Untuk menjadi seorang seniman adalah untuk percaya pada kehidupan. Dan tanpa tawakal yang tinggi pada karya yang dihasilkan, orang seni bukan siapa-siapa.
Perkenalan Nona dengan pelukis cat minyak dan digital bernama Amy Hashim ini sesungguhnya begitu indah perjalanannya. Kami teruja berkongsi kejayaan beliau, seorang pelukis wanita Muslimah tempatan, yang dijemput mengadakan pameran lukisannya setiap tahun di bumi Uncle Sam.
Amy Hashim atau pemilik nama penuh Amy Hashmida Hashim ini merupakan anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang. Berusia 46 tahun, salah satu lukisan beliau yang bertajuk ‘Paddy Field – After Harvest’ berjaya tersenarai dalam Top 100 sebuah pertandingan lukisan terkemuka di Palo Alto, California.
Paddy Field – After Harvest
Cerita kejayaan wanita tempatan ini bukti minat mendalam mendahului segala-galanya. Meskipun selepas memiliki tiga orang cahaya mata, graduan Business Studies tersebut terus mengorak langkah untuk menakluki dunia seni. Ikuti temu bual kami.
Anda melukis kerana apa?
Pertamanya, kerana cinta pada lukisan sejak kecil dan kedua, kerana sokongan serta galakan kawan-kawan dari dalam dan luar negara. Sejak kecil lagi saya sudah pandai menyimpan warna-warna dan colour pastel dalam kotak-kotak kasut yang di susun rapi dengan tanda ‘Jangan Sentuh’ (ketawa).
Sepupu saya yang membesar bersama-sama masih ingat pesanan itu. Melukis ni macam sebahagian diri saya, cuma ada masanya fasa hidup kita berbeza-beza maka begitu juga dengan perkembangan seni dalam diri kita.
Hakikatnya, kalau diteliti keadaan sekeliling, kebanyakan kita kehilangan minat dalam seni visual kerana kita tidak mendapat pengukuhan peribadi positif yang diperlukan untuk diteruskan.
Satu kenangan yang anda boleh kongsi tentang keputusan pertama kali ingin menjadi seorang pelukis secara serius?
Saya diberi kesempatan oleh Allah Taala untuk berhenti kerja dari bidang teknologi dan ICT sewaktu kelahiran puteri kami yang ketiga. Saya terfikir untuk kembali melukis, pada waktu yang sungguh tepat.
Saya ingin menjaga anak perempuan kami sendiri. Maka dengan doa dan tawakal yang amat tinggi, saya kembali melukis dengan dorongan suami. Waktu tahun 90-an itu, saya cuma melukis di atas kertas.
Berbeza sekarang ini, ibarat dua zaman yang berbeza. Sekarang ada banyak kelengkapan digital, maka saya gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk melukis di atas kedua-dua permukaan kanvas dan skrin digital.
Melukis cat minyak memerlukan tempoh masa yang lama untuk siap iaitu antara seminggu sehingga 2 ke 3 bulan. Maka alternatif terbaik untuk mengisi waktu sementara setiap lapisan cat kering ialah dengan melukis di atas skrin.
Ads
Lukisan Amy Hashim di atas kanvas besar berukuran 8 x 6.6 kaki
Kepuasan yang anda dapat apabila berkarya di atas kanvas lukisan?
Sangat puas apabila dapat berkarya di atas kanvas putih dan kemudian perlahan-lahan menzahirkan segala imej yang saya inginkan di kotak fikiran. Seronok bermain-main dengan warna dan tekstur.
Saya menggunakan cat minyak profesional yang diimport dari UK. Olahan saya adalah secara tebal dengan mencampurkan medium impasto bagi memberikan bentuk, yang timbul dan keluar dari permukaan kanvas tersebut. Tebalnya lebih 1 inci.
Berbeza dengan lukisan lain, lukisan sebegini umpama seni arca di atas kanvas dan saya puas dengan ketebalan lukisan tersebut. Ia juga membezakan lukisan saya dengan lukisan digital yang membanjiri pasaran dunia sekarang.
Lagi satu, saya puas apabila membuat process oil mixing iaitu dengan cara mencampur-campurkan warna-warna primer kepada berpuluh-puluh jenis warna-warna sekunder yang sejuk dan panas, kemudian breaking the tones seolah-olah warna tersebut menari-nari di atas kanvas.
Akhir sekali campuran warna-warna yang hidup yang mengasyikkan dan menceriakan pandangan mata.
Pencapaian yang pernah diraih setakat ini?
