Sudah lama tidak melihat kelibat Arni Nazira menghadiri majlis-majlis hiburan. Namun kelibat Arni yang hadir di majlis Anugerah Pesona Pengantin baru-baru ini menarik perhatian ramai. Masih cantik, tinggi lampai dan langsing, kulit putih gebu dirias sederhana dengan mengenakan solekan tipis. Cukup menawan dan tidak salah jika penulis katakan aura pelantun lagu Cinta Antara Benua ini amat kuat. Apatah lagi sepanjang majlis, Arni sentiasa melemparkan senyuman manis dan ramah apabila diminta berkongsi perkembangan terkininya. Wanita berusia 44 tahun ini masih seperti dulu. Mesra dan menyenangkan.
Wajah terkini Arni Nazira yang masih cantik dalam usia 44 tahun.
Melayari rumahtangga bahagia bersama suami tersayang, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar pada tahun 2009, Arni memberikan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga apatah lagi selepas memperolehi zuriat. Hasil perkahwinan Arni dan Wan Mohd Hazrie, mereka dikurniakan 3 orang cahayamata iaitu Wan Muhammad Mua’dz, Wan Ayesha Maserra, dan Wan Muhammad Mushrief. Manakala melalui perkahwinan terdahulu, Arni mempunyai dua orang puteri iaitu Puteri Aleeya Antasha dan Aleefa Antasha.
Keluarga bahagia Arni Nazira.Pasangan romantik.
Sedar tak sedar dah bergelar anak dara puteri-puteri Arni Nazira ni. Macam kembar pun ada. Semakin cantik dan ayu persis ibu mereka ketika muda. Terpesona dan tak jemu mata memandang! Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha, masing-masing kini sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej yang sama sekitar Kuala Lumpur dalam bidang event management. Disebabkan minat serta hubungan dua beradik ini sangat rapat, kedua-duanya memilih bidang pengajian yang sama. Sebagai ibu, Arni tetap melayani anak-anak sama rata dan sentiasa berusaha menjadi ibu yang terbaik. Arni turut mendedahkan, kedua-dua puterinya itu memiliki karakter yang berbeza. Namun begitu, perbezaan itulah yang membuatkan mereka lebih rapat dan saling melengkapi.
Puteri Aleeya Antasha.Puteri Aleefa Antasha.
“Memandangkan Puteri Aleeya anak yang sulung maka kami menggelarnya Kakak. Dia seorang yang lembut, kakak yang penyayang dan sangat menjaga adik-adiknya. Memang terserlah karakter ‘anak sulung’ dalam dirinya. Puteri Aleeya juga rajin mengambil tahu tentang adik adiknya yang lain. Disebabkan itulah dirinya menjadi lebih matang, bertanggungjawab dan berdikari. Memandangkan Puteri Aleeya tinggal di asrama maka kami jarang berjumpa. Hanya pada hujung minggu jika ada masa terluang kami akan bertemu.
Manakala Puteri Aleefa pula karakternya sedikit ‘kasar’ berbanding kakaknya. Namun begitu, dia juga seorang yang sangat penyayang dengan adik-adiknya. Saya bersyukur kerana Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa mudah mendengar kata dan berfikiran matang.”
Ads
Nona berkesempatan mengajukan beberapa soalan spontan kepada Arni antaranya ciri-ciri menantu pilihan seandainya jodoh Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa Antasha tiba kelak. Sebagai seorang ibu, pastinya Arni mengharapkan anak-anaknya diberikan jodoh yang terbaik dalam melayari rumahtangga. Arni juga mendoakan kebahagiaan untuk anak-anaknya dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Anak-anak masih belajar. Tetapi InsyaAllah sebagai ibu, Kak Arni inginkan perkahwinan mereka perkahwinan yang sempurna, majlis yang meriah. Itulah doa saya sebagai seorang ibu, InsyaAllah. Saya serahkan pada anak-anak. Yang mana mereka rasakan baik dan sesuai dengan mereka, dan pada saya yang boleh bimbing mereka, baik, hormat orang tua, pandai ambil hati orang tua, pandai jaga anak-anak saya, InsyaAllah..Itu doa saya,” ujar Arni penuh senyuman.
