“Saya menangis dalam peti sejuk beku dan tanpa sedar pintu tertutup. Bila terasa kenapa badan makin sejuk melampau, saya lihat pintu tertutup. Nasib baik, staf cari saya dan salah seorang buka peti tersebut dan lihat saya dah membiru. Saya berterima kasih pada hinaan seorang hamba Allah kerana pengalaman itu membuatkan saya SAYA BERAZAM untuk jadi usahawan berjaya dan kaya!” bicara Nur Hati.
Berusia 40 tahun, Nur Hati Amran merupakan pengasas pelbagai jenis kudapan cookies serta sambal yang diinovasikan mengikut kreativiti sendiri. Beliau adalah pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dan pernah menjadi wakil tunggal IKS Mersing ke peringkat Negeri Johor pada tahun 2010.
“Tanpa kenal erti putus asa, saya berusaha keras untuk melihat produk Eijaz Food Industry berada di dalam supermarket. Usaha itu akhirnya tercapai walaupun tidaklah sebesar mana apabila produk kami berjaya menembusi beberapa mall.
Menitik air mata kerana saya adalah IKS kecil jika nak dibandingkan syarikat gergasi yang lain. Momen paling sedih dan membuatkan saya menangis ketika hantar barang ke mall, semua syarikat pakai lori besar-besar untuk turunkan barang berbanding kami hanya menggunakan kenderaan biasa.
Bila anak sulung saya berkata, “InsyaAllah, suatu hari nanti syarikat mama pasti ada lori, sikit aje lagi mama…” Berjurai air mata saya menangis, sebak saya dibuatnya. Saya benar-benar berjuang sendiri tanpa mana-mana dana bantuan pinjaman untuk sampai ke tahap ini.
Saya juga amat bersyukur kerana boleh berada sebaris jenama makanan yang hebat di mall. Bagi saya, ini kejayaan terbaik buat syarikat Eijaz Food Industry walaupun masih banyak yang perlu kami perbaiki dan pelajari.
Berjaya memasuki pasaran mini market dan kedai-kedai runcit, niat saya agar semua orang boleh rasa serta mampu membeli pelbagai jenis sambal mama dengan harga ekonomi RM1, insyaAllah,” ujar Nur Hati.
Ads
Terus berbicara, “Saya pernah bekerja sebagai kerani data banci di Muar, Johor. Waktu itu saya duduk rumah sewa di Sungai Abong bersama empat adik-adik penyewa lain. Saya paling dewasa dan disebabkan suka niaga, saya ajak adik-adik rumah sewa buat bisnes jual karipap. Mereka setuju, itu pun setelah dapat izin dari pegawai atasan untuk jual waktu rehat sahaja.
Bermulalah operasi kami berniaga karipap yang habis laris dijual. Tak cukup itu, balik kerja jam 5 petang, saya dan rakan serumah bekerja sambilan di restoran makanan segera untuk cari duit lebih, kami nak sambung belajar dan ambil lesen kereta.
Dipendekkan cerita ada satu peristiwa yang buat saya menangis. Sewaktu saya sedang ambil order, tiba-tiba saya ditengking kerana pelanggan itu mahu cepat. Dia marah dengan kata-kata kesat dan menghina. Saya lari ke belakang dan kebetulan peti sejuk beku itu terbuka. Cepat-cepat saya berlari masuk, menangis dalam peti sejuk beku tanpa sedar pintu tertutup.
Tiba-tiba saya sedar bila rasa kenapa badan makin sejuk melampau. Saya nampak pintu tertutup dan mula cemas. Nasib baik rakan-rakan cari saya dan salah seorang buka peti tersebut. Waktu tu saya dah membiru.
Ads
Saya berterima kasih pada hinaan seorang hamba Allah kerana di saat itu saya mula berazam untuk jadi usahawan berjaya dan kaya. Macam-macam dalam fikiran bermain dalam otak kepala saya ketika itu sebab terlalu geram.
Hasil niaga karipap di pejabat pula saya beli cincin emas, saya beli 4 bentuk buat setiap adik-adik yang sama berniaga sebagai tanda kenangan kami bersama.
Pengalaman bekerja sambilan sampai kejang kaki dan bangun sebelum Subuh untuk buat karipap. Namun semua kenangan masa muda ini, menjadi saya lebih matang untuk meneruskan kehidupan,” cerita Nur Hati sambil tersenyun sendiri.
