Dapat peluang bercuti satu keluarga secara private memang seronok. Bawa adik beradik termasuk mak ayah pastinya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Macam pelakon, pengacara serta model terkenal Mira Filzah yang berkongsi momen-momen percutiannya ke Kota Kinabalu bersama keluarga baru-baru ini.
Lebih bertuah, mereka sekeluarga berpeluang menginap di hotel mewah bertaraf 5 bintang serta menaiki kapal layar persendirian untuk menikmati pemandangangan indah.
Tidak dinafikan sejak bergelar ibu, Mira kelihatan sangat bahagia melalui fasa-fasa motherhood serta menjadi seorang yang lebih family person.
Ads
Berkongsi di akaun Instagramnya, Mira menyatakan walaupun kunjungan mereka ke negeri di bawah bayu itu selama 3 hari 2 malam namun ia meninggalkan banyak memori indah.
Lebih mengujakan dengan adanya si kecil, Wan Khair Amir Wan Emir Astar yang lahir pada 10 Mei 2022. Itulah juga percutian pertama mereka menaiki kapal terbang bersama Wan Khair Amir.
“Short but meaningful retreat to Kota Kinabaluwith Abah Mak and family. Selamat ada ‘abang’ Umaruntuk tengokkan @wankhairamir sewaktu Papa & Mama makan dan berehat. Banyak memori indah juga tercipta bersama si putera kecil kami ini. Suka untuk kami kongsi bersama nanti.Special thanks to Along & Haziq @ainfarhanah16_@izzathamdan12 for organizing this trip!
Ads
Mira juga teruja dengan keindahan negeri Sabah yang dianggapnya sangat cantik.
“Dan negeri di Bawah Bayu ini benar-benar cantik. Itu pun kami belum lagi sampai ke Semporna dan tempat-tempat lain dalam Sabah. Insha’Allah kami sampai ke daerah-daerah lain pada masa akan datang.
Ads
And most importantly, thank you Sabahans for the very warm hospitality! Baik sungguh semua. Tempat ini indah bukan sahaja kerana pemandangannya tetapi juga kerana budinya. Terima kasih semua dan hingga kita jumpa lagi.”
Selain menikmati momen percutian, Mira turut berkongsi di Instastory momen meraikan hari lahir adiknya, Aina Fadhilah.
Mira turut berterima kasih kepada NH Travel Sabah yang membantu melancarkan perjalanan percutian mereka sekeluarga.
Kredit Foto: Instagram Mira Filzah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak semua wanita berani hidup dalam dua dunia yang saling bertentangan. Namun bagi Marisha Friska Halauwet, batas antara profesion dan minat bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan yang membentuk dirinya hari ini.
Seorang doktor pakar bedah umum dan dalam masa sama seorang penyanyi kumpulan vokal terkenal, Marisha Friska atau Sasha membuktikan bahawa wanita mampu berjaya tanpa perlu memilih satu impian sahaja.
Sebagai profesional perubatan, Sasha merupakan seorang Doktor Pakar Bedah Am yang mendapat pendidikan dan latihan di Universitas Indonesia, salah satu institusi perubatan terkemuka di negara itu. Kerjayanya diteruskan di Eka Hospital Cibubur, Jakarta, di mana beliau berkhidmat dalam bidang pembedahan yang menuntut fokus tinggi, ketelitian dan kekuatan mental.
Dunia hospital bukan sekadar rutin, malah medan tanggungjawab besar kerana setiap keputusan melibatkan nyawa manusia. Pengalaman sebagai doktor menjadikan Sasha seorang yang berdisiplin, tenang dan cekal dalam menghadapi tekanan.
Namun di sebalik kot makmal dan jadual kerja yang padat, Sasha menyimpan satu sisi jiwa yang tidak pernah padam iaitu seni muzik. Beliau merupakan anggota kumpulan vokal Mendua, bersama dua sahabatnya Hendra Purnanto (Pungky) dan Diana Puspitasari (Diana).
Kumpulan ini mula dikenali sekitar tahun 2006 dan pernah mencipta nama di Malaysia menerusi lagu Hampir Ke Situ yang menjadi runut bunyi filem Duyung serta beberapa program hiburan popular.
Apa yang menjadikan kisah Mendua istimewa bukan sekadar pencapaian seni, tetapi ikatan persahabatan yang bertahan lebih 18 tahun. Dalam tempoh yang panjang itu, mereka membawa haluan hidup berbeza.
Sasha fokus membina kerjaya sebagai doktor, Diana mengurus perniagaan sendiri, manakala Pungky terus aktif dalam dunia muzik. Hubungan mereka tidak setiap hari disulam pertemuan, namun kekal melalui sikap saling menghormati dan sokongan dari jauh.
Tahun 2025 menjadi detik penting apabila Mendua membuat keputusan untuk kembali ke pentas besar melalui Gegar Vaganza musim ke-12. Keputusan itu bukan mudah, terutama buat Sasha sendiri yang perlu membahagikan masa antara tanggungjawab hospital dan latihan vokal.
Namun semangat setia kawan dan cinta terhadap muzik menyatukan mereka semula, membuktikan bahawa minat yang tulus tidak pernah pudar walau masa berlalu.
Kepulangan Mendua ke pentas nyata tidak sia-sia. Pada minggu awal pertandingan, mereka mencuri perhatian juri dan penonton dengan persembahan penuh harmoni, sekali gus meraih kedudukan teratas.
Lebih membanggakan, Mendua muncul sebagai naib juara Gegar Vaganza 12, satu kemenangan yang bukan sekadar trofi, tetapi simbol kebangkitan selepas sekian lama membawa haluan masing-masing.
