Kagum dengan kebolehan isteri pengarah terkenal Aziz M. Osman ini menguruskan kerjaya dan keluarga tersayang. Dalam kesibukan mengusahakan perniagaan dan tugas di sebalik tabir, Puteri Lily Lokman tetap tidak mengabaikan tugasnya sebagai isteri serta ibu kepada dua cahaya mata comel. Memang betullah orang perempuan ini mampu buat macam-macam benda dalam satu-satu masa!
Ditemu bual Nona baru-baru ini, Puteri Lily atau mesra disapa Lily mesra berkongsi perkembangan terkini dan sisi peribadi. Disifatkan seorang wanita yang aktif dan berdaya saing, Lily yang berusia 33 tahun nyata matang dan mempunyai hala tuju yang jelas.
“Sekarang, saya tengah buat persediaan untuk filem terbaharu memandangkan kerja utama adalah producer. At the same time, sibuk juga melayan anak-anak. Boleh dikatakan semuanya buat masa ini on progress.
Setakat ini, saya buat tiga benda iaitu jadi penerbit, pengasas kosmetik kanak-kanak iaitu Ara Little Beauty dan satu lagi saya buat bisnes tiram atau oyster. Perniagaan tiram ini yang terbaharulah.”
Mengulas bagaimana dia mampu membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga, Lily dalam nada tenang membuka cerita.
“Jujurnya, saya tak ada maid untuk bantu urus rumah dan anak-anak. Alhamdulillah, buat masa ini kebanyakan kerja dilakukan secara online dan ada staf yang turut bantu uruskan kerja-kerja di pejabat. Memang kami tak ambil khidmat pembantu rumah. Jadi semuanya kena buat sendiri.
Ads
Saya bersyukur, Ara pun dah besar dan dia banyak tolong saya buat kerja-kerja rumah. Termasuklah juga abang Aziz yang banyak bantu. Semuanya jadi mudah bila ahli keluarga saling membantu, teamwork.”
Menyentuh pembabitan dalam perniagaan Tiram.je, Lily berkata ia bermula kerana menggemari makanan laut berkenaan. “Oyster ni sebenarnya saya memang suka makan dengan my partner, Reen. Harga tiram di pasaran kebanyakannya mahal. Jadi, rakan kongsi iaitu Reen beritahu nak jual tiram tapi kami sendiri yang deal dengan supplier.
Kami pun buat dan buka stall. Dapatlah jual murah sebab tak terikat dengan nak bayar staf ramai atau tempat sewa restoran mahal. Maksudnya tak ada komitmen yang besar. Sebab itulah saya dapat jual dengan harga berpatutan kerana dapat good supplier. Alhamdulillah.
Ads
Saya suka berniaga daripada dulu. Apa saja yang boleh berniaga, saya jual selagi halal. Dari dulu memang suka try and error, macam-macam bisnes pernah cuba. Lagipun saya jenis yang tak boleh duduk diam. Bagi saya, boleh stres kalau duduk diam. Tu yang orang tengok saya, mereka kata tak penat ke. Tapi it’s fun.”
6 Jun lalu genap 12 tahun Lily sah menjadi isteri Aziz M. Osman. Sepanjang hidup berumah tangga, pasangan ini mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bercerita lanjut mengenai resam hidup berumah tangga, ini jawapan jujur Lily.
“Resipi rumah tangga yang penting sekali ialah kepercayaan. Saya dan suami memang tak pernah ada isu kepercayaan. Apa-apa yang kami nak buat, masing-masing tak mengongkong atau suspect anything. Alhamdulillah, tak pernah berlaku.
Ads
Kena pandai-pandailah jaga diri. Kalau nak keluar mana-mana pun pandai bawa diri. Kalau suami marah atau bad mood dan ada something going on misalnya, saya memang jenis yang tak akan menjawab.
Jangan lagi ‘membakar’. Kalau kita salah, cakap sorry. Itu antara yang kami amalkan selama berkahwin. Simple macam tu je.
Untuk mendidik anak pula, kebanyakannya memang saya buat untuk pembelajaran dan persekolahan anak-anak. Bab cari dan survey sekolah untuk anak, saya yang buat. Memang saya agak tegas dalam pembelajaran mereka.
Abang Aziz more to disiplin dan timing serta kebersihan anak-anak. Masing-masing ada tugas dan tanggungjawab didik anak. Kalau seorang tegas, seorang lagi kena calm. Macam tu lah.”
Aziz M. Osman dan Puteri Lily Lokman berkahwin pada tanggal 6 Jun 2010. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Puteri Nur Azzahra atau dikenali sebagai Ara Aziz dan Muhamad Aryan Aziz.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan semangat anak muda ini. Walau sudah mempunyai kerjaya yang menjamin masa depan namun tetap rajin berusaha mencari kemahiran dan menambah pendapatan. Tekad menjadi wanita yang serba boleh dan mahu menjadi inspirasi kepada keluarga serta masyarakat, keberanian Nur Atiqah Rozali mencabar potensi diri untuk bergelar ahli perniagaan patut diberikan pujian.