Setahun kemudian Nur Hati menerima tawaran sebagai guru ganti di sebuah sekolah rendah. “Seronok teringatkan kenangan lalu, bila anak murid datang ke kereta untuk bantu kita angkat buku. Mereka suka lihat cikgu sebab berkasut tinggi, dari jauh dah dengar saya catwalk.
Ads
Jika dulu mengajar tidak sama dengan sekarang, kami tidak dibenarkan pakai kebaya tapi saya pakai juga. Peristiwa menarik di sini saya disukai oleh seorang murid tahun 6 dalam diam, kantoi bila diari pelajar tersebut telah diserahkan oleh rakannya kepada guru lain, kecoh! Mulai saat itu, saya takut dan pakai baju kurung, tetapi tetap setiap hari saya dapat bunga, banyak cawan dan coklat walaupun baju kurung.
Pengajaran di sini bukan sebab baju tapi bersikap baiklah pada pelajar. Anggap mereka seperti kawan kerana akhirnya mereka akan sayang cikgu tanpa paksaan,” Nur Hati ketawa sendiri mengimbas kenangan mencuit hati.
“Seterusnya saya ambil PJJ dan pada masa yang sama dapat jawatan tetap sebagai pembantu guru. Namun tak lama selepas itu, saya letak jawatan kerana saya lebih suka berniaga. Waktu itu saya bersalin anak sulung dan mula fokus bisnes andaman dan spa pada awal pembabitan saya dalam dunia perniagaan.
Saya ada dua butik andaman dan sebuah spa. Setelah dua perniagaan kecantikan ini kukuh, saya buka kilang kecil di kawasan kampung di Johor dengan hanya lima pekerja kerana hobi saya suka memasak. Di sini bermulalah proses membuat popia mini udang bersira, di atas nama Ai Food. Alhamdulillah berjaya.
Ketiga-tiga perniagaan berjaya sehingga keuntungan seminggu mencecah RM12,000, saya memiliki rumah banglo pada usia 26 tahun dan punya van syarikat yang dibayar tunai. Saya rasa ketika itu adalah kemuncak kejayaan saya dalam berniaga. Dalam keindahan menikmati detik mewah ketika itu, bermulalah ujian besar dalam hidup saya…”
Ikuti sambungan kisah Nur Hati di bahagian 2…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keluarga dan kerjaya perlu seimbang. Bak kata Pengarah KPJ Healthcare, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir ini, “Untuk berjaya bukan mudah. Tahap yang perlu dilalui seorang wanita adalah amat sukar kalau mereka ingin maju. Tapi tak bermakna kita tak boleh capai sesuatu matlamat itu. Dengan sedikit pengorbanan misalnya ketika saya tak mampu habiskan kerja di pejabat, saya akan bangun pagi sebelum Subuh dan lakukan apa yang perlu saya lakukan.”
Bagi wanita bekerjaya, pasti inilah rutin yang harus mereka tempuh setiap hari. Kelam-kabut dibuatnya hendak menguruskan bermacam-macam tugas dalam satu-satu masa. Namun, dengan sokongan padu keluarga, disiplin yang tinggi dan rasa bertanggungjawab semuanya berjalan lancar.
Berpuluh-puluh tahun mengerah keringat untuk pembangunan KPJ sehingga memiliki nilai pendapatan melebihi RM2 bilion, ini rupa-rupanya yang dilakukan Tan Sri Siti Sa’diah, “Sambil masukkan baju dalam mesin, saya masak air, saya boleh tengok notes dan tiba waktu Subuh.. solat Subuh.
Kita kena pelbagaikan tugas-tugas tu. Jangan manjakan diri. Kita sendiri patut tanam semangat kuat bekerja bukan saja kepada diri kita tapi anak-anak dan mereka yang kita uruskan. Kalau kita malas, kita takkan capai kejayaan. Sekarang ni bukan soal hard work tapi work smart. Maknanya boleh bahagikan masa antara keluarga.
Sejak saya mula menceburi bidang korporat ni, semasa anak-anak masih kecil.. saya tak terlalu memanjakan diri saya, saya bekerja keras, mencari pengalaman dan di samping itu memberi tauladan kepada anak-anak. Saya tidak menonton televisyen sepanjang masa. Saya akan duduk dengan anak-anak di meja. Mereka belajar menghafal atau membaca dan saya sendiri dapat buat kerja saya sendiri sambil mendengar apa yang mereka buat.