Kalau dari segi sijil, saya telah mendapat beberapa anugerah dan sijil seni lukisan dari UK, USA dan Korea. Saya juga pernah dilantik sebagai penasihat seni digital oleh Fakulti Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan.
Namun secara peribadi, pencapaian lebih berbentuk self satisfaction. Pada Ogos tahun 2016, saya membuat pameran solo kedua dan berjaya menjual hampir 19 dari 26 keping dalam masa 2 minggu tempoh solo tersebut.
Ads
Satu lagi apabila seorang CEO sebuah organisasi kewangan di Malaysia masuk ke pameran dan tidak teragak-agak untuk membeli 3 buah cat minyak saya. Dan saya juga bersyukur mempunyai seorang pengumpul tegar dari Selatan yang telah mengumpul lebih 10 keping hasil nukilan saya, alhamdulillah.
Apabila orang tidak teragak-agak untuk menyokong saya, saya juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan ekonomi seni dengan menggunakan kembali wang untuk membantu pelukis2 dan persatuan pelukis lain yang memerlukan.
Bagaimana terbukanya peluang untuk mengadakan pameran seni di California?
Saya dihubungi dan dijemput oleh syarikat utama, Autodesk untuk bersama-sama menyertai pameran di The Venetian, Las Vegas sekembalinya saya dari Itali pada tahun 2013. Selain itu, tiap-tiap tahun saya dihubungi untuk menghantar lukisan di Palo Alto California.
Kalau dulu saya seorang wanita Muslimah yang berkecimpung dalam bidang teknologi di syarikat Intel Corp, sekarang pun takdirnya sama apabila nampaknya saya seorang saja pelukis Muslimah yang terlibat dengan mereka di USA. Mereka mengenali saya melalui Facebook Page saya iaitu Amy Hashim Arts atau instagram @amyhashimarts.
Melihat kepada peluang seni yang ada sekarang, adakah sukar untuk membina nama di negara sendiri berbanding mengembangkannya di negara luar?
Secara peribadinya saya memulakan karier secara serius di luar negara, kemudian masuk ke Malaysia. Tetapi sekarang di Malaysia ini sudah ramai yang celik dengan seni visual atau lukisan.
Saya lihat ada ramai pengumpul seni dan pelabur yang memberi sokongan terhadap bidang ini. Mungkin saya mencipta nama dari luar negara, tapi nisbah pembelian lukisan lebih banyak dari pengumpul Malaysia berbanding luar negara. Ini pengalaman peribadi saya dan hal ini mungkin berbeza antara saya dengan pelukis lain.
Pameran Solo Bersama Mantan CEO Bursa Malaysia Bhd Dato’ Yusli Mohamad Yusof
Pada pendapat anda, bagaimana masyarakat menilai sesuatu lukisan… Orang seperti apa yang suka menghayati dan membelinya?
Ads
Orang yang suka menghayati lukisan dan membelinya adalah orang yang jiwanya passionate dengan seni dan mencintainya. Seni pada dasarnya merupakan ungkapan emosi. Ia mencetuskan emosi tertentu pada orang. Bergantung kepada betapa kuatnya mereka merasakan emosi itu, semakin baiklah peluang orang yang menghargai seni itu.
Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes seseorang mungkin tidak merasakan apa-apa emosi kerana kekurangan pemahaman apa yang dicuba oleh seni.
Dalam kes sedemikian, orang hanya menolaknya mengatakan ia bukan sekeping seni yang baik, mereka mungkin juga mengatakan ini jika emosi yang dicetuskan tidak cukup kuat.
Apabila ini berlaku, mendapatkan seni menjadi satu kejayaan kepada mereka yang membelinya. Ini tidak boleh dibandingkan dengan wang belanja. Ini adalah acquisition. Pemilikan yang kemudiannya menjadi hak peribadi. Art collector dalam sedar atau tidak, mereka adalah pendorong utama seniman-seniman negara sebenarnya.
Usaha anda agar lukisan yang dihasilkan menembusi pasaran digital?
Kongsikan lukisan anda tanpa segan silu dengan dunia luar menerusi media sosial seperti Flickr, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Anda sudah tentu akan dihargai oleh mereka selayaknya. Dunia ini luas dan rezeki Allah ada di mana-mana.
Harapan anda?
Saya sudah maklum, untuk mengubah sesuatu budaya dan cara-cara hidup tertentu yang bukan dari dalam diri kita sendiri adalah sukar.
Maka harapan saya kepada diri saya sendiri ialah membuka art gallery dan berdikari seperti beberapa pelukis moden di US, UK dan Australia supaya peminat dan pengumpul seni boleh terus menghubungi anda dan berdekatan dan mengenali dengan anda secara peribadi.