Menyentuh perkembangan terbaru, ibu kepada 5 cahayamata ini mempunyai perancangan untuk memulakan perniagaan sedikit masa lagi. Melihat bisnes berkaitan dengan wanita begitu mendapat tempat di kalangan wanita, Arni turut bercadang untuk menceburkan diri dalam perniagaan tudung sedikit masa lagi.
Ads
“Segalanya masih dalam perancangan. InsyaAllah doakan yang terbaik untuk saya,” ujar Arni ketika berbicara mengenai perniagaan yang bakal diceburinya itu. Arni atau nama sebenarnya, Arni Nazira Anuar kini bahagia bersama kehidupannya sebagai suri rumahtangga sepenuh masa. Menurutnya, dia sangat bahagia dan selesa dengan rutin hariannya sebagai isteri dan ibu. Walaupun sibuk menguruskan rumahtangga, Arni tetap mengutamakan soal penampilan diri kerana ia merupakan perkara yang penting untuk kesihatan luaran dan dalaman buat dirinya.
“Usia saya tahun ini memasuki 44 tahun ini. Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia atau petua awet muda. Cuma saya kerap minum air masak, makan vitamin dan suka makan ulam-ulaman. serta bersenam untuk kekalkan berat badan ideal. Selain itu, saya memberi perhatian khusus untuk rawatan kulit wajah. Saya juga turut berkongsi tip penjagaan wajah dengan dua anak gadis yang sedang meniti usia dewasa.
Ads
Kesimpulannya, tiada sebarang petua yang khusus cuma pesanan saya pada mereka ialah sentiasa menjaga kulit, lebih-lebih lagi di usia remaja sekarang. Kulit akan mudah bermasalah kalau tak jaga dengan betul,” kongsi Arni.
Harapan Arni buat Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa agar mereka sentiasa menjaga diri dan yang paling penting menjaga solat.
Manisnya Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa bertudung.
“Kalau bertemu atau sekadar berbual dalam telefon itulah pesanan utama saya buat mereka setiap hari. Kami akan video call atau bermesej di WhatsApp. Saya mendoakan mereka menjadi anak-anak yang solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan hidup yang sebenar, Insya-Allah. Saya mahu yang terbaik buat anak-anak, bukan saja Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa bahkan anak-anak yang lain juga,” ujar Arni seraya mengakhiri perbualan.
Kredit Foto: Instagram @arninazira @aleeyantasha @aleefaantashaa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemenangan qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut dalam pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada Sabtu lalu nyata satu kejayaan membanggakan bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencapaian luar biasa yang diraih Farha itu bukan saja mencipta sejarah selaku peserta termuda yang menyertai majlis berkenaan… bahkan dia juga merupakan qariah termuda yang memenangi pertandingan berkelas antarabangsa tersebut pada usia 19 tahun.
Memungut kutipan markah tertinggi 87.05 peratus dalam MTHQA, Farha tidak sekadar berjaya mengatasi markah 86.67 peratus ketika menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan, Mac lalu. Sebaliknya, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini juga menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah masing-masing 84.88 peratus dan 80.46 peratus.
Kejayaan Farha dikongsi bersama ahli keluarga
Berpeluang menemu bual Farha sebelum pertandingan berlangsung, anak bongsu ini mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang, dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya. “Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mendengar pengakuan anak tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin yang juga ibu kepada Farha lantas membongkar rahsia tentang kelakuan anak kesayangannya. “Dekat sekolah dia selalu telefon saya dan beritahu nak balik rumah sebab nak tarannum. Bila saya minta dia tarannum je dekat sekolah, dia tak mahu. Katanya rasa macam tak puas… tak lepas. Memang dia nak balik rumah juga.
Jadi, dah sampai je rumah dia akan tarannum puas-puas. Sambil buat kerja pun dia akan tarannum dan hafal surah dengan lenggok lagu yang dia suka. Sampai sekarang, bila semua adik-beradik balik rumah… mereka akan berkumpul dan mengaji bersama-sama.”
