Kesusahan hidup yang dilalui Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sejak kecil membentuk jati dirinya menjadi seorang wanita berjiwa kental dan berdaya saing. Meskipun dibesarkan sebagai anak penoreh getah namun figura hebat ini bersyukur kerana kedua-dua ibu bapa mendidik mereka enam beradik dengan penuh kasih sayang dan sanggup berkorban apa sahaja demi memberikan pendidikan terbaik.
Tiada sekelumit pun rasa segan terbit di sanubari wanita kelahiran Negeri Sembilan ini tatkala bercerita mengenai realiti hidup beliau yang pernah mendiami rumah beratapkan rumbia dan tiada bekalan elektrik mahupun air bersih. Bagi Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif itulah perangsang motivasi untuk mengubah taraf hidup keluarga.
Detak hatinya berkata alangkah indah andai kedua-dua ibu bapa tersayang masih hidup dan menyaksikan kejayaan beliau menjadi wanita inspirasi negara dan melakar sejarah sebagai wanita pertama bergelar Datuk Bandar Kuala Lumpur.
PERJALANAN HIDUP DATO’ SERI DR MAIMUNAH SHARIF
“Saya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan mak ayah saya penoreh getah. Sewaktu kecil, saya menyiapkan kerja sekolah di bawah lampu minyak tanah. Saya bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk membantu mak ayah cuci bekas tadahan susu getah pada waktu Subuh sebelum pergi ke sekolah.
Saya bertekad untuk membawa keluarga saya keluar daripada kepompong kemiskinan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran. Alhamdulillah sejak sekolah rendah hingga menengah, saya selalu mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.
Hal ini bukan sebab saya terlalu mengejar gred. Sebaliknya saya mahu mendapatkan ganjaran daripada pihak sekolah berupa kelengkapan persekolahan seperti beg, baju, kasut dan lain-lain. Saya tak mahu membebankan mak ayah dan pastikan dapat nombor satu dalam kelas sebab mahu dapat sebanyak hadiah yang boleh supaya saya dapat agihkan kepada adik-adik saya,” tuturnya memulakan bicara.
Ditanya pengorbanan ibu bapa yang tidak mungkin terpadam dari ingatan, dalam nada sebak Dato’ Seri Dr Maimunah menyingkap rahsia. “Saya masih ingat kenangan menyiapkan kerja sekolah dengan hanya diterangi pelita minyak tanah. Arwah mak akan ambil kain sarung dan saya duduk dalam kain sarung tersebut.
Ads
Jadi arwah mak akan pegang kain itu supaya api pelita tak padam ditiup angin dan saya dapat siapkan kerja sekolah. Kalau dua jam, dua jam jugalah arwah mak berdiri. Sampai sekarang tiap kali tengok kain sarung, saya sedih sebab dengan kain sarung itulah saya boleh dapat biasiswa ke England,” imbasnya yang menjadikan ibu tersayang sebagai sumber kekuatan dan inspirasi.
Berkat usaha dan doa ibu bapa, tokoh wanita berusia 63 tahun ini berjaya memperoleh biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan perancangan bandar di University Cardiff. Usai menamatkan pengajian, Dato’ Seri Dr Maimunah kembali ke tanah air pada tahun 1985 dan berkhidmat sebagai perancang bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Kemahiran beliau dalam dunia perancangan bandar diperakui pelbagai pihak sehingga diberi kepercayaan menjawat tugas-tugas utama antaranya Pengarah Jabatan Perancangan, Pengurus Besar pertama Georgetown World Heritage Incorporated, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai dan menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada tahun 2017.
Lebih mengagumkan, agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengintai kebolehan dan mengiktiraf kredibiliti Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif apabila beliau ‘disunting’ badan dunia berkenaan.
“Tahun 2018, saya diberi mandat sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat selaku wanita Asia pertama memegang jawatan tersebut yang merupakan ahli Kumpulan Pengurusan Kanan Setiausaha Agung berperanan sebagai role model dalam menegakkan nilai-nilai PBB seperti keterangkuman, intergriti, rendah hati dan kemanusiaan.
