Situasi yang sering dihadapi oleh ramai wanita… Saya berusia 36 tahun dan mempunyai 3 orang anak. Sejak anak bongsu saya tidak lagi menyusu (selepas berumur setahun), saya dapati payudara saya semakin kendur dan seolah-olah kosong. Mungkin ini bukan masalah kesihatan tapi saya rasa kurang selesa dengan bentuk payudara saya sekarang.
Saya pohon nasihat doktor apa yang saya harus lakukan untuk mendapatkan semula bentuk payudara saya seperti asal. Saya tidak ingin mencuba pembedahan kerana bimbang akan kesan sampingan…
Payudara yang kendur dan lendut berlaku secara kebiasaannya pada setiap wanita kecuali mereka yang mempunyai saiz payudara yang sememangnya kecil. Payudara tidak mempunyai tisu otot. Ia hanya mempunyai ligament (urat) dan tisu konektif yang memegangnya pada posisinya. Disebabkan usia dan pengaruh graviti, payudara akan secara semula jadi tertarik ke bawah kerana ligamen yang memegangnya juga semakin kendur.
2 sebab utama payudara menjadi kendur ialah:
Ads
Proses involusi payudara
Proses ini berlaku apabila kelenjar susu mengecut selepas bersalin/berhenti penyusuan kerana ia tidak diperlukan lagi. Apabila hamil dan menyusu, saiz payudara menjadi semakin besar dan berat. Ini akan membuatkan payudara tertarik dan melendut ke bawah akibat pengaruh graviti. Ketika ini amat penting untuk wanita menjaga payudara dengan mengenakan coli yang menyokong tambahan berat dan saiz payudara tersebut. Kelenjar susu turut mengecut apabila paras estrogen semakin menurun dan rendah terutamanya selepas berusia 35 tahun sehingga menopaus apabila payudara wanita tidak lagi dipengaruhi oleh hormon estrogen yang memberi bentuk dan saiz payudara.
Kehilangan berat badan
Menjadi kurus terutamanya jika berlaku secara mendadak akan membuatkan sel lemak di payudara hilang dan menyebabkan payudara kelihatan seperti kosong dan kendur.
Ads
Punca payudara Puan kendur dan melendut ialah disebabkan oleh faktor gabungan, iaitu proses involusi berserta pengurangan berat badan selepas hamil. Sebab lain yang juga amat penting ialah penurunan hormon estrogen yang didapati amat ketara bermulanya usia 35 tahun sehinggalah usia putus haid. Kandungan kolagen yang semakin berkurangan dengan usia juga menyebabkan payudara hilang keanjalannya. Di samping itu, kemungkinan cara penjagaan payudara Puan turut mempengaruhi bentuknya sekarang. Untuk mengatasi masalah Puan saya syorkan:
Ads
Melakukan senaman otot dada
Walaupun payudara tidak mempunyai otot, akan tetapi dengan menguatkan otot dada (pektoralis) di bawah payudara akan memberi bentuk dan menyebabkan payudara kelihatan menonjol. Senaman yang disyorkan adalah seperti ‘push-ups’ dan senaman merapatkan kedua belah telapak tangan daripada posisi menyayap.
Memakai coli yang bersesuaian
Saiz coli yang menyokong, menaikkan dan memberi keselesaan amatlah penting bagi mengekalkan kedudukan payudara agar tidak mudah melendut.
Mengekalkan berat badan yang bersesuaian
Jika Puan terlalu kurus, saya syorkan untuk memakan makanan yang nutrisi tinggi bagi mencapai berat badan yang optimum. Ia akan mengisi semula bahagian payudara yang kosong itu dengan sel lemak yang akan memberi bentuk kepada payudara.
Meminum air yang mencukupi
Meminum air 8 gelas sehari amat penting bagi mengelakkan kedutan kulit dan memberikan kelembapan yang sempurna kepada kulit payudara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah Dr Amalina & suami tersayang, Alex!
Melalui perkongsian di laman Instagram miliknya, Dr Nur Amalina Che Bakri memaklumkan dirinya telah bergelar ibu!
We would like to introduce our beautiful princess, Arabella Mia, born last week at St. Thomas’ Hospital.
We adore her and cherish every moment with our little bundle of joy. We are excited to see what the future holds, Alhamdulillah. Lots of love – Amalina & Alex
Menjengah laman Instagram miliknya, Dr Amalina selamat melahirkan seorang anak perempuan minggu lalu di St Thomas’ Hospital. Bayi tersebut diberi nama Arabella Mia.
