Apa kata anda cuba amalkan diet telur rebus seperti yang disarankan wanita ini yang dikenali sebagai Emy Mellisa ini. Jangan lupa, cuba sekali Salmon Masak Cili Padi versi Emy Mellisa yang dikongsi di hujung arikel ini.
Seronok melihat perkongsian Emy Mellisa Mohd Kasim di Instagram miliknya. Penuh dengan gambar pelbagai jenis menu termasuklah olahan menu sihat untuk diet telur rebus yang diamalkan. Bagi memudahkan para pengikutnya, Emy Mellisa meletakkan #eggdietemymellisabdk sebagai rujukan.
Diet jenis ini sememangnya menjadi trend masakini untuk memiliki berat ideal. Ternyata, Emy Mellisa berjaya mencapai berat idealnya berkat amalan yang konsisten.
Antara menu-menu sihat yang diolah Datin Emy Mellisa.
“Saya memang jenis yang kurus sejak kanak-kanak sampailah ke zaman kampus. Namun semasa umur 25-26 tahun saya tak sedar berat badan naik mendadak. Lalu saya nekad untuk berhenti kerja dengan niat nak turunkan berat badan dan sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.
Saya google macam-macam jenis diet. Akhirnya saya tertarik dengan diet Atkins lalu mencubanya. Dari berat 75kg, saya berjaya dapatkan berat 57kg. Tapi semasa dalam fasa maintain tu pernah jugalah tersasar sedikit. Berat saya naik ke 62kg!
Lepas berkahwin, saya ada melakukan minor surgery. Disebabkan itu berat saya kembali naik sampai 68kg. Saya cuba untuk diet semula. Saya terbaca kisah viral Amylia AF yang kembali kurus dengan hanya mengamalkan diet telur tanpa ke gim. Saya terus google berkaitan diet telur.
Walaupun saya bukanlah penggemar telur rebus tapi saya nekad juga demi kurus. Kini telur rebus menjadi signature food saya setiap hari. Saya berjaya mencapai berat ideal semasa zaman sekolah menengah. Dari 68kg saya berjaya mendapat 52kg dalam masa tiga bulan setengah.
Emy Mellisa sebelum capai berat badan ideal.Gambar terkini Emy Mellisa yang semakin langsing dan cantik!
Saya idamkan untuk capai berat 48-49kg walaupun sebenarnya dengan berat sekarang dah cukup ideal dengan ketinggian saya iaitu 160cm. Empat bahan yang mesti ada dalam diet ini ialah telur rebus, epal hijau, kacang kuda dan teh hijau. Bila berlaku penurunan berat yang banyak, saya mula mempelbagaikan makanan sihat lain dalam menu harian.”
PERNAH DIPANDANG SINIS
“Semasa bujang ada yang cakap badan saya macam perempuan yang dah kahwin anak lima. Bentuk badan saya dipertikaikan. Lepas berkahwin pula, ada yang menegur badan saya lebih berisi tak macam sebelum berkahwin.
Sokongan suami membuatkan saya lebih konsisten semasa berdiet. Suami tahu saya tak suka telur rebus tapi setiap pagi suami masakkan telur rebus. Rupa bentuknya sangat cantik sehinggakan saya tiba-tiba boleh sukakan telur rebus.
Ads
Ramai juga followers di Instagram yang turut mencuba cara diet saya. Kebanyakannya mengucapkan terima kasih kepada saya kerana berkongsi tentang diet telur.
Kebanyakan menu sihat yang saya sediakan adalah daripada imaginasi sendiri. Saya tak merujuk mana-mana buku walaupun di rumah ada banyak buku resipi. Kadang-kadang apa yang saya makan di luar, saya akan olah menjadi versi yang lebih sihat. Resipi rakan-rakan di Instagram juga menjadi rujukan saya.
Menu sihat kegemaran saya ialah salad yang ditambah protein. Saya amalkan sayuran hijau dan ulaman untuk awet muda. Saya juga gemar ke gim 4-5 hari dalam seminggu dan meluangkan masa sejam setengah ke dua jam untuk senaman kardio dan strength training.”