Ads
Saya dipilih untuk penggal kedua yang berakhir pada Januari 2024. Saya juga memegang jawatan pemangku Ketua Pengarah PBB di Nairobi, Kenya sebelum kembali ke Malaysia pada Februari 2024.
Pengalaman sebagai Ketua Pengarah PBB, Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan mengetuai PBT di Pulau Pinang dan Seberang Perai serta pengalaman hidup yang serba kekurangan membentuk pemikiran dan jati diri dalam diri saya supaya menjadi seorang yang cekal, kental dan positif dalam hidup,” tegasnya yang menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat selama enam tahun.
Hasrat Dato’ Seri Dr Maimunah untuk bersara selepas tamat perkhidmatan di Nairobi tidak berjalan seperti yang dirancang. Demi berbakti kepada tanah air dan kesejahteraan masyarakat khususnya di ibu negara, beliau akhirnya bersetuju menerima pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024.
“Pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan hanya satu penghormatan. Malah tanggungjawab dan amanah yang amat besar untuk menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebenarnya menjadi Datuk Bandar bukanlah kerjaya impian saya sejak dulu. Namun saya sentiasa mempunyai keinginan untuk berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan negara khususnya di bandar-bandar utama.
Ekspektasi yang tinggi daripada warga kota Kuala Lumpur dengan populasi berjumlah 1.9 juta orang dari pelbagai latar belakang demografik merupakan cabaran untuk saya. Sebagai penjawat awam, kita harus berkhidmat secara profesional tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik.”
Ads
Bagi menjayakan usaha itu, Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif melaksanakan pentadbiran CATEE iaitu Competent, Accountable, Transparent, Effective dan Efficient Governance. Ujarnya, beliau percaya dengan tenaga kerja DBKL seramai 4,000 orang beliau yakin dapat melakukan yang terbaik.
“Dari perspektif perbandaran, saya memastikan DBKL secara konsisten membina bandar yang berdaya tahan, berdaya saing, berdaya huni dan disayangi. Saya turut melancarkan Program Flagship DBKL yang terdiri daripada lima teras dan 15 projek. Lima teras tersebut ialah Pembangunan terancang, keterangkuman masyarakat, bandaraya hijau dan mampan, komunikasi dan tadbir urus.
Saya pernah menjadi YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang kemudian Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Seterusnya berpeluang menjadi ‘Datuk Bandar’ di peringkat global sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar di ibu kota Malaysia. Perjalanan ini meyakinkan saya bahawa ‘Once Mayor always a Mayor.”
KEKUATAN DATO’ SERI DR MAIMUNAH SHARIF
Pastinya kejayaan yang ditempa Dato’ Seri Dr Maimunah hari ini memerlukan banyak pengorbanan. Tanpa semangat dan sistem sokongan yang baik di sisi, tidak mungkin beliau mampu berada di tahap sekarang.
“Pengorbanan terbesar saya untuk sampai ke tahap sekarang sebenarnya melibatkan masa dan komitmen terhadap keluarga serta kesihatan diri. Sepanjang perjalanan ini banyak masa telah dikorbankan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Kadangkala, masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga terpaksa diketepikan demi memastikan kesejahteraan warga awam tidak terjejas.
Keluarga adalah tonggak utama kejayaan yang saya kecapi pada hari ini. Suami dan anak-anak memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Paling penting, restu daripada suami saya. Beliau sentiasa ada dengan saya. Beliau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap saya untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga saya. Tanpa sokongan jitu mereka, saya tidak mungkin berada sehingga tahap ini,” luahnya penuh syukur.
Selaku penerima Nona Superwoman Award 2024, Dato’ Seri Dr Maimunah memanfaatkan peluang ini untuk menyebarkan aura positif dan kata-kata semangat buat seluruh wanita Malaysia agar tabah mendepani apa jua cabaran.
