Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERIA) Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dilantik oleh Suruhanjaya Global Polisi Dadah sebagai Pesuruhjaya terbaharunya, menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama memegang jawatan itu.
Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.
MAF memaklumkan, Suruhanjaya Global Polisi Dadah diwujudkan pada Januari 2011 oleh sekumpulan personaliti dari Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk bekas ketua negara dan kerajaan bagi menyokong dasar berkaitan dadah berdasarkan bukti saintifik, hak asasi manusia, kesihatan awam dan keselamatan.
Objektif utama Suruhanjaya ialah untuk mengangkat diskusi tentang pembaharuan polisi dadah yang lebih berperikemanusiaan dan berkesan, serta berlandaskan sains di peringkat antarabangsa bertujuan mengurangkan kemudaratan akibat tabiat penggunaan dadah selain polisi kawalan yang terlalu keras ke atas individu dan masyarakat.
Pembaharuan polisi ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).
Ads
Suruhanjaya ini dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark. Barisan Pesuruhjaya Global yang mengganggotai Suruhanjaya ini termasuklah Pemenang Hadiah Nobel Jose Ramos-Horta, usahawan ternama Richard Bronson dan bekas ketua negara yang lain.
Di pentas global, Dr Adeeba pernah menyandang jawatan sebagai Presiden AIDS Antarabangsa (IAS) pertama dari benua Asia, dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penasihat Strategik serta Penasihat Teknikal HIV di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ads
Kini Dr Adeeba memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersama Majlis Sains, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Suruhanjaya Kesihatan dan Hak Asasi Manusia di bawah kelolaan IAS dan LANCET, sebuah jurnal perubatan antarabangsa yang disegani.
“Pada April 2015, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Undang-Undang dari alumninya, Universiti Monash, Australia sebagai pengiktirafan atas kecemerlangannya dalam bidang perubatan dan kesihatan awam.
Ads
“Dalam bidang polisi dadah, Dr Adeeba memainkan peranan penting dalam usaha pemperbaharui polisi dadah negara sehingga membawa kepada perlaksanaan program pengurangan kemudaratan pada tahun 2006 untuk penggunaan dadah secara suntikan dan mencegah jangkitan HIV dalam kalangan individu yang menggunakan dadah, seperti program pertukaran jarum dan picagari, serta terapi penyelenggaraan metadon.”
Mengalu-alukan Dr Adeeba sebagai pesuruhjaya terbaharu, Suruhanjaya Global Polisi Dadah turut memuji penglibatan Dr Adeeba dan komitmen beliau dalam mempertahankan polisi awam yang lebih melindungi hak asasi manusia serta peranan beliau dalam meingkatkan akses kepada rawatan, pencegahan dan jagaan untuk anggota komuniti masyarakat terpinggir di Malaysia.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun sudah bersara dari arena sukan tenpin boling namun nama Shalin Zulkifli terpahat segar dalam sejarah negara dan peminat sukan tanah air. Sepanjang hampir tiga dekad bergelar atlet, Datuk Shalin Zulkifli berjaya merangkul lima kali kejuaraan dunia, empat kali juara Sukan Asia, tiga kali juara Asia dan 20 kali juara Sukan SEA. Hebat!
Atas pencapaian membanggakan tersebut, Datuk Shalin atau nama sebenarnya Datuk Shalin Nazirah Zulkifli dikurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023.
Bekas jaguh tenpin boling yang kini berusia 46 tahun ini nekad bersara dari dunia sukan tersebut pada 9 Januari 2021.
Datuk Shalin aktif mendalami sukan boling sejak usia 16 tahun dan bergelar juara Kejohanan Kent-Malaysian All Star 1994 dan menjadi rakyat Malaysia pertama merekodkan kejayaan itu.
Menjengah media sosial Datuk Shalin, rutin hariannya kini lebih menjurus kepada puteri kesayangan iaitu Aleya Azidi yang berusia 13 tahun.
Datuk Shalin mendirikan rumah tangga bersama bekas pemain tenpin boling iaitu Azidi Ameran pada tahun 2008.
16 tahun hidup sebagai suami isteri, pasangan ini kian bahagia dengan kehadiran anak tunggal mereka yang turut aktif dalam sukan.
Difahamkan Aleya lebih berminat dalam sukan hoki. Sebagai ibu bapa, mereka menyokong penuh minat anak tersayang dan akur Aleya tidak mengikut jejak langkah mereka dalam sukan tenpin boling.
Datuk Shalin juga pernah mendedahkan dia dan suami tidak menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak mereka, sebaliknya bergilir-gilir menjaga Aleya.
Kagum semangat dan peribadi Datuk Shalin Zulkifli terhadap sukan negara serta keluarga tercinta. Inspirasi!
