Presiden dan Pengasas Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah ‘The Patient Champion for Science and Medicine’ di Majlis Anugerah Metrodora 2022.
Anugerah Metrodora yang berlangsung pada 31 Mac 2022 itu dihoskan oleh International Alliance of Patients’ Organizations (IAPO) dan ditaja oleh Viatris secara atas talian.
Anugerah antarabangsa berprestij tersebut menjadi suatu tanda penghargaan bagi usaha beliau dalam memperjuangkan hak asasi komuniti mereka yang bertarung dengan penyakit mental.
Anita Abu Bakar berjaya mengatasi calon-calon dari negara lain
Lahir dan membesar di luar negara, Anita menggenggam ijazah sulungnya dalam jurusan Computer Information Systems di Amerika Syarikat. Beliau pulang ke tanah air dan terjun ke dunia perbankan serta beberapa syarikat korporat lain selama 10 tahun.
Selain itu, beliau juga mempunyai kelulusan Masters dalam jurusan Perbankan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kecintaan terhadap perniagaan membuatkan wanita ini juga mengusahakan syarikat penerbitan sendiri iaitu Qaiser Darussalam Publication sejak tahun 2013.
Ads
Namun di sebalik itu, siapa sangka beliau sebenarnya pernah didiagnosis penyakit kemurungan dan terpaksa bergantung pada ubat-ubatan. Penyakit ini bagaikan bayaran kepada ‘kesempurnaan’ yang dinikmatinya.
Anita mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) sebagai fardu kifayahnya membantu rakan pesakit lain pada tahun 2016.
Ads
Bergerak sebagai badan bukan kerajaan, MIASA merupakan sebuah persatuan advokasi kesihatan mental dan pemberi sokongan kepada individu yang bertarung dengan penyakit mental yang berpusat di Selangor.
Ia diasaskan pada September 2017 dan objektif MIASA adalah untuk menyebarkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental, dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat tentang isu tersebut serta membantu komuniti penjaga melalui pelbagai inisiatif buat mereka yang memerlukan.
Ads
“Saya berbesar hati menerima Anugerah Metrodora pada tahun ini. Di dalam lapangan yang kami perjuangkan, stigma, diskriminasi, ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia adalah sesuatu yang tidak asing lagi, dan inilah apa yang dilalui oleh kebanyakan peers kami.” Anita Abu Bakar
Ucapan tahniah dan sokongan diterima daripada ramai pihak berikutan pengiktirafan tersebut. Salah seorang yang tidak terlepas dari menyampaikan ucapan tahniah ialah YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Penaung ‘National Alliance of Mental Health’ (NAMH).
Perasaan ini juga dizahirkan oleh Dr Hazli Zakaria yang merupakan Presiden kepada Persatuan Psikiatri Malaysia.
“Saya gembira melihat usaha Anita yang tidak kenal erti putus asa selama ini bersama-sama MIASA untuk menjadikan kesihatan mental itu sesuatu yang penting di dalam agenda kebangsaan hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak kenal dengan jurusolek tersohor Datin Saidatulnisa Aminuddin yang sering menjadi pilihan golongan ternama mahupun kerabat Diraja. Berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam dunia solekan meletakkan wanita berusia 55 tahun ini pada kedudukannya yang tersendiri.
PANDANGAN TERHADAP TRANSFORMASI SOLEKAN TERKINI. ADAKAH IA MENGUBAH PRINSIP SOLEKAN DATIN SAIDATULNISA?
Saya masih berpegang teguh kepada solekan yang tidak keterlaluan, tidak makan dek zaman atau evergreen (malar segar). Lebih-lebih lagi solekan untuk perkahwinan yang akan terpahat pada gambar kenangan sampai bila-bila. Jadi, solekan yang viral ini selalunya bersifat unik dan hanyalah trend pada saat itu sahaja.
