Setelah namanya mulai dikenali setelah berjaya menjadi Finalis Dewi Remaja, pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling binti Abdul Rahman Jobling atau lebih mesra disapa sebagai Anna Jobling, mula giat menempa nama dalam industri hiburan tanah air.
Malah, sejak membintangi drama Melur Untuk Firdaus, nama Anna Jobling melonjak dengan begitu pesat sehingga menjadi pilihan pengarah-pengarah di Malaysia.
Lebih menarik lagi, Anna tidak hanya menempa nama di Malaysia, namun aura serta kejelitaan kacukan inggeris-melayu Anna turut mendapat tempat di hati rakyat Indonesia dan Singapura.
Ads
Para peminat Anna Jobling juga turut terdiri dari pelbagai lapisan umur. Dari orang dewasa sehinggalah ke kanak-kanak, ternyata bintang Anna Jobling kini sedang berada dipuncak dan kian menyinar dengan sikapnya yang sentiasa menunduk ke bumi dan pandai membawa diri.
Mulianya Hati Anna Jobling, Santuni Anak Syurga!
Terdahulu, media pernah melaporkan pelakon dan model jelita ini mendapat perhatian ramai apabila dia meluangkan masa bertemu dengan seorang ‘anak syurga’, yang juga merupakan salah seorang peminat Anna.
Menerusi hantaran Istagram @annaluvstory berkongsi gambar dan video Anna Jobling yang hadir menyantuni adik Sofia Humaira. Menerusi sumber, adik Sofia ada menyatakan hasrat untuk bertemu Anna semasa dia berada di ICU Hospital Besar Kuala Lumpur, namun hasratnya itu tidak kesampaian.
Lantas, Anna mengambil keputusan untuk menjumpa sendiri dengan adik Sofia sambil ditemani ibu bapanya. Menerusi gambar-gambar yang dikongsi, terserlah riak kegembiraan di wajahnya apabila hajat dapat bertemu dengan pelakon kegemarannya tercapai.
Rata-rata peminat yang melihat gambar dan video tersebut mendoakan kesihatan buat adik Sofia dan pada masa yang sama mengagumi tindakan pemilik nama Anna Ellisa Gustin Jobling binti Abdul Rahman ini.
Ads
Tindakan Anna Tuai Reaksi Positif Warganet
Tak hairanlah Anna Jobling disayangi ramai dan mempunyai kelompok peminat yang besar dan tersendiri, peribadi lemah lembut dengan hati putih bersih dan suci seperti anna layak dicontohi oleh para wanita dan menjadikanya sebagai idola!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Situasi penularan pendemik COVID-19 ini telah memberi kesan kepada ekonomi negara termasuk syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia. Seperti yang kita sedia maklum sepanjang tempoh PKP ini rakyat Malaysia tidak dibenarkan merentasi sempadan bermakna sebarang operasi penerbangan tidak akan berlangsung.
Selaku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes akui pihaknya terjejas teruk dengan keadaan sekarang dan berdepan cabaran terbesar. Namun, usahanya untuk tidak memberhentikan pekerja wajar mendapat pujian.
Melalui e-mel dihantar oleh Tan Sri Tony, “Kami adalah satu daripada syarikat penerbangan dunia yang tidak memberhentikan kakitangan kami. AirAsia adalah sebuah keluarga dan beribu-ribu kakitangan bergantung kepada syarikat ini untuk meneruskan kehidupan dan kesejahteraan keluarga mereka,” kata Tan Sri Tony yang memberi nafas lega kepada seluruh kakitangannya.
Tambah Tan Sri Tony, “Datuk Kamarudin dan saya bersetuju untuk tidak menerima sebarang gaji sepanjang tempoh ini,” katanya penuh yakin.
Tan Sri Tony turut berkongsi aktiviti yang dilakukannya sepanjang tempoh PKP ini di laman media sosialnya. Salah satu aktiviti yang dilakukannya ialah membaca. Tengok saja bahan bacaan yang menjadi pilihan Tan Sri Tony.