“Sebagai wanita, kita hendaklah berusaha sehabis baik, mempunyai komitmen dan keyakinan yang tinggi dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Tiada yang mustahil dalam hidup ini. Yakin dan bangga dengan keupayaan diri sendiri. InsyaAllah, kita pasti boleh melakukannya.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Pandelela Rinong Anak Pamg bukan lagi asing dalam arena sukan renang tanah air. Sepanjang pembabitannya sebagai atlet terjun negara, pelbagai kejayaan diraih gadis Bidayuh ini sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Dia yang mula menceburi bidang sukan ini seawal usia 14 tahun mampu tersenyum puas kerana impian mewakili dan meraih pingat untuk negara sudah menjadi nyata.
Sukan Olimpik Tokyo 2021 bakal membuka tirainya dan sebagai atlet yang sentiasa dahagakan kejayaan, pastinya Pandelela sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk membawa pulang pingat temasya sukan dunia tersebut sekali lagi.
Mengimbas kembali permulaan karier Pandelela selaku atlet, anak kepada Hartini Lamin dan Pamg Joheng ini menerusi Instagramnya tidak lama dulu menjelaskan, “At the age of 14, I left home to pursue my career as a national diver to achieve my goals in making my family proud and bringing honour to my country, Malaysia. It is not an easy journey to be honest. With a tight schedule everyday and far from home, I need to learn to be independent myself.
Pandelela kini di Olimpik Tokyo 2021
As I gradually improve in diving, I surprised myself when I qualified for my first Olympic Games in Beijing at the age of 15. Since then, I forced myself to think wiser than my age and set long term goals to compete in more Olympics.
Fast forward to 2012 London Olympic Games, my physical and mental were tested, but in the end I won my first ever Olympic medal. 4 years later in Rio Olympics, the expectations were definitely higher this time but I came back home with a silver.”
Tahun ini merupakan kali keempat Pandelela layak menyertai sukan Olimpik. Kali pertama di Olimpik Beijing pada tahun 2008, diikuti Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016. Walau tidak membawa pulang pingat di Olimpik Beijing, Pandelela menebus kekecewaan itu semasa penganjuran Olimpik London 2012 ketika dia baru berusia 19 tahun.
Waktu itu, Pandelela diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang sekaligus menjadi pembawa bendera wanita pertama negara menerima pengiktirafan itu bagi mengetuai kontinjen Malaysia di pembukaan Olimpik. Lebih manis, dia turut meraih pingat olimpik sulungnya dalam penganjuran sukan berprestij dunia berkenaan.
Di samping bapa tersayangBersama ibu tersayang
“Who still remember this moment besides myself? I was 19 then, honoured to be the first female flag bearer for Malaysian contingent at the London Olympic Games opening ceremony. I have no idea where to look or that my team are a little bit behind because I walk too fast, all I know was that I have to hold the flag straight and high, and at the same time put my heart in the right place.
2 weeks later, I was the first female Olympic medallist for my country. I’m grateful to be given many opportunities to represent my country, platforms to showcase my talent, and chances to make my country pround. Thank you Malaysia!”
Berkat kerja keras, Pandelela berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemenang pingat Olimpik dan wanita pertama yang menyumbang pingat Olimpik untuk negara. Begitu juga dalam temasya Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan atlet berusia 28 tahun ini membawa pingat perak.
Atas kejayaan membanggakan itu, Pandelela menerima hadiah sebuah unit apartment di P’ Residence, Batu Kawah, Kuching daripada Tenaga Stabil Sdn Bhd sebagai pengiktirafan di atas kejayaan atlet kelahiran Sarawak berkenaan.
Tidak cukup itu, ratu terjun negara ini juga diberikan penghargaan istimewa apabila namanya turut diabadikan untuk blok khas pangsapuri tersebut selain dilantik sebagai duta P’ Residence.
