Pakar Trichologist Ini Dedah Punca Sebenar MASALAH KEGUGURAN RAMBUT, Patutlah Wanita Selalu Kena!

Salah satu masalah rambut yang sering menghantui wanita adalah keguguran serta penipisan rambut. Tak kira berhijab atau tidak, dua masalah ini mampu mendorong kemurungan.

Bagi mendapatkan penjelasan pakar, Nona bertemu Trichologist dari CitySkin MediSpa, Siti Farah Azwin Abd Khalid. Menurut beliau, masalah rambut gugur sering mengganggu keyakinan diri sesiapa pun termasuklah golongan remaja dan kanak-kanak.

Masalah kulit kepala juga akan mengganggu keyakinan diri seseorang. Antara masalah kulit kepala adalah seperti kelemumur, kegatalan dan kemerah-merahan di kulit kepala.

“Secara psikologi rambut yang menipis serta keguguran rambut yang ketara akan mengganggu emosi seseorang. Tambahan pula, kajian mendapati ia juga boleh membawa kepada perasaan yang dibesar-besarkan tentang keburukan terhadap diri sendiri, tahap kesihatan seseorang dan dalam kes-kes paling teruk, mencetuskan gangguan dysmorphic badan, apabila pesakit mengalami kebimbangan akut tentang penampilan mereka.

Ramai trichologist juga dapat mengesan isu kurang keyakinan diri serta gangguan mental terhadap individu yang menghadapi masalah kebotakan atau keguguran rambut. Kualiti hidup mereka biasanya terjejas.

Keguguran rambut serta masalah kulit kepala yang serius, jika tidak dibendung akan membawa kepada kemurungan. Mereka jadi seorang introvert, wujud rasa malu untuk bersosial atau beriadah, perasaan emosi bawah sedar seperti iri hati terhadap kecantikan rambut orang lain serta ketidakpuasan dengan penampilan diri dan imej badan.

Wanita yang berhijab mungkin mampu menyorokkan masalah ini buat seketika tapi ia tak mampu mengasingkan perasaan atau keinginan memiliki rambut yang cantik dan sihat. Bagi yang tidak berhijab pula, memiliki rambut yang cantik dan sihat sememangnya penting agar sentiasa kelihatan muda jelita,” ungkap Farah.

Menurut ahli Klinikal Trichologist ini lagi, faktor-faktor yang menyebabkan rambut gugur adalah peningkatan usia, kekurangan zat nutrisi, tidak mengambil suplemen yang cukup, pengambilan pemakanan yang tidak seimbang, pengambilan ubat-ubatan seperti pil perancang yang tidak sesuai untuk badan, sedang menjalani rawatan kesihatan akibat sakit yang kritikal, ketidakstabilan hormon dan genetik.

Bagi mengelakkan rambut gugur di peringkat awal, anda mestilah mendapatkan nasihat daripada Pakar Trichologist untuk cara penjagaan rambut gugur di rumah. Pemilihan syampu dan serum yang sesuai memainkan peranan yang penting dalam penjagaan rambut dan kulit kepala untuk mengelakkan kesan rambut gugur yang ketara.

Antara ciri-ciri syampu yang selamat digunakan untuk pertumbuhan rambut serta mengelak keradangan kulit kepala adalah tidak mengandungi sodium laureth sulfate (SLS), tiada kandungan sodium laureth ester sulphate (SLES), tiada kandungan alkohol. Jika penggunaan syampu yang mempunyai kandungan kimia yang tinggi lama-kelamaan akan memberi impak kepada kesihatan rambut dan kulit kepala seseorang.

Syampu dan serum yang bagus perlu diperbuat daripada bahan-bahan natural dan organik serta bebas daripada bahan kimia berbahaya. Minyak essential yang berkualiti tinggi dapat membantu mengaktifkan pertumbuhan rambut hingga ke peringkat matriks rambut.

“Selain pemilihan syampu rambut yang sesuai, teknik semasa dan selepas cucian adalah penting bagi mengelakkan rambut daripada keguguran. Antara cara cucian yang betul dan selamat untuk kulit kepala adalah ketika cuci rambut elak daripada menggunakan kuku untuk mencuci kulit kepala. Sebaliknya guna hujung jari untuk mengelakkan cakaran secara halus oleh kuku ke atas kulit kepala.

Selesai mencuci rambut, usap rambut dengan tuala yang kering dan bersih serta elakkan menyental rambut dan kulit kepala dengan kuat. Pastikan rambut anda betul-betul kering sebelum keluar rumah atau memakai penutup kepala,” nasihatnya.

Tambahnya lagi, rawatan yang sesuai untuk rambut gugur bergantung kepada setiap individu. Antara rawatan yang boleh dijalankan untuk individu yang mempunyai masalah rambut gugur adalah, mendapatkan rawatan untuk memperbaiki ketidakstabilan hormon (Bio-identical Hormone Replacement Therapy) di Pusat Trichology. Selain itu, pengambilan suplemen seperti DHT Blocker, serta asid amino boleh membantu dari rambut gugur.

Kaedah rawatan hair spa rejunevation adalah salah satu rawatan rambut yang sesuai bagi individu yang menghadapi masalah rambut gugur kerana teknik rawatan ini menitikberatkan poin urutan limfa yang membantu membuang toksin dan mengembalikan kestabilan pH yang betul di seluruh kulit kepala.

Selain itu juga, kaedah rawatan terkini seperti PRP Therapy (Platelet Rich Plasma) juga boleh membantu penumbuhan rambut. Selain itu penggunaan Laser Hat teknologi dapat membantu peredaran darah di sekitar kulit kepala.

“Pemeliharaan rambut gugur setelah mendapatkan rawatan yang boleh dilakukan di rumah adalah menggunakan syampu dan serum yang telah dinasihatkan oleh pakar Trichologist. Ambil suplemen dan nutrisi yang seimbang serta pengambilan hormon yang tepat.

Wanita berhijab mempunyai kelebihan dalam aspek penjagaan rambut antaranya adalah rambut dilindungi dari pancaran sinar UV yang keterlaluan untuk jangka masa yang lama. Selain itu, kulit kepala juga tidak terdedah kepada persekitaran luar yang berhabuk.

Namun, masalah rambut gugur jika ianya tidak dipantau dan dijaga, akan cenderung kepada masalah botak. Jika seseorang individu itu mempunyai masalah rambut yang berpunca daripada masalah genetik kemungkinan akan mengambil masa yang lama untuk sembuh. Akan tetapi setiap masalah rambut boleh diatasi dengan cara yang betul.” pesannya. Hamizatul Maizan Mohamed

IKLAN
Share