Buku yang dibaca oleh Tan Sri Tony merupakan terjemahan buku ‘Syamail Muhammadiah’ . Buku Hadis yang lengkap menceritakan tentang akhlak, kehidupan dan cantiknya penciptaan Baginda Rasulullah SAW. Semoga Allah SWT membuka ruang padanya untuk berkenalan dengan Rasulullah Nabi Muhammad SAW. “Amazing book” kata suami kepada wanita yang berasal dari Korea ini.
Mengimbau perkahwinan perkahwinan mogul perniagaan syarikat penerbangan ini sekitar Oktober 2017 dahulu, telah mencipta fenomena apabila dalam diam beliau telah melangsungkan perkahwinan bersama kekasih hatinya.
Tidak banyak yang melaporkan tentang berita perkahwinan Tan Sri Tony Fernandes kerana beliau mengambil sikap mendiamkan diri dan hanya mengaku telah melangsungkan perkahwinan dengan wanita yang hanya dikenali sebagai Chloe sahaja.
Ketika ditanya oleh wartawan sama ada beliau melutut ketika melamar isterinya, jawab pemilik syarikat penerbangan tambang rendah ini, “Tidak, kerana saya terlalu tua. Malah lutut saya juga sakit,” kata Tan Sri Tony Fernandes bergurau.
Menurut Tan Sri Tony Fernandes, beliau melamar isterinya di tempat pertemuan mereka. “Hakikatnya saya melamarnya di tempat saya bertemu dengannya. Dia tidak menyedarinya – bukan diri saya yang sebenar dan ia kelihatan agak tenang,” katanya.
Mengikuti perkembangan Tan Sri Tony Fernandes yang mempunyai 298 ribu pengikut di laman Instagram ini, kelihatan benar-benar bahagia di samping isterinya. Cuba lihat foto-foto yang telah dikongsikan oleh Tan Sri Tony Fernandes di laman Instagram.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rintik hujan turun mencurah-curah sejak awal pagi. Awan berkabus, seperti mengiringi perjalanan penulis ke kediaman Wak Doyok di Klang. “Masuk dalam, hujan ni!” tulis beliau separa menggesa team Majalah Nona cepat-cepat berteduh ke dalam rumah.
Banglo dua tingkat lengkap kolam renang menyambut kedatangan kami. Laksana resort, lamannya dihias pohon kemboja dan laluan berturap rumput. Nyaman dan menenangkan!
Mata terus merayau ke arah garaj. Bayangkan di sana sebuah Ford Mustang, sebiji motosikal vintaj dan beberapa koleksi basikal antik pasca Perang Dunia Pertama sudah siap menanti.
Masih terkenang kemesraan ibu Wak Doyok, Puan Siti Fatonah menyambut salam. Berusia 80 tahun, wanita penyayang ini sibuk menyiapkan sarapan sebagai hidangan pagi itu. Kuih apam gebu, bihun goreng dan air kopi panas… Allahu, juadah raya terbaik di abad ini!
Di sebalik jambang dan misai lebat Wak Doyok, jejaka berusia 42 tahun ini sebenarnya memiliki rupa paras yang segak.
Siapa sangka jika bercukur, wajah Wak Doyok yang disangka garang rupanya cukup ‘macho’, malah pasti terserlah raut wajah manja sesuai dirinya yang merupakan anak bongsu!
“Wan (panggilan di rumah) ni anak paling rapat dengan makcik. Nampak saja garang tapi di rumah, dia takkan makan kalau makcik tak sediakan. Mesti nak air tangan ibu!” Ibu Wak Doyok
BERNIAGA
Wak Doyok bukan saja berpenampilan menarik, malah seorang yang berbudi bahasa serta kelakar orangnya. Paling istimewa, usahawan hebat ini sangat suka menghias rumah, termasuk membuat sendiri hiasan-hiasan seperti lampu gantung di sudut tangga.