Semoga tahun ini Pandelela sekali lagi membawa pulang pingat Olimpik untuk negara dan segala kejayaan Pandelela memberi cetusan inspirasi serta semangat buat seluruh rakyat khususnya kaum wanita untuk terus berjaya!
Kredit foto: Instagram Pandelela Rinong
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kurang 10 hari lagi Syawal bakal tiba dan di dapur Istana Negara, bahang menyambut Aidilfitri semakin terasa apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah rancak menyiapkan pelbagai jenis biskut raya ketika ini. Kecur dibuatnya tengok aneka biskut raya air tangan Raja Permaisuri Agong!
Meninjau laman media sosial rasmi Baginda iaitu Air Tangan Tunku Azizah, setiap hari pasti ada perkongsian aktiviti memasak di dapur yang turut menunjukkan beberapa kakitangan Istana Negara sedang sibuk membantu Raja Permaisuri Agong menghasilkan biskut raya. Lebih meriah, sambil bergotong-royong membuat persiapan raya… kedengaran seleksi lagu raya klasik berkumandang di segenap ruang dapur. Memang seronok!
Sedikit sebanyak, dapatlah mengubat kerinduan staf-staf di Istana Negara tersebut merasai suasana lebaran meskipun perjalanan rentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung halaman masih belum dibenarkan buat masa ini.
Selain dibantu kakitangan dan cef pastri Istana Negara, Raja Permaisuri Agong turut dibantu anakanda tersayang iaitu Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Ujar Baginda, “I’ve been in charge of baking Raya cookies and cakes since I was 12 years old. We have never bought or ordered Raya cookies, it has always been homemade using my mother’s recipe and I do give biscuits away to my favourite people by choice! And I do it every year because I love it and I bake with passion for those I love!”
Bakat dan minat KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong terhadap dunia masakan nyata bukan lagi rahsia. Tidak kira apa juga perayaan sekalipun, Baginda tetap rajin masuk dapur dan beberapa kali berkenan turun padang menyediakan masakan untuk rakyat.
Memulakan ‘Projek Biskut Raya’ tahun ini sejak 20 April lalu, Tunku Azizah sudah pun mempunyai senarai jenis biskut yang hendak dibuat setiap hari. Setakat ini, Baginda sudah menghasilkan 12 biskut raya antaranya termasuk Cornflakes, Milo, Biskut Kelapa, Oats Biscuit, Auzacs, Vanillin, Semperit dan Stardrop.
Istimewanya, pada 26 April lalu Raja Permaisuri Agong tidak melepaskan peluang membuat kek buat puteri kesayangan, Tengku Puteri Jihan sempena ulang tahun kelahiran. Sungguh besar kasih sayang seorang ibu!
Tahun lalu, Tengku Puteri Afzan & Tengku Puteri Jihan turut membantu
Menerusi salah satu posting Air Tangan Tunku Azizah, Baginda turut memuat naik gambar bersama kakitangan yang terlibat dalam penghasilan biskut raya tahun ini berserta kapsyen menarik, “Bersama pastry chefs Istana Negara Projek Biskut Raya. Baju Kurung Telok Belanga pakaian rasmi saya.”
Ternyata, Raja Permaisuri Agong berjiwa klasik dan sangat mementingkan warisan tradisi. Tidak hanya terserlah melalui resipi masakan dan kuih raya, Baginda juga sangat menghargai busana tradisional masyarakat Melayu seperti Baju Kurung Telok Belanga.
Kredit: Instagram Air Tangan Tunku Azizah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selama ini, beliau ‘menutup’ kemas rahsia hati. Sepanjang melayari alam perkahwinan, tak pernah sekali pun Datin Aida Yusof menjaja kisah peribadi. Apatah lagi meraih simpati khalayak meskipun memegang status isteri kepada aktor popular, Dato’ Adi Putra.
Di sebalik kegembiraan Datin Aida dan Dato’ Adi Putra melalui fasa hidup bahagia sebagai suami isteri, rupa-rupanya tersimpan sebuah kisah yang cukup mengusik emosi dan tak pernah diberitahunya kepada mana-mana pihak.
