Alhamdulillah, tahniah diucapkan buat atlet para negara iaitu Datuk Abdul Latif Romly yang selamat bergelar suami tanggal 13 Disember 2022. Selamat diijab kabulkan oleh bapa mentua, Nurul Nabila Farhana Musaidi kini sah menjadi isteri Datuk Latif dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan pasangan muda ini dikongsikan menerusi siaran langsung di media sosial kedua-dua mempelai. Sedondon menyarung persalinan rona putih salju, pasangan pengantin tampak bahagia dan berseri-seri. Sambil dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga di kediaman pengantin perempuan di Perlis.
Pada majlis ijab kabul ini, Nabila yang merupakan seorang guru Sejarah dan Muzik menerima mas kahwin RM1,312 sebagai simbolik tarikh pernikahan mereka hari ini.
Ads
Mac lepas, Nabila berusia 24 tahun menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-11 Institut Pendidikan Guru (IPG) selepas lebih dua tahun menunda majlis konvokesyen susulan pandemik Covid-19.
Nabila dan Datuk Abdul Latif Romly mengikat tali pertunangan pada Oktober lepas. Pasangan romantis ini dilaporkan mula berkenalan sejak kedua-duanya masih di bangku sekolah dan kian menjalin hubungan serius.
Semoga ikatan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke Jannah dan anak cucu.
Baru-baru ini kecoh tentang isu keselamatan produk jenama kosmetik Skin Dessert yang dipercayai jualan produknya ditarik balik berikutan berlaku masalah kulit (breakout) yang dihadapi sesetengah pengguna. Tidak habis di situ, isu dalaman dengan salah satu agensi kerajaan juga turut diperkatakan ramai di mana pada 4 Oktober 2022, Pengasas Skin Dessert Puan Zirra Abdullah dan Pengarah Urusan Skin Dessert En Mohd Aliff Abd Kadir memuat naik gambar mereka di hadapan bangunan SIRIM di media sosial dengan tujuan untuk memaklumkan bahawa Skin Dessert sedang dalam proses menjalankan ujian produk bersama SIRIM.
NONA dijemput secara eksklusif ke sidang media Skin Dessert sebentar tadi di Kuala Lumpur di mana pengasas dan pengarah urusan Skin Dessert bersama dengan peguam yang mewakili mereka, Nur Nazuha binti Zohor Ali dari Tetuan Raidah Nazuha Law Chambers menjelaskan isu berkenaan kepada para media dan pihak-pihak berkepentingan. Ini adalah dapatan kami berdasarkan kenyataan media yang dikongsikan pihak Skin Dessert kepada media.
KENYATAAN MEDIA DARI SKIN DESSERT
Ailezee Rich Sdn Bhd selaku pengeluar produk kosmetik Skin Dessert, telah memulakan tindakan undang-undang dengan menghantar Surat Tuntutan pada 7 Disember 2022 terhadap Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) berikutan isu yang tular menerusi platform media sosial baru-baru ini.
Skin Dessert menerusi agen yang dilantik iaitu Abam Peah Holdings Sdn Bhd telah membuat dua (2) kali bayaraan kepada SIRIM untuk menjalankan dua jenis ujian iaitu Ujian Kerengsaan Kulit (Skin Irritation Test) dan Ujian Keberkesanan Produk terhadap produk keluaran iaitu ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer’.
Berikutan muat naik gambar di depan SIRIM itu, SIRIM menerusi akaun rasmi media sosialnya meninggalkan komen di gambar yang dimuat naik Puan Zirra seperti berikut: “SIRIM Berhad ingin menegaskan bahawa SIRIM Berhad tidak pernah menjalankan sebarang pengujian terhadap produk Skin Dessert. Untuk sebarang pertanyaan berkenaan pengujian produk kosmetik, sila hubungi kosmetik@sirim.my.