Minat yang tinggi pada kesenian turut mendorong Wak Doyok mengumpul banyak barangan antik seperti basikal.
Di rumah ini, ada kira-kira 5 basikal tua yang dibeli dari luar negara, lengkap aksesori seperti loceng, beg pelana, lampu karbaid dan sebagainya. Kalau dihitung nilai barangan sejarah itu, pasti mencecah enam angka!
“Kebanyakan barangan ini saya beli di eBay, tukar-beli dengan pengumpul koleksi antik dan sebahagiannya diberikan sendiri oleh kawan-kawan di luar negara.
Pada saya semua basikal di rumah ini ada sejarah, ada yang pernah dikayuh oleh bekas tentera Inggeris, digunakan semasa Perang Dunia Pertama dan macam-macam lagi.” Wak Doyok
Begitu juga motosikal vintaj yang sering ditunggang ke acara Gentleman’s Ride. Cerita beliau, motosikal itu asalnya adalah ‘bangkai’ yakni sudah tidak boleh digunakan langsung. Menggunakan kemahiran mekanik, ia diberi nyawa semula hingga boleh ditunggang seperti biasa.
ANAK IBU
Selain dikenali sebagai ikon fesyen, nama Wak Doyok turut terkenal sebagai pelakon dan usahawan. Antara bidang perniagaan yang diceburinya adalah fesyen Baju Melayu, krim jambang dan misai serta sushi. Nah, jenama Baju Melayu Wak Doyok pun merupakan antara yang terlaris pada musim perayaan tau!
“Apa yang saya pakai menjadi fenomena dan ikutan kepada masyarakat. Saya bukan jenis founder yang suka ‘tayang-tayang’ harta tapi saya lebih pentingkan brand saya supaya kuat. Bagi saya, founder tak perlu ke depan, tapi brand kita yang mesti dikenali.
Sebab yang buat duit adalah brand, jadi bajet marketing harus lebih banyak pada produk tu. Bukannya bajet untuk founder bermewah-mewah atau tayang duit depan-depan orang.” Wak Doyok
Berkat menjaga hubungan dengan Allah SWT serta ibu bapa menjadi kekuatan utama Wak Doyok dalam kehidupannya. Seperkara yang amat penulis kagumi, Wak Doyok tidak putus membahagiakan ibunya selepas arwah bapa pulang ke rahmatullah.
Tanpa berselindung, Wak Doyok turut bercerita akan kehidupan sukar yang dilalui suatu masa dulu. Terpaksa membuat pelbagai pekerjaan termasuk kerja buruh kasar demi mencari sesuap rezeki.
Alhamdulillah kini segalanya sudah berubah. Berkat kerajinan dan sentiasa mengutamakan ibu tercinta, hidup Wak Doyok kini berubah 360 darjah.
Lelaki dengan nama penuh Mohd Azwan Md Nor ini juga tidak keberatan menjawab persoalan kami tentang jodoh. Ujarnya, jika belum ditemukan jodoh dengan bakal isteri, bermakna sudah pasti takdirnya adalah untuk menjaga ibu tersayang. Layanan bak ratu! Begitulah sayangnya Wak Doyok pada ibu.
Anak kesembilan ini juga akur dengan pilihan ibu yang ingin melihat beliau mengakhiri zaman bujang dengan anak dara.
Nampak tegas jawapan si ibu kan? Semoga impian ibu Wak Doyok yang cukup baik dan lemah lembut ini tertunai melihat anak kesayangan bersanding di pelamin.
Untuk makluman, Wak Doyok sebenarnya telah menghadiahkan banglo yang mereka diami sekarang termasuk sebuah Toyota Vellfire kepada ibunya sebagai membalas jasa. Lebih hebat lagi, tapak banglo ini adalah tapak rumah asal Wak Doyok membesar sejak dulu lagi!
Ketahui lebih banyak lagi cerita menarik tentang lelaki hebat ini menerusi video Nona Inspirasi Bersama Kiffy Razak, tidak lama lagi!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Merujuk Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia bakal mencapai status negara tua sepuluh tahun lagi, apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas dianggarkan mencapai 15% daripada jumlah penduduk pada tahun 2030.