Dalam temubual bersama wanita berjiwa kental ini ketika sesi fotografi bersama Nona Mei 2018 iaitu kira-kira empat tahun lalu, Datin Aida terbuka berkongsi sisi peribadi.
“Kami dah berkahwin selama 14 tahun dan tak ada anak lagi. Tapi, jujurnya saya dah pernah buat IVF sebanyak 4 kali. Tiga kali mengandung kembar dan terakhir, triplet. InshaAllah, akan cuba lagi sebab saya ada endometriosis dan dah buat pembedahan.
Berbulan jugalah saya ditahan di hospital. Alhamdulillah, sekarang tengah tunggu proses untuk sembuh,” dedahnya yang mengaku hanya sempat merasai nikmat hamil tiga bulan.
Mengulas perjalanan Datin Aida untuk hamil menerusi kaedah in-vitro fertilization atau IVF, sambil tersenyum beliau menyusun bicara. “Saya tak rasa IVF tu membebankan walaupun terpaksa ambil injection setiap hari di kiri kanan perut. Sakitnya usah cakaplah. Pun begitu saya tetap tak putus asa sebab saya suka dengan kanak-kanak.
Dapat seorang pun cukuplah. Selama 4 kali buat IVF ni suami memang banyak beri semangat. Selagi belum diberikan rezeki, selagi tu kami akan terus mencuba.”
Mengambil semangat dan kekuatan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menimang cahaya mata selepas 11 tahun berkahwin, Pengarah Urusan syarikat pembinaan Mahligai Perkasa Sdn Bhd ini nyata mahu mengikut jejak langkah penyanyi tersohor negara tersebut menjalani rawatan IVF demi menimang zuriat sendiri.
“Datuk Seri Siti seorang yang sangat-sangat kuat dan kental. Dia berusaha selama 11 tahun untuk dapatkan anak. Sebagai isteri, saya pun teringin ada anak sendiri tapi rezeki belum berpihak kepada saya lagi.
Saya percaya kalau ditakdirkan tak ada anak, saya tahu itu bukan hak saya. Kena percaya Qada dan Qadar. Allah kata je ‘Kun fa ya kun’ maka waktu itu ada rezeki kita. Mungkin kita tak diberi kelebihan ‘di situ’, tapi Dia beri kita rezeki lain.
Alhamdulillah, saya jenis yang reda. Saya tak mahu meletakkan syarat yang saya perlu ada anak. Kalau rezeki anak tak berpihak dengan saya, saya dah pun ada dua orang anak angkat iaitu Az Zahra dan Zara Adelia. Waktu mereka kecil lagi saya dah susukan kedua-duanya. Zahra dan Adelia masing-masing berusia 7 tahun cuma beza sebulan je.
Zahra yang sulung, normal seperti kanak-kanak lain cuma Adelia ni sebenarnya anak OKU. Dia anak istimewa, kami dapat tahu keistimewaan Adelia masa masih bayi apabila dia tak tunjukkan sebarang reaksi terkejut dan seumpamanya,” luah Datin Aida yang merupakan anak sulung daripada 11 adik-beradik.
Yang pasti, pendedahan eksklusif ini dibuat untuk dijadikan inspirasi kepada ramai lagi wanita bergelar isteri di luar sana yang masih menanti rezeki anak.
Sebelum mengakhiri perbualan, Datin Aida berharap agar pengakuan ini tidak disalah erti dan sempat menitipkan pesanan ini.
“Seperti yang saya katakan awal tadi, semua wanita pun mesti nak anak. Tapi biarlah kita reda dulu dengan ketentuan Allah. Perlu ada keredaan dalam diri walaupun telah cuba buat yang terbaik ke arah itu. Moga-moga kita semua akan diberikan zuriat soleh dan solehah.”
Kredit foto: Instagram Datin Aida Yusof
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!