“Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat,” ujar penyandang Nona Superwoman Award 2020, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berusia 94 tahun itu.
Sepagi di kediaman rasmi Tun Hasmah di Jalan Kuda Emas, Seri Kembangan, bagai melestarikan mimpi kami. Nyaman suasana hijau di perkarangan, lengkap tugu Pak Belang menghiasi landskap dan seni bina banglo retro itu. Tun Hasmah turun dari lif dipimpin seorang pembantu, tak lekang senyumannya, ramah dan mesra berjenaka seperti selalu.
Tidak sah berbual dengan Tun Hasmah jika tidak mengimbau nostalgia lama. Rumah klasik ini sarat dengan memorabilia serta gantungan foto-foto bersejarah sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan nombor satu Malaysia sebanyak dua kali.
Ada juga ruang menempatkan piano serta biola yang digeseknya setiap minggu. Ketika pandangan merayau meninjau koleksi-koleksi tersebut, perhatian penulis tertancap di sebuah ruang menonton TV.
“Inilah tempat rehat kegemaran saya. Hari-hari tengok TV dan ikut perkembangan kes COVID-19 di sini. Saya mesti akan tengok berita dan tunggu Dr Noor Hisham ke udara,” cerita Tun Hasmah sambil menunjukkan sofa tempat beliau selalu berbaring.
Sofa empuk dan seekor kucing hitam gebu bernama Blackie menjadi teman Tun Hasmah ketika suaminya keluar bertugas.
Tidak jemu dengan rutin yang sama? Soal penulis sambil mengusap leher Blackie yang manja. Tun Hasmah menggeleng. “Dah biasa,” jawab beliau perlahan sambil melemparkan senyuman.
Benarlah sifat penyayang itu miliknya. Karakter lembut Tun Hasmah sebenarnya adalah tenaga terkuat sepanjang mengenali wanita hebat berusia 94 tahun ini.
Beliau yang sudah cukup masak dengan kesibukan suami tercinta sempat berseloroh, “Tun Mahathir tu rajin bekerja… cubalah kalau boleh suruh dia (Tun) berhenti,” ujar Tun Hasmah sebelum berkongsi rahsia kuat ingatannya kepada followers Nona.
Sanjungan penulis terhadap Tun Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu.
Ads
Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu kian bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Syukur alhamdulilah.
“Dari segi pemakanan tu, macam biasa je. Saya tak boleh makan pedas. Tapi saya suka sayur terung yang disambal, ikan kering dan lauk kuah-kuah… Selain tu saya cuba kurangkan nasi dan makan mihun sup yang menyihatkan.
Diet Tun Mahathir pun sama. Dia makan apa saja kecuali ikan. Tapi bila ke Jepun, anehnya dia suka pula makan ikan mentah macam sashimi (ketawa). Apa pun bila pasal makan, lebih elok kita bersederhana,” cerita Tun Hasmah yang merupakan nenda kepada 18 orang cucu itu.
Anak kelahiran Klang, Selangor ini menamatkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura sebelum bergelar mahasiswi perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Singapura (ketika itu) pada tahun 1955.
Banyak pengalaman Tun Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf.
Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Ads
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat.
Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Perkahwinan Tun Hasmah dan Tun Mahathir mencecah usia 64 tahun. Rahsia perkahwinan suami isteri ini sudah tentulah bergantung pada sifat mengalah dan bersabar dengan ombak badai yang menghempas rumah tangga mereka.
Jelas ibu kepada Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar itu lagi, sebagai isteri, kepercayaan itu amat penting.
“Orang kata behind every successful man, there is a woman. Kalau kata-kata ini dibacakan depan saya, saya akan jawab ‘No. Behind every successful man, there is a woman, not any woman but his wife’. Kadangkala saya tambah lagi, not any wife but first wife!” tutur Tun Hasmah serius.
Sekilas kata-kata itu mengingatkan penulis pada hantaran Facebook Tun Mahathir (klik sini) beberapa bulan lepas.
Ads
Perkahwinan mereka yang sudah melewati ulang tahun Jubli Intan menjadikan apa jua perkongsian cinta berkenaan keduanya begitu indah untuk dijadikan panduan.
“Sebagai isteri, kita harus percaya dan yakin suami kasih dan sayang. Setiap pasangan mesti ada keyakinan sebegitu supaya tiada kebimbangan di hati.”
