Suatu ketika dulu, ingat tidak berlaku satu ‘kekecohan’ tidak disangka-sangka melanda industri Bollywood? Pada awal tahun 2000, nama pelakon Aishwarya Rai cukup popular dan melonjak naik sehinggalah muncul pelakon muda Dia Mirza menyebabkan ramai yang keliru dengan kehadirannya.
Manakan tidak, wajahnya saling tidak tumpah seperti Aishwarya Rai menyebabkan ramai yang berspekulasi dan beranggapan Dia adalah klon serta pengganti Aishawarya. Apatah lagi kedua-dua pelakon jelita ini pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon Salman Khan suatu ketika dahulu.
Salah satu babak dalam filem Tumko Na Bhool Payenge bersama Salman Khan
Keanggunan Dia sememangnya tidak boleh disangkalkan lagi apatah Dia juga merupakan pemenang beberapa buah pertandingan ratu cantik, di mana Dia menggunggguli Miss Asia Pacific International dan Femina Miss India Asia Pacific. Nama Dia juga cukup semakin popular selepas membintangi beberapa buah filem seperti Alag, Dum, Deewaanapan, Tumko Na Bhool Paayenge, Tumsa Nahin Dekha: A Love Story, Parineeta, Dus, Lage Raho Munna Bhai dan Salaam Mumbai.
Namun selepas seketika, nama Dia seakan tenggelam dan jarang sekali muncul di layar perak. Kali terakhir Dia berlakon dalam filem pecah-panggung adalah pada 2018 menerusi filem Sanju yang diadaptasi dari kehidupan pelakon legenda Sunjay Dutt. Dan yang pasti ramai merindui kelibat Dia di dalam filem memandangkan Dia juga bukan sekadar cantik dan jelita namun berbakat besar dan handal menari sama seperti Aishwarya Rai.
Ads
Wajah terkini Dia Mirza yang kekal jelita dan awet muda.
Mengintai di laman sosial Instagramnya, NONA cukup teruja melihat Dia yang kekal aktif mal sibuk dengan aktiviti hariannya sejak bergelar seorang ibu dan aktivis. Dia dilihat telah banyak terlibat dengan Cancer Patients Aid Association dan Spastics Society of India, malah cukup aktif menyebarkan kesedaran HIV, pencegahan racun kaki wanita, PETA, CRY dan terbaru NDTV Greenathon – usaha untuk mencari solusi terhadap pencemaran alam sekitar.
Selain itu, Dia juga dilantik sebagai Duta Muhibah Alam Sekitar PBB untuk India pada 2017 dan pada 7 Mei 2020, tempoh perkhidmatannya dilanjutkan sehingga 2022. Dia turut dilantik oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai penyokong Matlamat Pembangunan Mampan. Dia juga kini bergelar blogger dalam misinya menyelamatkan alam sekitar dan mewujudkan kesedaran.
Ads
Kredit foto: Instagam @diamirzaofficial via @feminaindia
Walaupun sibuk dengan tugas hakikinya sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua cahaya mata di mana salah seorangnya merupakan anak pra-matang yang diberi nama Avyaan Azzad, dan seorang lagi merupakan anak angkat, Samaira Rekhi, Dia juga dilihat kekal anggun dan jelita, malah wajahnya cukup awet muda di usia 41 tahun, malah Dia bakal muncul dalam filem terbaru berjudul Dunki pada tahun ini.
Semoga yang baik-baik saja buat Dia dan keluarga. Mesti ramai yang rindu nak lihat Dia Mirza kembali aktif berlakon dan muncul di layar perakkan?
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bergaul dengan rakan-rakan positif dan berada dalam lingkungan mereka yang menyenangkan sebenarnya membantu kita agar tidak banyak mengeluh, meski kadang kehidupan ini sangat sulit diperjuangkan. Bertuah Fazura kerana sepanjang berkecimpung di gelanggang perniagaan, beliau sentiasa dikelilingi ‘besties’ yang saling mendorong satu sama lain.
Memenuhi jemputan eksklusif – An evening with Fazura & Besties di Hotel Mandarin Oriental pada Sabtu, penulis teruja berkongsi semangat para stokis dan ejen yang kesemuanya berbaju hitam, lengkap Tudung Fazura.
Majlis makan malam gala #MilikSemua itu julung kali diadakan selepas pandemik dengan mengumpulkan semua tulang belakang Fazura termasuk ahli keluarga tercinta. Kelihatan Fattah Amin dan anak, Nur Fatima Aisya turut hadir menyerikan majlis bersejarah tersebut.
Tonton video eksklusif ketibaan Fazura di Grand Ballroom, cantik sangat…
USAHAWAN
Bakal berusia 39 tahun, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura sudah mula menceburi dunia bisnes sejak dahulu lagi. Kecintaan beliau terhadap fesyen melahirkan jenama House of Doll di Bangsar, sebelum namanya ditukar kepada Fazbulous.
