“Perniagaan Seperti Kehidupan Yang Ada Surut Dan Pasang.”-Dato’ Seri Dr. Farah Khan

Tiada siapa dapat menyangkal kehebatan beliau dalam arena fesyen tempatan. Berjaya membina empayar yang besar dan memiliki jenama fesyen sendiri yang telah merentas horizon dunia, boleh dikatakan beliau ialah ratu fesyen negara. Dalam setiap gerak langkah beliau ada sahaja pembaharuan yang dilakukan dalam memastikan industri fesyen tempatan selalu disajikan dengan perkara baru.

“Melihat kembali 28 tahun yang lalu yang mana The Melium Group memulakan sebuah syarikat dan kini sepantas masa bergerak ia telah menjadi satu pemain utama dalam landskap fesyen mewah di Malaysia. Seiring perkembangannya saya sedar yang sebahagian besar faktor yang memainkan peranan dalam menjadikan syarikat ini berada di dalam kelas tersendiri adalah orang-orang yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak.

Antara insan-insan ini adalah pelanggan yang setia sejak dahulu dan juga tenaga kerja yang begitu dedikasi. Untuk pengetahuan anda, masih ada pekerja yang berada di The Melium Group merupakan pekerja yang telah bekerja sejak hari pertama syarikat ini dibuka pada tahun 1989. Saya percaya bahawa ini adalah DNA yang menjadikan The Melium Group sebuah entiti yang berjaya. It’s the people with us every step of the way,” ujar beliau panjang lebar apabila ditanyakan soal bagaimana syarikatnya berjaya bertahan sehingga hari ini.

PORTFOLIO

Di bawah lembayung The Melium Group terdapat lebih 100 jenama antarabangsa yang ditawarkan, antara jenama-jenama terkenal dengan butik fizikal yang bertapak di Malaysia khusus untuk pencinta fesyen tempatan adalah seperti Givenchy, Max Mara, Roger Vivier, Hacket London, Aigner serta banyak lagi menjadi pilihan terbaik. Terbaru jenama asal Perancis, Lanvin yang terkenal sebagai jenama pertama memiliki koleksi lelaki penuh sejak 1926 pula memenuhi kehendak bagi yang menghargai seni jahitan dan rekaan yang mewah dibuka. Selain itu Dato’ Seri Dr. Farah Khan turut mengilhamkan sebuah butik multi jenama yang dikenali sebagai M Pavilion yang menampilkan antara jenama seperti Alaia, Victoria Beckham, Jonathan Simkhai dan Roland Mouret.

Meluaskan lagi portfolio perniagaannya, wanita anggun ini turut terjun ke dunia makanan dengan pembukaan kafe Dome yang kini memiliki lebih 20 cawangan seluruh Malaysia, Aseana Cafe dan terbaru restoran Mama San inspirasi oleh Cef Will Meyrick. Ternyata dalam 28 tahun The Melium Group ia telah mencipta satu penanda aras sebagai sebuah syarikat yang berkembang pesat biarpun ditekan dengan ritma ekonomi yang tidak menentu. Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, beliau terus maju ke hadapan dengan menawarkan produk serta servis yang terbaik.

Menawarkan segala yang terbaik, apakah rancangan masa hadapan yang akan dihamparkan kepada pelanggan? “Selepas ini Melium akan hadir dengan sistem e-perniagaan yang mana saya sendiri teruja dengan perancangan terbaru ini yang akan menjadi ‘pintu’ kepada para pelanggan dalam mendapatkan produk-produk yang ditawarkan. Perniagaan secara konvensional kami masih lagi menjadi tunjang utama, namun realiti masa kini yang mementingkan segala capaian di hujung jari tidak boleh diendahkan. Kini, pelanggan sudah boleh membeli secara atas talian di farahkhan.com dan ini merupakan langkah pertama kami sebelum melaksanakan sistem ini secara menyeluruh.”

DEDIKASI

Dalam membawa jenama-jenama hebat masuk ke dalam negara ini, Dato’ Seri Dr. Farah Khan tidak lupa dengan identitinya sebagai seorang pereka fesyen. Pada tahun 2007 beliau melancarkan jenama dengan namanya sendiri iaitu Farah Khan. Ketika persembahan fesyen jenama ini di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017, ia telah menyambut ulang tahun kesepuluh.

Kongsi beliau mengenai jenamanya ini,“Membangunkan jenama Farah Khan bersama dengan pasukan pereka yang cukup berdedikasi merupakan satu perjalanan dan penemuan yang menakjubkan. Bermula sebagai jenama untuk wanita yang mahukan busana gaun perincian mewah buat wanita jetsetter kini ia telah berkembang kepada koleksi resort dan juga couture nan eksklusif. Sebagai sebuah jenama Farah Khan telah berevolusi dengan cemerlang dari menggayakan selebriti bertaraf antarabangsa di karpet merah dan disukai oleh wanita kosmopolitan yang menghargai pendekat gaya glamor segera di dalam stail gaun petang.

Hari ini koleksi couture jenama ini telah dipersembahkan dalam pertunjukan dalam suasana yang privasi dan eksklusif di Versailles, Marrakech, London dan Jakarta. Untuk koleksi ini kami mengambil pendekatan eropah yang mana rekaan terhad ini boleh ditempah dengan pengubahan yang minimum. Sehelai busana couture mengambil masa tiga ke lima bulan untuk disiapkan dek perincian yang kompleks. Pelanggan-pelanggan koleksi ini juga biasanya merupakan pelanggan yang serius yang tahu apa yang mereka mahukan.”

Menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik bukan satu perkara yang mudah tambahan pula untuk mengetuai syarikat selama 28 tahun, apakah yang dilakukan untuk mengekalkan perniagaan ini tetap utuh?

“Anda tidak boleh masuk ke dalam perniagaan fesyen tanpa menjangkakan akan ada jatuh dan bangun kerana seperti kehidupan yang ada surut dan pasang. Cabaran dan halangan akan selalu ada, namun ini bukanlah fokus utama, apa yang penting adalah bagaimana anda menanganinya. Banyak faktor seperti kejatuhan ekonomi dan juga epimik seperti SARS menyebabkan kerugian besar, namun syarikat ini bertahan dan melaluinya dengan penuh kesabaran. Bagi saya kita harus tegar menghadapi hari susah kerana lambat laun gelombang yang melanda akan berubah dan keadaan akan beralun dengan lebih baik. Menjalankan perniagaan bukanlah untuk mereka yang berhati lemah, ia melibatkan semangat yang tinggi,” jawabnya memberikan nasihat.

 

 

IKLAN
Share