Nama isteri PM, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sentiasa segar di jiwa rakyat. Bicaranya lembut seperti air tapi sifat air yang tenang itu mampu memadamkan api. Beliau memimpin dengan meletakkan akhlak di depan, sekaligus membuatkan ahli politik wanita berusia 70 tahun itu amat disegani. Kelembutan takkan pernah tewas dengan kekerasan, itulah ciri seorang ikon wanita hebat yang diangkat dalam Nona Superwoman Award 2022.
Bercerita secara eksklusif kepada Majalah Nona tentang momen perjuangan beliau, wanita yang merupakan ibu kepada enam permata hati – Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana itu terbuka mengimbau kenangan lama.
Menyentuh pengalaman paling pahit Dr Wan Azizah selaku ketua keluarga sepanjang tempoh suaminya dipenjarakan, siapa sangka dalam keterpaksaan itu melahirkan seorang wanita hebat yang menjadi pemimpin politik, ketua parti dan gagasan pembangkang, malah beliau turut menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia.
Foto: Keow Wee Loong Photography
Rentetan peristiwa pemecatan dan penahanan Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah mula bangkit melalui gerakan reformasi. Beliau bertanggungjawab membantu menubuhkan Parti Keadilan Nasional digabungkan dengan Parti Rakyat Malaysia pada April 1999 yang kemudian menjadi Parti Keadilan Rakyat dan bertindak selaku Presiden PKR.
Kekuatan luar biasa Dr Wan Azizah menyuntik inspirasi kepada masyarakat dunia. Saksikan sesi temu bual eksklusif Majalah Nona ini…
Ads
KELETIHAN
Isteri kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini juga mengakui ada kalanya pernah terfikir untuk berhenti dek terlalu penat dicemuh namun semangatnya membina kekuatan diri untuk terus bangkit.
Ads
“Sejujurnya saya penat dan letih sebab nampak macam tiada penghujungnya. Kadangkala bila saya dah nampak akan berjaya, tapi akhirnya berlaku ujian pengkhianatan membuatkan saya kembali kepada asal.
Saya banyak kali dipandang rendah atas sebab isteri banduan ataupun dicemuh setiap kali saya pergi kempen, berpaling muka dan sebagainya.
Tapi saya fikir mereka tak kenal saya mungkin. Tak kenal maka tak cinta kan saya terima saja. Cuma yang membuatkan saya kuat sehingga kini adalah kerana saya mahu reda Allah SWT.
Ads
Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah sewaktu mengangkat sumpah jawatan
Pasangan Perdana Menteri Malaysia ke-10 bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah
Sejujurnya saya terfikir banyak kali untuk berhenti. Saya masih ingat kali kedua Anwar (dipenjarakan), kami hanya diberi setengah jam saja dan terus jatuh hukum. Memang saya sedih sebab ingat dia akan sambung perjuangan politik kami.
Tapi apabila difikirkan balik insyaaAllah, saya boleh. Kalau tidak Allah takkan uji saya jika saya tak mampu. Tukarkan mindset bagaimana kita melihat masalah yang kita hadapi. Minta pertolongan pada Allah, jangan pada makhluk.” Dr Wan Azizah
Pintar dan solehah, ikuti sambungan kisah penuh wanita yang diangkat sebagai Nona Superwoman 2022 ini dalam edisi khas Nona Superwoman Award tidak lama lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang betul kata orang, kalau dah ada anak, seorang mak sanggup buat apa sahaja demi anak. Baju raya tak ada pun tak apa, janji baju anak semua siap sedia. Tak cukup dengan baju raya, baju tidur raya pun cukup lengkap. Begitu lah besarnya kasih seorang ibu terhadap anak-anak.
Datin Niena Baharun yang pernah mencipta fenomena menerusi watak Husna dalam drama bersiri Jangan Benci Cintaku juga begitu. Kalau tengok posting di laman Instagram miliknya, boleh dikatakan anaknya yang dilahirkan pada 24 Oktober 2018 ini telah mendominasi ruang.
Walaupun anak sulung Datin Niena ini mempunyai akaun Instagram sendiri dengan pengikut berjumlah 59.1 ribu tetapi wajahnya tetap menjadi penyeri dalam Instagram Datin Niena.
Anak sulung Datin Niena yang diberi nama Adiel Mikael ini memang sangat comel. Dah lah tu, Adiel Mikael ni suka tersenyum, memang boleh cair tengok senyumannya. Geram tengok telatah dia!
