
Ada sesuatu yang luar biasa tentang kemenangan Fátima Bosch Fernández di pentas Miss Universe 2025.
Ia bukan sekadar kemenangan sebuah negara tetapi kemenangan ini berdiri di atas sebuah perjalanan hidup penuh luka, kisah seorang gadis yang pernah dihina kerana ‘berbeza’ tetapi akhirnya memegang gelaran wanita tercantik di dunia.
Pengalaman ini menjadi antara sebab mengapa nama Fatima Bosch Fernandez kini meniti di bibir jutaan insan seluruh dunia.
Fátima dilahirkan pada 19 Mei 2000 di Teapa, sebuah bandar kecil di negeri Tabasco, Mexico.
Pada usia enam tahun, dia disahkan menghidap dua masalah pembelajaran yang sering disalah faham iaitu disleksia dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). Kedua-duanya membuatkan proses membaca, menulis dan memberi tumpuan menjadi amat mencabar.
Ketika rakan sebayanya membaca lancar, Fátima masih bergelut memproses huruf dan perkataan. Apabila kertas ujian dikembalikan padanya, selalunya penuh dengan tanda merah.
Di sekolah, keadaan ini mengundang sesuatu yang jauh lebih menyakitkan daripada kegagalan akademik. Dia dibuli.
Dia pernah berkongsi bahawa kanak-kanak lain mengejek kelemahannya, memanggilnya dengan pelbagai nama negatif. Rasa rendah diri menyelubungi hari-hari Fatima dan dia mula percaya bahawa dunia tidak menyediakan ruang untuk seseorang sepertinya.
Namun inilah detik yang menjadi killer story hidupnya, yang akhirnya membentuk seorang juara dunia. Fatima Bosch Fernandez memilih untuk tidak tunduk.
Walaupun proses pembelajarannya perlahan, dia memaksa diri belajar tiga kali lebih tekun daripada orang lain. Dia tidak dilahirkan dengan kelebihan akademik, tetapi dia dikurniakan keteguhan jiwa.
Daripada gadis kecil yang takut disebut namanya di kelas, dia berubah menjadi remaja yang percaya bahawa kekurangan bukan alasan untuk gagal.
Keazaman itu membawanya jauh. Selepas tamat sekolah, Fátima melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Reka Bentuk dan Fesyen di Universidad Iberoamericana di Mexico City.
Kecintaan terhadap seni dan fesyen menjadi bahasa baharu yang membebaskan dirinya. Dia kemudian meneruskan pengajian di Nuova Accademia di Belle Arti di Milan, Itali serta turut mengikuti program akademik di Lyndon Institute, Vermont, Amerika Syarikat.
Dari seorang gadis yang takut membaca di hadapan kelas, dia kini mengembara ke tiga benua membawa satu tekad, menjadi lebih besar daripada cabaran dirinya.
Perjalanan ini bukan hanya akademik, tetapi perjalanan pembentukan karakter seorang wanita yang akhirnya bakal dikenali sebagai Fatima Bosch Fernandez yang mengubah wajah Miss Universe.
Sebelum menjadi Miss Universe, Fátima telah memenangi gelaran Flor de Oro Tabasco 2018 dan seterusnya Miss Universe Mexico 2025 menjadikan beliau wanita pertama dari negeri Tabasco yang meraih gelaran nasional itu.
Namun apa yang berlaku di pentas antarabangsa menjadikan kisahnya lebih ikonik.
Dalam beberapa sesi persediaan Miss Universe, Fátima pernah dikritik secara terbuka oleh seorang pegawai pertandingan, detik yang videonya mencetuskan kemarahan di seluruh dunia. Tetapi Fátima tidak berganjak.
Dengan penuh keberanian, dia menyatakan bahawa dirinya ‘bukan patung’ dan menuntut agar peserta dilayan dengan hormat sebagai manusia, bukan objek peraduan.
Kelantangannya mencetuskan solidariti apabila beberapa peserta lain mempertahankannya. Pada momen itu, dunia melihat sesuatu yang jarang muncul di pentas ratu cantik iaitu keberanian untuk melawan ketidakadilan. Detik inilah yang mengukuhkan kedudukan Fatima Bosch Fernandez sebagai simbol kekuatan wanita moden.
Kemenangannya pada 21 November 2025 bukanlah kemenangan kecantikan semata-mata. Ia kemenangan naratif. Kemenangan disiplin, kesabaran dan suara. Kemenangan seorang wanita yang menggunakan platform antarabangsa untuk bercakap tentang inklusiviti, buli, pendidikan khas dan hak wanita.
Dan kerana itu juga, Fátima Bosch kini menjadi wanita keempat dari Mexico yang berjaya membawa pulang mahkota Miss Universe mengikuti jejak Lupita Jones, Ximena Navarrete dan Andrea Meza.
Fátima Bosch bukan sahaja cantik di mata dunia. Beliau cantik kerana keberaniannya. Beliau cantik kerana kesakitannya yang ditempa menjadi kekuatan. Dan beliau cantik kerana menunjukkan kepada jutaan wanita bahawa kecantikan sebenar adalah tentang bangkit walaupun dunia pernah merendahkan.
Dalam setiap langkahnya, nama Fatima Bosch Fernandez menjadi lambang bahawa kecantikan sebenar datang daripada jiwa yang pernah luka tetapi memilih untuk terus bersinar.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anok-yai-model-of-the-year-2025/
This website uses cookies.