Meniti usia 31 tahun, Nur Atiqah atau mesra disapa Iqa dilahirkan pada 6 Mac 1990 di Kuala Lumpur. Anak sulung daripada tiga beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga ini merupakan graduan Perguruan di Institut Perguruan Kampus Keningau, Sabah dan ibu kepada dua cahaya mata.
“Saya berasal dari Batu Pahat, Johor. Bersekolah rendah dan menengah di daerah Parit Sulong, Johor kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Ibu bapa berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara kami sekeluarga. Dari berniaga kain untuk buat baju, sampai jual produk kesihatan pun mak ayah buat.
Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya cuba sedikit sebanyak untuk membantu mereka. Alhamdulillah, sekarang saya bekerja sebagai pendidik yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di salah sebuah sekolah di daerah Yong Peng dan telah berkhidmat selama 7 tahun. Suami pula kerja sebagai pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Yong Peng dan kami dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Ameena Humaira dan Norameen Mukmin.”
Mengimbau perjalanan awal sebagai pengusaha kolam ternakan ikan, Iqa mengakui tidak pernah terlintas untuk menjadi usahawan akuakultur. Segalanya bermula selepas kedua-dua ibu bapa berpisah dan membuatkan dia lebih tabah mendepani masa depan demi keluarga tersayang.
“Idea untuk jadi usahawan tercetus pada tahun 2019. Waktu itu ibu berpindah ke Negeri Sembilan selepas berpisah dengan ayah. Di sini bermulalah titik kesedihan buat kami adik-beradik. Namun, kami perlu terima dan reda dengan perancangan Allah SWT.
Dari situ timbul hasrat untuk saya bantu ibu dengan mengusahakan tanah pusaka miliknya yang telah lama terbiar. Terdetik untuk berbakti kepada tanah dan saya buat keputusan tersebut atas faktor geografi yang menarik dan bersesuaian.
Maka tercetuslah idea untuk memulakan bidang akuakultur ini. Tak lupa juga, galakan daripada suami dan ibu yang menjadi faktor utama saya menceburi bidang ini,” telus isteri Noralim Azhim ini.
Menjadikan Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan, Iqa cukup bersemangat mendalami selok-belok dunia akuakultur walau tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai bidang berkenaan.
“Banyak perkara yang boleh dipelajari tentang cara Khadijah berniaga yang boleh dicontohi pada zaman moden ini. Beliau sangat bijak mengembangkan harta selain sangat pandai berniaga walaupun pada ketika itu, masyarakat Arab memandang rendah pada kaum wanita yang berniaga.
Begitu juga pada zaman ini, wanita perlu berani mencuba dan bersaing dengan golongan lelaki. Pada zaman moden ini, semua wanita yang berjaya telah menjadi sumber inspirasi buat saya. Ramai wanita di luar sana yang saya kagumi dan ingin contohi keperibadian dan kehebatan mereka dalam perniagaan.”
Tambahnya lagi, “Tak dinafikan, dua bidang ini merupakan bidang yang berbeza. Saya beranggapan bahawa saya tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang ada. Menjadi guru merupakan profesion yang mulia di mana saya perlu sentiasa komited dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
Saya amat menyayangi profesion perguruan ini dan dalam masa yang sama saya juga ingin menjadi guru yang mempunyai pelbagai kemahiran yang lain. Setiap orang berhak untuk belajar pelbagai bidang kemahiran, sama juga seperti saya yang ingin belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai bidang akuakultur ini.
Saya juga menganggap bahawa bidang penternakan ikan merupakan ‘terapi diri’ di mana saya dapat mendekatkan diri dengan alam flora dan fauna. Selain ia juga membuahkan hasil suatu hari nanti. InshaAllah. Setiap orang mempunyai keupayaan dan kecenderungan yang tersendiri yang perlu kita cungkil untuk memperkasakan diri.”
Status guru dan peranan Iqa sebagai anak sulung dalam keluarga telah membentuk dirinya menjadi seorang wanita yang matang dan berfikiran jauh. Sedar risiko yang perlu dihadapi apabila menceburi bidang keusahawaan, Iqa tanpa berselindung mengakui berdepan dugaan sebaik mengusahakan kolam ternakan ikan.
“Dalam perniagaan sudah tentu ada cabaran tersendiri. Antara yang tidak dapat dilupakan apabila saya mengalami kerugian sewaktu proses menukar ikan ke dalam sangkar. Proses penukaran ini mengakibatkan ikan ‘stres’ dan banyak yang mati. Ini pengalaman baru buat saya.
Selain itu, situasi pandemik Covid-19 ini juga membataskan pergerakan saya untuk memantau perkembangan ternakan. Sepatutnya tiap minggu saya akan berulang alik dari Johor ke Negeri Sembilan untuk mengendalikan proses ternakan ini tapi saya tak dapat rentas negeri. Sudahnya, ibu yang terpaksa kawal selia,” dedah Iqa yang mengusahakan ternakan ikan di Linggi, Negeri Sembilan.