NASIHAT BUAT YANG SEDANG BERDIET
“Buat wanita-wanita yang sedang berdiet, untuk kawal nafsu makan anda haruslah bijak membezakan rasa lapar atau nafsu. Kawal stres kerana ia membuatkan kita sentiasa rasa nak makan. Kurangkan minuman manis, gantikan dengan air kosong.
Berhenti membandingkan makanan kita dengan orang lain, tak perlu fikir makanan yang terlalu fancy kerana makanan biasa pun mampu membuatkan kita kurus dan kekal sihat. Paling penting jangan jadikan makanan ringan sebagai stok di rumah sebab potensi untuk ‘termakan’ tu sangat tinggi.”
Ads
Emy Mellisa berusia 38 tahun dan merupakan suri rumahtangga sepenuh masa. Dia berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap dari UTM Skudai.
SALMON MASAK LEMAK CILI PADI VERSI EMY MELLISA
Bahan-bahan:
Kepingan isi ikan salmon
1 kotak kecil santan
Ads
Cili padi (dikisar/ditumbuk kering)
Kunyit (dikisar/ditumbuk kering)
Garam secukup rasa
Asam keping
Sedikit air
Daun selasih
Hirisan daun kunyit
Cara Membuat:
Masukkan santan ke dalam periuk diikuti bahan yang dikisar atau ditumbuk kering. Tambahkan air dan hirisan daun kunyit. Biarkan mendidih seketika, masukkan kepingan isi salmon. Tambahkan garam, asam keping dan daun selasih. Kacau sebentar kemudian angkat.
Kredit Foto: Instagram Emy Mellisa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memiliki raut wajah yang lembut dan ayu memberi kelebihan buat penyanyi serta pelakon popular era 90an, Arni Nazira. Sedar tak sedar sudah 12 tahun Arni Nazira menyepikan diri dari bidang seni setelah mendirikan rumahtangga buat kali kedua pada tahun 2009.
Penampilan terkini Arni Nazira. Ayu sungguh!
Arni Nazira kini bahagia bersama suami tercinta, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar yang merupakan seorang usahawan sukses. Mereka dikurniakan tiga cahayamata iaitu Wan Muhammad Mua’dz (11), Wan Ayesha Maserra (9) dan Wan Muhammad Mushrief (6).
Bersama suami tersayang, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar.
Terdahulu, Arni Nazira pernah berkahwin dengan penyanyi rock dan pelakon terkenal, Awie pada tahun 1998 namun perkahwinan itu berakhir pada Oktober 2006. Mereka dikurniakan dua cahayamata iaitu Putri Aleeya Antasha yang kini berusia 21 tahun, dan Putri Aleefa Antasha berusia 19 tahun.
Arni Nazira bersama dua anak daranya yang cantik manis, Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha.
Cantik-cantik anak dara Arni Nazira.
PERKEMBANGAN TERKINI
“Saya sekarang bergelar suri rumahtangga sepenuh masa menguruskan keluarga dan hal-hal rumahtangga. Semuanya saya lakukan sendiri dan tak pernah ada pembantu rumah. Sejujurnya tawaran berlakon masih ada tetapi saya menolaknya dengan cara baik.
Alhamdulillah saya sangat bahagia dan selesa dengan kehidupan sekarang, apatah lagi suami memang suka saya tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga. Dulu ada juga perancangan untuk berbisnes namun tertangguh kerana tanggungjawab terhadap keluarga lebih utama.”
AMALKAN JAMU & PANTANG
Beruntungnya Arni Nazira, dalam usia 42 tahun pun kecantikan dan keayuannya tidak pernah pudar. Bukan saja raut wajah bahkan lenggok suaranya juga lembut sahaja, sama seperti dulu. Saat ditanya apa rahsia ‘awet mudanya’ Arni Nazira tidak lokek untuk berkongsi amalannya selama ini.