Dengan cara ini sahaja mereka boleh mengukur standard kualiti dan latar belakang pelukis tersebut. Selepas projek galeri itu berjaya direalisasikan, kemungkinan saya boleh mengorak langkah seterusnya di luar negara, insya Allah.
Berikan tip penjagaan lukisan agar tetap cantik tergantung?
Cat minyak tahannya berzaman dan menjadi sebahagian aset dan architecture di kediaman anda. Berikut sedikit tip yang praktikal diamalkan:
Gantung ia dengan baik.
Dapatkan pencahayaan yang baik kerana cat minyak anda akan glowing dan mengasyikkan apabila dipandang.
Bersihkan dengan kain lembut atau feather duster (bulu ayam).
Cat minyak juga boleh menjadi pemilikan harta yang dibanggakan (pride possession) maka sesetengahnya sudah boleh di senaraikan dalam insurans bagi mengelakkan sebarang kerugian.
Sekiranya anda mempunyai lukisan oil painting tertentu, sudah tentulah ia menjadi satu topik yang seronok untuk diceritakan kepada tetamu-tetamu anda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alahai, manjanya Talita dengan Aunty Watie! Siap dapat ucapan istimewa dan celebration lagi sempena harijadinya baru-baru ini. Terserlah kegembiraan dan keakraban Talita dengan bakal ‘ibu baru’ kesayangannya itu.
Watie Hanifiah, usahawan wanita yang juga tunang kepada pelawak, penyampai radio serta usahawan Shuib Sepahtu baru-baru ini telah menitipkan ucapan hari lahir buat Dzakira Talita Zahra atau panggilan manjanya, Dekta yang ke-10 tahun.
Ucapan istimewa itu dikongsi oleh Watie di Instagram miliknya berserta rakaman video yang memaparkan kemesraannya bersama anak perempuan tunggal Shuib itu.
“Happy Birthday Doctor Love Aunty. Thank you selalu jadi penghibur dan peneman Aunty ke mana pegi…
“Thank you selalu backup dan menangis untuk Aunty bila time Daddy bertukar jadi garang.
“Thanks for your kindness and love. Aunty loves you more.”
Selain Talita, Watie juga akrab dengan tiga lagi anak-anak Shuib iaitu Uwais Alqarni, 12, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan, 2, juga bertambah erat.
Watie yang berusia 35 tahun ini turut meluahkan kesyukuran dan rasa terharu kerana anak-anak Shuib sudi menerimya dirinya sebagai ibu mereka.
Perongsian Watie itu telah meraih perhatiana warga maya. Rata-rata dilihat tersentuh dan seronok melihat kemesraan Watie dan Talita.
Mereka juga berharap Watie akan menjadi ibu yang baik kepada anak-anak Shuib.
“Saya pula yang sebak. Thank you Wati. Insya-ALLAH awak pengganti terbaik untuk anak-anak arwah. Semoga kekal bahagia selalu.”
“Terima kasih Watie sudi jaga Talita dan adik-beradiknya serta menjadi ibu yang baik buat mereka. Semoga Watie berbahagia bersama Shuib dan anak-anak dan dipermudahkan segala urusan majlis nanti. Abaikan yang negatif. Happy Birthday Talita.”
Untuk info, Watie dan Shuib bertunang secara tertutup pada 6 Mei 2023 yang lalu di kediaman Watie di Shah Alam. Pasangan ini bakal disatukan sebagai suami isteri pada Jun ini.
Semoga dipermudahkan segala urusan mereka dan berbahagia sampai ke hujung nyawa. Nona kongsikan beberapa lagi koleksi foto mesra antara Watie dan Talita. Comel!
Sumber & Kredit Foto: Instagram Watie Hanifiah
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Aura usahawan ternyata terzahir pada gerak bahasa tubuh yang ditunjukkan oleh Datin Dr Hasnorliza Abu Hassan tatkala memperkenalkan dirinya ketika penulis diundang ke kediamannya untuk sesi fotografi baru-baru ini. Mana tidaknya, pengasas ADLA (Penasihat, Pembangunan, Pembelajaran dan Pencapaian) Group Sdn Bhd sebenarnya seorang wanita yang sangat serba boleh.
Siapa sangka, beliau bukan sahaja bergelar usahawan, malah memegang peranan sebagai pengarang, penceramah serta mentor dalam membimbing ramai usahawan untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Malah, ilmu usahawan sememangnya sentiasa dekat di hatinya. Malah, beliau sentiasa bersemangat tatkala diminta berbicara mengenai perkongsian ilmu.