Nasihat Tun Hasmah, seandainya berlaku konflik dalam rumah tangga, belajar selesaikan dengan matang pada waktu dan tempat yang sesuai.
“Ada ketikanya saya tergelincir juga dalam kata-kata hingga menyebabkan dia berdiam diri. Kadangkala dalam motokar pun dia diam. Tak boleh buat-buat cakap. Itu tandanya ada sesuatu yang tak kena. Jadi sampai rumah kami akan selesaikan,” kongsinya tentang petua kebahagiaan.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak menguruskan keluarga serta memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.
Penyelaras & Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Emma Mustafa
Dandanan: Dr Rajavel
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selebriti terkenal, Ziana Zain yang sedikit masa dahulu menggemparkan industri apabila memfailkan perceraian bersama suami yang telah dikahwininya selama 20 tahun. Kekuatan yang dimiliki penyanyi lagu Madah Berhelah ini bukan calang-calang.
Foto: Instagram @iamzianazain
Wanita yang kini sudah berusia 51 tahun ini terus optimis meneruskan kehidupan bersama anak-anak tercinta dan kelihatan telah move on. “Sebagai wanita biasa, jujur saya katakan bukan mudah untuk move on. Ada wanita yang terpaksa tunggu bertahun-tahun dan ada juga hanya mengambil masa yang singkat sahaja.
Foto: Instagram @iamzianazain3
Bagi saya setiap rencana hidup kita sudah di tulis oleh Allah SWT dan bila sampai masanya Allah SWT kata masa untuk move on, ini merupakan gerak dariNya. Saya selalu bersyukur dan sering meminta kepada Yang Maha Esa untuk diberi kekuatan dan dikurniakan keberkatan hidup. Apabila kita berdoa dan selalu meminta serta reda dengan ketentuan Ilahi, insyaAllah we can move on.
Foto: Instagram @iamzianazain
Bagaimana mahu menjadi wanita yang cekal? Kadang kadang nak jadi cekal itu kita terpaksa melalui banyak episod dalam kehidupan. Seperti saya melalui kehidupan sebagai manusia biasa dan juga artis terdengar juga kata-kata yang sedap di dengar, tak sedap di dengar dan kadang-kadang boleh menjatuhkan air muka.
Foto: Instagram @iamzianazain
Tetapi bagi saya jangan peduli apa orang kata kerana mereka tidak kenal siapa kita. Apa yang penting saya tahu keluarga sentiasa berada di sisi untuk mengharungi dugaan hidup. Jangan fikir kata-kata yang boleh merosakkan kita dan bulatkan hati untuk terus mengatur langkah meneruskan kehidupan. Apa sahaja yang berlaku tiada siapa yang akan membantu kecuali ahli keluarga kita sendiri.
Kita wanita adalah insan begitu istimewa kerana telah dianugerahkan semangat yang luar biasa. Kewujudan wanita ini juga boleh dikatakan unik kerana kita mampu mempunyai kerjaya dan dalam masa yang sama berupaya menjaga anak malah memasak untuk keluarga serta melakukan kerja rumah.
Ini juga yang akan membuatkan kita wanita yang kuat dan cekal, jadi kita wanita kita patut menggunakan keistimewaan ini dengan sebaiknya,” tutur Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin.
Nasihat Ziana buat untuk wanita yang dibelenggu dengan masalah rumah tangga terutama yang mengalami penderaan domestik agar mencari jalan keluar dengan meminta pertolongan daripada saluran yang betul.
Tambah Ziana terdapat banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang boleh memberi bantuan kepada wanita yang mempunyai masalah. Jangan malu untuk bertindak kerana bukan kita seorang sahaja mempunyai masalah. Kuatkan semangat dan paling penting mencari saluran yang betul.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wawa Zainal dan Aeril Zafrel antara pasangan selebriti yang kekal bahagia hingga kini biarpun usia perkahwinan menjangkau 11 tahun.
Selain dikurniakan anak-anak yang comel, rezeki mereka dalam perniagaan semakin melimpah ruah. Sesungguhnya rezeki itu tak salah alamat.
Wawa bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang sangat penyabar seperti Aerl. Sehinggakan Wawas sendiri terinspirasi dengan sikap Aeril yang sentiasa bertolak ansur jika berlaku perselisihan faham.
“Walau banyak dugaan, pengalaman mengajar kami erti hidup. Sekarang adalah fasa sedekad untuk perkahwinan kami.