Saya melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu sebagai satu ibadah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesabaran, dedikasi, komitmen dan integriti tinggi demi memperoleh kejayaan. Bapa saya berpesan supaya menjadikan amanah sebagai amalan hidup dan saya juga perlu memastikan keseimbangan dalam menguruskan kerjaya dan keluarga saya.”
Memang cekal jiwa dan semangat wanita inspirasi berusia 64 tahun ini. Apa yang telah dilakukan Tan Sri Siti Sa’diah nyata satu perkara yang sangat membanggakan khusus kepada seluruh kaum wanita. Beliau merupakan ibu kepada tiga orang cahaya mata serta lapan cucu dan berjaya meletakkan syarikat KPJ Healthcare tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur.
“Syukur alhamdulillah, semua dipermudahkan oleh Allah SWT kerana saya berjaya menaikkan nilai syarikat KPJ menjadi sebuah syarikat besar berpendapatan lebih RM2 bilion setahun dengan modal pasaran semasa lebih daripada RM3 bilion pada akhir tahun 2012. Detik itulah juga saya bersara setelah hampir 38 tahun berkhidmat dengan KPJ dan selama 20 tahun memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun keputusan Rena Ali untuk berkahwin muda pernah mengecewakan ibu bapa, namun hati orang tua, tidaklah mereka menentangnya. Ibu tetap ada kala Rena memerlukan dan setelah tujuh tahun merantau di tempat orang, akhirnya wanita ini pulang ke pangkuan keluarga. Berbezanya kepulangan kali ini lebih bermakna kerana Rena terus mantap memajukan empayar perniagaan, R-Originz Balloon Decoration & Renz Surprise Attack Semporna.
“Pada awal tahun 2012 saya hanya bantu suami dalam bidang dekorasi belon, waktu itu suami bekerja dengan sebuah syarikat yang menyediakan servis dekorasi di Kota Kinabalu. Sampailah ke satu tahap di mana kami terpaksa balik ke daerah asal Semporna untuk menjaga kedua mak ayah saya yang sudah agak berusia.
Adik-beradik yang lain masing-masing terpaksa berpindah atas tuntutan kerja. Jadi saya memberanikan diri pulang menjaga ibu dan ayah. InsyaAllah bagi saya rezeki boleh dicari, kasih sayang keluarga tiada gantinya.
Saya dan suami mengambil keputusan untuk membuka bisnes perkhidmatan dekorasi belon ni di daerah sendiri. Waktu itu di Semporna memang tiada orang yang menjalankan bisnes seperti ini. Kiranya saya adalah individu pertama yang menyediakan servis sebegini.
Tapi masa itu kami tiada kedai sendiri, semuanya buat di rumah. Kalau ada pelanggan yang berminat mahu gunakan servis kami, mereka terpaksa datang rumah ataupun saya yang datang terus untuk berjumpa dengan pelanggan. Setelah beberapa tahun menjalankan bisnes dekorasi belon, saya terfikir untuk tambah cabang baru iaitu Bouquet Decoration & Surprise.
Semuanya saya buat dari rumah, sehinggalah ramai yang kenal dengan servis yang saya sediakan. Permintaan pula sangat-sangat tinggi. Alhamdulillah, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapalah tahu. Kami dapat tawaran kedai pada tahun 2017 di Arked MARA Semporna dan sekaligus menjadi usahawan MARA di sana.
Selepas beberapa bulan, barulah saya mengambil beberapa orang pekerja untuk membantu. Mungkin rezeki saya dan keluarga, pada tahun 2019 saya mula melebarkan sayap perlahan-lahan ke beberapa daerah lain iaitu Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.
Saya bermula dengan membuka mini outlet yang diuruskan oleh individu dalam kalangan adik-beradik sendiri. Alhamdulillah sehingga ke hari ini kedai saya masih beroperasi seperti biasa dengan membekalkan barang keperluan perkhawinan dan dekorasi kepada para pembuat bouquet & surprise delivery yang lain di daerah Semporna,” ujar wanita berusia 35 tahun dan menjadi ikon usahawan di Semporna ini.
Kenangan sepanjang dalam perniagaan, “Masa memulakan perniagaan, ada juga di antara mereka yang ketawakan saya bila hantar surprise hadiah kepada pelanggan sambil menyanyi tetapi saya sentiasa abaikan semua tawa itu. Saya anggap itu membakar semangat untuk saya cari rezeki dengan cara saya sendiri.
Pernah ada juga pelanggan yang menangis bila terima hasil kerja saya sebab mereka tidak sangka harga murah dan tidak seperti yang mereka sangkakan. Biasanya saya boleh nampak kesungguhan mereka untuk surprisekan insan tersayang, sebab itu saya tidak meletakkan harga yang tinggi dalam perkhidmatan ini. Bagi saya, semua berhak berasa gembira,” jelas Rena sambil tersenyum.
Rena terus bersyukur dengan segala yang dikecapi sekarang. Paling membanggakan, dia mampu mencukupi keperluan ibu bapanya hasil dari rezeki perniagaan tersebut. “Pak selalu cakap tiada harta dia tinggalkan untuk kami adik-beradik dan hanya mampu memberi peluang pendidikan semampunya. Dari kecil mereka sentiasa mengajar kami agar hidup bantu-membantu orang yang lebih susah, walaupun kita susah ada lagi yang lebih susah.
Mereka juga selalu berdoa agar Allah sentiasa memberikan rahmat dan rezeki terbaik buat anak-anaknya. Saya percaya dengan berkat doa dan pengorbanan saya menjaga mereka, Allah permudahkan pintu rezeki kita. Aamin.”
Rena terus gigih dalam memperkasakan perniagaannya. “Pak saya adalah orang paling bersemangat masa kami mula menjalan perniagaan ini. Pak buatkan bilik kecil di rumah untuk saya membuat kerja dekorasi. Bila saya perlukan pemandu dan pembantu, Pak orang pertama yang sentiasa ada membantu saya dan suami.
2019 saya bagaikan hilang semangat bila Pak meninggalkan kami semua. Semuanya berlaku secara tiba-tiba dan Mak terus menyuntik semangat untuk saya terus bangkit dan kuat. Alfatihah,” ujar Rena yang aktif bersama Persatuan NGO dan juga bergerak secara solo dalam melaksanakan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan perkuburan berhampiran sambil menghulurkan bantuan buat mereka yang memerlukan.
w
Pesan Rena buat wanita yang ingin baru mula berjinak dalam bidang perniagaan, “Kita mesti yakin dengan setiap apa yang kita lakukan. Hari ini kita mungkin gagal tetapi tidak bermaksud kita gagal untuk selamanya. Setiap masalah dan cabaran yang datang itu, kita kena anggap sebagai penyuntik serta pembakar semangat untuk kita lebih maju ke hadapan.
Berfikir dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bila ditimpa masalah, bukan berfikir tentang masalah yang dihadapi itu. Akhir sekali, sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif untuk kekalkan momentum agar lebih kuat di masa hadapan, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Membina empayar perniagaan sendiri bukanlah mudah. Ia menuntut pengorbanan masa, tenaga dan ilmu dalam bidang perniagaan agar jenama yang dibina dapat bersaing serta meneruskan legasi untuk generasi akan datang.
Itulah antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Mas Haryati Baharudin apabila membina legasi perniagaannya yang diberi nama Fillea Health and Beauty Sdn Bhd (Fillea Health and Beauty) yang mengeluarkan produk berjenama Fillea.
Membuka bicara mengenai jenama yang diusahakan, Mas Haryati pernah melalui pelbagai fasa sebelum melangkah ke gerbang usahawan.
“Saya pernah menjadi seorang ejen insuran selama 6 tahun. Pada 3 tahun terakhir bergelar ejen insuran, saya telah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menjual pakaian wanita. Dari situ saya mendalami asam garam dunia perniagaan sebelum kewujudan perniagaan atas talian.
Anak jati Felda Raja Alias 1, Jempol Negeri Sembilan ini pernah melalui fasa kegagalan apabila perniagaan pakaian yang diusahakan tidak mendatangkan pulangan seperti yang diharapkan. Sekaligus ia telah memberi tekanan buat dirinya sehingga mengabaikan penampilan diri akibat masalah penambahan berat badan secara mendadak.
“Apabila perniagaan pakaian tidak berjaya, saya alami tekanan apatah lagi apabila melihat lambakan stok di rumah. Saya mengalami masalah tekanan sehingga melibatkan masalah penambahan berat badan yang mendadak. Dari situ bermula episod saya mula mencari “slimming product” untuk membantu saya dalam proses penurunan berat badan.
