Wanita yang berasal dari selatan tanahair ini banyak berkongsi ilmu pemakanan bukan sahaja melalui seminar, bengkel, radio serta rancangan temu bual televisyen. Dia juga menyediakan resipi berkhasiat khusus untuk pesakit yang ingin menjalani gaya hidup sihat di bawah syarikat miliknya, Indra Balaratnam Nutrition yang terletak di Petaling Jaya Selangor.
Pengalaman selama 20 tahun sebagai Perunding Pemakanan beliau gunakan untuk membantu pesakit dalam kondisi kesihatan seperti diabetes, obesiti, penyakit jantung, kehamilan, pemulihan selepas pembedahan, sukan dan pemakanan kanak-kanak.
Ibu kepada seorang cahayamata yang kini telah mencecah usia 12 tahun ini berkata dia sering diajukan pertanyaan tentang bagaimanakah dia mendidik keluarganya untuk makan mengikut pola pemakanan yang disyorkan.
“Saya tidak nafikan Skyler sama seperti kanak-kanak lain yang gemar makanan yang manis. Masalah berpunca daripada amalan pemakanan kanak-kanak yang lebih gemar sajian mengandungi kadar gula dan lemak tinggi seperti aiskrim, donut manis, roti krim, gula-gula, bijirin sarapan, biskut serta minuman berkarbonat.
Ads
Tetapi sebagai pakar pemakanan, saya sentiasa mengingatkan dirinya kebaikan sayuran dan buah-buahan dalam diet seharian. Jadi, cara terbaik untuk atasi masalah tersebut adalah dengan ‘menyembunyikan’ kehadiran sayur-sayuran di dalam makanannya.
Setakat ini trik tersebut berjaya dan Skyler menikmati hidangan yang saya masak di rumah,” ujar Indra yang sering berkongsi trik dan petua untuk menggalakkan wanita berkerjaya menyediakan sendiri hidangan untuk keluarga bagi memastikan hidangan yang disajikan tinggi khasiat dan kebersihan yang terjamin.
Ads
Ketika ditanya bagaimana dia memilih bidang pemakanan sebagai kerjayanya, Indra berkata minat timbul kerana dia agak cerewet soal pemakanan dan melihat kerjaya sebagai pakar nutrisi sebagai satu kerjaya yang penuh cabaran.
“Ketika masih kecil, saya pernah berhadapan dengan masalah picky eater. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, masalah tersebut dapat diatasi.Sebaik menamatkan persekolahan di peringkat menengah, saya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang pemakanan. Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang dan berazam mendidik masyarakat untuk lebih menghargai kesihatan melalui pemakanan yang baik,” ujar Indra yang berdarah kacukan Cina di sebelah ibu dan india di sebelah bapanya.
Ads
Sebelum mengakhiri perbualan Indra sekali lagi berpesan tentang kepentingan ibu bapa mendalami maklumat mengenai sajian terbaik untuk anak-anak.
“Bagi mengatasi dan membendung obesiti kanak-kanak, ibu bapa adalah golongan utama yang perlu memainkan peranan mengawal dan menentukan jenis hidangan dinikmati anak-anak Ibu bapa harus mempunyai maklumat mendalam bagi membantu mereka mengetahui sajian terbaik untuk anak-anak.
Pada masa sama ibu bapa sendiri perlu menikmati atau menyediakan hidangan berkhasiat di rumah supaya ia turut dimakan anak-anak.Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu menerangkan secara terperinci kepada anak-anak mengapa sesuatu makanan itu perlu atau tidak perlu dimakan,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Eriyca Baiduri Abd Rashid mempunyai cita-cita sebagai Pembaca Berita tetapi rezeki wanita berdarah Melayu dan Thailand ini lebih menjurus ke bidang perniagaan. Menyambung pelajaran di peringkat Diploma dalam Penjagaan Diri telah mencetuskan idea untuk menceburi perniagaan berkaitan kecantikan. Pengasas kepada produk kecantikan Noir Health & Beauty ini optimis terhadap perniagaan yang telah mencipta namanya.
“Saya berkahwin pada usia yang terlalu muda. Tetapi itu bukan alasan untuk saya duduk bergoyang kaki sahaja. Saya mahu merealisasikan cita-cita untuk mempunyai perniagaan sendiri walaupun pada mulanya suami tidak menggalakkan. Suami lebih suka saya duduk di rumah sahaja. Tetapi, apabila melihat kesungguhan dan komitmen saya terhadap perniagaan, suami membenarkan malah menjadi penyokong kuat di belakang saya.
