Bila Mrs Malaysia World 2017 kongsi tip cantik, memang patut tiru ni! Iyalah, pertama kali bertemu dengan Datin Harveen Kaur.. terpesona tengok penampilannya. Puas dirisik, rupa-rupanya dia amalkan jus ubi bit yang dihasilkan sendiri di rumah. Jelas Datin Harveen, amalkan tiga kali seminggu dan hasilnya pasti tak mengecewakan.
Sejujurnya, saat bertentang mata dengan Datin Harveen rasa macam bertemu selebriti Bollywood. Tidak hairanlah dia mampu memenangi pertandingan Ratu Cantik Mrs Malaysia World tahun lalu. Bersandarkan tubuh tinggi lampai dan langsing, kulit wajah gebu dan mulus serta kepetahannya berbicara.. sesiapa pun pasti tertawan dengan aura yang dimiliki. Tatkala berkongsi bagaimana dia mengekalkan tubuh badan yang sihat dan kecantikan wajah, Datin Harveen yang merupakan ibu kepada tiga orang anak tidak lokek berkongsi petua.
“Selain ambil tablet vitamin C 1000mg setiap hari, saya juga amalkan 3 liter air putih sehari. Jus ubi bit merah ini saya buat dengan campuran epal hijau, epal merah dan tanpa air.. minum seminggu tiga kali. Tak lupa juga lakukan senaman dua kali seminggu. Sebenarnya jus ubi bit mempunyai banyak kebaikan. Antaranya ia dapat mengurangkan kadar kolestrol, menaikkan seri muka dan dalam masa sama mampu menaikkan kadar hemoglobin dalam darah. Ini adalah inisiatif saya sendiri untuk menjaga kesihatan memandangkan usia yang semakin meningkat.
Ads
Semuanya bermula sejak 4 tahun lepas bila saya kerap sakit dan kandungan darah pun selalu kurang. Waktu itu, saya mengamalkan pengambilan asid folik untuk atasi masalah kesihatan. Tapi kesan sampingannya, saya susah hendak buang air besar. Dari situ, ada seorang kenalan yang sarankan untuk amalkan jus ubi bit. Selama enam bulan minum jus ini, memang saya rasa perubahan yang lebih baik.
Mudah je cara nak buat. Caranya, ambil sebiji ubi bit campurkan bersama tiga biji epal hijau dan sebiji epal merah untuk rasa manis. Tak perlu masukkan gula dan air. Kisar semua bahan ini dan minum begitu saja. Memang boleh kurus sebab lepas minum rasa kenyang. Best time to drink pukul 5 petang dan jangan minum ketika perut kosong. 3 jam lepas makan tengahari, boleh minum dan tak perlu makan malam dah sebab ia mengenyangkan. Lagi satu, elakkan minum waktu pagi sebab campuran jus ini agak kuat dan bimbang menjejaskan permulaan hari.”
Ads
Kongsinya lagi, “Untuk pastikan ubi bit yang dibeli dalam keadaan baik dan disimpan dalam peti sejuk, balut ketat setiap ubi bit ini dengan surat khabar kering. Pastikan betul-betul ketat sampai tak ada udara masuk. Kalau ikut tip ni, ia boleh tahan sehingga sebulan.”
Ads
Bersama anak perempuannya
Meniti usia 39 tahun, Datin Harveen juga merupakan seorang jururawat di Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur. Walaupun mempunyai kerjaya sendiri dan suaminya bertugas sebagai pakar bius, namun wanita cantik ini tetap mahu bekerja dan berdikari atas kaki sendiri. Sikap yang memang patut dicontohi ramai wanita dan isteri!
“Saya percaya setiap wanita tidak kira isteri atau ibu patut keluar bekerja. Tak boleh bergantung kepada suami seratus-peratus. Kalau apa-apa jadi, macam mana? Sekurang-kurangnya kita ada persediaan dari segi kewangan. Daripada berada di rumah 24 jam, ada baiknya luangkan masa 4 ke 6 jam di luar rumah dan bergaul dengan masyarakat. Pada pandangan saya, golongan isteri perlu bekerja untuk bantu ekonomi keluarga. Tak boleh harapkan suami saja sebab ekonomi sekarang pun makin tinggi.”
Terang Datin Harveen yang sudah 18 tahun mendirikan rumah tangga dan mempunyai sepasang anak kembar lelaki berusia 15 tahun dan anak perempuan berumur 12 tahun, dia baru saja selesai menjayakan Mrs Malaysia World 2018 pada 29 September lalu. Sebagai Pengarah pertandingan ratu cantik tersebut, Datin Harveen mengambil cuti selama 6 bulan untuk membantu para peserta di samping terlibat dengan aktiviti kebajikan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam baru-baru ini menghadiri acara Royal Ascot 2025 di Ascot, England.
Kedua-duanya tampil elegan dengan busana yang sarat dengan code diraja.
Putera Mateen menyarungkan jaket labuh berpotongan oval di bahagian belakang yang dipadankan dengan seluar kelabu berjalur, vest, tali leher, kemeja serta sapu tangan satin berwarna krim di dalam poket jaketnya.
Sementara Anisha pula tampil memukau dengan persalinan blazer putih bertali pinggang hitam dan topi.
Kehadiran pasangan diraja ini di Royal Ascot 2025 menarik perhatian ramai.