SEBAGAI SENIOR DALAM BIDANG SOLEKAN, APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG LAMBAKAN ‘JURUSOLEK SEGERA’ TERUTAMA DI MEDIA SOSIAL YANG RATA-RATA KURANG ILMU MAHUPUN KEPAKARAN DALAM BIDANG SOLEKAN?
Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri. Mungkin kita perlu memberi ruang kepada semua orang untuk berkarya. Saya percaya masing-masing ada rezeki yang telah ditetapkan oleh-Nya, namun saya juga berpendapat pelanggan di luar sana tahu kelebihan solekan serta jurusolek yang mereka pilih.
BAGAIMANA DATIN SAIDATULNISA MENJAGA NILAI EKSKLUSIF SEBAGAI JURUSOLEK PROFESIONAL YANG SERING MENJADI PILIHAN GOLONGAN TERNAMA TERMASUK KERABAT, VVIP DAN SELEBRITI TERNAMA? ADAKAH DATIN SEORANG YANG MEMILIH?
Saya tidak memilih cuma mengekalkan polisi confidentiality sesama pelanggan lebih-lebih lagi selebriti, VVIP dan golongan ternama. Saya menghormati pelanggan dan tidak akan melangkaui batas antara saya dan pelanggan. Saya turut menghormati dan berpengalaman dalam protokol istana. Oleh itu, VVIP dan golongan ternama mudah berasa selesa dengan saya.
DARI MANAKAH BAKAT DAN ILMU SOLEKAN YANG DATIN SAIDATULNISA PEROLEHI?
Saya belajar sendiri tanpa sesiapa tunjuk ajar. Mungkin juga saya memperolehi bakat ini dari Nenda yang pakar dalam solekan pengantin dan golongan Diraja dahulu.
APAKAH RAHSIA ATAU TIP YANG DIAMALKAN OLEH DATIN SAIDATULNISA BAGI MENYERLAHKAN SOLEKAN?
Tiada sebarang rahsia mahupun pantang cuma saya masih mengekalkan tip daripada Nenda saya. Selalunya sebelum menyolek saya terlebih dahulu akan berselawat ke atas junjungan Nabi SAW sambil berpegang teguh kepada prinsip saya sendiri iaitu ‘Less is more’.
APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG REVOLUSI AKAN DATANG?
Dunia solekan akan sentiasa berevolusi tetapi bagi saya kita tetap perlukan solekan yang evergreen (malar segar) kerana sejauh mana transformasi itu berlaku saya percaya bahawa adat, budaya dan agama kita tidak sesuai untuk terikut-ikut solekan yang terlalu berlebihan dan bertentangan dengan adat, budaya dan agama kita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bercerita tentang kisah kejayaan pengacara dan pelakon popular, Noor Neelofa Mohd Noor memang tak akan pernah habis. Terlalu banyak inspirasi yang diberikan anak gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini bukan saja dalam industri seni malah kehidupan sebagai seorang wanita atau lebih dekat lagi, wanita muslimah dan berkerjaya.
Satu per satu kejayaan ditempa Neelofa. Mungkin juga kerana berkat doa ibunda tersayang, Datin Noor Kartini yang merestui perjalanan usahawan cantik ini. Di samping sibuk memasarkan produk muslimah Naelofar Hijab, dia juga sering menjadi perhatian pengusaha produk lain untuk menjadi duta. Itu belum lagi dengan program belia dan keusahawanan yang disertainya. Aduh, macam manalah agaknya Neelofa bahagi masa.
Dan terbaru, dia sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai duta jenama kosmetik antabarangsa, Lancome! Satu lagi jenama antarabangsa yang diwakili Neelofa selepas Swarovski. Lebih manis, angan-angan untuk menjadi ikon wanita muslimah ketika memenangi Dewi Remaja 2010 ternyata bukan omong kosong apabila Neelofa membuktikan dia adalah wanita berhijab pertama di dunia yang diangkat menjadi duta Lancome Malaysia.
Berkesempatan menemu bual Neelofa sempena pelancaran koleksi hijab terbarunya, Helena baru-baru ini, aktres yang membintangi drama bersiri Red Velvet berkenaan amat berbesar hati berkongsi pengalamannya di Paris ketika mengikuti lawatan Lancome awal Oktober lalu.
“Layanan yang diberikan mereka kepada saya cukup istimewa sejak menjejakkan kaki ke bumi Paris sampai saya pulang ke Malaysia. Sepanjang pertemuan kami tidak kira ketika tea time, lawatan ke lab, ke muzium perfume dan sebagainya, mereka memang beri perhatian lebih kepada saya. Pada saya Lancome bukan saja brand tapi kini lebih daripada itu lagi. Appreciation saya terhadap produk ini juga semakin meningkat.
Jujurnya, saya happy to promote, to use the product and happy bila nama saya kini sinonim dengan Lancome Malaysia. Tambahan pula penerimaan mereka terhadap saya sangat baik sebagai seorang wanita yang berasal dari Malaysia, berhijab dan beragama Islam pula tu. Ia satu benda besar bagi saya kerana dapat bawakan bukan saja terhadap imej tetapi juga agama.”
Bertuah sungguh Neelofa. Bakat dan kemampuan dia diakui sampai ke luar negara. Selain memberi peluang kepadanya untuk menonjolkan kredibiliti diri kepada masyarakat luar, pastinya ini salah satu cara dan pendekatan Neelofa untuk mempromosikan budaya dan agama Islam di peringkat antarabangsa. Syabas Neelofa dan teruskan memberi inspirasi kepada para wanita di luar sana! SUZIANA ABU DAUD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pasangan sama cantik sama padan, Nadia Brian dan suami, Muizz Nasruddin ini sangat mesra orangnya. Meninjau pula laman Instagram Nadia, tentu ramai yang cemburu dengan sweet moments Nadia dan suami. Mereka ini bukan sahaja cantik tetapi masing-masing komited mencari rezeki dan berkongsi aura positif yang sama.
Nadia adalah antara selebriti Malaysia yang tidak sombong dan mesra. Tujuh bulan usia perkahwinan, namun mereka masih menyimpan kenangan hari perkahwinan yang dilangsungkan pada November 2019 lalu.
Tujuh bulan melayari bahtera perkahwinan, Nadia dan Muizz masih segar menyimpan kenangan hari perkahwinan mereka yang diadakan gilang-gemilang di Magica Hall Shah Alam. Biarpun pada awalnya mereka bercadang untuk mengadakan majlis pernikahan pada bulan September namun di atas sebab tertentu, pernikahan tersebut terpaksa ditangguhkan pada November 2019.
“Cabaran awal untuk majlis pernikahan ini menduga juga tetapi Alhamdulillah semuanya telah selesai dengan lancar dan baik. Sepatutnya kami bernikah pada bulan September tapi terpaksa ditangguhkan ke November atas sebab tertentu. Biasalah, apa yang kita rancang, hanya Allah yang menentukan. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian yang berlaku,”ujar Muizz tenang.
Bagai terbuai dalam suasana ratu sehari milik Nadia, penceritaannya mengenai majlis perkahwinan dan persediannya sebelum melangsungkan perkahwinan begitu terperinci dan mengujakan. Nadia sendiri sangat berpuas hati kerana hari yang berlangsung sekali seumur hidup itu dapat dilaksanakan dengan begitu sempurna.
“Pada awalnya saya mahu membuat semua persediaan sendiri tetapi dek kerana jadual penggambaran yang begitu padat, saya terpaksa lepaskan tanggungjawab itu kepada perancang perkahwinan. Mujur, Atelier Wedding, perancang perkahwinan yang kami pilih dapat merealisasikan apa yang saya mahukan untuk majlis ini. Jangan terkejut jika saya kata Muizz adalah ‘orang kuat’ disebalik persediaan perkahwinan kami dan bukan saya.
Alhamdulillah 9 November 2019 kami disatukan dalam majlis sederhana tetapi meriah. Dari solekan sehingga ke busana pilihan semuanya begitu sempurna pada mata saya. Ramai menyangkan Nadia Brian will go sexy and ruffles tetapi busana kurung putih menjadi pilihan saya kerana saya sukakan sesuatu yang classy dan ‘wow’. Jurusolek yang menyolek saya pula adalah Surya Matahari, jurusolek yang sentiasa tahu apa yang sesuai untuk saya.
Apa yang ingin saya tonjolkan pada majlis perkahwinan saya adalah kecantikan dan keindahan semula jadi. Jujur, saya tidak menggunakan kanta lekap dan bulu mata palsu pun kerana saya mahu embrace kecantikan yang Allah berikan. Secara peribadi, pemilihan jurusolek yang betul sangat penting supaya mereka tahu apa yang ingin ditonjolkan, bukan semata-mata bulu mata palsu,” tegas Nadia.
PERKENALAN
Semua sudah sedia maklum, Nadia begitu terbuka menceritakan mengenai kehadiran Muizz dalam hidupnya. Seorang ahli perniagaan dalam industri teknologi maklumat ini tekah lama berusaha untuk menambat hati Nadia Brian. Namun, setelah hampir dua tahun, barulah mereka mengangkat hubungan ini menjadi lebih serius.
“Kami diperkenalkan oleh salah seorang teman Naida iaitu Ainul Aishah. Nadia tidak menunjukkan sebarang reaksi positif pada awal perkenalan kami. Mungkin kesibukannya dalam membina kerjaya membuatkan Nadia menolak ‘cinta’ saya. Namun pertemuan kedua membibitkan rasa suka. Selama enam tahun saya melalui fasa single dan saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencari seorang isteri sebagai suri hidup.
Kata orang, hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Untuk menunjukkan pada Nadia saya masih serius untuk bersama dengannya, sekali lagi saya menegurnya dan kami mula berkawan. Apabila berkawan, ada lagi ujiannya. Saya melamar Nadia untuk menjadi isteri saya tetapi dia menolak dengan cara baik. Belum bersedia katanya,”kata Muizz.
“Bukan tidak bersedia untuk berkahwin tetapi belum bersedia untuk menerima lamaran Muizz kerana ia bagai perkara yang tiba-tiba! Tetapi pada masa sama saya memang teruja untuk menjadi isteri. Saya bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri malah sebagai ibu sekalipun. Cuma mungkin ketika itu saya terkejut. Jual mahallah sikit,” tawanya.
Kota Paris dirasakan indah apabila kota paling romantis dunia menjadi saksi lamaran kedua kepada Nadia untuk menjadi isteri.
“Saya merancang percutian keluarga dan kami ingin membawa Nadia bersama. Saya beritahu Nadia supaya bawa baju cantik-cantik untuk buat sesi fotografi di sana kerana saya tahu Nadia sangat suka photoshoot. Tetapi dia tidak menyangka saya melamarnya dengan berlatar belakangkan Menara Eiffel. Dari situ, kami terus mengatur satu per satu majlis perkahwinan,”kata Muizz.
MELAYARI BAHTERA PERKAHWINAN
Sama seperti pasangan lain, tentunya doa dan harapan adalah kebahagiaan yang kekal ke akhir hayat. Apabila ditanya sama ada mereka bimbang kepada dugaan dalam sesebuah rumahtangga, tenang sahaja jawapan mereka.
“Kami baru sahaja tujuh bulan hidup bersama. Ini merupakan fasa baharu dalam hidup kami. Doa kami semoga hubungan kasih sayang ini kekal sehingga ke akhir hayat. Dugaan itu akan sentiasa ada, baik dalam perkahwinan mahupun kehidupan kerjaya. Ia terpulang kepada kita untuk menanganinya, sama ada secara tenang atau penuh amarah.
Mungkin ramai yang tidak tahu di Malaysia terdapat ramai kaunselor yang boleh memberikan khidmat nasihat bukan sahaja untuk perkahwinan tetapi juga soal kehidupan. saya sendiri bertemu kaunselor agar apa yang terpendam di hati ini dapat diluahkan pada seseorang yang bukan terdiri daripada ahli keluarga kita.
Ramai yang salah sangka pada kaunselor terutamanya kaunselor perkahwinan. Mereka berpendapat, pertemuan dengan kaunselor perkahwinan adalah semata-mata untuk pasangan yang sedang dilanda masalah. Tetapi kehadiran kaunselor ini adalah sebagai ‘orang ketiga’ untuk membuka minda kita tentang apa yang sedang berlaku dalam perhubungan agar kita dapat melihat dengan lebih jelas lagi.
Dalam dunia moden, tahun 2020 ini misalnya, kita perlu ada visi dan misi dalam perhubungan. Komunikasi di antara pasangan sangat penting untuk mewujudkan bubungan yang lebih sihat. Saya sendiri membawa keluarga Muizz bertemu kaunselor, just to open up mind on what’s happening in the family. Tak ada apa yang negatif bertemu kaunselor,” ujar Nadia. Barangkali, inilah yang membuatkan Nadia dan Muizz begitu positif kala berbicara.
“Perjalanan kami masih panjang. Janji yang dimetrai untuk sehidup semati belum sampai pun suku jalan. Saya pernah tetapkan dalam diri, sekiranya sampai usia 30 tahun saya belum berkahwin, saya mohon keluarga mencari jodoh untuk saya. Alhamdulillah, belum sampai usia 30, saya sudah bertemu Nadia, wanita yang menjadi pelengkap saya.
Dalam perkenalan kami, saya ceritakan semuanya pada Nadia apa yang pernah berlaku dalam hidup saya. Begitu juga Nadia kerana bagi kami, pasangan hidup itu perlu tahu latar belakang kita dan keluarga. Apabila sudah menetapkan niat untuk berumahtangga, kita perlu tegas dalam keputusan itu dan bertanggungjawab di atas setiap keputusan yang dilakukan.
Kami yakin, pegangan agama adalah perkara paling penting untuk memastikan sesebuah perkahwinan itu berjaya. Kami tidak sempurna dan kami sendiri sedang berusaha untuk menjadi lebih baik. baik saya mahupun Nadia, kami berkongsi ilmu agama yang ada kerana kami ingin kejar dunia di sana,” tegas Muizz.
Menurut pasangan ini, di samping kerjaya masing-masing, mereka juga sedang mengusahakan perniagaan sendiri.
“Alhamdulillah NB Muffin dan NB Bar sudahpun berada di pasaran. Apa yang saya usahakan ini adalah apa yang saya sendiri suka dan perlukan. Saya memang suka makan buah-buahan kerana serat yang terkandung dalam buah-buahan boleh memlihara kecantikan dan kesihatan tubuh.
Jadi, untuk memudahkan tubuh mendapat nutrien yang diperlukan, saya jadikan NB Muffin dan NB Bar sebagai snek tambahan. NBbar by Nadia Brian ini mempunyai aloe vera, madu, delima, grape seed dan oat yang sangat sesuai untuk anda.
Seperti kebanyakkan orang, saya juga mempunyai perancangan dalam hidup. Kalau dulu selepas tamat sekolah, saya rancang untuk mengambil diploma seterusnya ke peringkat ijazah sarjana muda.
Kemudian, saya akan memulakan karier seterusnya berkahwin. Apabila berkahwin, saya berhasrat untuk memiliki perniagaan sendiri dan Alhamdulillah, kami kini sedang menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan dan berharap ia akan terus maju. Doakan kami ya!” Kata Nadia mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan sekadar cantik, Joheirry Mola merupakan guru, wartawan dan aktivis pendidikan. Pada usia 24 tahun, beliau mencipta sejarah apabila dinobatkan Miss World 2026.