“Bukan lagi masa untuk bergaduh, merajuk apatah lagi cemburu. Masing-masing sudah matang dan kami mahu kehidupan yang tenang.
“Fokus utama kami, membina empayar perniagaan. Sekarang umur saya 30 tahun manakala Aeril 34 tahun.
“Impian saya nak pencen sebelum umur 40 tahun. Kalau diizinkanNya, lepas umur 40 tahun saya nak travel ke destinasi impian.
“Sementara masih ada kudrat untuk cari rezeki, kami akan terus kembangkan perniagaan. Ini juga demi kesenangan anak-anak kerana niat kami berniaga untuk jangka masa panjang.”
Menurut Wawa, kalau dulu mereka kerap ‘mencuri masa’ anak-anak degan kesibukan kerja dalam perniagaan. Namun kini Allah SWT mengembalikan masa yang ‘hilang’ itu.
“Apabila ada masa yang fleksibel kami dapat meluangkan masa yang banyak bersama anak-anak. Sebelum ini kami terlalu sibuk dan tiada masa untuk anak-anak.
“Sehinggakan saya rasa sangat berdosa apabila sering ‘mencuri masa’ anak-anak dengan kerja-kerja kami. Waktu balik kerja mereka sudah tidur, kalau ada masa pun sekejap sahaja.
“Sekarang ini kami bersyukur kerana dapat bersama anak-anak pada bila-bila masa terutama pada hujung minggu. Saya lebih suka duduk di rumah sambil layan anak-anak.”
Kongsi Wawa, cara didikannya dan Aeril sedikit berbeza. Dia agak tegas dengan anak-anak manakala Aeril seorang yang tegas dalam kelembutan serta tidak pernah berkasar atau marah dengan anak-anak.
“Aeril mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang, lembut serta gemar bergurau dan berjenaka.
“Seperti mana yang dikongsikan oleh Aeril di laman sosial itulah realitinya, bukan dibuat-buat.”
Secara tidak langsung sikap Aaeril itu telah memberi contoh dan inspirasi kepada Wawa dalam mendidik anak-anak.
“Apa yang saya belajar adalah bagaimana untuk menjadi seorang ibu yang penyabar dalam melayan karenah anak-anak.
“Dengan masa yang fleksibel kini dapatlah saya meluangkan masa dengan anak-anak termasuklah menyelami jiwa dan perasaan kecil mereka.
IMG-3881
“Harapan kami semoga anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang dan selagi termampu kami akan sentiasa memberikan yang terbaik buat mereka, Insha-Allah.
“Untuk anak-anak, selain meninggalkan legasi perniagaan kami juga sudah membuat extra care dengan menyediakan pelan insuran masing-masing termasuk simpanan masa depan,” kongsi Wawa.
Kredit Foto: Instagram Wawa Zainal
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, makin mencurah-curah rezeki Nor Farhatul Fairuzah Panut. Daripada menjadi tetamu jemputan di stesen televisyen dan menerima undangan di majlis-majlis sekolah sehinggalah berniaga tudung, Nor Farhatul Fairuzah atau mesra disapa Farha mengembangkan bakat sebagai hos di saluran Astro Oasis.
Alhamdulillah, tumpang bangga dengan pencapaian Farha saban tahun dan pastinya kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mengikut jejak langkah qariah termuda negara ini yang tidak hanya berbakat. Malah memiliki keperibadian yang hebat!
Meniti usia 21 tahun, kemenangan Farha di pentas Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 nyata meraih perhatian masyarakat. Mutu bacaan yang diperdengarkan Farha telah berjaya memikat hati panel juri sekaligus menjadikan anak kelahiran Selangor ini sebagai qariah termuda negara yang mengungguli majlis berprestij itu.
Dedah Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula saya didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan arwah ayah banyak mendidik saya sejak kecil sebab mereka berdua bekas qari dan qariah. Arwah ayah jadi qari tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar qariah pula tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.”
Jelas anak kepada Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini, dia sama sekali tidak menyangka mampu melakar pencapaian terbesar sebagai johan qariah dalam usia muda.
Berpeluang menemu bual perkembangan terkini Farha, Tokoh Belia Negara 2019 ini mengakui sedang melanjutkan pengajian di universiti. “Buat masa sekarang, alhamdulillah saya masih belajar dan penuntut di universiti. Doakan saya jadi pelajar berjaya dunia dan akhirat.