Bercerita mengenai impian yang diinginkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan nada semangat Iqa memberitahu, “Jujur saya katakan, saya masih belum berjaya dan masih jauh lagi perjalanan yang perlu saya tempuh. Banyak yang perlu dipelajari dan perbaiki dalam bidang ini. Tapi dalam masa 10 tahun akan datang, saya ingin memperluas lagi pasaran ikan tilapia ke seluruh Malaysia.
Buat masa sekrang, saya mensasarkan pasaran ke kawasan tempatan seperti di kedai-kedai makan, kedai runcit dan pasaraya terdekat. InshaAllah jika diizinkan saya ingin membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam penternakan ini. Terutamanya kaum wanita.
Dalam masa sama, membantu mereka yang memerlukan. Saya ingin terus berbakti kepada tanah milik Allah Yang Esa. Mungkin mencuba jadi petani yang berjaya pula.”
Semoga segala impian Iqa dipermudahkan kelak dan semangat ibu ini dapat dijadikan inspirasi kepada lebih ramai kaum wanita di luar sana.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saban tahun setiap kali Syawal bakal menjelang, video Khairul Aming menghargai pekerja dan memberi wang insentif kepada mereka sentiasa ditunggu-tunggu warga maya. Tahun ini kemurahan hati pempengaruh media sosial berkenaan kembali menjadi bualan.
Ternyata Khairul Aming menjadi ikon majikan contoh dan idaman ramai pekerja. Mana tidaknya, bukan sekadar prihatin membeli keperluan Raya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Malah memperuntukkan belanja untuk kelengkapan barang dapur sampai sanggup menyewa sebuah lori untuk mengangkut barang-barang yang dibeli staf kesayangan. Baik hati boss!
Itu tidak termasuk pemberian bonus berupa wang ringgit lagi. Tergamam dibuatnya bila tengok sampul yang diterima staf Khairul Aming. Berkepuk-kepuk ‘notes’ duit RM100 dalam satu sampul. Bayangkan, ada lebih 100 pekerja pula tu!
Sehingga kini, video berkenaan meraih lebih enam juta tontonan! Kongsi pengusaha Sambal Nyet ini, “Semalam kita tutup kilang untuk meraikan staff KA di bulan puasa ni.
Kita bawa semua staff shopping baju raya, shopping barang dapur untuk preparation raya dengan family, bagi duit raya and also buka puasa kat hotel. Syukur dan happy dapat teruskan tradisi ni tahun demi tahun.”
Teringat temu bual Nona bersama usahawan berusia 33 tahun ini beberapa tahun lepas. Diaju mengenai peribadi ibu tersayang, Khairul Aming meluahkan rasa kagum dengan pengorbanan ibunya yang menjual kuih tako selama lebih 14 tahun.
“Mak saya akan bangun 3 atau 4 pagi. Kalau hari cuti saya teman mak pergi pasar dan letak kuih dekat setiap peniaga.
Kadang kalau ada booking kuih dan tak ada kotak, kami akan cari kotak-kotak dekat supermarket untuk letak kuih. Alhamdulillah hasil pencarian daripada buat kuih itulah yang membesarkan saya dulu sampai hari ini.”
Ditanya didikan ibu yang paling dia ingat dan terapkan hingga kini, “Didikan ibu yang paling saya ingat, dia sangat tekankan kepentingan bersedekah. Itu adalah amalan yang ibu ajar dari kecil lagi.
Sekarang alhamdulillah kita banyak kongsi rezeki bukan dengan keluarga saja, kita kongsi rezeki dengan staf-staf di Sambal Nyet, kita kongsi rezeki dengan followers kita dan orang sekelilinglah. Itu value yang saya tekankan sekarang daripada didikan ibu saya.”
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman mula aktif menjadi content creator sepenuh masa pada tahun 2020.
Tahun tersebut menjadi detik paling mencabar bagi dirinya kerana bapa tersayang, Allahyarham Kamarulzaman Hussin meninggal dunia dan figura ini nekad meninggalkan kerjaya dalam bidang oil and gas beberapa bulan selepas arwah bapa kembali ke rahmatullah.
“Tapi alhamdulillah sokongan daripada ibu saya sangatlah kuat, dia percaya dengan azam dan juga hasrat saya untuk meneruskan karier dalam dunia content creator ni.
Saya pun sempat dapat restu daripada arwah bapa saya sendiri. Alhamdulillah ia adalah keputusan yang baik dan saya sangat bersyukurlah dikurniakan mak yang sangat supportive dan sangat memahami karier anak dia.”
Khairul Aming merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan di Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat. Tahun 2021, dia mula berniaga Sambal Nyet dan berjaya raih pulangan cecah jutaan ringgit sampai sekarang. Seterusnya menghasilkan produk kedua, Dendeng Nyet Berapi dan kini mempunyai dua buah kilang serta merancang untuk membuka sebuah lagi kilang kelak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pejam celik perkahwinan Menteri Besar Selangor dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad mencecah usia 21 tahun. Meskipun sudah lebih dua dekad hidup bersama namun kehangatan cinta dan kasih di antara mereka masih mekar.