Nampak macam wanita yang berusia 26 tahun ini obses dengan anak sendiri tetapi, biar lah apa orang nak kata. Tak kan nak obses dengan anak orang lain, ya kan? Datin Niena kini kelihatan bahagia di samping suaminya, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadim yang berkahwin pada 1 Februari 2018 di Kota Bharu, Kelantan.
Dalam pada itu, wanita cantik ini turut sama membantu para petugas hadapan ketika negara sedang ‘berperang’ dengan pandemik COVID-19 ini. Datin Niena telah berjaya mengumpul dana hasil daripada sumbangan peminatnya untuk diserahkan kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu dan Hospital Sungai Buloh. Sumbangan tersebut berupa sanitasi tangan, topeng muka (3 ply), pelindung muka, penutup kepala dan sarung tangan. Terima kasih Datin Niena kerana berhati mulia membuat kerja amal sebegini. Hanya Allah SWT yang mampu membalasnya.
Nur Zatil Husna Zaharullai, graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim pada Majlis Konvokesyen UiTM kali ke-97 baru-baru ini.
Memetik perkongsian kepada Sinar Bestari, anugerah itu diberikan atas kecemerlangannya dalam bidang akademik jurusan Sarjana Muda Bahasa Gunaan Bahasa Arab Komunikasi Profesional.
Ia merupakan pencapaian yang membanggakan bukan sahaja buat Nur Zatil tetapi seluruh ahli keluarga setelah berhempas pulas menuntut ilmu selama tiga tahun pengajian.
Nur Zatil ketika dihubungi tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan terujanya lebih-lebih lagi saat menceritakan detik-detik manis ketika menerima anugerah tersebut dari Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, dengan penerimaan Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim ini membuktikan bidang pengajian Bahasa Arab tidaklah sukar seperti yang dikatakan masyarakat.
Malah, ia satu perjalanan yang menyeronokkan apatah lagi jurusan yang diambilnya itu lebih mengutamakan kerja-kerja amali berbanding teori.
“Jurusan ini lebih mengutamakan ‘carry marks’ yang memerlukan kami sebagai mahasiswa untuk aktif membuat video atau menemu ramah orang Arab.
“Bagi saya, ia satu pengalaman bermakna dan memberi satu lagi pengalaman baharu dalam menambah baik kemahiran diri sebagai ilmu yang boleh digunakan di alam pekerjaan.
“Ia membuktikan bidang pengajian ini tidak menumpukan seseorang untuk mahir Bahasa Arab semata-mata tetapi membuka lebih luas bidang pekerjaan lain antaranya pembaca berita Bahasa Arab, pelakon Bahasa Arab atau cef masakan Arab,” ujar Nur Zatil Husna.
Tambah anak keempat dari lima beradik ini lagi, mempelajari Bahasa Arab adalah satu kepentingan buat mereka yang beragama Islam memandangkan ia adalah bahasa al-Quran.
Justeru, sebagai seorang Muslim hendaklah menguasai bahasa syurga itu yang mana ia juga adalah bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian.
“Sayang kalau kita mahir bahasa lain tetapi tidak Bahasa Arab memandangkan setiap hari kita menggunakan bahasa tersebut.
“Contohnya dalam solat dan ketika memulakan aktiviti harian dengan membaca doa-doa. Dari situ sebenarnya kita sudah boleh sedikit demi sedikit menguasai Bahasa Arab,” tambahnya.
Nur Zatil Husna yang kini bekerja sebagai pembantu penerbit Bahasa Arab, penyampai berita dan wartawan Bahasa Arab TV Al-Hijrah turut berkongsi sedikit tip buat mereka yang berminat untuk menceburi bidang pengajian bahasa tersebut.
Katanya, dalam apa jua bahasa yang diceburi praktis melalui bercakap, menulis, membaca dan mendengar amat penting sebelum menguasai sepenuhnya sesuatu bahasa.
Bagi Bahasa Arab, Nur Zatil memaklumkan perlu kerap berlatih dan cuba bercakap dalam bahasa itu walaupun salah.
“Jangan malu untuk cuba berkomunikasi dalam Bahasa Arab biarpun salah sebab kalau kita tidak praktis, kita sendiri yang akan lupa.
“Bila berjumpa dengan rakan-rakan cuba berbual dalam bahasa tersebut walaupun ada sesetengah orang yang akan kritik dan abaikan stigma begitu,” tuturnya.
Selain itu, Nur Zatil kerap membaca al-Quran. Melalui pembacaan penggunaan bahasa seperti tajwid, makhraj huruf dan cara sebutan dapat dibetulkan.
