Usai menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan, seluruh umat Islam meraikannya dengan menyambut Syawal. Timbul persoalan nak buat puasa 6 atau qada, ramai wanita yang masih keliru tentang persoalan ini.
Bagi mereka yang menjalani hari menstruasi normal 6 atau 7 hari mungkin tidak menjadi masalah. Bagaimana pula mereka yang mempunyai kitaran haid yang agak lama antara 10 hari hingga ke 15 hari. Memang sukar nak melalukan puasa 6 atau qada sekali gus.
Gambar hiasan. Foto: Instagram @zizieizette
Berpuasa 6 di bulan Syawal dijanjikan pahala umpama berpuasa setahun. Jadi kaum wanita juga tidak mahu ketinggalan untuk merebut pahala berpuasa 6. Kena ganti puasa 12 hari, campur puasa 6 bersamaan dengan 18 hari. Belum sempat nak habiskan puasa ganti ‘uzur’ datang semula.
Adakah kaum wanita tidak mempunyai peluang untuk mendapat pahala puasa 6?
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:183)
Gambar hiasan. Foto: Instagram @missfazura
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadakannya serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qada.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qada kerana qada waktu puasa qada adalah muwassa`(luas).
Ads
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “(Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, halaman 128)
Gambar hiasan. Foto: Instagram @lisasurihani
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub.
Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardu atau solat sunat yang lain.
Gambar hiasan. Foto: Instagram @rozitachewan1
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qada atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Ads
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qada bulan Ramadan dan niat puasa 6 pada bulan Syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qada Ramadan Dan Puasa 6 Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qada Ramadan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada bulan Syawal untuk qada bagi puasa Ramadan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya.
Gambar hiasan. Foto: Instagram @haniszalikha
Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal tetapi, dia tidak akan memperoleh pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja.
Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan Syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Ads
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadan dan qada di bulan Syawal, adakah berhasil qada puasa Ramadan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qada Ramadannya walaupun dia gabung niat puasa qada Ramadannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qada berasingan dengan puasa 6 pada bulan Syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang daif.
Namun begitu, menyegerakan qada puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Bagi memudahkan pengguna jalan raya khususnya pelancong asing yang datang ke Jakarta sempena Sukan Asia 2018, aplikasi navigasi Waze melancarkan program suara terbaru yang menggunakan suara selebriti cantik Indonesia, Dian Sastrowardoyo. Uniknya, aplikasi Waze di negara jiran ini bukan hanya menggunakan Bahasa Inggeris bahkan turut diprogramkan ke dalam Bahasa Indonesia.
Navigasi suara Dian ini juga hanya dilancarkan sepanjang temasya sukan terbesar negara Asia ini berlangsung iaitu dari 18 Ogos hingga 2 September 2018. Sesuatu yang baru tu! Tambahan lagi, bukan calang-calang orang boleh terpilih. Pastinya Dian memenuhi kriteria yang diinginkan.
Selepas dengar sorotan suara Dian di dalam aplikasi Waze khas untuk Sukan Asia Ke-18 Jakarta – Palembang seperti yang dimuat naik aktres Ada Apa Dengan Cinta ini … ia ternyata mengujakan para peminat dan rakyat Indonesia. Rata-rata mereka mengakui kerap menggunakan Waze sejak mengetahui perkhabaran ini meskipun hanya memandu dalam jarak yang singkat. Mesti masing-masing pun rasa ceria seolah-olah ‘ditemani’ wanita cantik ini sepanjang perjalanan.
Sebelum tiba Sukan Asia pada 18 Ogos lalu, rupa-rupanya Dian turut dipilih sebagai Pembawa Obor Asian Games 2018 di kota Solo, Jawa Tengah. Ia diadakan sempena acara Kirab Obor Asian Games 2018 yang memerlukan Duta Samsung ini merentasi kota berkenaan sejauh 500 meter.
Jelas Dian, sedar akan kemampuan diri.. dia sudah mempersiapkan diri dengan aktiviti kecergasan seperti latihan lari seminggu tiga kali sebelum menjelangnya acara itu pada 19 Julai lepas. Dengan adanya penglibatan selebriti dalam acara tersebut, secara tidak langsung dapat memupuk minat bersukan dan meraih perhatian masyarakat datang ke stadium untuk menyokong kontinjen negara masing-masing. Semangat wanita macam inilah yang kita mahukan!
Sumber: Instagram Dian Sastrowardoyo
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kemunculan penuh bertenaga Ayu Damit dalam program hiburan popular, Gegar Vaganza semalam berjaya menarik tumpuan umum. Vokal mantap dan persembahan bersahaja yang ditonjolkan Ayu nyata membuktikan kredibilitinya sebagai penyanyi yang sudah 12 tahun bertapak dalam industri. Meskipun populariti Ayu tidak begitu bersinar namun ‘comeback’ yang selebriti ini malam tadi meraih sejumlah besar peminat seni tanah air. Tahniah!