“Atas nasihat ibu dan nenek saya amalkan jamu, minum air kosong secukupnya dan ulam-ulaman sejak usia muda. Alhamdulillah berkat konsisten dengan amalan itu ia telah menjadi salah satu asbab untuk kelihatan awet muda dalam usia sekarang. Paling penting kesihatan dalaman turut terjaga.
Kenangan manis Arni Nazira bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Satu lagi amalan ialah disiplin ketika berpantang. Dulu setiap kali bersalin ibu akan jaga saya sepanjang berpantang. Ibu seorang yang sangat menitikberatkan amalan berpantang. Kalau ikut cara berpantang dulu-dulu memang sangat ketat. Contohnya, cara berjalan dan makan ada pantangnya. Makanan sejuk-sejuk tak boleh ketika dalam pantang. Amalan bertungku dan ‘menyalai’ juga penting untuk kecutkan peranakan.
Kita wanita ni bila dah cecah usia 40 tahun dan ke atas kena beringat, jaga badan elok-elok luar dan dalam. Kerana pada usia ini badan akan mula mudah jatuh sakit. Tahap kesihatan kita dah tak sama seperti muda-muda dulu. Jadi amalkan gaya hidup sihat termasuk jaga pemakanan.
RAHSIA RUMAHTANGGA BAHAGIA
“12 tahun melayari bahtera rumahtangga pasti ada pasang surutnya. Sebagai isteri kena banyak bersabar, bertolak ansur dan sentiasa berbincang. Saya dan suami suka berkongsi apa jua perkara termasuk masalah. Tak sembunyi apa-apa kalau ada tak puas hati. Masing-masing kena jujur demi kebaikan bersama. Alhamdulillah rezeki saya dikurniakan seorang suami yang boleh give and take, memahami, bertanggungjawab dan sehati sejiwa.
Kalau nak tahu me-time saya hanya dengan suami. Kalau ke mana-mana pun selalu berdua atau berlima dengan anak-anak. Keluarga adalah ‘harta’ dan segala-galanya buat saya. Setiap wanita ada cara me-time masing-masing. Namun bagi saya keluarga adalah terapi. Kalau sedih atau stres saya tetap perlukan suami di sisi.
Pasangan romantik!
Sebagai isteri dan ibu saya sentiasa ingin menjadi yang terbaik di mata suami serta anak-anak. Begitu juga hubungan saya dengan anak-anak bekas suami iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha, kami selalu berhubung. Kalau tak berjumpa kami akan berhubung melalui Whatsapp atau video call setiap hari.
Saya mendoakan agar mereka menjadi anak-anak yang soleh serta solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. Seterusnya menjadi insan yang berilmu. InshaAllah.”
Arni Nazira Anuar, anak kelahiran Terengganu ini mula digilap bakatnya menerusi pertandingan nyanyian Asia Bagus 1996. Setelah bergelar penyanyi, lagu nyanyian Arni Nazira berjudul ‘Cinta Antara Benua’ mula menjadi siulan sekitar tahun 1997. Manakala filem lakonan Arni Nazira ialah Nafas Cinta (1998) dan Bara (1999).
Katalah apa saja kepadanya pun.. tapi sebagai wanita yang mempunyai misi besar dan berhasrat mahu ‘menjentik’ hati wanita lain untuk mengenakan hijab, Vivy Yusof enggan melatah dengan sindiran negatif yang dilemparkan kepadanya. Jelas usahawan muda dan berjaya yang tersenarai dalam Forbes Under 30 ini, sudah tiba masanya wanita Islam terutama yang berhijab bangkit memperkasakan diri.
Ditemui ketika majlis The Merdeka Duck di Muzium Negara, Vivy tak putus-putus memberi suntikan inspirasi. Bukan saja melalui ketegasannya dalam setiap jawapan yang diberikan bahkan dengan keadaan diri yang sedang sarat hamil anak ketiga.. Vivy tetap gagahkan diri bertemu khalayak dan menjayakan majlis tersebut. Bayangkan dengan perut yang makin membesar dan pergerakan yang makin perlahan, tetap bergaya cantik dan ceria meraikan pengunjung.