Tambah Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan atau lebih mesra di sapa sebagai Dr Leez, antara pendorong utama kejayaannya hari ini adalah melalui pesanan bapa tersayang,Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar yang sentiasa menjadi azimat untuk dirinya berjaya dalam apa jua yang diceburi.
“Jika hendak berjaya, selalu ingat asal usul dan jangan besar kepala. Tuhan memberi kenikmatan berserta ujian, jadi selalu bersyukur dan berkongsi dengan orang lain serta jangan lupa pada Sang Pencipta,” ia merupakan pesanan yang tidak pernah saya tinggalkan dari dulu hingga kini. Setiap pesanan beliau memberi inspirasi untuk saya melangkah lebih jauh bukan sahaja dalam kerjaya, malah sapa aplikasi ia dalam kehidupan berkeluarga,” ujar Dr Leez yang ramah.
Anak kedua daripada lima beradik ini merupakan puteri kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar dan Puan Seri Wan Noor Daud. Mempunyai keperibadian yang kaya dengan sikap terbuka dalam berkongsi ilmu, wanita ini mahu berkongsi ilmu bagi meningkatkan keyakinan diri bukan sahaja melalui pendekatan keseimbangan kehidupan, malah ia merangkumi apa sahaja yang diminati.
Di atas inisiatif tersebut, Datin Leez menubuhkan ADLA pada 2016. ADLA merupakan satu-satunya institusi latihan di negara ini yang berkaitan dengan keseimbangan pekerjaan dan kehidupan.
“ADLA Group Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan latihan pengkhususan prinsip perniagaan seperti pengurusan modal insan, perkhidmatan pelanggan, operasi perniagaan, pengurusan am perniagaan dan perkembangan usahawan di mana usahawan dibentuk dengan didikan dan pengalaman khusus sesuai dengan keperluan bidang perniagaan pilihan mereka,” ujar Datin Leez yang mewujudkan ADLA dikukuhkan dengan lima prinsip utama iaitu keimanan, keluarga, kewangan dan bisnes, serta komuniti dan teman-teman.
Melihat penampilan Datin Leez yang bijak bergaya tatkala menghadiri majlis rasmi mahupun ke pejabat, penulis sempat melihat koleksi pakaian yang dimilikinya tersusun kemas di dalam ruangan khas di kediamannya yang terletak di pinggir ibukota.
Menurut Datin Leez, dia sememangnya gemar berfesyen serta menggayakannya mengikut situasi dan majlis yang bakal dihadirinya. Tambahnya lagi, kerjaya sebagai pengasas ADLA serta Naib Presiden 1 PENIAGAWATI memberi ruang untuk dirinya bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.
“Dalam berfesyen, saya gemarkan rekaan yang klasik dan everlasting. Sebagai contoh, jaket adalah salah satu must have di dalam koleksi pakaian wanita kerana ia mudah untuk disuai padankan untuk acara rasmi mahupun santai. Selain itu, saya gemar menggayakan pakaian baju kebangsaan seperti baju kurung untuk menghadiri mesyuarat ataupun majlis-majlis penting. Saya mengutamakan keselesaan dalam bergaya kerana ia lebih penting untuk menambahkan keyakinan diri.
Memegang jawatan sebagai Naib Presiden 1 PENIAGAWATI membolehkan saya membantu pereka fesyen terkemuka mahupun pereka fesyen yang baharu berjinak-jinak dalam bidang yang mempunyai potensi ini mengembangkan bakat ke peringkat antarabangsa. Malah baru-baru ini, PENIAGAWATI membawa pereka fesyen dan usahawan Malaysia ke New York untuk misi Malaysia Fashion and Business Mission New York 2018 bersempena New York Fashion Week. Ia merupakan pendedahan terbaik untuk Malaysia memasarkan jenama fesyen di mata dunia,” ujar Datin Leez lagi.
Memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam perkembangan pembangunan dan keusahawanan, Dr. Leez sendiri merupakan contoh usahawan berjaya dan memiliki cabang perniagaan lain, seperti dobi dan fesyen. Walau komitmen sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarganya menjadi fokus utama hidup Yang Berbahagia Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan atau dengan nama komersialnya, Datin Dr Leez Hassan, itu tidak menghalang beliau berusaha menempah kejayaan di dalam bidang keusahawanan, ternyata minatnya dari zaman persekolahan lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dato’ Rizalman Ibrahim cukup terkenal dengan rekaannya yang bercita rasa tinggi dan kreatif. Sering menjadi pilihan golongan kenamaan mahupun atasan yang sentiasa percaya dengan kepakarannya.