Kini bisnes Fazura berkembang pesat menjadi produk gaya hidup dan Muslimah yang hebat. Beliau juga melahirkan Fazbulous, Tudung Fazura, Fazura Skincare dan Fazura Beauty yang boleh didapati melalui stokis-stokis di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, selain secara online.
“Alhamdulillah antara produk yang paling laris tentulah Tudung Fazura yang pernah mencapai rekod jualan tertinggi untuk satu koleksi sebanyak 200,000 helai.” Fazura
Fazura pakai dress sama macam Sharon Stone, nak tau kisahnya kenalah tonton video eksklusif dengan Nona ni…
Dengan jumlah lebih 4,000 orang ejen dan dropship berdaftar, Fazura kelihatan semakin matang dan yakin menerajui bisnesnya ke tahap tertinggi!
“Malam ini memang didedikasikan untuk semua. Faz sememangnya sangat berbangga dengan kejayaan Besties yang sama-sama mendukung rangkaian produk yang diasaskan seperti hijab Tudung Fazura, produk penjagaan kulit Fazura Skincare, produk kecantikan, Fazura Beauty, serta rangkaian fesyen dan aksesori, Fazbulous.
Ini memupuk lagi semangat saya untuk bergerak bersama lebih ramai lagi mereka yang ingin menjana pendapatan sampingan serta yang menghadapi pelbagai cabaran kewangan ketika pandemik COVID-19 ini.
Majlis keraian ini adalah satu penghargaan untuk Besties saya semua sepanjang pembabitan saya dalam bidang keusahawanan ini dan kerana itulah saya memilih slogan ‘Milik Semua’ kerana saya mahu ramai orang menikmati rangkaian produk saya dengan harga mampu milik yang sesuai untuk semua.” Fazura
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sepanjang dua tahun negara memerangi wabak akut pernafasan teruk itu, nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga sentiasa di tangga teratas serta dikenali sebagai adi wira oleh setiap warga Malaysia.
Ruang waktu yang diberikan cukup singkat. Pagi Jumaat yang hening, awal-awal lagi kami sudah berkejaran ke Putrajaya demi memastikan sesi bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M ini, tidak seminit pun disia-siakan.
Tepat jam 10.30, Tan Sri Dr Noor Hisham muncul dengan senyuman, segak bersut biru, berkemeja putih dan bertali leher batik. Karisma beliau cukup menyerlah meskipun terlihat jelas riak-riak kepenatan di matanya.
Bagi Tan Sri, setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus COVID-19. Semua pihak mesti bersiap membuat perubahan kerana memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam.
Cabaran hidup bersama COVID-19 semakin sukar.
Belum reda varian Delta, muncul pula varian Omicron yang diklasifikasikan sebagai varian dalam pemerhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penularan strain baharu ini bagaikan suatu ‘teguran keras’ tatkala penghuni dunia mula alpa tentang kelonggaran SOP COVID-19 – lebih membimbangkan dan mungkin juga kalis vaksin, selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sedikit stres. Barangkali terlalu banyak perkara penting yang difikirkan termasuk yang terkini, mutasi COVID-19 Omicron terhadap masyarakat sejak kes pertama dikesan di Malaysia pada Disember.
Ekoran risiko varian ini sekaligus turut mendesak kerajaan untuk menangguhkan usaha peralihan fasa endemik buat sementara waktu.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
Terang Tan Sri Dr Noor Hisham lagi, “TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
JASA IBU
Dua tahun berlalu, bermakna sudah hampir 24 bulan tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri, di ambang lesu. Meskipun sasaran KKM untuk mencapai imuniti kelompok tercapai namun kes aktif COVID-19 tetap perlu dipantau rapi.
Jasa petugas barisan hadapan negara amat besar, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung wabak berjangkit itu dapat dilandaikan.
Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, Tan Sri Dr Noor Hisham menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.
“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”
Ditanya siapakah superhero di mata Tan Sri Dr Noor Hisham, beliau dengan pantas menjawab, “Semestinya ibu saya. Dialah sumber inspirasi saya hingga berjaya ke tahap ini dan dialah juga kunci keberkatan hidup anak-anak.
Kekuatan dan pengorbanan ibu selama ini mengalirkan energi untuk saya terus berbakti menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan anugerah tertinggi dalam Nona Superhero Award yang dipancarkan secara langsung dari One World Hotel, Petaling Jaya.
HERO NEGARA
Tan Sri Dr Noor Hisham baru saja menerima pengiktirafan antarabangsa, International Surgical Fellowship Award daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).
Beberapa bulan sebelum itu, lelaki hebat berusia 58 tahun ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membantu orang lain,” ringkas jawapan Tan Sri sewaktu ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang.
