Puteri Aleeya & Puteri Aleefa Kian Dewasa, ARNI NAZIRA Kongsi Kriteria Menantu Pilihan

Sudah lama tidak melihat kelibat Arni Nazira menghadiri majlis-majlis hiburan. Namun, perkembangan terkininya masih dapat dilihat di Instagram peribadi Arni yang aktif di media sosial. Masih cantik, anggun dan langsing pada usia 40an. Aura pelantun lagu Cinta Antara Benua ini masih kuat.

Wajah terkini Arni Nazira yang masih cantik dalam usia 44 tahun.

Melayari rumahtangga bahagia bersama suami tersayang, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar pada tahun 2009, Arni memberikan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga apatah lagi selepas memperolehi zuriat. Hasil perkahwinan Arni dan Wan Mohd Hazrie, mereka dikurniakan 3  cahaya mata  Manakala melalui perkahwinan terdahulu, Arni mempunyai dua anak iaitu Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha.

Keluarga bahagia Arni Nazira.
Pasangan romantik.

Sedar tak sedar dah bergelar anak dara puteri-puteri Arni Nazira ni. Macam kembar pun ada. Semakin cantik dan ayu persis ibu mereka ketika muda. Terpesona dan tak jemu mata memandang!

Sebagai ibu, Arni tetap melayani anak-anak sama rata dan sentiasa berusaha menjadi ibu yang terbaik. Arni turut mendedahkan, kedua-dua puterinya itu memiliki karakter yang berbeza. Namun begitu, perbezaan itulah yang membuatkan mereka lebih rapat dan saling melengkapi.

Puteri Aleeya Antasha.
Puteri Aleefa Antasha.

“Memandangkan Puteri Aleeya anak yang sulung maka kami menggelarnya Kakak. Dia seorang yang lembut, kakak yang penyayang dan sangat menjaga adik-adiknya. Memang terserlah karakter ‘anak sulung’ dalam dirinya. Puteri Aleeya juga rajin mengambil tahu tentang adik adiknya yang lain. Disebabkan itulah dirinya menjadi lebih matang, bertanggungjawab dan berdikari.

“Manakala Puteri Aleefa pula karakternya sedikit ‘kasar’ berbanding kakaknya. Namun begitu, dia juga seorang yang sangat penyayang dengan adik-adiknya. Saya bersyukur kerana Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa mudah mendengar kata dan berfikiran matang.”

Ciri-Ciri Menantu Pilihan

Sebagai ibu, pastinya Arni mengharapkan anak-anaknya diberikan jodoh yang terbaik dalam melayari rumahtangga. Arni juga mendoakan kebahagiaan untuk anak-anaknya dalam apa jua bidang yang diceburi.

”InsyaAllah sebagai ibu, Kak Arni inginkan perkahwinan mereka perkahwinan yang sempurna, majlis yang meriah. Itulah doa saya sebagai seorang ibu, InsyaAllah. Saya serahkan pada anak-anak. Yang mana mereka rasakan baik dan sesuai dengan mereka, dan pada saya yang boleh bimbing mereka, baik, hormat orang tua, pandai ambil hati orang tua, pandai jaga anak-anak saya, InsyaAllah..Itu doa saya.”

Arni atau nama sebenarnya, Arni Nazira Anuar kini bahagia bersama kehidupannya sebagai suri rumahtangga sepenuh masa. Menurutnya, dia sangat bahagia dan selesa dengan rutin hariannya sebagai isteri dan ibu. Walaupun sibuk menguruskan rumahtangga, Arni tetap mengutamakan soal penampilan diri kerana ia merupakan perkara yang penting untuk kesihatan luaran dan dalaman buat dirinya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia atau petua awet muda. Cuma saya kerap minum air masak, makan vitamin dan suka makan ulam-ulaman. serta bersenam untuk kekalkan berat badan ideal. Selain itu, saya memberi perhatian khusus untuk rawatan kulit wajah. Saya juga turut berkongsi tip penjagaan wajah dengan dua anak gadis yang sedang meniti usia dewasa.

Kesimpulannya, tiada sebarang petua yang khusus cuma pesanan saya pada mereka ialah sentiasa menjaga kulit, lebih-lebih lagi di usia remaja sekarang. Kulit akan mudah bermasalah kalau tak jaga dengan betul.”

Harapan Arni buat Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa agar mereka sentiasa menjaga diri dan yang paling penting menjaga solat.

Manisnya Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa bertudung.

“Kalau bertemu atau sekadar berbual dalam telefon itulah pesanan utama saya buat mereka setiap hari. Kami akan video call atau bermesej di WhatsApp. Saya mendoakan mereka menjadi anak-anak yang solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan hidup yang sebenar, Insya-Allah. Saya mahu yang terbaik buat anak-anak, bukan saja Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa bahkan anak-anak yang lain juga.”

Kredit Foto: Instagram @arninazira @aleeyantasha @aleefaantashaa

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad