Tiada siapa dapat menyangkal kehebatan beliau dalam arena fesyen tempatan. Berjaya membina empayar yang besar dan memiliki jenama fesyen sendiri yang telah merentas horizon dunia, boleh dikatakan beliau ialah ratu fesyen negara. Dalam setiap gerak langkah beliau ada sahaja pembaharuan yang dilakukan dalam memastikan industri fesyen tempatan selalu disajikan dengan perkara baru.
Ads
“Melihat kembali 28 tahun yang lalu yang mana The Melium Group memulakan sebuah syarikat dan kini sepantas masa bergerak ia telah menjadi satu pemain utama dalam landskap fesyen mewah di Malaysia. Seiring perkembangannya saya sedar yang sebahagian besar faktor yang memainkan peranan dalam menjadikan syarikat ini berada di dalam kelas tersendiri adalah orang-orang yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak.
Antara insan-insan ini adalah pelanggan yang setia sejak dahulu dan juga tenaga kerja yang begitu dedikasi. Untuk pengetahuan anda, masih ada pekerja yang berada di The Melium Group merupakan pekerja yang telah bekerja sejak hari pertama syarikat ini dibuka pada tahun 1989. Saya percaya bahawa ini adalah DNA yang menjadikan The Melium Group sebuah entiti yang berjaya. It’s the people with us every step of the way,” ujar beliau panjang lebar apabila ditanyakan soal bagaimana syarikatnya berjaya bertahan sehingga hari ini.
PORTFOLIO
Di bawah lembayung The Melium Group terdapat lebih 100 jenama antarabangsa yang ditawarkan, antara jenama-jenama terkenal dengan butik fizikal yang bertapak di Malaysia khusus untuk pencinta fesyen tempatan adalah seperti Givenchy, Max Mara, Roger Vivier, Hacket London, Aigner serta banyak lagi menjadi pilihan terbaik. Terbaru jenama asal Perancis, Lanvin yang terkenal sebagai jenama pertama memiliki koleksi lelaki penuh sejak 1926 pula memenuhi kehendak bagi yang menghargai seni jahitan dan rekaan yang mewah dibuka. Selain itu Dato’ Seri Dr. Farah Khan turut mengilhamkan sebuah butik multi jenama yang dikenali sebagai M Pavilion yang menampilkan antara jenama seperti Alaia, Victoria Beckham, Jonathan Simkhai dan Roland Mouret.
Meluaskan lagi portfolio perniagaannya, wanita anggun ini turut terjun ke dunia makanan dengan pembukaan kafe Dome yang kini memiliki lebih 20 cawangan seluruh Malaysia, Aseana Cafe dan terbaru restoran Mama San inspirasi oleh Cef Will Meyrick. Ternyata dalam 28 tahun The Melium Group ia telah mencipta satu penanda aras sebagai sebuah syarikat yang berkembang pesat biarpun ditekan dengan ritma ekonomi yang tidak menentu. Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, beliau terus maju ke hadapan dengan menawarkan produk serta servis yang terbaik.
Menawarkan segala yang terbaik, apakah rancangan masa hadapan yang akan dihamparkan kepada pelanggan? “Selepas ini Melium akan hadir dengan sistem e-perniagaan yang mana saya sendiri teruja dengan perancangan terbaru ini yang akan menjadi ‘pintu’ kepada para pelanggan dalam mendapatkan produk-produk yang ditawarkan. Perniagaan secara konvensional kami masih lagi menjadi tunjang utama, namun realiti masa kini yang mementingkan segala capaian di hujung jari tidak boleh diendahkan. Kini, pelanggan sudah boleh membeli secara atas talian di farahkhan.com dan ini merupakan langkah pertama kami sebelum melaksanakan sistem ini secara menyeluruh.”
DEDIKASI
Ads
Dalam membawa jenama-jenama hebat masuk ke dalam negara ini, Dato’ Seri Dr. Farah Khan tidak lupa dengan identitinya sebagai seorang pereka fesyen. Pada tahun 2007 beliau melancarkan jenama dengan namanya sendiri iaitu Farah Khan. Ketika persembahan fesyen jenama ini di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017, ia telah menyambut ulang tahun kesepuluh.
Kongsi beliau mengenai jenamanya ini,“Membangunkan jenama Farah Khan bersama dengan pasukan pereka yang cukup berdedikasi merupakan satu perjalanan dan penemuan yang menakjubkan. Bermula sebagai jenama untuk wanita yang mahukan busana gaun perincian mewah buat wanita jetsetter kini ia telah berkembang kepada koleksi resort dan juga couture nan eksklusif. Sebagai sebuah jenama Farah Khan telah berevolusi dengan cemerlang dari menggayakan selebriti bertaraf antarabangsa di karpet merah dan disukai oleh wanita kosmopolitan yang menghargai pendekat gaya glamor segera di dalam stail gaun petang.