Kredibiliti beliau terus menjadi inspirasi setiap petugas kesihatan KKM yang menganggap kerjaya mulia ini sebagai fardu kifayah.
Sebagai seorang Muslim, pengorbanan beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain merupakan sesuatu yang wajar disanjung tinggi.
Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, kredibiliti Tan Sri Dr Noor Hisham sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan.
Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Sepang, Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.
Dilahirkan pada 21 April 1963, Tan Sri Dr Noor Hisham memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menggengam ijazah kedoktoran Doctor of Medicine dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selepas menamatkan ijazah kepakaran Master of Surgery dari universiti yang sama, beliau telah melanjutkan latihan pengkhususan dalam pembedahan payudara dan endokrin di Australia pada tahun 1997.
Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Sehingga kini, Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah dan sering melakukan pembedahan ketika beliau tidak bertugas di ibu pejabat.
Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan lebih daripada 60 artikel dalam jurnal perubatan dan pembedahan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin terutamanya pembedahan tiroid secara bius setempat.
Kepakaran beliau di dalam bidang pembedahan tiroid ini menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia pembedahan dan dijemput untuk memberikan ceramah kepada pakar-pakar bedah di peringkat antarabangsa seperti di Martin Allgower Lecture yang berlangsung di World Congress of Surgery di Krakow, Poland pada 12 Ogos 2019.
Selain berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara, Endokrin & Pembedahan Am, beliau juga berperanan besar dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di dunia untuk rawatan Hepatitis C.
Bersama-sama agensi antarabangsa Drug of Neglected Disease (DNDi) yang berpusat di Geneva, Malaysia telah berjaya merevolusi rawatan penyakit itu yang selama ini sukar diakses.
Namun dengan usaha gigih Tan Sri Dr Noor Hisham serta pakar-pakar perubatan tempatan, penyakit Hepatitis C kini boleh didiagnos dengan cepat dan mudah serta boleh dirawat di klinik-klinik dalam komuniti.
Seperkara yang jelas, kebimbangan beliau terhadap COVID-19 sangat berasas melihatkan gaya hidup masyarakat yang kembali rancak mengabaikan SOP.
“Apabila manusia bergerak dan berhimpun, virus juga akan merebak dan menjangkiti individu lain, membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian-varian baharu.
Percayalah, kita masih belum menang. Langkah terbaik bagi memutuskan penularan adalah dengan mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Sifat penyayang, prihatin dan berjiwa rakyat pasangan diraja, KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan KDYMM Raja Permaisuri Agong kini diwarisi anakanda sulung mereka, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Terbaharu, Tengku Hassanal yang turut digelar ‘The Real Prince Charming’ oleh rakyat jelata itu berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama empat bulan kepada Tabung COVID-19 Pahang bagi membantu mereka yang memerlukan.
Meskipun tidak menyatakan nilai elaun baginda secara spesifik, namun dijangka dengan kedudukannya sebagai Pemangku Raja berkemungkinan mencecah lima angka.
Sumber: Facebook Menteri Besar Pahang
Kurniaan kepada Tabung COVID-19 Pahang juga merupakan kurniaan kali kedua oleh Tengku Hassanal yang sebelum ini berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama enam bulan ke tabung yang sama pada 1 April 2020.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di laman media sosial rasmi beliau hari ini, yang turut menjunjung kasih atas keprihatinan baginda terhadap rakyat Pahang.
Tengku Hassanal bersama ayahanda dan bonda tercinta
Tabung COVID-19 Pahang dilancarkan oleh kerajaan negeri pada awal pelaksanaan PKP 1.0 khusus untuk membantu rakyat negeri ini terkesan dengan pelaksanaan perintah tersebut yang perlu dilakukan bagi memutuskan penularan wabak itu.
Kurniaan tersebut dilakukan sehari selepas Tengku Hassanal berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama tiga bulan ke Tabung Pahang4Palestine bagi membantu penduduk di sana.
Sumber: Facebook Menteri Besar Pahang
Berusia 25 tahun, Tengku Hassanal merupakan graduan dari Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst, United Kingdom. Baginda juga memiliki Ijazah Perhubungan Antarabangsa dari Geneva School of Diplomacy and International Relations di Switzerland.
Baginda mewarisi sikap ayahanda dan bondanya yang mesra rakyat, kerap kali turun padang untuk aktiviti kemasyarakatan serta tangkas menurunkan bantuan setiap kali berlaku bencana di Pahang.
Berperwatakan segak dan tampan, pesona Tengku Hassanal yang mudah melemparkan senyuman amat disenangi oleh masyarakat. Baginda juga sering menyantuni golongan susah serta tidak canggung bertemu rakyat dari pelbagai lapisan usia.
Tanpa protokol yang ketat, sikap Tengku Hassanal yang humble sama seperti ayahanda dan almarhum nendanya, Sultan Ahmad Shah, yang terkenal dengan prinsip ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.