Menarik perkongsian Datin Belina Abdul Hamid yang mesra disapa sebagai Datin Belina ini. Maka tak hairanlah anak-anak sangat akrab dengannya walaupun beliau menyifatkan dirinya seorang ibu yang tegas.
Berusia 34 tahun, Datin Belina merupakan ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Shahputra Nasri berusia 10 tahun, dan sepasang anak kembar perempuan iaitu Shahirah Safiyya dan Shahirah Silfiyya, masing-masing kini berusia enam tahun.
“Setiap hari saya akan suapkan makan semua anak dengan tangan seperti mana yang diajar oleh ibu saya sendiri. Amalan ini dapat mengeratkan ikatan kasih sayang dan ikatan adik beradik.
Alhamdulillah berkat amalan itu hubungan saya dan adik beradik akrab sampai ke hari ini. Itulah yang cuba saya terapkan terhadap anak-anak agar keakraban itu kekal sampailah mereka dewasa nanti.
Saya percaya air tangan ibu sangat berkat dalam kehidupan seorang anak. Walaupun ada pembantu rumah tetapi memasak dan menguruskan anak-anak tetap menjadi tugas utama saya. Ini juga antara pesanan ibu saya sejak kecil.
Selain memasak, jangan kedekut dengan jiran tetangga. Selalunya saya akan masak lebih untuk sedekah kepada jiran-jiran. Sama-sama kongsi rezeki.”
Datin Belina turut mengamalkan solat berjemaah setiap hari bersama suami dan anak-anak.
DIDIK ANAK HIDUP BERSEDERHANA
Saya dan suami menerapkan cara hidup Islam dalam mendidik anak-anak. Kami banyak membaca dan merujuk buku-buku berkaitan cara-cara didikan Islam termasuk amalan Rasulullah SAW.
Manakala dari segi pendidikan pula kami sangat tegas. Kalau waktu bermain mereka bebas bermain tapi kalau waktu belajar mereka perlu fokus betul-betul. Saya seorang ibu yang sangat tegas maka anak-anak mudah mendengar kata.
Satu lagi didikan kami ialah mengajar anak-anak agar tidak bermewah-mewahan. Kami ajar anak-anak bagaimana susahnya untuk mendapatkan sesuatu. Kena usaha sendiri dan hidup bersederhana.
INSPIRASI WANITA LAIN
Untuk masa depan anak-anak, saya dan suami mendoakan agar mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diminati.
Sebagai ibu bapa kami tak boleh memaksa asalkan mereka menjadi insan berguna di dunia dan akhirat.”
Walaupun bergelar suri rumahtangga sepenuh masa, Datin Belina turut menjadikan wanita lain sebagai sumber inspirasi terutama wanita yang bekerja.
Apa yang membuatkan Datin Belina kagum ialah kebolehan mereka dalam menguruskan hal kerjaya, keluarga dan diri sendiri.
Kredit Foto: Instagram belina_hmd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah agak lama personaliti televisyen, Zulin Aziz tidak muncul di kaca televisyen. Sejak mendirikan rumahtangga bersama suami tersayang, Farhan Norzaini pada Februari lalu Zulin nampaknya sudah menemui cinta baharu selain cinta dalam industri seni. Ya, cinta yang membuatkan Zulin Aziz ingin lebih serius mendalaminya.
Walaupun tidak bercadang menoktahkan karier seninya sebagai pelakon, namun kini Zulin semakin sukses sebagai usahawan. Siapa sangka, dia mampu menjana pendapatan lumayan melalui media sosial berbanding lakonan!
Ya, satu realiti yang pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikat yang dapat dirasai sendiri oleh Zulin yang mula aktif sebagai anak seni sejak tahun 2009. Zulin kini aktif bergelar usahawan yang menggunakan medium TikTok sebagai medium untuk memasarkan produk penjagaan wajah, Bebita Beauty yang dikongsi bersama rakan perniagaannya.
Zulin, 33, ketika ditemui di kediamannya bersama krew majalah NONA bagaimanapun mengakui mahu memberi tumpuan dan perhatian kepada “cinta terbaharunya’ itu.
“Saya tak nafikan pendapatan daripada bidang perniagaan lebih menguntungkan dan cepat berbanding kerjaya lakonan. Walaubagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk saya tinggalkan terus bidang seni. Tidak dinafikan wajah saya kurang muncul di kaca televisyen sebagai pelakon kerana sibuk menguruskan perniagaan. Tetapi saya aktif di medium media sosial yang lain untuk mempromosikan perniagaan,” ujar Zulin yang jatuh cinta dengan dunia perniagaan atas dorongan suami tersayang, Farhan Norzaini.
Nampaknya Zulin sudah jatuh cinta dengan dunia baharunya itu. Tidak hairanlah mengapa Zulin memasang azam tahun hadapan untuk menjadi lebih kaya dari suami tersayang! Satu statement berani mati dari seorang isteri untuk seorang suami. Namun ada maksud tersirat dan tersurat di sebalik kenyataan Zulin itu. NONA berkongsi rasa dengan selebriti ini maksud kaya yang menjadi impiannya itu.