Berkat usaha saya dan suami, kami berjaya mencari satu produk yang membantu dalam penurunan berat badan tanpa memulaskan perut tetapi membantu mengawal selera makan pada peringkat awal. Maka terhasillah jenama FILLEA,” ujar Mas atau lebih mesra di sapa Massieww.
Fillea Health & Beauty merupakan syarikat pengeluar barangan kesihatan dan kecantikan. Ia menghasilkan tiga jenis produk di bawah jenama FILLEA iaitu tablet Fillea, bengkung dan girdle. Menurut Massieww, nama Fillea tercetus hasil gabungan idea suami isteri yang mencari nama produk yang bersesuaian dengan produk yang dihasilkan. Fillea Health and Beauty ditubuhkan pada tahun 2019.
“Wujudnya nama FILLEA berlandaskan segala kegagalan yang pernah saya lalui dan menjadi penguat semangat saya sehingga hari ni . Maksud sebenar FILLLEA adalah Feel The Fear (FILLEA) dan menjadi pegangan saya untuk mengatasi segala rasa ketakutan atau kegagalan yang pernah saya alami,” ujar Massieww yang kini mempunyai 13 orang kakitangan dan dalam proses membuka cawangan di Ipoh, Perak tidak lama lagi.
Mengulas mengenai produk di bawah jenama Fillea, beliau berkata, ia lebih memfokuskan kepada produk ‘supplement’ yang membantu individu mengawal berat badan sekali gus memiliki tubuh badan langsing.
Di sebalik kejayaan yang dikecapi, Massieww juga tidak terlepas dari berhadapan dugaan dalam perniagaan apatah lagi apabila terpaksa menanggung kerugian mencecah setengah juta ringgit apabila diserbu oleh pihak Kementerian kesihatan Malaysia hanya kerana satu insiden yang berlaku terhadap produknya.
“Bulan Mei 2020 merupakan sejarah hitam dalam hidup saya dimana saya mengalami kerugian sehingga setengah juta ringgit akibat daripada serbuan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Pihak KKM menerima aduan bahawa produk saya telah melanggar etika pengiklanan dan pemasaran (bahagian kotak) dan pihak KKM telah merampas semua produk saya sehingga gudang menjadi kosong.
Kejadian ini telah mengakibat tekanan emosi kepada saya, kerana ketika itu kami baru sahaja memulakan kembali perniagaan usai pandemik. Separuh daripada stok yang dirampas merupakan stok yang telah dibayar oleh reseller.
Hilang seribu kata, hanya linangan air mata sahaja yang tersisa. Saya mulai bangkit untuk“fight case” itu , tetapi malangnya kerana pandemik banyak urusan tertangguh kerana kebanyakan pejabat untuk berurusan masih tidak beroperasi sepenuhnya.
Akibatnya produk saya menghampiri tarikh luput ketika kes diselesaikan,” ujar Massieww bercerita saat kejatuhan yang menguji keyakinannya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang perniagaan ini.
Menyentuh soal pendorong utama kejayaan penerima penganugerahan NONA Superwoman Award menerusi NONA BEST HALAL SLIMMING SUPPLEMENT AWARD meletakkan suami tersayang sebagai pendorong utama untuk dirinya dalam kerjaya dan bisnes yang diusahakan.
“Suami saya,Muhammad Faizal Mohd Zazali bertindak sebagai Pengarah Urusan Fillea. Dia banyak membantu saya dengan memberi semangat serta dorongan bukan sahaja dari segi fizikal dan mental.
Dia juga banyak mengambil alih urusan pejabat terutama dalam bahagian operasi supaya saya mempunyai banyak masa dan lebih fokus pada bahagian pemasaran dan pengambilan “reseller”. Alhamdullilah, saya dan suami bekerjasama secara professional di pejabat. Tetapi di rumah, saya merupakan seorang isteri dan ibu,” ujar Massieww lagi.
Untuk info, Fillea baharu sahaja melancarkan produk terbaharu, Hot Charming Cream yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu. Menurut Massieww lagi, setelah melalui beberapa proses research & development terhadap produk terbaharu itu, akhirnya produk keempat Fillea telah dilancarkan baru-baru ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.