Farha Bersama kakaknya ketika memenangi MTHQK pada Mac lalu
MashaAllah, bagusnya didikan Hajah Jaliah dan Allahyarham Haji Panut Haji Markum! Kelima-lima anak mereka bagai sudah sebati dengan Al-Quran dan telah diasuh mencintai kitab suci sejak kecil. Hasilnya, kesemua adik-beradik Farha aktif menyertai pelbagai pertandingan tilawah Al-Quran dan salah seorang kakaknya, Nor Faizah Panut merupakan naib juara Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan yang lalu.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.
Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya.
Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70, 000, piala iringan dan wang tunai RM40, 000. Turut mencipta rekod cemerlang ialah Qari Malaysia iaitu Abdul Khair Jalil yang menjadi Johan Qari dalam pertandingan sama. Moga kejayaan mereka berdua dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami Al-Quran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seorang penyelidik kardiovaskular yang berasal dari Malaysia, Syabira Yusoff telah memenangi musim ke-13 program popular, The Great British Bake Off. Wanita berusia 32 tahun itu, yang berpindah ke Britain pada 2013 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD diumumkan sebagai pemenang pada episod akhir pada malam Selasa, menewaskan Abdul Rehman Sharif, 29, dan Sandro Farmhouse, 30.
Syabira berkata, kemenangan itu adalah pencapaian terbesar dalam hidupnya, sambil memaklumkan dia mencipta resipi pada pukul 5 pagi dan merujuk Instagram dan Pinterest bagi mendapatkan inspirasi.
“Semua kerja keras, percubaan dan kesilapan, semuanya berbaloi. Saya sangat berbangga,” kata penyelidik di King’s College London, yang mula membuat kek pada 2017 bagi melepaskan rasa rindu pada kampung halaman.
Merupakan peserta kegemaran peminat sejak awal, Syabira digambarkan sebagai seorang pembuat kek yang unik dengan memberi rasa Malaysia kepada masakan klasik British, seperti menggunakan rendang ayam dalam Cornish pasties.
“Ada beberapa rasa yang kami tidak pernah temui sebelum ini dan tidak mungkin akan temui lagi. Dia seorang pembuat kek yang luar biasa,” kata salah seorang juri rancangan itu, chef selebriti Paul Hollywood.
Untuk cabaran penutup, Syabira mereka ‘arca’ orang utan besar yang memegang hutan hujan, sesuai dengan tema Our Beautiful Planet.
Ia diperbuat daripada lapisan shortbread tarragon dan Genoese sponge berperisa lada hitam dengan sandwich jem beri hitam. “(Arca) Orang utan itu bijak. Ia bukan hasil paling kemas yang pernah saya lihat, tetapi rasanya sangat hebat,” tambah Hollywood lagi.
Sumber: ASTRO Awani | Kredit foto: Instagram @syabirabakes
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kebanjiran jenama tudung di pasaran sememangnya memberi limpahan rezeki buat empunya jenama melebarkan sayap memperkenalkan jenama masing-masing bagi memenuhi permintaan hijabi.
Jenama Waarna yang menjengah pasaran sejak Jun 2015 merupakan antara jenama custom prints yang mendapat tempat di hati para pelanggan yang gemarkan rekaan tudung yang eksklusif.
Bagi Tengku Zadora Tengku Ahmad Zainal Abideen, dia tidak menyangka perniagaan skaf dengan rekaan corak eksklusif di bawah label Waarna mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pelanggan kerana perniagaan yang dimulakan dari hobi semata-mata itu kini merupakan antara jenama tudung yang sering menjadi sebutan di kalangan hijabi.
“Jenama Waarna ditubuhkan sejak Jun 2015 lagi. Bermula dari hanya suka-suka dan secara sambilan, tanpa saya sedari ia semakin mendapat sambutan di kalangan peminat selendang bercorak,” ujar Tengku Zadora ketika ditemui di sesi fotografi bersama majalah NONA di Kumpulan Media Karangkraf baru-baru ini.
