Pernah Cedera Leher Akibat Kemalangan, Sivasangari Subramaniam Kini Atlet Skuasy Ke-6 Dunia & Graduan Cornell University!

Kecederaan yang dialami Sivasangari Subramaniam akibat kemalangan jalan raya kira-kira empat tahun lalu pastinya memberi tamparan kuat kepada empunya diri. Susulan kecederaan di bahagian kepala, leher dan badan, impian atlet skuasy ini untuk beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 musnah.

Selama berbulan-bulan Sivasangari mengumpul kekuatan untuk pulih. ‘Kepulangan’ semula atlet skuasy nombor satu negara ini ke gelanggang selepas kemalangan tersebut seperti membawa semangat baru apabila dia berjaya melakar pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa sehingga sekarang.

Artikel https://www.nona.my/ratu-karate-negara-shahmalarani-chandran-atlet-bijak-harumkan-nama-negara-dalam-arena-sukan/

Kejayaan Sivasangari Subramaniam

Terbaharu, Sivasangari Subramaniam melayakkan diri ke Terbuka Windy City 2026 di Chicago, Amerika Syarikat. Namun langkahnya terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pemain kelima dunia Nour El Sherbini dari Mesir pada 8 Februari lalu.

Kekalahan ini menamatkan perjuangan wakil Malaysia pada kejohanan bertaraf Platinum itu.

Personaliti aktif ini menyambut ulang tahun kelahiran ke-27 pada 24 Januari lalu. Namanya menjadi bualan peminat sukan skuasy selepas dia merangkul gelaran juara London Squash Classic pada April 2024.

Sejak itu, Sivasangari Subramaniam disebut-sebut sebagai pengganti Datuk Nicol Ann David. Atas pencapaian cemerlang, Sivasangari kini menghuni tangga ke-6 dunia!

Tragedi Menimpa Sivasangari Subramaniam

Mengimbas kembali insiden hitam yang pernah dilalui, Sivasangari bukan hanya perlu menerima hakikat terlepas beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 kerana nahas jalan raya.

Malah dia terpaksa menanggung kesakitan kerana mengalami keretakan di bahagian muka dan tulang belakang serta menjalani pembedahan.

Figura sukan ini juga mengambil tempoh masa yang panjang untuk berehat dan sembuh daripada kecederaan itu.

Pun begitu, iltizam dan sikap optimis Sivasangari berjaya membuatkan dirinya segera bangkit dan berjuang.

Berasal dari Sungai Petani, anak kepada Valli Nagappan dan Subramaniam Kaniappan ini mula bertanding secara serius ketika berusia lapan tahun. Sebelum menyertai sukan ini, Sivasangari pernah aktif dalam sukan taekwondo, badminton dan renang.

Sivasangari Subramaniam Graduan Cornell University

Dia berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 2019 untuk melanjutkan pengajian selepas menerima tajaan biasiswa di Cornell University. Sivasangari merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (dengan Kepujian) Komunikasi Sains pada Mei 2023.

Dia juga mendapatkan bimbingan dan Latihan sukan skuasy daripada bekas lagenda skuasy Australia, David Palmer. Malah, menjadi pelajar universiti di Cornell pertama memenangi Individual National Championship dan dianugerah Ivy League Player of the Year.

Ketika Sukan Asia di Hangzhou, Sivasangari diberi penghormatan menjadi pembawa Jalur Gemilang di samping atlet Shah Firdaus bagi memimpin kontinjen Malaysia. Dia juga menerima Anugerah Khas di Anugerah Perdana Belia Negara 2023.

Pada tahun 2016, Sivasangari yang ketika itu baru berusia 17 tahun dianugerahkan pingat Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (ASK) daripada Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit.

 

Share
Published by
Suzi