Ads
Hari ini koleksi couture jenama ini telah dipersembahkan dalam pertunjukan dalam suasana yang privasi dan eksklusif di Versailles, Marrakech, London dan Jakarta. Untuk koleksi ini kami mengambil pendekatan eropah yang mana rekaan terhad ini boleh ditempah dengan pengubahan yang minimum. Sehelai busana couture mengambil masa tiga ke lima bulan untuk disiapkan dek perincian yang kompleks. Pelanggan-pelanggan koleksi ini juga biasanya merupakan pelanggan yang serius yang tahu apa yang mereka mahukan.”
Menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik bukan satu perkara yang mudah tambahan pula untuk mengetuai syarikat selama 28 tahun, apakah yang dilakukan untuk mengekalkan perniagaan ini tetap utuh?
“Anda tidak boleh masuk ke dalam perniagaan fesyen tanpa menjangkakan akan ada jatuh dan bangun kerana seperti kehidupan yang ada surut dan pasang. Cabaran dan halangan akan selalu ada, namun ini bukanlah fokus utama, apa yang penting adalah bagaimana anda menanganinya. Banyak faktor seperti kejatuhan ekonomi dan juga epimik seperti SARS menyebabkan kerugian besar, namun syarikat ini bertahan dan melaluinya dengan penuh kesabaran. Bagi saya kita harus tegar menghadapi hari susah kerana lambat laun gelombang yang melanda akan berubah dan keadaan akan beralun dengan lebih baik. Menjalankan perniagaan bukanlah untuk mereka yang berhati lemah, ia melibatkan semangat yang tinggi,” jawabnya memberikan nasihat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keberanian seorang perwira tentera British wanita, Harpreet Kaur Chandi atau Kapten Preet Chandi menyelesaikan misi ekspedisi solo merentasi benua Antartika ke Kutub Selatan baru-baru ini membuktikan keupayaan wanita.
Bermula November lepas, Preet Chandi atau Polar Preet sekali lagi menempuh ekspedisi sejauh 700 batu (1,127km) dalam tempoh 40 hari, 7 jam dan 3 minit berlatarkan cuaca buruk, di bawah suhu -45 darjah Celcius, jarak pandang yang kabur dan kepenatan ekstrem sepanjang jalan.
Wanita berketurunan Asia dan berasal dari Sinfin, Derby itu menamatkan ekspedisi di belakang catatan masa Johanna Davidsson dari Sweden yang menamatkan misi serupa dalam tempoh 38 hari, 23 jam dan 5 minit (2016) serta Hannah McKeand dari Britain dengan catatan masa 39 hari, 9 jam dan 33 minit (2006).
“Ia jauh lebih sukar berbanding ekspedisi tahun lepas (2021), kali ini boleh dikatakan pengalaman paling sukar pernah saya lakukan.
Secara mental, ia jadi sukar apabila memikirkan saya tak punya masa mencukupi untuk melakukannya tapi bukankah ekspedisi ini adalah tentang mencabar keupayaan diri dan memberi inspirasi kepada orang lain?
Saya kecewa kerana kesuntukan masa untuk merentasi Antartika tapi saya sudah lakukan segala yang termampu termasuk tidak berehat walau sehari pun untuk menjayakan misi ini.” Preet Chandi
Berusia 32 tahun, Kapten Preet Chandi sebelum ini pernah menakluk Kutub Selatan pada 2021. Untuk ekspedisi November 2022, beliau yang merupakan seorang pakar fisioterapi di Angkatan Tentera Inggeris dianggarkan menempuhi perjalanan solo kira-kira 27.3km sehari menggunakan peralatan komunikasi khusus untuk mengirim perkembangan dirinya di Antartika.
“Saat tiba di Kutub Selatan, emosi saya terus bercampur-baur. Saya tidak tahu apa-apa tentang kutub tiga tahun lalu dan seperti tidak percaya akhirnya berada di sini.
Terima kasih atas semua sokongan, semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada orang lain dan menambah kepercayaan pada diri mereka sendiri.
Saya selalu mendengar jawapan ‘Tidak!’ dalam pelbagai perkara dan sebagai wanita, disuruh buat benda-benda normal saja. Namun sebenarnya, kita yang mencipta ‘normal’ kita dan mampu mencapai apa saja yang dimahukan, tanpa bergantung pada sesiapa.”
Tambah Kapten Preet Chandi, wanita Asia jarang diberi peluang dan harapan tinggi untuk melakukan perkara-perkara hebat sebegini.