Komen yang dibuat SIRIM menyebabkan isu produk Skin Dessert semakin tular mengakibatkan Puan Zirra dan En Aliff menerima pelbagai kecaman daripada netizen selama dua bulan sehingga merosakkan reputasi perniagaan dan mereka mengalami tekanan emosi memandangkan Puan Zirra dan En Aliff tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.
Malah komen SIRIM itu jelas bertentangan memandangkan Skin Dessert sudah membuat permohonan pengujian produk dan menghantar sampel produk kepada SIRIM pada 8 September 2022.
Pengujian Produk Oleh SIRIM
SIRIM kemudian menerusi surat bertarikh 26 Oktober 2022 memaklumkan terpaksa membatalkan permohonan pengujian ke atas produk sampel produk yang telah dihantar oleh Skin Dessert. Bayaran yang telah dibuat untuk kedua-dua ujian tersebut akan dipulangkan kepada syarikat Abam Peah Holdings Sdn Bhd selaku pengantara Skin Dessert dan SIRIM.
Susulan komen dan surat pembatalan yang dibuat SIRIM syarikat Abam Peah Holdings Sdn Bhd memohon untuk mengadakan satu perjumpaan dengan SIRIM bagi membincangkan isu yang timbul.
Pertemuan telah berlangsung pada 2 November 2022 dan antara perkara yang dibincangkan adalah permintaan Skin Dessert supaya SIRIM memohon maaf dan menjelaskan keadaan sebenar yang terjadi di mana Skin Dessert telah mengemukakan permohonan serta membayar kepada SIRIM bagi menjalankan dua (2) ujian iaitu ujian kerengsaan kulit dan ujian keberkesanan produk ‘Skin Dessert Repair Moisturizer.
SIRIM bersetuju untuk meneruskan ujian untuk ‘Skin Dessert Repair Moisturizer’ seperti yang dirancang. Pada 16 November 2022 laporan ujian untuk produk tersebut telah dikeluarkan SIRIM.
Hasil laporan ujian daripada SIRIM menyatakan bahawa ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer sebagai: “Under the condition of this test, Skin Dessert Repairing Moisturizer is consider as NON- IRRITANT (NI) to in vitro skin LabCyte EPI-Model 24.
Skin Dessert ketika ini masih memberi peluang kepada SIRIM untuk menjelaskan semua tuntutan yang dikemukakan memandangkan pihak peguam yang mewakili SIRIM masih dalam proses menunggu arahan lanjut dan jawapan SIRIM berhubung tuntutan Skin Dessert seperti dimaklumkan menerusi surat bertarikh 14 Disember 2022
Penjelasan semula SIRIM adalah penting memandangkan komen yang dibuat SIRIM di media sosial Puan Zirra adalah kenyataan berniat yang tidak menggambarkan situasi sebenar kepada umum.
Kenyataan dibuat SIRIM telah menimbulkan keraguan yang tidak menggambarkan keadaan sebenar yang terjadi kepada umum. Tindakan itu berpotensi menimbulkan fitnah yang merosakkan reputasi, integriti dan kebolehpercayaan awam secara umum oleh stokis, agen serta pengguna terhadap Skin Dessert.
Kenyataan agensi itu menyebabkan masyarakat mempunyai persepsi Skin Dessert ada agenda tersembunyi dan jenama Skin Dessert tidak boleh dipercayai.
Produk Telah Lama Dihentikan Pengeluaran
Untuk makluman juga, produk ‘Skin Dessert Moisturizer Treatment’ yang dibatalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Oktober 2022, sudah dihentikan pengeluaran dan produksi akhir produk itu adalah pada Disember 2021.
Skin Dessert sudah menarik balik produk ‘Skin Dessert Moisturizer Treatment’ daripada pasaran dan dihentikan pengeluaran pada Disember 2021 melalui satu MEMO yang disiarkan menerusi platform sosial media rasmi Skin Dessert.
Produk ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer’ adalah produk baharu yang menggantikan ‘Skin Dessert Moisturizer Treatment’ iaitu produk yang dihantar kepada SIRIM untuk membuat ujian keselamatan.
Pelan Penstrukturan Semula
Menerusi Pelan Penstrukturan Semula Jangka Masa Panjang Skin Dessert, kesemua produk akan dihantar untuk ujian makmal secara berperingkat bermula dengan ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer.
Skin Dessert juga turut menghantar ENAM PRODUK untuk ujian makmal di Pusat Racun Negara Malaysia Universiti Sains Malaysia.
Menerusi hasil ujian ini, kesemua produk yang dihantar diklasifikasikan sebagai Not Detected atau diuji bebas daripada kandungan logam berat. Ujian produk telah dijalankan di Makmal Toksikologi Pusat Racun.
Disebabkan Pusat Racun Negara Malaysia Universiti Sains Malaysia memberikan terma dan syarat yang perlu dipatuhi Skin Dessert, hasil ujian tidak dapat dikongsikan kepada umum.
Orang ramai bagaimanapun boleh menyemak hasil ujian ini menghubungi Makmal Toksikologi PRN dengan menggunakan nombor rujukan PRN2022/581-587 untuk pengesahan ujian. [TAMAT]
Kerugian, Hampir Kemurungan & Pernah Beberapa Kali Diugut
Ketika sidang media yang berlangsung sebentar tadi, turut ditanya oleh para media apakah kesan ketara yang dihadapi oleh mereka berdua sebagai pengasas dan pengarah urusan Skin Dessert, khususnya bagi Puan Zirra Abdullah sendiri, dan ini jawapan dari beliau.
“Sudah pastinya dalam tempoh 2 bulan tersebut adalah kerugian yang terpaksa kami alami, dari pendapatan jualan sebulan mencecah jutaan menurun kepada puluh ribuan yang sangat mendadak, hampir 60%! Selain kecaman, masej ugutan juga turut kami terima sehingga ada yang sampai ingin mengancam keselamatan kami. Ada yang kata nak simbah asid dan sebagainya.
Dan selama 2 bulan itu juga, ia turut memberi impak pada emosi dan mental saya. Saya sampai takut nak keluar rumah, nak beli makanan anak-anak pun risau kerana Kuala Krai pun bukan besar mana. Di sana semua orang mengenali saya. Namun saya sedar saya tak boleh kalah dengan emosi dan perlu bangkit. Mujur ada suami, keluarga serta ejen dan stokis yang merupakan kekuatan Skin Dessert.”
Apa-apa pun NONA mendoakan semoga urusan SKIN DESSERT dan pihak SIRIM menemui satu jalan penyelesaian yang terbaik, dan dipermudahkan segala urusan untuk kedua belah-belah pihak agar kes ini dapat diselesaikan segera.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pasangan mualaf berketurunan Orang Asli dari suku kaum Mah Meri iaitu Siti Hawa Abdullah dan Sulaiman Abdullah antara penerima bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor (LZS). Mereka yang menetap di sebuah perkampungan sekitar Banting menyara kehidupan keluarga dengan kerja-kerja kampung demi sesuap nasi.
Biarpun hanya berteduh di sebuah teratak usang berkeluasan sederhana namun keluarga ini masih mampu tersenyum dengan segala nikmat yang dikurniakan. Siti Hawa dan Sulaiman dikurniakan dengan empat cahaya mata iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia 20, 16, 14 dan 7 tahun.
Pasangan ini memeluk Islam sejak lima tahun lalu. Bermula saat itu keluarga ini mengecap ketenangan hidup berlandaskan ajaran Islam biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran yang mampu menggoyahkan keimanan. Sebagai ketua keluarga, Sulaiman berjaya membawa isteri dan anak-anak ke jalan lurus mengikut didikan guru-guru agamanya.
TENANG
“Dalam keluarga saya seorang sahaja yang memeluk Islam manakala suami pula dia adalah yang terakhir memeluk Islam. Semua adik beradiknya sudah lama memeluk Islam. Namun begitu, keluarga saya tiada masalah dengan perkara ini. Mereka dapat menerima suami dengan baik.