Baru-baru ini, soal jawab di IG story Dr Amalina nyata mencuri tumpuan selepas beberapa soalan diajukan berkaitan manfaat yang diterima beliau sebaik melahirkan anak nanti. Antara soalan yang sempat dijawab adalah berkaitan berapa lama cuti bersalin yang bakal atau boleh diambil oleh Dr. Amalina selepas bersalin nanti.
Untuk pengetahuan, United Kingdom memperuntukkan cuti bersalin sebanyak 39 minggu malah cuti itu boleh dipanjangkan sehingga ke 52 minggu.
Malah menurut Dr Amalina, cuti bersalinnya akan bermula pada minggu yang dijangka akan bersalin malah diberi pilihan untuk menggunakan cuti sehingga setahun namun dia berkemungkinan akan cuti selama 10 bulan.
Bukan itu saja, Dr. Amalina turut menerima soalan berkenaan dengan gaji yang bakal diterima sepanjang cuti bersalin dan jawapannya memang buatkan ramai terkesima.
Nampaknya, Dr Amalina akan menerima gaji penuh untuk 5 bulan pertama selepas bersalin dari tempat dia bertugas kini dan kemudiannya akan dibayar gaji dari kerajaan. Ternyata perkongsian Dr. Amalina mengundang pelbagai respon dan ramai.
Selamat berpantang Dr Amalina. Enjoy your confinement!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sungguh tak terhingga. Perkongsian wanita bernama Bibi Nurul Asyikin Adnan ini cukup membuktikan kecekalan hatinya, walaupun cabaran dikurniakan anak cerebral palsy begitu hebat.
Melihat foto anak syurga bernama Adam, 7 tahun, cukup memilukan hati kami. Kata ibunya yang kini berusia 34 tahun, Adam suka belajar dan mahu ke sekolah, tapi hasrat itu terbantut. Kenapa ya? Ikuti perkongsian wanita asal Pulau Pinang ini kepada Nona.
=========================
Nama anak saya Muhammad Nur Zafran, tapi sejak dalam kandungan lagi saya selalu panggil nama dia Adam. Adam penghidap cerebral palsy dan umurnya 7 tahun.
Semasa hamil, kandungan saya sihat cuma saya pula ada masalah anemia dan kerap jatuh. Masa hampir melahirkan iaitu sekitar pukul 5.00 pagi, saya terasa kontraksi yang kerap dan suami pun cepat-cepat bersiap untuk bawa saya ke Hospital Sg. Buloh.
Jam 6.50 pagi, kami tiba di hospital. Sebaik tubuh saya dibaringkan atas katil, air ketuban pun pecah. Masa tu baru pukul 7.50 pagi dan bukaan saya cuma 5 sm. Kena tunggu lagi. Selalunya kalau ikut kelahiran sebelum ni, bila ketuban pecah confirm bukan sakit lagi dah, tapi terus teran.
Tapi yang ni tak rasa pun. Cuma mengeras dan kontraksi pun tak kuat sangat. Dari pukul 8.00 pagi sampai 12.00 tengah hari, saya kira dah ramai doktor pelatih yang datang dan seluk. Tetap sama, 5 sm.
Sampailah tiga orang doktor pakar datang dan salah seorangnya tanya, kenapa doktor bertugas tak paksa bukaan rahim? Bila dia seluk, mukanya terus berubah. ‘Baby dah berak’, katanya.
Saya terus dikejarkan ke bilik pembedahan kerana bila CTG, jantung baby dah lemah. Bila masuk epidural saya terus tak sedar waktu dibedah… walaupun masih terasa tajamnya pisau yang menghiris lapisan demi lapisan kulit perut ni.
16 Ogos 2011, saya selamat lahirkan Adam. Tapi dia keluar tanpa suara. Senyap. Macam-macam saya dengar doktor dan jururawat lakukan, CPR serta sebagainya. Akhirnya baru dengar suara tangisan yang maha lemah.
Doktor cakap anak saya lemas dalam perut dan dah berak. Mungkin termakan najis. Oksigen pula kurang sampai ke otak. Jadi dijangkakan akan ada masalah.
Walaupun ramai yang menuduh salah pihak tertentu sebab saya tak dibedah lebih awal, tapi saya tak percaya semua tu. Saya percaya ini takdir Allah SWT. Mungkin ada sebab dan hikmah yang Dia nak beri kepada kami, seorang anak syurga.