Tidak sekadar bergantung harap dengan kerjaya seni, dalam diam Ayu juga sebenarnya usahawan tani berjaya. Selain sibuk menjalani rutin harian sebagai isteri, ibu tiga anak dan penyanyi, Juara One In A Million ini turut menguruskan perusahaan pertanian di samping suami tercinta. Bermula dengan tanaman secara kecil-kecilan, kini Ayu dan suami mampu meluaskan tanaman di ladang seluas 4 ekar!
Terbuka berkongsi perniagaan pertanian ini bersama Nona tidak lama dulu, Ayu dalam nada merendah diri mengharapkan kisah kejayaan dia dan suami dijadikan pembakar semangat buat kaum wanita yang berhasrat mendalami bidang ini kelak.
“Alhamdulillah, Ayu dan suami mengusahakan cili padi sistem fetigrasi selama tiga tahun. Tapi sebenarnya, kami sudah terlibat dalam bidang pertanian hampir enam tahun. Pada mulanya, kami mengusahakan penanaman kelapa mataq dan nanas.
Pun begitu, buat masa sekarang kami lebih fokus kepada penanaman cili padi. Tanaman kelapa masih ada cuma nanas je dah tak ada. Sebab utama pilih cili padi adalah kerana pasaran yang agak tinggi selain Malaysia kekurangan pengeluar cili dan kebanyakan pembekal cili berasal dari negara lain. Sebenarnya suami yang menggalakkan Ayu ceburi bidang ini sebab dia sangat berminat dengan pertanian. Memang dia di kampung pun dia suka bercucuk tanam.”
Terang isteri Syed Fauzi Syed Baharuddin ini lagi, “Setakat ini kami menyewa tanah Orang Asli yang terletak di Pangsoon, Hulu Langat seluas 4 ekar dan di ladang tersebutlah kami usahakan tiga jenis tanaman iaitu cili padi, timun dan terung. Namun sekarang alhamdulillah kami dapat menambah satu lagi tanaman iaitu kacang panjang. Selain tanaman sayur-sayuran berkenaan, Ayu turut mengeluarkan produk keluarannya sendiri seperti cili padi jeruk, cookies dan satay.
Soal pengurusan tanaman dan bisnes pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh suami. Tugas Ayu lebih kepada membantu dari segi promosi dan penjualan saja. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang Ayu ingin meluaskan ladang yang ada sekarang ini untuk dieksport ke luar negara. Selain masih aktif bernyanyi, Ayu dan suami juga buat consultant untuk petani-petani baru.”
Pada 12 Julai lalu yang juga hari ulang tahun kelahiran Ayu, wanita berjiwa besar ini turut berjaya membuka satu lagi perniagaan baru iaitu Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Sebagai ibu bekerjaya, bukan mudah bagi Ayu untuk membahagikan masa di antara keluarga, perniagaan dan karier seni. Pun begitu, baik Ayu mahupun suami kedua-duanya memilih untuk tidak lagi menggunakan khidmat pembantu rumah selepas berdepan dengan pelbagai dugaan.
“Dulu Ayu memang menggunakan khidmat pembantu rumah tapi banyak kali lalui macam-macam ragam pembantu ni. Jadi, buat masa sekarang Ayu dan suami yang menjaga anak-anak. Kalau Ayu ada kerja, suami yang akan jaga dan begitu juga sebaliknya.”
11 tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Syed Nasrul Haikal (10 tahun), Sharifah Alya Adriana (8 tahun) dan Syed Aqif Najmi yang kini berumur 4 tahun.
Kredit: Instagram Ayu Damit
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hannah Yeoh selaku pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) pastinya berbangga apabila penasihat parti itu yang juga ahli politik veteran, Lim Kit Siang menerima pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 5 Jun lalu, bapa kepada Lim Guan Eng berkenaan antara 839 penerima.
Selain Tan Sri Lim Kit Siang, bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS iaitu Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menerima darjah kebesaran PSM.
Gembira dengan pengiktirafan yang diberikan kepada bekas ahli politik tersebut, Hannah Yeoh yang kini menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan melahirkan rasa bangga terhadap pemimpin yang dikaguminya itu.
Hannah turut memuat naik gambar di samping Tan Sri Lim Kit Siang ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat yang berlangsung di Istana Negara.
Ujarnya, “Tan Sriship for the one who has never given up on Malaysia. Lim Kit Siang the nation honors you today!”
Hannah Yeoh sebelum ini merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari tahun 2013 hingga 2018. Pelantikannya itu turut menjadikan beliau Speaker wanita pertama dan termuda bagi mana-mana dewan negeri dalam Malaysia.
Dilahirkan pada 9 Januari 1979, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Yeoh Tseow Suan merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Tasmania.
Sejak dilantik sebagai Menteri dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, segala gerak-geri dan kehidupan YB Hannah Yeoh menjadi perhatian masyarakat.
Memilih jejaka berbangsa India iaitu Ramachandran Muniandy sebagai pasangan sehidup semati, menteri ini terus bahagia melayari bahtera perkahwinan selama 15 tahun di samping dua cahaya mata comel.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.