Bisnes sebelum ini saya ada keluarkan tudung di bawah jenama Farha Looks, tapi buat masa sekarang saya lebih banyak tumpu kepada pelajaran. Memang ada keinginan untuk keluarkan produk yang baru, apa-apa pun doakan saya jadi usahawan berjaya satu hari nanti.
Waktu PKP ini juga saya masih aktif dan inovatif. Sentiasa belajar ilmu-ilmu baru walaupun secara online dan banyak benda saya belajar. Selain itu, saya juga ada kongsi ilmu tarannum atau Al-quran di platform media sosial saya di samping turut memenuhi program-program online daripada stesen TV dan sekolah-sekolah.
Tahun ini juga saya telah diberi tanggungjawab jadi pengacara di Astro Oasis. Tapi memandangkan situasi pandemik Covid-19, semuanya terpaksa dilakukan secara online,” terang Farha yang sebelum ini menjadi hos Geng Ngaji dan kini mengacarakan program Berbicara Tentang Bidadari di Astro Oasis.
Terkesima mendengar Farha membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan pasti ramai yang hendak tahu masa yang diperuntukkan anak bongsu daripada lima beradik ini untuk mengaji dalam sehari.
“Sebenarnya saya tak letak syarat berapa lama dan berapa jam. Cuma saya akan mengaji selepas solat fardu at least 1 page. Bercerita tentang surah kegemaran pula, saya suka surah Al Mulk yang dituntut baca sebelum tidur dan kelebihan surah akan jadi penyelamat di alam kubur nanti. Selain akan meringankan seksa kubur. Pembaca surah ini juga akan dipancarkan cahaya. InshaAllah.”
Tambahnya lagi, “Nak kuasai Al-Quran banyakkan mendengar dan cuba mencari guru. Sebab ilmu tak akan datang kalau kita tak cari. Cari guru Al-Quran dan inshaAllah, Allah akan permudahkan kita untuk belajar Al-Quran. Sebenarnya memang sangat dituntut untuk kita bertalaqi. Maksud talaqi ini ialah berhadapan dengan guru.
Belajar Al-Quran tak boleh satu hala perlu dua hala dan berhadapan dengan guru. Jadi guru tu akan tahu dan tegur mana salah kita dalam pembacaan Al-Quran. Saya tau bukan mudah nak kuasai, ia perlukan usaha tapi kalau ada keinginan tinggi, Allah akan permudahkan urusan kita.
Di sini juga saya ingin berpesan dan ajak anak muda di luar sana tak kira siapa kita, cuba jadikan Al-Quran sahabat kita di dunia sebab bila kita jadikan Al-Quran sahabat di dunia, ia akan jadikan kita sahabat di akhirat nanti dan semoga dengan berkat kita sentiasa bersama Al-Quran ini akan bantu kita di alam kubur nanti.”
Ditanya impian yang masih belum tertunai, sambil tersenyum Farha memberitahu, “Cerita tentang impian ini, macam-macam yang saya fikir. Saya teringin sangat nak pergi umrah yang tertangguh. Sepatutnya awal 2020 pergi umrah tapi sebab pandemik Covid-19 tak dapat pergi sana. Impian yang lain juga, Farha teringin jadi usahawan yang aktif dan membantu orang di luar sana.
Selain itu, impian yang ingin dicapai ialah saya sebenarnya suka jalan-jalan dan pergi melancong. Pada saya di samping melancong, saya juga nak berkongsi keindahan Al-Quran dan alunannya serta berdakwah di luar negara. Pendek kata, saya mahu jadi wanita hebat dunia akhirat.”
Lebih mengagumkan, kelima-lima beradik Farha turut aktif mendalami Al-Quran dan menyertai pelbagai pertandingan tilawah. Difahamkan mereka pernah menjadi wakil negeri dan kebangsaan dan sebab utama lima beradik ini menyertai tilawah kerana ia impian arwah ayah dan mak. Tambahan pula, mak mereka merupakan guru mengajar Al-Quran.
MasyaAllah, kagum dengan kejayaan Farha dan adik-beradik. Moga pencapaian yang diraih mampu menjadi suntikan semangat untuk lebih ramai anak muda mengikut jejak langkah Farha.
Kredit foto: Instagram Farhatul Fairuzah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.