Sejak berkahwin pada Januari 2024, Putera Mateen dan Anisha sering muncul bersama di majlis-majlis awam sama ada berkaitan kenegaraan, lawatan diplomatik mahupun aktiviti-aktiviti peribadi seperti perlawanan sukan.
Mereka sering dilihat serasi Bersama sekaligus melambangkan keharmonian sebagai pasangan suami isteri.
“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.
Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 5 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
SYAWAL
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Grand ballroom berubah rupa. Persis balairung seri, alunan muzik gamelan mengiringi setiap langkah tetamu yang berbusana tradisi Melayu. Masing-masing tiba dengan persalinan klasik bagi menuruti tema tradisional yang ditetapkan oleh penganjur Birdnest Beauty Solution (BBS).
Tidak mahu melepaskan momen eksklusif norma baharu ini, Nona sebagai rakan media rasmi turut memancarkan seluruh perjalanan event ini secara langsung menerusi Facebook dan Instagram Live.
Rasa teruja menghadiri majlis makan malam selepas PKP dilonggarkan menambah keseronokan kami serta seluruh tetamu pada malam tersebut.
Upacara perarakan dimulakan dengan sepasukan hulubalang yang mengangkat tandu diraja. Pengasas BBS, Puan Norshahila Ahmad yang turut merupakan penerima Nona Best Birdnest Skin Benefit Award dalam Nona Superwoman Award 2020 diarak ke dalam ballroom bagaikan seorang puteri raja ke singgahsananya.
“Majlis gilang-gemilang Annual Dinner and Grand Launching Birdnest Beauty Solution ini sebenarnya terakam sebagai sejarah pertama kami.
Tujuan diadakan adalah untuk menghargai segala sokongan dan juga kepercayaan yang diberikan oleh semua ahli keluarga BBS.
Kami pernah merancang untuk menganjurkan makan malam ini dari tahun lepas lagi tapi disebabkan pelaksanaan PKP, kami akur keputusan kerajaan.
Alhamdulilah saya bersyukur akhirnya majlis ini berjaya direalisasikan dengan pematuhan SOP yang ketat,” kata Puan Norshahila yang anggun berbusana Puteri Perak.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran selebriti Datin Sri Maria Farida dan suami, Editor Pengurusan Majalah Nona iaitu Kiffy Razak serta Debby Yunus.
Menambah kemeriahan, gandingan artis terkenal tanah air, Bell Ngasri dan juga Azza Elite sebagai pengacara majlis menggamatkan suasana dengan jenaka spontan mereka.
PELANCARAN PRODUK BAHARU
Selesai penyampaian ucapan daripada Puan Norshahila, suasana ballroom kembali ceria dengan acara gimik yang menampilkan beliau sendiri bersama para penari latar.
Persembahan makin calit makin cantik itu rupa-rupanya menjadi simbolik kepada pelancaran dua produk baharu BBS di pasaran.
Salah satu yang menarik perhatian Nona adalah produk kecantikan Go To Glow (G2G) dimana ia dilengkapi Birdnest Propolis Collagen Soap, Poreless Magic Toner, Day Whitening dan juga Night Repairing Cream.
“Set G2G ini bukan saja memudahkan malah membantu pengguna memiliki set penjagaan berkesan pada harga mampu milik. Permintaan terhadap set G2G juga amat menggalakkan kerana sehingga kini ia telah terjual sebanyak tiga ribu set.
Produk kedua yang dilancarkan, Banana Milk Yogurt Soap pula sudah terjual lebih daripada 60 ribu dalam tempahan awal stokis dan ejen BBS. Saya mensasarkan jualan kami akan mencapai jualan sehingga 20 ribu set untuk G2G dan sebanyak 3 juta buku Banana Milk Yogurt Soap tahun ini.
Sebagai menghargai usaha keras stokis dan juga ejen BBS, Norshahila turut menyampaikan beberapa hadiah yang terdiri daripada tiket umrah, wang tunai, barang kemas, dan banyak lagi buat mereka yang terpilih.
Dalam pada itu, Norshahila turut mengajak wanita mahupun lelaki yang ingin sama-sama berkongsi rezeki untuk turut serta menjana pendapatan dengan menjual rangkaian produk beliau.
“Setiap individu berpeluang menjadi usahawan BBS bermula sebagai dropship tanpa modal dan akan dibimbing oleh leader masing-masing. HQ sangat komited dan sentiasa menyediakan material marketing seperti gambar dan video, billboard, program TV dan banyak lagi.
Tambah beliau, ada stokis yang berjaya capai jualan sehingga ratusan ribu ringgit sebulan, dan ingin melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.
“Kami juga menawarkan pelbagai hadiah menarik menanti setiap ejen yang berjaya capai jualan sasaran tahun 2021, termasuk kereta mewah Vellfire, emas dan banyak lagi,” akhiri beliau.
Menutup majlis gilang-gemilang ini, satu pertandingan Pakaian Tercantik turut dianjurkan. Pastinya juri-juri sukar membuat keputusan kerana majoriti yang hadir ‘pasang badan’ bagaikan puteri raja Melayu!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kemunculan Ummi Nazeera yang bertandang ke sebuah sekolah baru-baru ini bagi menjayakan satu majlis sumbangan nyata menarik perhatian khalayak. Jika sebelum ini kelibat figura berkenaan sering dilihat pada majlis anugerah dan fesyen tetapi kali ini Ummi tampil berbeza sebagai tetamu kenamaan dalam acara formal.