menjaga kebajikan pekerja.
Youtuber popular itu amat terkilan apabila segala kebaikan yang diberikan dibalas dengan perkara yang tidak terduga sehingga mereka menerima surat saman daripada pihak berkuasa.
“Sedih sangat hati ni, sampai menitis air mata bila teringat balik. Ni bukan resepi, tapi rasa terkilan sangat-sangat pasal keluarga sendiri.
Che Nom buat bisnes kecil-kecilan je, bisnes keluarga, niat memang nak bantu ahli keluarga sendiri. Yelah kan, kalau bukan kita yang tolong keluarga, siapa lagi nak tolong?
Che Nom ambil anak saudara kerja sekali, walaupun dia tak ada kelulusan berkaitan. Anak saudara ni bukan orang lain, Che Nom sendiri yang besarkan dia dari kecil. Basuh berak dia, hantar pergi sekolah, masak setiap hari untuk diaorang makan.
Bila dah besar sikit, Che Nom ambil kerja sekali sebab nak bagi peluang, nak bagi dia survive kat Klang Valley ni. Kita bagi fixed income bulanan supaya hidup dia senang sikit kat sini.
Che Nom ajar dia dari kosong, siap buatkan slide langkah demi langkah macam mana nak guna Premiere Pro. Kamera pun Che Nom ajar satu-satu, tekan butang pun kena tunjuk. Cari rumah pun kita yang uruskan.
Che Nom sendiri kadang-kadang masakkan untuk dia makan. Bukan berkira pun, sebab memang anggap macam anak sendiri.
Kerja tak banyak sangat pun, seminggu tak sampai 20 jam. Bila nak pergi Umrah, Che Nom bagi je cuti sampai sebulan—bukan sekali, tapi dua tahun berturut-turut.
Bukan setakat cuti, gaji penuh tetap bagi, duit poket Che Nom tambah lagi, visa pun Che Nom bayarkan. Semua sebab nak bantu ikhlas hati.
Tapi tiba-tiba, dia boleh pergi report ke JTK dan KWSP guna bayaran tetap bulanan sebagai bukti Che Nom tak jaga kebajikan pekerja. Ya Allah, memang sedih sangat bila dapat tahu. Lepas tu ni pula tiba-tiba dapat surat saman dari Jabatan Tenaga Kerja, bertambah-tambah kecewanya.
Che Nom tak faham kenapa kebaikan kita dipijak-pijak macam ni. Kita tolong dengan ikhlas, tapi balasan macam ni pula yang kita dapat. Sistem kerajaan pun satu hal, tak faham beza antara bantu ahli keluarga secara santai dengan syarikat besar yang ada HR dan kontrak bagai.
Che Nom harap sangat sistem kat Malaysia ni boleh faham realiti bisnes keluarga kecil-kecilan macam kita ni. Kalau semua benda kena formal sangat, susahlah kita nak bantu keluarga sendiri. Kita meniaga sebab nak cari rezeki halal, bukan nak kena tikam belakang macam ni,” tulisnya panjang lebar.
Cukup kecewa dengan realiti bisnes keluarga kecil-kecilan seperti ini, Che Nom tetap percaya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Beliau berharap ia menjadi pengajaran buat semua.
Isu ini mendapat perhatian netizen yang sebahagiannya bersimpati dengan Che Nom namun menyedari sisi gelap bisnes keluarga yang tak selalunya indah.
Namun asasnya ramai memberi pandangan walaupun seseorang majikan hire ahli keluarga sendiri, beliau tetap terikat undang-undang dan kena patuh hak pekerja walau seerat apa pun ‘ikatan darah’ tu.
Hakikatnya perjuangan ini bukan satu perkara yang mudah. Kanser adalah penyakit yang paling menakutkan bagi sesiapa saja khususnya wanita yang menghidap kanser payudara. Pun begitu, masih ada peluang untuk sembuh jika usaha dan keyakinan. 5 selebriti ini mencetuskan inspirasi buat kita tentang semangat luar biasa yang dimiliki.
KYLIE MINOGUE
Pada awalnya ia salah didiagnosa tentang kansernya. Setelah beberapa doktor menyatakan tiada apa-apa pada tubuhnya, naluri wanita ini mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Kylie kemudiannya mendapatkan pandangan lain dan hasil pemeriksaan kedua menunjukkan Kylie memang menghidap kanser payudara!
Pada usia 37 tahun (ketika itu) Kylie berjuang dengan pembedahan dan kemoterapi. Sejak itu Kylie terus mendesak kaum wanita untuk ‘mendengar’ apa kata tubuh mereka dan terus melakukan pemeriksaan jika merasakan sesuatu. Jangan hanya percaya kepada seorang doktor saja kerana andalah yang paling kenal tubuh sendiri.
OLIVIA NEWTON-JOHN
Aktres popular filem “Grease” ini dinyatakan bebas kanser payudara sekitar tahun 2005. Sebelumnya, ia bertahun-tahun bergelut dengan kemoterapi, ubat-ubatan herba, akupuntur dan pemulihan psikik.
Terilhamnya album “Stronger Than Before” bagi menginspirasikan masyarakat apa yang dialami di samping kesukaran yang dilalui dalam proses penyembuhan. Tahun 2017 Olivia kembali disahkan kanser payudara dan kali ini lebih buruk. Namun Olivia tetap merasa percaya diri dan kembali fokus terhadap kesihatannya.