“Macam mana nak perkasakan wanita dengan hijab? Pada saya, semuanya kena mula dari diri sendiri. Saya rasa kita selaku wanita berhijab kena bangga, progresif, moden dan ubah cara pemikiran. Dalam pada itu, kita kena sentiasa berfikir secara positif.
Dan, jangan ada perasaan nak jatuhkan orang lain mahupun rendahkan diri kita dengan seribu satu alasan. Jujurnya, saya memang nak lihat kaum wanita hari ini jadi lebih progresif dan kuat. Baik dari segi mental juga fizikal.”
Diaju pertanyaan tentang persepsi segelintir wanita yang beranggapan memakai dUCkscarves seolah-olah memiliki jenama mewah terkenal, Chanel.. Vivy selaku Pengasas The Duck Group dan FashionValet terpaku sambil melempar senyuman.
“Saya rasa itu salah satu my dream sebab nak naikkan taraf hijab. Memang ada banyak tudung yang affordable dan bermacam-macam corak serta jenis dijual di pasaran. Tapi saya mahukan sesuatu yang lebih unik dan berbeza seiring dengan kehendak wanita muslimah ketika ini.
Ada pihak yang mempertikaikan tentang harganya.. pada saya, kenapa jika berkaitan religion kena murah? Islam itu ‘mahal’.
Tak dinafikan, orang luar tengok ‘dUCk woman‘ sebagai wanita yang berdaya saing, memberi inspirasi dan sebagainya. Jadi, kita sebagai wanita perlu ada aspirasi. Bila ada yang melabelkan dUCkscarves sedemikian, saya take it as a compliment.
Secara tidak langsung buatkan mereka rasa tertarik dan hendak pakai tudung. Kami di The Duck Group juga banyak terima feedback dari mereka yang dulunya tak berhijab kini dah mengenakan tudung. Kebanyakan mereka mengaku takut dilabel kolot dan ketinggalan bila pakai tudung.. tapi bila dapat tahu tentang dUCkscarves, rekaan dan kualitinya.. mereka lebih berani untuk berhijrah. Sudah tentu saya rasa puas bila dapat buat orang tergerak hati hendak berubah.”
Berhubung isu ciplak rekaan dUCkscarves yang semakin berleluasa, Vivy bagaimana pun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu gejala ini menjadi penghalang kreativiti. Apa yang pasti, usahawan berusia 30 tahun ini berkata pihaknya telah dan sedang melakukan pelbagai cara untuk mengatasi perkara itu. Namun, tidak mahu terlalu menguar-uarkannya kerana percaya mutu dan kualiti dUCkscarves akan terus dipertingkat saban tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melihat kepada perwatakannya yang tegas maka tidak hairanlah Dato’ Anis Romli berjaya mengemudi perniagaannya sehingga menjadi satu empayar yang kukuh ketika ini. Pada pandangan mata kasar mungkin nampak ‘sempurna’ namun hakikatnya sebagai pengasas bersama, perjalanan karier Dato’ Anis sebagai ahli perniagaan banyak likunya.
Pengasas bersama Imorice Legacy Sdn Bhd, DATO’ ANIS ROMLI.
Imorice Legacy Sdn Bhd merupakan penerima Nona Superwoman Award 2020 kategori Nona Best Imaging Founder Award. Syarikat ini ditubuhkan pada 29 April 2019 dan merupakan sebuah syarikat ‘holding’ Bumiputera sepenuhnya yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Selain membantu usahawan mencipta keuntungan serta menaik taraf ekonomi diri dan keluarga, objektif syarikat ini juga ialah menjadi pembekal dan penyedia perkhidmatan terbaik setanding syarikat antarabangsa yang menguasai bidang ini.
Terdapat beberapa jenama anak syarikat di bawah Imorice Legacy Sdn Bhd yang terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan. Jenama ‘Rampak Sunda’ menyediakan khidmat penyediaan makanan dan minuman bertemakan masakan tradisi Melayu dan Sunda. Jenama ‘Uncle Lekor’ pula kilang yang menghasilkan produk keropok lekor bagi pasaran tempatan. ‘Imorice Solutions’ menyediakan khidmat spa dan kecantikan berpusat di Setia Alam.