RENUNGAN BERMAKNA
Bertuah kalau ada anak yang bijak dan petah berkata. Tapi Adam tak pandai semua tu. Dia cuma pandai sebut ‘Buu…’ atau ‘Yam…’ macam bayi. Tapi pandangannya dah cukup untuk menceritakan segalanya. Ya, dari segi fizikal, Adam tak mampu. Tapi dia faham cakap orang dan ada rasa marah. Kadang bila Adam tengok kakak, abang dan adiknya main berlari-lari… Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu erti renungannya.
Saya tahu Adam mesti nak cakap, kenapa aku tak boleh berjalan? Padahal tahun ni Adam sepatutnya sekolah, tapi Adam tak sanggup nak tengok ke pintu, tak nak duduk bermain. Saya tahu hati Adam, dia nak sekolah sebab Adam bukan budak bodoh. Cuma tak mampu uruskan diri je.
Bila saya pangku Adam dan bukakan buku, Adam suka. Adam akan tengok gambar-gambar dan dengar saya cerita. Sambil pandang muka saya, Adam akan ketuk-ketuk kaki dia. Ketuk sampai mengamuk, mungkin bertanya kenapa kaki Adam ni ibu? Allahu, mengalir air mata saya.
Dalam redup mata Adam, pelbagai kata-kata nak diucapkan. Kalaulah dari dulu saya selalu ke fisio, buat urutan, mungkin Adam dah boleh berjalan walau tak selaju orang lain.
JATUH DITIMPA TANGGA
Dari saat Adam lahir sampailah umurnya 5-6 bulan, kami selalu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan. Dalam tempoh tu, satu persatu masalah datang. Antaranya kekurangan duit.
Anak-anak sulung (kembar) nak bersekolah. Kami suami isteri terpaksa ikat perut untuk bayar yuran, beli segala kelengkapan sekolah macam baju, kasut dan beg, untuk dua orang. Waktu tu pula, kami baru berpindah dan masih perlu berulang-alik ke hospital.
Tanpa kereta, bayangkan susahnya nak bawa Adam buat rawatan. Takkan nak pinjam kereta orang selalu? Kalau dapat pinjam, kami kena usahakan belanja isi minyak dan tol. Pernah satu hari, susu Adam habis. Duit dalam tangan saya ada RM50 je.
Jadi sebagai ibu, saya cuma fikir susu anak sebab Adam bukan makan macam budak biasa. Kalau tak ada susu, badannya akan lemah. Ibu mana yang sanggup tengok anak kelaparan? Berkorbanlah guna duit tu untuk beli susu dia.
Masuk tahun 2016, kami berpindah sekali lagi ke Klang. Saya cuma dapat bawa Adam ke klinik desa menaiki motosikal. Masa tu Adam meronta-ronta tak mahu naik motor. Mungkin dia rasa kurang selesa.
Tahun 2017, Adam kena serangan sawan. Mujurlah masa tu bapa mertua ada di rumah dan kami terpaksa pinjam keretanya untuk kejarkan Adam ke hospital. Nasib baik umur Adam masih panjang.
Kos minyak dan tol saja bagi kami yang kurang kemampuan ni, memang tinggi. Dalam anggaran RM35-40 pergi dan balik. Kalau kereta meragam lagi parah, kami kena sewa kereta yang sekurang-kurangnya RM80 sehari.
Saya pening memikirkan masalah kewangan yang dihadapi. Selepas suami diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, dia cuma bekerja kebun dengan bapa saudaranya. Kerja sendiri ni, upahnya tak menentu. Dalam sebulan, kadang-kadang adalah 2-3 kali bekerja. Pergi ke Perak atau Negeri Sembilan, ada kerja adalah duit. Bila tak kerja, kami terpaksalah berlapar.
Itu pun saya tetap dahulukan susu Adam. Dengan anggaran pendapatan suami lebih kurang RM500-700, saya mohon bantuan zakat dan alhamdulilah diluluskan. Sekarang pun saya dalam proses mohon bantuan JKM dan insyaAllah saya akan mulakan kerja sebagai dropshipper di Facebook.
Saya tahu tiada ubat yang dapat merawat pesakit cerebral palsy seperti Adam. Yang ada hanyalah rawatan terapi, urutan dan kalau ada ubat pun, mungkin untuk melembutkan atau melicinkan pergerakan sendi-sendi tulang, paha, tangan atau ubat mencegah sawan. Paling penting di rumah kami ni, wajib ada ubat demam. Sebabnya bila badan Adam mula panas, saya akan lekas suapkan ubat demam supaya sawannya tak menyerang.
