LINDA NANUWIL

Hanya yang pernah mengalami saja tahu betapa peritnya kehilangan insan tersayang. Bagi Naib Juara Akademi Fantasia Musim Kedua, Linda Nanuwil… pemergian ayahnya pada tahun 2008 sudah cukup memeritkan. Belum sempat merawat duka kehilangan ayah, insan bergelar ibu pula hilang dari pandangan buat selama-lamanya. Atau lebih tepat, setahun selepas kematian ayah. Besar sungguh ujian yang ditanggung penyanyi kelahiran Sabah ini.

IKLAN

Sejak itu, fokus Linda untuk mengembangkan bakat dalam industri seni cukup terganggu. Dia akui sukar untuk menerima hakikat kehilangan dua insan paling bermakna dalam hidupnya. Apatah lagi, pemergian ibu dan ayah tersayang berlaku dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

Sampai penyanyi bersuara lunak ini mengambil keputusan menutup media sosial miliknya kerana tidak mampu berhadapan dengan khalayak. Tindakan tersebut nyata memberi kesan besar dalam hidup Linda sekaligus menjadi nama Linda Nanuwil ‘tenggelam’ dan hilang dari radar industri seni buat beberapa ketika.

Bersama rakan-rakan artis suatu masa dulu

Ketika dihubungi pihak Nona tidak lama dulu, pelantun lagu Jika Kau Kekasih ini tenang menyambut panggilan. “Perkembangan terkini, Linda sudah kembali aktif menyanyi dan tawaran nyanyian juga syukur semakin banyak. Tawaran berlakon pula memang ada dapat di Sabah cuma masa tidak mengizinkan.”

Tatkala ditanya penglibatan seninya yang agak sepi sejak beberapa tahun lalu, Linda terbuka berkongsi rahsia hati. “Punca utama menyepikan diri sebenarnya sebab kedua-dua ibu bapa Linda meninggal dunia dalam masa dua tahun berturut-turut. Perkara ini sangat memberi kesan yang pedih dan sakit buat saya sehingga karier dan media sosial saya pun terpaksa shut down.

Waktu itu saya hanya mahu menjaga mak ayah. Saya cuma sempat menjaga dan melawat ayah lebih kurang enam bulan ketika ayah terlantar di hospital. Memang Linda selalu keluar masuk hospital sebelum dia meninggal. Kadang-kadang selepas selesai shooting, saya terus ke hospital untuk tunjukkan dia gambar-gambar diambil masa shooting.
Semasa ayah masih ada, kami sempat tulis lirik lagu bersama-sama dan terhasillah lagu Dusun, Upus Tolidang atau Cinta Sejati.

Selepas ayah meninggal dunia, saya kerap berada di Sabah untuk bersama mak. Waktu itu saya masih menetap di Semenanjung. Berbeza dengan pemergian ayah, pemergian mak saya sangat mengejutkan kerana mak langsung tidak menunjukkan simptom yang dia sakit tenat. Dia cuma pengsan waktu Subuh dan dihantar ke hospital di emergency dan meninggal dunia,” telus Linda sambil memberitahu punca pemergian kedua-dua insan istimewa tersebut adalah disebabkan masalah jantung.

IKLAN

Cuba mendapatkan kembali momentum kejayaan yang pernah diraih sebelum ini, Linda turut merancang untuk menghasilkan lebih banyak lagu-lagu ciptaan sendiri selain berhasrat menerbitkan single dan album di samping mengadakan kolaborasi bersama penyanyi dan pencipta lagu berbakat besar.

Bercerita tentang pesanan mak ayahnya yang paling diingati hingga ke saat ini, Linda berkata segala kata-kata dan pesanan mereka masih segar di kotak fikiran. “Terlalu banyak. Salah satunya, jangan memandu laju dan jangan bawa motorsikal. Sewaktu saya di Semenanjung, setiap hari terutama mak akan call saya. Dalam sehari, mak akan telefon berkali-kali. Setiap kali mak tengok berita di TV dan kalau ada berita tentang jenayah, kemalangan atau sebagainya… mak akan call minta supaya saya jaga diri, berhati-hati dan jangan keluar rumah seorang.”

https://www.instagram.com/p/CF8fxlaDxLT/

IKLAN
Credit: Instagram Jimmy Couture
Credit: Instagram Razzi Musa
Credit: Instagram Razzi Musa
Credit: Instagram Jimmy Couture

Kini Linda kembali aktif mewarnai dunia seni dan menjadi salah seorang peserta dalam program hiburan popular, Gegar Vaganza. Kemunculan wanita cantik ini nyata mengubat kerinduan peminat malah ada yang menyatakan wajahnya mirip seorang pelakon cantik yang baru sahaja bergelar ibu iaitu Nur Fazura.

 

 

Kredit foto: Linda Nanuwil