Adat dalam membina perniagaan sudah pasti ada pasang dan juga surut. Berkecimpung dalam dunia perniagaan di usia yang sangat muda dan mengalami saat jatuh beberapa kali dalam perniagaan telah mematangkan diri. Akhirnya kini saya mampu memiliki apa yang saya impikan walaupun perjalanan saya masih jauh lagi.
Saya berusaha keras bagi memastikan perjalanan produk Noir ini terus melekat di hati masyarakat terutama wanita yang mementingkan kecantikan. Produk serum dan krim pelindung tabir suria merupakan star product meniti dari bibir ke bibir wanita yang berpuas hati dengan keberkesanan kedua-dua produk ini. Saya telah merencana beberapa rancangan pada tahun ini dan mahu memperkembangkan lagi produk Noir di pasaran luar seperti Indonesia dan Singapura,” ulas wanita berkulit putih gebu ini bersungguh-sungguh ketika berbicara tentang produk yang telah diusahakannya ini.
Cabaran dalam bidang perniagaan bukan suatu yang mudah untuk diaturkan. Percaturan yang besar seperti untung sabut timbul untung batu tenggelam tidak pernah singgah dalam kamus kehidupan wanita mudah mesra ini. “Seperti yang kita sedia maklum produk kecantikan kini tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Setiap hari pasti muncul jenama baharu di pasaran. Itu belum termasuk lagi jenama luar negara yang telah bertapak kukuh di kaunter-kaunter kecantikan pasar raya besar.
Saya menganggap persaingan adalah suatu yang sihat dan setiap produk masing-masing mahu menjadi yang terbaik. Situasi ini paling menguntungkan kepada pengguna kerana dapat manfaat yang terbaik dalam setiap produk. Cabaran ini telah menyuntik semangat dalam diri ini dan perlu bekerja lebih keras kerana persaingan di dalam bidang kosmetik terlalu banyak.
Bagaimanakah cara mahu agar terus kekal dalam bidang perniagaan? Pada saya tiada jalan mudah untuk berjaya. Sesiapa sahaja yang mengusahakan perniagaan sendiri mempunyai percaturan yang tersendiri. Saya perlu konsisten, sentiasa menambah ilmu tentang perniagaan, menambah baik ilmu dalam pemasaran, produk dan perkhidmatan serta yang paling penting disiplin diri,” jelas wanita yang turut menjual produk secara atas talian ini.
Ketika diajukan pertanyaan tentang rancangan masa depannya dengan tegas wanita ini mahu mengembangkan lagi produk kecantikannya. Tambahnya perniagaan berasaskan kecantikan yang diusahakannya ini bukan membabitkan dirinya seorang diri. Terdapat agen dan stokis yang berdiri kukuh di belakangnya sentiasa menyokong di antara satu sama lain.
“Sebagai pengasas produk saya tahu peranan agen dan stokis sangat penting dalam meningkatkan perniagaan. Saya tidak akan menjadi seperti sekarang tanpa sokongan padu daripada mereka. Hubungan saya dengan agen dan stokis sangat rapat umpama adik-beradik. Kami sering berbincang bagaimana mahu meningkatkan perniagaan dan mahu menyasarkan perniagaan ke tingkat mana.
Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih dan tanpa kenal erti jemu. Bagi saya untuk berjaya perlu sentiasa yakin pada diri sendiri, tidak pernah kenal erti malu untuk berjaya atau meningkatkan perniagaan dan mempunyai disiplin yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara.
Apakah ketakutan dalam perniagaan? Untuk sukses dalam perniagaan tidak perlu ada istilah takut dalam diri. Tetapi bagi saya perasaan ini perlu ada agar tidak sentiasa mendongak ke langit tanpa memandang bumi di bawah. Saya sentiasa takut tidak berada di arah yang betul dalam perniagaan atau tersasar pada matlamat asal untuk membina perniagaan ini,” ujar Eriyca sambil tersenyum.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dari Shah Alam ke Ipoh, fikiran penulis ligat berputar memikirkan cara untuk memendekkan tempoh penggambaran. Kasihan kalau Dato’ Ustaz Kazim perlu berlama-lama di depan kamera dengan kesihatan sekarang. Kami harus ekstra pantas, itu rancangannya.
Namun sangkaan kami terhadap komitmen pendakwah selebriti itu jauh meleset. Tiba di Pusat Pendidikan Al-Barakah, Kg. Manjoi di Ipoh, penerima anugerah Darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena Hari Wilayah Persekutuan 2015 dan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) ini sudah menunggu dengan senyuman manis. Nampak lebih segak daripada biasa, Ustaz Kazim memberi kerjasama luar biasa demi Majalah Nona.