Kredit: IG @therealonjKredit: IG @therealonj
PEVITA PEARCE
Selebriti muda ini pernah menghidap kanser payudara selama tiga tahun. Pevita sengaja menyembunyikan kisahnya ini daripada pengetahuan umum mahupun media. Banyak rawatan yang dilakukan, akhirnya adik kepada Keenan Pearce ini disahkan sembuh setelah menjalani pembedahan di Kuala Lumpur.
CYNTHIA NIXON
Bintang “Sex and the City” ini menjaga kesihatannya dengan baik setelah disahkan menghidap kanser payudara pada tahun 2002. Nixon menjalani rawatan lumpectomy serta radiasi. Nixon melihat perjuangan survivor kanser dari orang terdekat iaitu ibunya sendiri yang meninggal dunia pada usia 82 tahun kerana kanser payudara. Bagi Nixon perkara paling penting perlu dilakukan ialah amalkan rutin pemeriksaan mamografi dan tidak menangguhkan pemeriksaan rutin.
Kredit: IG @cynthiaenixon
SHERYL CROW
Penyanyi yang melakukan pemeriksaan mamografi secara rutin ini mendapati dalam dirinya ada sel kanser di kedua-dua payudara. Ia disahkan sekitar tahun 2006. Crow segera melakukan rawatan preventif seperti radiasi yang digabungkan dengan akupuntur di samping meminum teh herba.
Crow juga sentiasa berada dalam lingkungan yang positif untuk penyembuhannya. Crow mengakui dirinya terinspirasi daripada kisah seorang wanita yang melawan kanser melalui sokongan positif daripada keluarga dan rakan-rakan.
Kredit: IG @sherylcrowKredit: IG @sherylcrow
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut nama saja nama penyanyi terkenal, Amy Mastura terus terbayang karakternya yang lucu tapi comel. Selain itu, wajahnya yang tak dimamah dek usia sering menjadi perhatian serta perbualan ramai. Dari dulu sampai sekarang serinya tu tak pernah berubah, awet muda sungguh!
Bagi peminat-peminat Amy Mastura yang sentiasa mengikuti perkembangan semasanya mungkin sudah tahu berapa usianya. Tapi bagi yang tidak tahu, jangan terkejut bila diberitahu usia sebenarnya sekarang. Kalau dilihat sekali imbas macam 20an atau 30an pun orang percaya, kan?
Pada 10 Mei 2021 yang lalu, genaplah usia Amy Mastura yang ke 50 tahun. Wow! Memang tak nampak langsung walaupun anak-anak dah remaja. Anak sulungnya, Adriana Tham Suffian kini berusia 20 tahun manakala anak kedua, Adalia Tham Suffian berusia 16 tahun.
Berkongsi entri bersama kapsyen yang ringkas menerusi Instagram peribadinya, menggambarkan bahawa penyanyi lagu Sha Na Na ini benar-benar bersyukur dan bahagia dengan fasa usia barunya itu. Antara rakan artis yang memberi ucapan harijadi buat Amy Mastura ialah Fara Fauana dan Haiza Hanafi.
Menurut Amy Mastura, dia tidak terikat dengan sebarang petua untuk kekal awet muda. Hanya yang diamalkan ialah tidak minum ais pada setiap masa dan ini salah satu cara yang dapat membantu dirinya untuk kekal sihat dan bertenaga. Untuk kecantikan pula, dia sering mendapat nasihat mahpun tip-tip kecantikan daripada anaknya, Adalia yang sangat menitikberatkan soal kecantikan.
Selama 28 tahun dalam industri seni hiburan, Amy Mastura yang bergelar penyanyi dan pelakon ini tidak pernah terpalit dengan sebarang kontroversi murahan. Sebagaimana lancar perjalanannya dalam industri seni begitulah jua kehidupan peribadinya yang kekal bahagia bersama suami tercinta, Alvin Tham Suffian.
Pasangan ini berkahwin pada Julai 2000. Ini bermakna usia perkahwinan mereka hampir 21 tahun. Bagi penulis, Amy Mastura cukup bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang baik serta penyayang bukan saja buat dirinya bahkan kedua-dua puteri mereka. Mudah-mudahan mereka sekeluarga kekal bahagia sampai ke syurga, Insya-Allah.
Amy Mastura mula dikenali setelah bergelar juara dalam pertandingan nyanyia Asia Bagus 1993. Kemudian Amy Mastura mula mencipta nama sebagai penyanyi tanahair. Kariernya terus cemerlang apabila memenangi beberapa anugerah berprestij antaranya Cover Album Terbaik (AIM 2003) Penyanyi Wanita Popular (ABPBH 1994), Juara Kategori Pop Rock (AJL 2000) dan Pelakon Wanita Terbaik (Festival Filem Malaysia ke-14).
Sepanjang karier seninya juga, Amy Mastura telah menghasilkan beberapa buah album seperti The Best of Amy Mastura (1998), Keunggulan Amy Mstura (2007) dan The Best of Amy Mastura II (2011). Manakala filem-filem yang pernah dibintanginya adalah Tragedi Oktober (1996), Bintang Hati (2004), Puteri Impian, Aku Tak Bodoh (2010), Keluarga Iskandar The Movie (2020) dan banyak lagi.
Kredit Foto: Instagram Amy Mastura
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehilangan insan tersayang cukup memilukan. Apatah lagi ibu bapa yang telah banyak berkorban jiwa dan raga membesarkan anak-anak. Baru-baru ini, pelakon Adam Corrie berdepan detik duka apabila ibu tersayang ‘pergi’ untuk selama-lamanya.