“Tidak mengapa jika salah, itu adalah proses pembelajaran. Yang penting kita berani untuk mencuba,” ujarnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Cubalah untuk mencapai setinggi mana pun impian anda. Tapi harus ingat, ini semua pinjaman! Apa yang pernah kita lalui, susah atau senang. Jangan hanya berfikir untuk waktu dan ketika itu sahaja. Fikirlah apa yang ingin kita capai itu untuk 30 tahun akan datang dan sehingga kita menutup mata. Setiap masalah dan halangan cuba selesaikan, jangan buang masa! Percayalah setiap pengalaman itu akan jadikan kita lebih kuat di masa hadapan,” tegas Azliza (Liz) berusia 48 tahun.
“Saya tidak pernah menyesal atau malu mengaku dilahirkan dalam keluarga miskin. Malah saya rasa bersyukur kerana kehidupan saya punya kisah yang berwarna-warni. Pendek kata, macam-macam fasa kehidupan telah saya lalui dan kerana kemiskinan itulah menjadikan saya kuat dalam mengharungi dugaan kehidupan.”
Mengimbas kembali perjalanan hidup Liz, sebelum terlahirnya perniagaan Dapur Pramugari, cukup memberi inspirasi buat semua wanita lain. Kisah pengalamannya, menjadi simbol kekuatan dan kejayaan dirinya hari ini. Bagaimana dari seorang bekas pramugari dan kini terus mengukuhkan empayar perniagaan F&B Dapur Pramugari.
“Saya memang pasang niat untuk ada perubahan kehidupan yang lebih baik. Saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan akan sentiasa mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Kami ada ramai anak, tanggungjawab besar tentang masa depan mereka dari segi pendidikan, insuran dan sebagainya. Ini semua menjadi kekuatan semangat untuk saya masuk dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah, dalam keadaan fizikal kita yang masih sihat, kita gunakanlah anugerah ini sebaik mungkin. Bukan kata, kehidupan sebelum ini tidak mencukupi tetapi saya rasa sampai masanya untuk mengakhiri tugas berbelas tahun di awan biru. Lagipun dari kecil lagi saya punya cita-cita untuk jadi businesswoman. Masa dulu, dari sekolah rendah lagi saya jual mi, nasi lemak, terompah, keropok sambil kayuh basikal keliling kampung.”
Liz terus membawa kita mengimbau kisah hidupnya. “Saya dari keluarga miskin, nak beli buku atau kasut pun sangat susah. Saya juga keluar pergi cari kerja di pasar malam. Di situ saya kerja dengan seorang makcik tua jual makanan, pengalaman kerja waktu itu bukan mudah. Macam lipas kudung bekerja dan hasil upah bermula RM5 dan kemudiannya naik kepada RM10, alhamdulillah. Dengan hasil duit kerja sendiri itulah saya beli barang-barang sekolah. Bila teringat kembali kenangan itu, membuatkan saya bertekad untuk mengubah kehidupan dan berusaha untuk berjaya.”
Perjalanan susah dalam meniti kehidupan tidak bernoktah di situ. Hari-hari di usia remaja yang dilaluinya penuh dengan pelbagai rintangan, namun tidak sedikit meruntun kelemahan semangat dan kekuatan jiwanya untuk mengubah kehidupan yang lebih baik.
“Selepas SPM, saya tidak melanjutkan pelajaran di Universiti disebabkan keluarga susah dan saya ingin membantu keluarga. Saya lupakan cita-cita untuk menjadi peguam atau doktor. Pada waktu itu, saya rasa dengan kelulusan yang ada, pekerjaan sebagai pramugari paling sesuai dengan kelayakan dan untuk memperoleh gaji lumayan kerana saya tidak mahu lagi hidup susah.
Saya mengambil keputusan untuk berhijrah dan mencari kerja di lapangan terbang. Keluar dari kampung dengan berbekalkan sepasang kasut dan dua helai baju, saya dan jiran mengambil bas menuju ke Lapangan Terbang Subang demi mengejar cita-cita. Ini kenangan yang amat berharga dalam hidup saya, bila sewa di rumah Kampung Subang.