Namun di sebalik kejayaan itu, perjalanan mereka turut diuji dengan cabaran emosi termasuk kehilangan insan tersayang dalam kalangan ahli kumpulan. Ada ketika Mendua terpaksa meneruskan persembahan dengan kekurangan anggota.
Bahkan sebagai isteri dan ibu, wanita 30-an ini terpaksa meninggalkan ahli keluarga untuk bersaing di pentas GV demi kerjayanya sebagai penyanyi profesional.
Namun Sasha kekal berdiri dengan penuh profesionalisme dan ketabahan. Pengalaman hidup, disiplin sebagai doktor dan sokongan sahabat menjadi sumber kekuatan buatnya.
Kisah Sasha adalah refleksi realiti ramai wanita hari ini. Wanita yang memikul tanggungjawab besar, menyimpan impian peribadi dan tetap berusaha seimbang antara kerjaya dan jiwa.
Daripada bilik pembedahan ke pentas nyanyian, Sasha membuktikan bahawa kejayaan tidak perlu datang dari satu jalan sahaja. Dengan disiplin, kesungguhan dan persahabatan yang tulus, wanita mampu membina hidup yang penuh makna dalam lebih daripada satu dunia.
Bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-6 yang juga pelakon drama Bahagia Bukan Bidaan, Ika Nabella kini bergelar seorang mompreneur. Bukan sahaja aktif dalam industri seni bahkan Ika Nabella juga kini ligat mengusahakan bisnesnya di samping tugas hakiki sebagai isteri dan ibu.
Sebagai seorang wanita yang sibuk, berikut tip kekal cantik dan menawan yang diamalkan Ika Nabella.
BAGAIMANA RUTIN PENJAGAAN KECANTIKAN & KESIHATAN ANDA?
Rutin saya masih sama seperti sebelum hamil dan melahirkan. Saya mengamalkan kira-kira empat liter air kosong setiap hari. Untuk produk penjagaan kulit wajah pula sering bertukar-tukar kerana saya gemar mencuba rangkaian produk baharu selagi ia tidak menjejaskan kulit. Sepanjang kehamilan saya langsung tidak melakukan rawatan facial. Namun selepas habis pantang iaitu hari yang ke-45 saya sudah buat rawatan facial, waxing, rawatan rambut dan rawatan kuku.
ADAKAH ANDA SEORANG YANG MENGIKUT TREND KETIKA MEMILIH PRODUK KECANTIKAN?
Boleh dikatakan ya kerana saya suka mencuba rangkaian produk-produk baru. Sekiranya ada yang mencadangkan kepada saya tentang sesuatu produk saya akan mencubanya. Bagi saya tidak salah untuk mencuba kerana secara tidak langsung kita dapat mengetahui sama ada ia sesuai atau tidak dengan kulit.
JIKA KESUNTUKAN MASA, APAKAH RUTIN ‘WAJIB’ YANG ANDA BUAT UNTUK KULIT WAJAH & BADAN?
Selalunya saya akan memilih untuk mandi. Selain merasa segar, mandi juga dapat membersihkan badan secara keseluruhan. Selain mandi, saya juga akan mencuci wajah dan semestinya memakai serum kegemaran saya. Serum adalah satu kemestian dalam rutin penjagaan kulit wajah saya. Untuk menggunakannya tidak memerlukan masa yang lama. Hasilnya memang terbaik.
APAKAH ME TIME ANDA? Me time saya semestinya saloon time! Saya akan melakukan rawatan seperti facial, pedicure dan manicure. Selain untuk kecantikan, saya juga tidak lupa untuk menjaga kecergasan badan. Ketika me time saya juga pergi ke kelas boxing. Tidak dinafikan sejak mengandung saya sangat rindukan aktiviti ini. Rindu untuk memulakan aktiviti work out semula.
BAGAIMANA ANDA MENJAGA RAMBUT AGAR KEKAL SIHAT DAN CANTIK?
Untuk penjagaan rambut pula sejak dahulu saya sering bertukar syampu mengikut keadaan rambut ketika itu. Saya tidak pernah kekal dengan satu-satu jenama kerana saya mudah bosan dengan hanya satu jenama. Saya mula berjinak-jinak dengan salun ketika usia lewat 20an dan saya lebih peka dengan kesihatan rambut terutama rawatan yang melibatkan penggunaan bahan kimia. Maka, kini saya lebih selesa melakukan rawatan rambut di salun berbanding produk yang tinggi kandungan bahan kimia.
APAKAH MASALAH KECANTIKAN ATAU KESIHATAN PALING SERIUS PERNAH DIALAMI? BAGAIMANA ANDA MENYELESAIKANNYA?
Saya sebenarnya memiliki jenis kulit yang sangat sensitif dan ia lebih ketara ketika saya hamil sebelum ini. Sepanjang kehamilan saya mengalami masalah kulit yang sangat teruk ketika fasa trimester ketiga. Memang sangat teruk sehingga keluar rumah pun saya terpaksa memakai topeng muka.
APAKAH PRODUK KECANTIKAN TERBAIK PILIHAN ANDA?
Setakat ini saya tidak mempunyai sebarang produk kegemaran memandangkan saya tidak pernah kekal dengan sesuatu produk. Namun begitu, semestinya saya memilih serum sebagai produk ‘wajib’ yang wajib digunakan setiap hari. Lebih-lebih lagi setelah kini bergelar ibu. Pastinya kulit juga mengalami perubahan terutama dari segi keanjalan. Penggunaan secara konsisten menjadikan kulit saya lebih sihat, cerah dan bersinar secara semula jadi.
Kredit Foto: Instagram Ika Nabella
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.