Sementara ‘Imoriceutical’ menyediakan khidmat dan pembekalan berkaitan farmasi dan seni pembangunan ubat serta formula produk kecantikan dan kesihatan. Jenama ‘Kleanopia’ ialah sebuah syarikat e-dagang yang berasaskan produk kecantikan dan kesihatan tempatan serta antarabangsa berpusat di Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur.
Dato’ Anis ‘tidak goyang kaki’ sebaliknya rajin berusaha dan bermula dari bawah bagi mempelajari selok belok perniagaan.
Sepanjang dua tahun lalu, Dato’ Anis Romli bersama pengarah syarikat melibatkan diri secara terus dengan ilmu perniagaan secara profesional. Tempoh ini dimanfaatkan dengan menjalankan kajian, mengikuti kursus kemahiran, pencarian formula dan teknik pemasaran terbaik.
Dato’ Anis bertuah kerana memiliki rakan perniagaan yang saling melengkapi, tinggi daya saing dan berdisiplin. Tidak mengambil kesempatan atas kelebihan itu, Dato’ Anis ‘tidak goyang kaki’ kerana beliau rajin berusaha dan bermula dari bawah bagi mempelajari selok belok dunia perniagaan sebenar.
PERMULAAN
Sebaik tamat pengajian Ijazah Seni Bina di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2010, beliau bekerja di firma seni bina di Pulau Pinang. Pada tahun 2012 beliau memulakan syarikat pembinaan sendiri. Pada masa lapang, beliau mengembangkan bakat dalam aktiviti seni jahitan kreatif serta menghasilkan koleksi turban kanak-kanak yang dijual secara online.
Selain itu, Dato’ Anis pernah bergelar atlet mewakili negeri Terengganu dan Pahang dalam sukan bola jaring peringkat kebangsaan. Namun, setelah berumah tangga beliau banyak menumpukan perhatian terhadap keluarga.
“Perniagaan di bawah pengurusan syarikat berjalan seiring dengan beberapa lagi cabang perniagaan. Tidak dinafikan perniagaan perindustrian pengilangan antara paling mencabar kerana saingannya banyak dimonopoli golongan lelaki dan syarikat-syarikat gergasi. Untuk terus kekal releven dalam industri ini saya sentiasa mencari peluang dan memberikan perkhidmatan terbaik.
Menjadi wanita satu anugerah kerana dikurniakan jiwa dan semangat yang tinggi.
Selepas beberapa tahun terlibat dalam bidang perniagaan kini tiba masanya pula untuk saya berbakti kepada masyarakat. Melalui pengalaman luas dalam pengendalian urusniaga sama ada di dalam mahupun luar negara, ia menjadi senjata paling ampuh bagi membantu usahawan muda terutama golongan wanita serta ibu tunggal.
Kini semakin ramai anak muda yang mencuba nasib untuk berniaga terutama melalui online platform. Bagaimanapun, kebanyakannya gagal walaupun belum separuh jalan. Perniagaan nampak mudah tetapi realitinya bukan semudah yang dilihat. Apabila kita melihat orang berjaya, kita juga mahu menjadi sepertinya tetapi kita tidak mahu melalui kesusahan seperti yang dilaluinya.
PESANAN BUAT WANITA
Menjadi wanita satu anugerah kerana dikurniakan jiwa dan semangat yang tinggi. Walaupun luarannya tampak lemah dan lembut, jangan pernah merasa lelah dan mudah mengalah. Walau apa pun orang sekeliling akan fikir atau lakukan terhadap kita yakinlah Tuhan sentiasa bersama orang yang sabar.
Buat ibu-ibu terutamanya ibu tunggal, jangan sesekali anggap anak-anak sebagai beban. Merekalah punca semangat dan pintu rezeki kita. Paling penting niat mesti baik. Lakukan setiap pekerjaan dengan sebaiknya. Insya-Allah segala hasil akan menjadi lebih baik,” akhiri Dato’ Anis.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.