Namun kini, sudah banyak warga tua yang sebatang kara dan ada juga segelintir yang sengaja memilih untuk tinggal di rumah orang tua SECARA SUKARELA.
Nona melangkah ke Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah untuk mendapatkan pencerahannya.
Menelusuri kawasan perumahan elit dan padang golf yang terbentang di Bangi Golf Resort, perjalanan penulis pada pagi Jumaat itu akhirnya berlabuh di sebuah banglo dua tingkat.
Persekitaran menghijau begitu mendamaikan bagai mengusir kepenatan memandu. Ketika berbalas salam dengan para penghuni yang senang digelar ‘bonda’ itu, kedatangan penulis disapa oleh Pengasas dan Pengerusi PACU (Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah), Hajah Asral Widad Ahmad Asnawi.
Keseronokan melihat warga emas di sini solat berjemaah dan mengaji bersama-sama cukup menyentuh jiwa penulis. Apabila pandangan kami bertembung, ada bonda yang tersenyum lebar, menampakkan riak wajah keibuan yang lembut, tenang dan terisi dalamannya dengan pengetahuan.
Benarlah seperti kata orang, orang tua ini seperti radio lama. Yang dimahukan hanya ‘telinga’ kita. Untuk mendengar. Untuk memahami nasihat mereka.
Cerita Hajah Widad, walaupun ada yang kelakar, tapi banyak juga ragam orang tua yang menguji kesabaran. “Bonda-bonda ini ada yang boleh diusik manja dan ada juga yang tidak. Kadang-kadang terdengar juga pertengkaran kecil seperti berebut tempat solat atau soal kebersihan. Cuma satu persamaannya, mereka semua handal memasak.
Cakap saja resipi apa, bonda petik jari, yang dimasak sedap-sedap belaka. Malah para penjaga dan kakitangan DI juga gemar berbual dengan bonda-bonda kerana mereka banyak pengalaman,” kata beliau tentang DI yang dihuni bonda lingkungan usia 55-84 tahun.
Menyelami sejarah penubuhan Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah (DI), ia sebenarnya berasas daripada sebuah kisah yang benar-benar berlaku di Selangor. “Waktu itu salah seorang Pengasas DI iaitu Ustazah Wan Nazidah terjumpa 14 warga emas Muslim yang dijaga oleh sebuah institusi bukan Muslim.
Ia sangat mengejutkan kerana kami bimbang jika akidah mereka mungkin terpesong. Namun tidak dinafikan bahawa masyarakat kita amat memerlukan tempat jagaan sebegini kerana Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 nanti.
Sebenarnya saya mahu melihat semua anak menjaga orang tua mereka sendiri. Menjaga, menemani dan mengasihi ibu bapa sepertimana mereka membesarkan kita dahulu. Tapi jika terpaksa juga, jangan tinggalkan mereka seorang diri hanya kerana mereka orang dewasa. Ingat, orang tua ini fitrahnya akan kembali seperti anak kecil.
Jika mereka masih ingin belajar dan mendalami agama, bawalah ke DI kerana di sini rata-ratanya dihuni oleh bonda yang memang mahu belajar dan bergaul. Ia bagus untuk sokongan sosial dan kesihatan juga.
Dewasa ini, apabila anak-anak sibuk bekerja dan mengabaikan ibu bapa di rumah, wujud risiko penyakit kemurungan, Alzheimer, demensia dan amnesia. Sebagai anak, kita perlu faham bahawa mereka juga ada perasaan sunyi, perlu rakan bersembang dan ingin terus menimba ilmu hingga ke akhir hayat.
Sebab tu DI ditubuhkan sebagai pusat jagaan yang juga rumah pendidikan buat mereka. Ia bagaikan sebuah IPT yang menekankan ilmu fardu kifayah dan pengisian di akhirat buat warga emas wanita.”