“Jemputlah makan tengah hari dulu, baru semangat nak bekerja…” pelawa beliau sedari melihat kami sampai dari jauh.
Segak dan profesional, gaya Dato’ Ustaz Kazim Elias mencuri perhatian
Saksikan rakaman eksklusif di sebalik tabir Majalah Nona bersama Dato’ Ustaz Kazim di Pusat Pendidikan Al-Barakah ini…
Sifat ramah dan menyenangkan itu jelas menyerlahkan ciri-ciri Tokoh Maal Hijrah 1437H Negeri Perak itu yang selama ini terkenal dengan kebaikan hati. Sentiasa tenang. Suka tersenyum. Dan cool!
Selesai mengancing kemeja dan menyarung kot, Ustaz Kazim membetulkan posisi songkok hitam di kepala. Memang segak orangnya!
Karisma penulis buku dan penceramah asal Perak itu makin terserlah saat berbicara, diam-diam siapa sangka kalau beliau sebenarnya langsung tidak pernah tidur, apatah lagi menderita sakit kulit akibat buatan orang.
Dato’ Ustaz Kazim Elias sebagai penghias cover digital Nona Julai 2022
Baju Melayu: Wak Doyok Clothing
25 tahun ‘berlawan’ dengan penyakit sihir, Dato’ Ustaz Kazim Elias yang bakal mencecah umur 50 tahun kini terbuka berbicara tentangnya, bukan untuk menakutkan tapi mencari jalan penyelesaian.
“Orang-orang cakap Ustaz Kazim tu sakit, tapi boleh buat kerja. Dulu-dulu kalau saya sakit, banyaklah orang bantu saya. Tapi lama-kelamaan saya tak boleh duduk diam, tak boleh tidur atau duduk saja layan sakit tu.
Saya kena bangun, sebab tu sakit pun saya buat kerja. Sekurangnya ia melupakan saya tentang penyakit dan saya boleh buat kerja macam biasa.” Ustaz Kazim
Penyepit baju ini dikatakan dapat menahan darah yang tiba-tiba keluar daripada cuping telinga
Di atas jalan dakwah dan jihad fisabilillah, Ustaz Kazim berjuang meninggikan kalimah Allah, membangun pusat tahfiz dan melindungi orang tua dengan sisa kudratnya yang terbatas.
Rela mati demi meneruskan perjuangannya berdakwah di jalan Islam, Ustaz Kazim bercerita panjang kepada penulis tentang respons isteri dan anak-anak ketika beliau diuji dengan penyakit sihir. Bersambung…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Adat dalam fasa awal perkahwinan mengenali hati budi pasangan dan sikap masing-masing. Pelakon Diana Rafar juga seperti isteri yang lain mula mengenali siapakah suaminya sepanjang perkahwinan mereka.
Malah Diana telah berkongsi di media sosialnya tentang anak lelakinya yang saling tak tumpah dengan sikap suaminya yang juga pelakon, Zamarul Hisham.
Kongsi Diana, “Dulu baru-baru kahwin dengan Zamarul Hisham susahnya lah nak sesuaikan diri. Rasa apa kita buat semua serba tak kena. Gosok baju dia kata tak licin, basuh pinggan tak kilat dan susun barang tak cantik. Habuk rumah tak boleh ada tapi alhamdullilah lama-lama dia buat semua sendiri dah tak kacau saya. Syukurlah asalkan dia rajin mengemas.
Ingatkan semua tu dah berlalu dah tak rasa perasaan tu lagi, rupanya turun ke anak bujangku Kashfi Haiqal. Allahhu! Takut mama. Nak keluar rumah 3 kali tukar baju, sikat rambut dia kata salah, pinggan dia setitik kotor pun tak boleh ada, sudu nak kena kilat mashaallah.
Baru mama nak rasa okay dari perangai papa dulu rupanya turun ke anak. Apa pun mama bersyukur Allah kurniakan mama anak yang pembersih, dan banyak ajar mama erti kesabaran. Walaupun kadang menguji iman mama. Harap Kayla tak ikut perangai papa.
Mama pegang 1 prinsip anak itu tetamu Allah, jangan mengeluh jaga lah amanah Allah itu dengan kasih sayang dan baik. Mama luv kash forever sayang … moga jadi anak yang soleh dunia akhirat sayangku,” kongsi Diana Rafar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!