Sejujurnya, bapa kepada dua orang anak lelaki ini sebenarnya seorang yang cukup merendah diri. Dato’ Rizalman selayaknya digelar ‘guru’ dalam industri fesyen tanah air kerana ilmu serta kebolehan luar biasa yang dimiliki.
“Saya bersyukur kerana dijadikan siapa diri saya sekarang untuk berkongsi ilmu yang dianugerahkan oleh Dia. Saya hanyalah sebagai medium serta watak di pentas dunia ini yang telah berjaya saya sampaikan dengan sempurna. Kelebihan yang saya miliki ini adalah satu tanggungjawab. Ilmu itu satu amanah. Saya juga memandang risiko serta kritikan sebagai satu fasa kehidupan yang mematangkan.
Sebagai pereka fesyen juga saya perlu tahu siapa pesaing-pesaing untuk menjadi yang lebih baik dan berusaha sampai ke tahap paling atas yang menjadi kunci untuk menjadi pereka fesyen tersohor. Saya tahu apa itu fesyen kerana banyak membaca dan mengembara ke negara luar,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini yang berusia 49 tahun. Dato’ Rizalman merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM).
PERMULAAN KARIER
“Kerjaya sebagai pereka fesyen bermula sebaik tamat pengajian di UiTM pada tahun 1993 di salah sebuah butik sekitar Kuala Lumpur. Tugas saya menjahit butang dan cangkuk dengan gaji hanya RM350. Waktu itu kerja hanya enam bulan kerana saya rasa terlalu terkongkong dan tercabar dengan skop kerja. Saya nekad untuk jadi pereka fesyen berjaya seterusnya berniat mahu membalas jasa ibu bapa. Sebaik berhenti kerja, saya buat freelance. Disebabkan masa itu tiada media sosial sukar untuk saya bertapak dalam industri fesyen.
Pun begitu, saya tidak pernah anggap ia satu halangan. Saya terus berusaha sehinggalah dikenali sebagai pereka fesyen baru yang sering mengetengahkan silhouette daripada kebaya dan kurung yang dimodenkan mengikut cita rasa masyarakat ketika itu. Saya turut mengeluarkan idea-idea baru seperti baju kurung yang boleh diolah dalam pelbagai bentuk dan sebagainya. Dari situ orang mula mengenali saya sebagai seorang yang suka membuat revolusi terhadap busana-busana tradisional selain menitikberatkan soal kualiti.
Pelanggan pertama saya ialah personaliti televisyen terkenal, Wan Zaleha Radzi yang membeli sepasang kebaya kuning dan saya menggunakan fabrik sari. Personaliti lain ialah Fauziah Ahmad Daud, Zarina Zainuddin dan Zakiah Anas. Disebabkan belum ada butik, cara saya menjual ialah dengan meletakkan baju-baju yang sudah dijahit ke dalam beg dan membawanya ke stesen televisyen dengan menaiki bas.
Waktu itu saya masih belum punya kereta sendiri dan tiada pekerja. Semuanya dilakukan sendiri, menjual dari pejabat ke pejabat, pergi ke rumah klien dan sebagainya. Dan bila ada duit sikit saya iklankan hasil rekaan dalam majalah.
Kesimpulannya, agak susahlah dulu kerana perlu bergantung kepada cara pemasaran di samping kualiti produk itu sendiri. Bila sudah ada simpanan barulah saya membuka butik secara kecil-kecilan,” ungkap anak bongsu ini yang dilahirkan dalam keluarga seni. Ibunya seorang tukang jahit manakala bapa merupakan kerani dan jurufoto fesyen. Adik beradiknya pula pandai melukis dan ada yang bergelar pelakon teater serta pelakon radio.
“Harapan saya bila tibanya saat menutup mata, dapatlah pergi dalam keadaan yang tenang tanpa hutang. Sihat tubuh badan serta mampu melakukan ibadah dengan sempurna seterusnya memiliki anak-anak yang soleh. Tidak kisahlah mereka mahu meneruskan legasi saya mahupun tidak. Semoga mereka diberikan jodoh yang solehah dan keturunan yang soleh.
Seterusnya nasihat saya buat generasi muda yang mahu berjaya pertamanya ialah kenal dahulu siapa Pencipta, kenal siapa diri kita dan kenal segala benda yang ada di sekeliling kita. Bila kita tahu semua itu maka kita akan tahu bagaimana formula untuk menjadikan diri kita berguna dan bagus kepada orang lain,” akhiri Dato’ Rizalman yang juga pemilik kepada Glam Casa, Glam Reka, Glam Weddings serta The RI Maison by Rizalman.
Kredit Foto: Instgram @rizalman71
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.