“Saya memulakan perniagaan ini secara sambilan kerana ketika itu saya masih bertugas sebagai guru bahasa di Universiti Malaysia Perlis. Namun dek kerana minat terhadap selendang bercorak dan eksklusif, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan sendiri corak dan rekaan dengan bantuan suami tersayang,” ujar Tengku Zadora yang mesra disapa Tengku Dora.
Tambah bekas guru bahasa di Universiti Malaysia Perlis ini lagi, memandangkan dirinya sering berulang alik dari Perlis ke Kuala Lumpur untuk menguruskan perniagaan, Tengku Zadora tidak ralat terpaksa melepaskan jawatan sebagai guru bahasa bagi mengejar cita-citanya untuk mengembangkan lagi perniagaannya.
“Pada awal ianya bermula dari minat saya sendiri dengan skaf dan skaf bercorak. Saya sememangnya seorang yang gemarkan skaf bercorak yang nampak eksklusif dan jarang digayakan oleh orang lain.
Pada ketika itu, agar sukar untuk mendapatkan selendang bercorak pada harga yang berpatutan dan kebanyakan jenama yang ada ketika itu agak mahal dan hanya jenama-jenama tertentu sahaja yang berada di pasaran. Atas keinginan sendiri, saya dan suami terfikir untuk menghasilkan selendang yang nampak mahal dan eksklusif tetapi pada harga yang berpatutan. Dari situlah segalanya bermula mengenai jenama Waaraa,” ujar ibu kepada seorang cahayamata ini.
“Dari segi corak, pemilihan warna, konsep dan pembungkusan turut memainkan peranan penting dalam memastikan jenama Waarna kekal relevan dan menjadi pilihan di kalangan penggemar hijabi,” tambahnya lagi
Sokongan dan dorongan dari suami tersayang membuatkan wanita berusia 33 tahun ini membulatkan tekad untuk menghasilkan selendang bercorak yang berkualiti tetapi masih mengekalkan harga yang berpatutan untuk para peminat selendang di luar sana.
CABARAN INDUSTRI FESYEN TUDUNG
Tidak menafikan industri fesyen terutamanya tudung amat luas dan mencabar, Tengku Zadora yakin penghasilan produk yang berkualiti dan harga yang berpatutan menjadi elemen utama perniagaannya berkembang pesat walaupun persaingan sengit diterima dari pesaing dalam dunia perniagaan. Namun, wanita kecil molek ini mempunyai formula tersendiri bagi mengekalkan jenamanya di pasaran.
Tambah Tengku Zadora lagi, setiap jenama mempunyai follower dan keistimewaan tersendiri dan tidak timbul persaingan yang tidak sihat dalam perniagaan kerana niat yang ditanam dalam menzahirkan perniagaan ini sememangnya untuk melahirkan produk hijab yang berkualiti dan memenuhi syariat.
“Pada pandangan saya, jenama Waarna mempunyai keunikannya yang tersendiri. Contohnya dari segi corak, pemilihan warna, konsep dan pembungkusannya lain dari jenama lain yang ada di pasaran.
Langkah seterusnya saya ingin memperluaskan perniagaan ini dan membentuk satu pasukan yang kukuh dan mampu bekerjasama dan mengembeleng tenaga membawa jenama Waarna menembusi pasaran Indonesia dan negara-negara Asia yang lain.
Apa yang penting, sepanjang tiga tahun dalam perniagaan ini kami dapat mengekalkan kualiti dan harga mampu milik sesuai dengan tagline kami iaitu made for all. Jadi, kepercayaan yang diberikan oleh para pelanggan merupakan kekuatan untuk kami terus menghasilkan produk terbaik untuk memeriahkan lagi industri hijab di Malaysia,” ujar Tengku Zadora seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terus bangkit memperkasakan masyarakat, kerjasama strategik yang termeterai di antara RichWorks dan Astro mampu mewujudkan peluang serta bimbingan terbaik untuk jadi wanita sukses.