Kami sekeluarga menghadiri kursus asas saudara baru yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Kursus ini wajib dihadiri oleh mualaf yang memeluk Islam di Selangor. Manfaatnya, kami banyak tahu tentang keindahan Islam.
Antara dugaan kami sejak peluk Islam ialah persepsi masyarakat. Penampilan dan pergaulan juga perlu diubah agar tidak melebihi batas-batas agama Islam. Dulu jiwa ini kosong.
Alhamdulillah sejak memeluk Islam kami rasa sangat tenang walau kehidupan tidak mewah seperti orang lain. Solat memberi ketenangan jiwa. Seminggu tiga kali kami menghadiri kelas mengaji di surau berhampiran.
Semasa awal-awal peluk Islam, kami mengaji di rumah seorang Ustaz yang terkenal dengan sikapnya yang tegas. Saya pula gemar bertanya. Menurut Ustaz hidup ini usah terlalu mengejar dunia kerana akhirat juga sama penting. Hubungan dengan Allah SWT itu yang penting,” jelas Siti Hawa.
REZEKI
Mereka menerima bantuan kewangan secara bulanan sebanyak RM500 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Tidak hanya bergantung kepada bantuan tersebut, Sulaiman turut bekerja sebagai nelayan. Rata-rata penduduk di situ bergelar nelayan kerana ia merupakan sumber pendapatan utama.
Rutinnya bermula jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari. Kadangkala Siti Hawa turut membantu turun ke laut. Jika tidak ke laut mereka akan melakukan kerja lain seperti mengutip siput dan pepahat.
“Selagi bernyawa kami akan terus patuh kepada ajarannya dan memperbaiki mana yang masih pincang. Kami juga akan sentiasa memperbanyakkan amalan demi mendapatkan pahala. Semoga kami sekeluarga terus istiqamah,” ungkap Sulaiman. AMY MOHD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehadiran bulan Ramadan sememangnya dinantikan oleh setiap umat Islam. Keistimewaan bulan ini bukan sahaja kita semua melaksanakan amalan berpuasa tetapi di dalamnya juga terdapat solat sunat yang tidak boleh dilakukan pada bulan-bulan lain, iaitu Solat Sunat Tarawih.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, umat Islam akan berpusu-pusu menuju ke masjid berdekatan kediaman masing-masing untuk menunaikan solat sunat Tarawih yang sangat dituntut dilakukan (sunat muakkad) ini.
Tapi, tahun ini sangat berbeza apabila orang ramai bersolat sunat tarawih di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-4 sehingga 12 Mei akan datang.
Sayu melihat suasana di Masjid Negara yang biasanya penuh dengan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih. Walaupun tanpa makmum yang ramai namun solat sunat tarawih di Masjid Negara tetap dilaksanakan.
Malam Pertama;
Dipimpin oleh Imam Tarawih Jemputan: YBhg. Ustaz Ahmad Mujahid Salleh Sani al-Hafiz.
(Surah Al Baqarah; 1 – 69)
1 Ramadan (Malam kedua);
Dipimpin oleh Imam Tarawih Jemputan: YBhg. Ustaz Muhammad Asim Salleh Sani al-Hafiz.
(Surah Al Baqarah; 70 – 119)
2 Ramadan (Malam ketiga);
Dipimpin oleh Imam Tarawih Jemputan: YBhg. Ustaz Malik Ahmah al-Hafiz
(Surah Al Baqarah; 120 – 176)
3 Ramadan (Malam keempat);
Dipimpin oleh Imam Tarawih Jemputan: Al-Fadil Ustaz Ahmad Mujahid Salleh Sani al-Hafiz.
(Surah Al Baqarah; 177 – 219)
4 Ramadan (Malam kelima);
Dipimpin oleh Imam Tarawih Jemputan: Al-Fadil Ustaz Muhammad Asim bin Salleh Sani al-Hafiz. (Al Quran muka surat; 35 – 42)
Solat sunat tarawih di Masjid Negara ini boleh disaksikan secara langsung di Facebook Masjid Negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!