“Saya bercita-cita bukan sahaja nak jadi kaya dari segi harta, tetapi kaya dalam pelbagai aspek kehidupan sebagai isteri, anak dan ibu suatu hari nanti. Jujur banyak tawaran terpaksa ditolak disebabkan kekangan masa serta fokus saya yang lebih tertumpu kepada perniagaan, tetapi ia bukanlah halangan untuk saya memperbaiki diri menjadi individu yang lebih baik dalam pelbagai aspek” katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.
Kembali bercerita mengenai perkara yang banyak mengisi masa lapangnya kini, Zulin mengakui dirinya mampu menjana pendapatan lumayan apabila membuat ‘review’ di media sosial berbanding bayaran lakonan.
“Pendapatan untuk buat satu ‘review’ sahaja kadang-kadang melebihi bayaran untuk sebuah telemovie. Sebab itulah saya kini memilih naskhah yang betul-betul bagus dan bersesuaian sahaja,” katanya kali terakhir muncul di televisyen menerusi drama Penjara Janji terbitan JS Pictures pada Ramadan tahun lalu.
Mengulas mengenai produk terbaharu keluarannya iaitu Bebita, Zulin berkata, dia sudah lama bercita-cita untuk memiliki rangkaian produk penjagaan wajah sendiri. “Kecantikan begitu dekat dengan diri saya. Menyedari usia saya kian meningkat, sebab itu saya keluarkan produk yang memfokuskan kepada anti penuaan. Ramai orang masih tidak sedar mengenai kepentingan krim tabir suria.
“Alhamdulillah, walaupun produk tersebut baharu sahaja dilancarkan, ia berjaya meraih jualan lebih daripada RM100,000 walaupun belum membuka jualan kepada ejen dan stokis,” katanya.
Bebita Beauty merupakan produk penjagaan kulit yang diusahakan bersama influencer terkenal Kyrina Kassim. Malah Zulin banyak menghabiskan masa mendalami selok-belok perniagaan dan membuat kajian tentang produk bagi menghasilkan produk yang bersesuaian dan terbaik di pasaran.
Bebita Beauty mengeluarkan produk Whitening Sunscreen dan Lip and Cheek Treatment yang menggunakan Live Tik Tok sebagai platform utama memperkenalkan produk.
Zulin bersyukur di atas sambutan yang luar biasa diterimanya semasa memperkenalkan produk tersebut di platform digital Tik Tok.
Isteri kepada Farhan Norzaini ini juga memasang niat untuk membantu sesiapa sahaja yang ingin menjadi sebahagian keluarga Bebita sekaligus berpeluang menjana pendapatan sampingan untuk menampung kos kehidupan kini yang semakin meningkat.
Berpeluang menimba ilmu bisnes dan bergelar rakan kongsi kepada Kyrina Kassim yang juga merupakan seorang influencer yang terkenal di media sosial, Zulin menyerap segala ilmu perniagaan daripada rakan kongsinya yang mempunyai pengalaman luas lebih 7 tahun dalam perniagaan.
“Zulin banyak belajar mengenai selok belok perniagaan dari Kyrina. Pelbagai pengalaman yang telah ditempuh oleh Kyrina, jatuh dan bangun dalam perniagaan menjadikan beliau seorang yang lebih kuat dan matang di dalam dunia perniagaan ini.
Masing-masing mempunyai kelebihan, Zulin dan Kyrina amat dikenali di media sosial kerana kami aktif di platform seperti, TikTok dan Instagram.
Bukan itu sahaja, “content-content” yang dihasilkan juga menjadi ikutan dan inspirasi kepada semua orang di luar sana terutamanya pengikut-pengikut di laman social tersebut,” ujar Zulin lagi.
Baik Zulin mahupun Kyrina amat berharap usahasama mereka dalam bidang perniagaan akan mendatangkan faedah untuk semua dan amat menghargai sokongan semua pihak yang menjadi pendorong mereka untuk maju dalam dunia perniagaan.
Ketika artikel ini ditulis, Zulin dan Farhan sedang menikmati fasa berbulan madu sambil mencari peluang perniagaan di Korea. Kegembiraan jelas terpancar di wajah pasangan suami isteri ini menikmati bulan madu musim sejuk di Korea bersama rakan perniagaan mereka.
Menutup perbualan mengenai impian Zulin di tahun 2023, sudah semestinya dia menyimpan pelbagai impian untuk dikecapi sebagai seorang isteri, anak dan wanita yang bergelar usahawan. Meskipun pernah melalui fasa ‘kecewa’, namun Zulin tetap memasang angan untuk berjaya dalam apa jua yang diceburinya.