Keadaan ketika itu sangat sengsara, duduk rumah papan. Tandas pun hanya dikelilingi zink tak beratap dan mandi menggunakan air perigi. Bayangkan waktu pagi kalau mandi jam 5.30 pagi sangat sejuk, embun menitis sampai ke tanah. Nak keluar pergi kerja, saya kena jalan selama 20 minit melalui laluan kebun getah untuk ke jalan besar mengambil bas. Kalau balik kerja tengah malam, saya terpaksa tukar kasut sport untuk memudahkan saya membuat pecutan larian tanpa menoleh ke kiri, kanan dan belakang. Lorong menuju ke rumah sangat gelap tanpa lampu hanya mengharapkan belas kasihan bulan purnama,” jelas Liz sambil ketawa.
“Kalau awal bulan pula, boleh makan meriah beramai-ramai dengan rakan sewa lain. Tapi bila tengah bulan sampai hujung bulan, saya hanya makan roti dengan sumbat ais krim di tengah-tengah. Kalau nak bercerita lagi, terlalu banyak peristiwa menyentuh hati. Tapi itulah antara kenangan yang paling saya tidak boleh lupa.
Di terminal lapangan terbang, saya bekerja di kedai bunga dan restoran, sambil melihat dan bertanyakan beberapa kakitangan penerbangan yang lalu-lalang di situ kiranya saya berpeluang untuk menjadi pramugari. Kemudian saya dapat peluang untuk bekerja di kedai coklat, Duty Free Terminal 1. Alhamdulillah, satu hari saya dapat peluang temuduga sebagai ticketing officer dan diterima bekerja bersama Indonesian Airlines. Di situ, saya belajar selok-belok tentang penerbangan dan sebagainya selama 5 tahun.
Kemudian saya berhenti dan meneruskan cita-cita untuk menjadi seorang pramugari. Saya pernah berkhidmat sebagai seorang pramugari bersama Malaysia Airlines dan kemudianya saya berkhimat menjadi ketua pramugari di AirAsia. Saya amat bersyukur dengan perubahan hidup saya. Dari seorang anak gadis kampung seperti katak di bawah tempurung, akhirnya saya berjaya mengecapi apa yang saya mahukan dengan usaha sendiri,” bicara Liz sambil tersenyum mengimbas kenangan lalu.
Diringkaskan cerita, saya berhenti kerja, berkahwin dan fokus membesarkan anak seramai 4 orang. Bila anak-anak sudah membesar, saya yang tidak tahu duduk diam mulakan bisnes Mamours bersama kakak. Pada masa yang sama saya juga buat sedikit jualan makanan. Setelah itu, saya rasa jiwa ini sebenarnya lebih kepada perniagaan makanan. Lalu saya meninggalkan dunia perniagaan Mamours dan beri fokus kepada dunia perniagaan secara online sepenuhnya.”
Rezeki melimpah dengan Dapur Pramugari. “Alhamdulillah permintaan untuk lauk-pauk dan kuih mendapat sambutan sangat menggalakkan. Saya tidak membuka kedai atau restoran kerana tidak mahu komitmen untuk berada di kedai setiap masa, maka aktiviti perniagaan dijalankan secara online. Dan sekarang tumpuan saya lebih kepada produk baru saya Sambal First Class. Dalam masa enam bulan banyak perkara yang perlu diuruskan dari segi pemasaran, promosi dan sebagainya. Kerja siang malam untuk memastikan produk ini diterima dalam pasaran dengan baik.”
Menurut Liz, bisnes Sambal First Class berkonsepkan airlines di mana ia sedikit sebanyak berkait dengan pekerjaan beliau sebelum ni. Contohnya, saiz botol sambal mengikut konsep Boeing yang paling kecil diberi nama 737 dan yang besar diberi nama Jumbo. Tentang kualiti, Sambal First Class diperbuat daripada 100% cili segar dan ikan bilis mata biru sebiru langit di angkasa. Ini menunjukkan bahan-bahan yang digunakan berkualiti tinggi dan mahal.
Selepas ini antara rangkaian produk yang sedang menunggu untuk dikeluarkan adalah Sambal Economy Class. Maksudnya menggunakan cili yang lebih murah iaitu cili kering. Ini jelas bagi menunjukan perbezaan antara sambal murah dan sambal mahal.
Harapan Liz, “Saya berharap perniagaan ini terus berkembang dengan pelbagai jenis produk sambal lagi. Saya percaya ia mampu untuk dibawa ke luar negara. InsyaAllah dengan memperoleh pendapatan ini, saya harap dapat membantu lebih ramai lagi mereka di luar sana,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
The Devil Wears Prada mengupas realiti salah guna kuasa di tempat kerja, memperlihatkan peralihan dunia fesyen ke era digital dan konflik kepimpinan moden.