Dengan kisah kejayaan ini beliau berharap dapat membantu lebih ramai wanita melakukan ekspedisi yang majoritinya didominasi lelaki.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cantik manis orangnya dan sangat merendah diri biarpun berasal dari golongan bangsawan. Engku Liyana Zafirah Engku Mohd Suhaimi, kerabat Diraja Pahang, 29, yang mesra digelar sebagai Engku Liyana ini sebenarnya seorang yang sangat aktif dan bijak.
Dalam erti kata lain beauty with brain! Engku Liyana juga seorang anak muda yang sangat komited serta cemerlang dalam kariernya.
Sebelum bergelar Pegawai Eksekutif di salah sebuah universiti tempatan, siapa sangka Engku Liyana pernah bekerja sebagai juruwang di sebuah farmasi kesihatan sekitar tahun 2007. Terbukti, sejak usianya belasan tahun Engku Liyana sudah pun mempunyai semangat juang yang tinggi untuk berdikari.
“Saya seorang yang komited dengan apa yang dilakukan dan sukakan cabaran. Prinsip saya sentiasa berusaha, ikhtiar, tawakal dan doa. Namun dalam masa sama saya perlu beringat juga, tak semua yang kita nak tu akan dapat.”
AKTIF BERSUKAN
“Selalunya selepas waktu kerja jadual saya penuh dengan aktiviti sukan. 1-2 kali dalam seminggu saya bersama rakan-rakan akan turun ke Kuala Lumpur untuk bermain badminton atau futsal. Namun memandangkan keadaan semasa sekarang, saya hanya melakukan aktiviti kecergasan di rumah.
Kadang-kadang lepas kerja saya akan berjoging saja di trek berhampiran tempat kerja. Kalau terlalu penat barulah saya akan berehat di rumah sambil meluangkan masa bersama anak-anak saudara. Walaupun aktif bersukan saya juga seorang yang family oriented. Saya juga tak akan membawa semua urusan kerja ke rumah kecuali kalau terlalu mustahak.”
AMAL PEMAKANAN SIHAT “Saya hanya amalkan air kosong secukupnya setiap hari. Disebabkan aktif bersukan telah mendorong saya untuk minum air dengan banyak. Saya turut mengurangkan makanan berminyak dan bergoreng.
Sejak kecil keluarga saya memang tak galakkan kami ambil makanan ringan, minuman manis dan bergas. Alhamdulillah sampai sekarang kami masih pegang nasihat itu.
Selain itu, saya sentiasa melalui hari-hari dengan positif demi kesihatan mental dan fizikal yang baik sekaligus dapat mengekalkan awet muda.”
MAHU MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
“Sebagai anak saya sentiasa berusaha untuk membahagiakan dan menyenangkan kedua ibu bapa. Mungkin tak akan terbalas jasa mereka tapi saya akan merasa puas jika dapat melihat mereka bahagia dan gembira.
Merekalah sumber inspirasi saya sejak kecil. Kedua-duanya tegas dan berdisiplin dalam mendidik. Sejak kecil saya dan adik beradik dah diajar untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sampai jadi. Seterusnya saya mahu fokus kepada kerjaya. Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya lakukan yang terbaik.”
WANITA INSPIRASI
“Perjalanan untuk mencapai gelaran sebagai wanita inspirasi masih jauh. Setiap wanita ada potensi tersendiri untuk berjaya walaupun apa pun statusnya. Tuhan menjadikan wanita untuk memberi manfaat luar biasa buat keluarga, masyarakat dan negara.
Apa yang penting yakin untuk menjadi yang terbaik dalam bidang kerjaya masing-masing. Seorang wanita inspirasi mampu berdiri di kaki sendiri dan tak bergantung sepenuhnya dengan lelaki walaupun bergelar isteri dan ibu.” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Daripada seorang doktor gigi berjaya, Dr Irma Shida Abu Samah membuktikan diversiti dalam dirinya apabila turut bergelar usahawan, komposer dan penulis lirik. Memulakan perniagaan dalam bidang kosmetik dan penjagaan kulit, Dr Irma mencabar potensi diri dengan melangkah ke dunia hiburan dengan menubuhkan label muzik di bawah jenama Dr IRMA. Keyakinan yang dimiliki oleh wanita berusia 38 tahun ini sememangnya tidak boleh disangkal lagi.
Dr Irma membuktikan bahawa cantik dan daya intelektual serta keinginan untuk mengecapi kejayaan boleh datang seiring. Malah, dirinya amat bertuah dikurniakan bakat bukan sahaja sebagai seorang doktor gigi, malah turut berbakat sebagai usahawan, komposer dan penulis lirik. Tidak hairanlah, Dr Irma boleh berbangga dengan kewujudan Klinik Pergigian Irma Ariandi, Dr Irma Entertainment dan Dr Irma Skincare miliknya.Menurut Dr Irma wanita masa kini lebih berani dan lebih tabah menghadapi cabaran baik dari segi profession mahupun emosi. Malah, wanita kini lebih matang dalam berbicara dan meluahkan buah fikiran.