Sambung Hajah Widad, tidak semua kondisi warga emas boleh dimasukkan ke DI. “Sebelum ini pernah berlaku kes skizofrenia yang teruk dan kami terpaksa mengembalikan bonda tersebut kepada waris untuk dijaga.
Bonda tersebut sebenarnya tertekan dengan suasana di rumahnya. Sedangkan sewaktu dia di sini, dia sihat dan rajin membaca Al-Quran.
Selain itu, ada seorang bonda yang ibarat ‘a walking dead’ semasa tiba ke sini. Dia pada asalnya murung kerana selalu ditinggalkan seorang diri di rumah. Di rumah dia hanya merenung dinding, tak lalu makan minum, susah tidur dan susah beribadat. Tapi alhamdulilah sejak menetap di DI, bonda tersebut berubah ceria kerana dikelilingi kawan-kawan seusia.
KARAKTER
Air wajah yang sentiasa tenang dengan senyuman manis yang tidak lekang-lekang dari bibir membuatkan pertemuan kami hari itu sangat menyeronokkan. Meskipun hanya bersolek tipis, penampilan wanita kelahiran Jitra, Kedah yang baru menginjak usia 44 tahun itu kelihatan lebih muda dari usianya.
Hajah Widad merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan medico-legal.
Sambil berbual-bual, latar belakang beliau yang pernah bergelar pensyarah menjadi topik perbualan kami. “Saya pernah berkhidmat di beberapa universiti tempatan antaranya Open University Malaysia (OUM), Kuliyyah Information and Technology (KICT), INTI College Subang Jaya dan Lim Kok Wing University College Cyberjaya.
Sejak di bangku sekolah lagi saya telah bergiat aktif sebagai aktivis masyarakat dan kini saya gembira dapat menyumbang bakti kepada komuniti menggunakan seluruh pengetahuan yang ada,” kata Hajah Widad.
Menurut isteri kepada Pengerusi ASAS yang juga seorang penasihat syariah, Prof Madya Dr. Aznan Hassan tersebut, beliau banyak mendapat sokongan suami dalam menjalankan tugas-tugas kebajikan.
“Secara peribadinya saya suka melihat suami berdakwah dan ia membuat saya terpanggil untuk berdakwah sekali. Suami seorang yang sangat sibuk, namun apabila beliau di rumah, saya akan pastikan masa dikhususkan untuknya seorang,” ujar ibu kepada tujuh cahaya mata itu.
Mengakhiri sesi ini, penulis sempat bertanya nasihatnya berkaitan penjagaan ibu bapa berusia. Hajah Widad tersenyum lembut sambil berbicara, “Bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa, ketahuilah bahawa mereka itu adalah lorong-lorong syurga kita.
Mereka sebenarnya tak memerlukan kita, tapi kitalah yang memerlukan mereka. Kalau berlaku ketidaksefahaman, cuba bersabar dan mengalah dalam apa saja perkara. Melainkan jika ia menyimpang dari akidah, barulah kita berhak berkata tidak.
Ingatlah bahawa rumah orang-orang tua ini bukannya tempat transit mereka untuk menunggu mati. Semua orang ada kekurangan, begitu juga diri kita dan ibu bapa kita. Yang muda mesti menjaga yang tua. Yang berupaya membantu yang kurang upaya,” nasihat Hajah Widad sambil menegaskan bahawa jika wujud pengabaian waris terhadap ibu bapa, aduan polis perlu dibuat agar tindakan dapat diambil.
Hajah Widad juga mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada masyarakat untuk terus menghidupkan kewujudan pusat jagaan seperti ini umpamanya berupa dana, bantuan bahan asasi dan makanan kering.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kedatangan Ramadan membawa seribu satu makna tersendiri kepada setiap individu. Tidak terkecuali, Sharifah Aryana Syed Zainal Abidin yang mengambil keberkatan bulan mulia ini untuk menjadi individu lebih baik daripada tahun sebelumnya.