Jumlah belanja ni saja, termasuk susu, lampin pakai buang, Nestum dan sebagainya dalam anggaran RM400-500 sebulan. Hari-hari saya panjatkan doa, kalaulah dapat sumbangan dan bantuan masyarakat, saya teringin nak belikan kerusi roda khas serta barangan terapi untuk sensori dia. Saya kesian dengan Adam. Kakinya mungkin lenguh dan kebas di atas kerusi biasa.
Harapan saya tentulah nak tengok anak syurga saya boleh berdikari. Boleh uruskan diri walaupun hanya pergi ke bilik air dan membersihkan diri. Saya sedar kami tak mampu dari segi wang ringgit, jadi saya harap sesiapa di luar sana tak mempertikaikan usaha ibu yang mempunyai anak istimewa ni. Bukan saya tak sayang anak tapi saya tak mampu! Saya juga nak tengok dia sihat dan boleh bagi rawatan sepatutnya untuk dia.
Saya dan keluarga sungguh-sungguh nak mohon bantuan untuk Adam. Tak kisahlah dalam apa bentuk sekali pun untuk menampung kos perbelanjaannya yang di luar kemampuan kami. Sambil itu suami juga sedang berusaha mendapatkan kerja tetap.
=========================
Begitulah harapan dan hajat wanita ini yang menggunung tinggi untuk menggembirakan anak tersayang. Semoga kisah Adam menjadi iktibar dan mendapat ehsan orang ramai untuk memberikan bantuan. Sebarang bantuan boleh disalurkan kepada:
Bank: Bank Simpanan Nasional
No. Akaun: 1010841000064253
Nama: Bibi Nurul Asyikin Binti Adnan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan sahaja ibu kandung berjurai air mata, kita yang membaca dan melihat pun terasa sebak menusuk ke hati. Hari demi hari, kita menerima pelbagai berita terkini mengenai peningkatan kes jangkitan kuman COVID-19. Lebih menyedihkan sekarang, apabila bayi dan anak kecil yang tidak berdosa juga menjadi mangsa penyakit ini.
Ya, mungkin ada yang berkata ini semua suratan takdir tetapi anak-anak yang tidak berdosa ini dikatakan terkena jangkitan melalui keluarga terdekat. Bila begini keadaannya, apa yang kita boleh katakan… Pastinya berlaku secara tidak sengaja. Tetapi disebabkan kelalaian dan kesilapan kita sendiri, telah membawa kesan kepada anak-anak kecil.
Ibu bapa keluar rumah dengan niat untuk membeli barang keperluan itu betul, tapi sewaktu pulang, kita mungkin terlupa atau tidak mengambil tahu tentang perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan untuk menghindari kuman tersebut.
Tangan yang menggapai pelbagai benda atau barang sewaktu di luar itu, mungkin telah dicemari. Bila pulang tidak terus tukar baju dan cuci satu badan, malah siap peluk, cium dan bermain dengan anak-anak. Kita nampak benda ini mudah dan tiada apa-apa bagi setengah orang sebab belum terkena atas batang hidung sendiri.
Keadaan ini sangat bahaya buat si kecil yang mempunyai daya ketahanan diri yang rendah. Lebih teruk dan menyedihkan, jika ibu bapa masih keluar melepak dan bergaul di luar rumah tanpa menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan.
Bila sudah terkena, apa nak dikata, nasi sudah menjadi bubur. Selepas pemeriksaan mungkin kita negatif, tapi anak-anak pula menjadi mangsa. Maka terpisahlah anak kecil dari ibu atau bapanya dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Sedih, sangat sedih. Melihat susuk tubuh anak kecil ini dengan riak wajah mereka yang sugul. Tak dapat bayangkan perasaan anak-anak ini dan ahli keluarga mereka yang lain. Waktu itu kita hanya mampu berdoa semoga Allah memberi kesembuhan buat anak-anak kecil ini dan berharap mereka kuat untuk melawan virus tersebut. Semoga sentiasa berada di bawah lindungan-Nya dan diberi kesembuhan segera… Aamin.
Wahai manusia sekalian, yang punya akal dan kematangan berfikir dengan baik. Tolonglah, kami merayu…. TOLONGLAH! TOLONGLAH Sayangi diri dan keluarga anda. Bermula dengan kasih sayang itu, anda turut menjaga orang lain di sekitar anda.
Nanti bila semua telah pulih, keluarlah… Pergilah, suka hatilah tetapi buat masa sekarang tolong beri kerjasama supaya kita dapat memutuskan rantaian jangkitan kuman COVID-19 ini. Kiffy Razak
#stayathome
#dudukrumah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!