“Saya bangga dengan peranan yang dimainkan oleh wanita masa kini kerana membuat pilihan untuk tidak berdiri di belakang sebagai pengikut, tetapi wanita moden lebih tekad menjadi nadi penggerak dan lebih gagah sebagai pemimpin sesebuah perniagaan sama hebat malah kadangkala lebih hebat berbanding lelaki.”
Sentiasa meletakkan cita-cita untuk mencapai impian dan berjaya sebagai motto untuk motivasi diri, Dr Irma sentiasa mengingatkan dirinya bahawa tanpa cita-cita, seseorang individu akan mudah lalai dan hanya hidup dalam angan-angan semata-mata.
Menyingkap latar belakang, ibu kepada dua cahayamata ini sememangnya amat komited dalam perancangan masa hadapan. Sebaik menamatkan pengajian di UKM pada 2004, penerima Anugerah Perpustakaan UKM dan Anugerah Pelajar Cemerlang UKM selama dua tahun berturut-turut ini memulakan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan di Kota Bharu, Kelantan sebelum membuka klinik pergigian sendiri pada tahun 2007. Berkat usaha dan kesungguhan untuk berjaya, beliau pernah dicalonkan bagi Anugerah Usahawan MARA peringkat Kebangsaan kategori Anugerah Usahawan Berjaya pada tahun 2017. Manakala pada tahun 2008, beliau di anugerahkan Anugerah Usahawan MARA Negeri Johor kategori Usahawan Muda Berjaya. Dr. Irma membuktikan beliau menerima ramai pelanggan dari Malaysia termasuk Indonesia dan Singapura.
Dalam meniti kejayaan, Dr Irma tidak pernah terlepas dari berhadapan masalah dalam menguruskan legasi perniagannya.
“Tidak dinafikan saya juga pernah berhadapan dengan cabaran sepanjang perjalanan membina perniagaan. Saya terpaksa akur dengan kegagalan dalam perniagaan akibat salah percaturan sehingga menyebabkan saya menutup operasi dan menanggung hutang sendiri sehingga selesai. Tapi saya akur, jatuh bangun adalah adat berniaga dan sebagai usahawan, kita tidak boleh cepat berputus asa dan mengalah. Sejak kegagalan tersebut, saya bertambah matang dalam melalui liku-liku bidang perniagaan dan harus ligat berfikir mencari jalan untuk segera bangun kembali dan bangun lebih tinggi dari sebelumnya. Saya belajar dari kesilapan yang dilakukan dan menjadikan kesilapan itu guru supaya saya serik dan tidak ulangi langkah yang sama. Kegagalan menjadikan saya lebih matang dalam menerima kekurangan diri serta lebih matang dalam mencatur keputusan,” ujar wanita yang mempunyai personaliti yang kental, gigih dan tidak mudah mengalah ini.
Selain bertindak sebagai doktor gigi, Dr Irma yang memang petah dan bijak berkata-kata boleh berbangga dengan penubuhan Dr. Irma Entertainment, satu label muzik yang telah berdaftar sepenuhnya di Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 2017, Dr. Irma Entertainment mempunyai 6 orang artis di bawah naungannya. Pada masa yang sama, ia turut menerbitkan lagu untuk artis terkenal seperti Ferhad dan Azharina Azhar.
“Berbeza dengan label lain, Dr Irma Entertainment mencari bakat baharu dengan mengadakan pertandingan nyanyian secara besar-besaran di atas talian dan juga berkolaborasi dengan Radio RTM JohorFm untuk konsert akhir pertandingan yang dinamakan SUARA JUARA. Saya juga turut mengasah bakat sebagai komposer dan penulis lirik yang berdaftar di bawah MACP. Alhamdulillah setakat ini label telah menerbitkan hampir 20 buah lagu,” ujar Dr Irma yang ternyata boleh berbangga dengan perkembangan dan kedudukan label Dr. Irma Entertainment dalam usia setahun jagung bergiat mencipta nama di persada seni tanahair.
Selain itu, Dr. Irma Skincare yang ditubuhkan pada tahun 2015 di bawah syarikat Irma Ariandi Global Sdn Bhd telah menghasilkan lebih daripada 20 produk di bawah jenama DR. IRMA.
“Produk Dr Irma Skincare telah mendapat kelulusan KKM dan juga HALAL dari Jakim. Syarikat juga berdaftar dengan MATRADE untuk menjengah pasaran luar negara. Insyallah kami akan menembusi pasaran indonesia tidak lama lagi dan diharap ia akan mengukuhkan lagi jenama Dr Irma di dalam dan luar negara,” ujar Dr Irma optimis dan penuh harapan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!