
Dalam usaha memperkenalkan konsep kecantikan yang berteraskan nilai-nilai Islam, Dermalene, jenama kecantikan yang semakin dikenali, baru-baru ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Ustazah Asma’ Harun sebagai penasihat syariah rasmi melalui Memorandum Persefahaman (MoU). Kolaborasi ini bertujuan memastikan kecantikan yang ditawarkan adalah selamat, halal, dan patuh syariah.
Menurut pengasas Dermalene, Dr. Alina Hasni, inisiatif ini timbul apabila mereka menyedari pentingnya untuk mendidik masyarakat tentang pemilihan produk kecantikan yang berlandaskan etika dan hukum Islam. Menurut beliau, banyak wanita kini semakin peka terhadap keperluan memilih rawatan kecantikan yang tidak hanya berkesan, tetapi juga selari dengan prinsip agama.
“Pilihan kami jatuh kepada Ustazah Asma’ Harun kerana kepakaran beliau dalam menyampaikan mesej Islam, terutamanya dalam aspek gaya hidup, termasuk kecantikan. Beliau juga telah banyak bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menjadikan beliau calon yang tepat dalam memperkukuhkan komitmen kami terhadap kecantikan yang patuh syariah,” ujar Dr. Alina.
Dermalene percaya bahawa kerjasama ini bukan sahaja akan mempertingkatkan kesedaran tentang pentingnya memilih rawatan kecantikan yang beretika dan tidak melibatkan prosedur invasif, tetapi juga akan memberi penekanan kepada keberkatan dalam penjagaan diri. “Kecantikan bukan hanya terletak pada penampilan luar, tetapi juga pada keberkatan yang diperoleh daripada cara kita menjaga diri dan tubuh badan,” tambahnya.
Dengan sokongan Ustazah Asma’ Harun, Dermalene berharap lebih ramai wanita akan memilih kecantikan yang bukan hanya selamat, tetapi juga berlandaskan nilai-nilai Islam, bagi mencapai keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Ustazah Asma’ Harun juga mendedahkan dirinya juga pernah disunting menjadi wajah jenama-jenama produk kecantikan namun terpaksa menolak atas tidak yakin dengan kualiti serta kepatuhan syariah pihak terbabit. Akui beliau, dirinya sangat menitikberatkan aspek-aspek kecantikan yang selamat, mesra syariah dan berpandukan kepada ajaran agama Islam.
“Banyak tawaran sebelum ini yang berkait dengan rawatan kecantikan namun saya tolak kerana merasakan tidak sesuai dengan status sebagai pendakwah. Namun atas dasar tanggungjawab dan bagaimana misi dan visi kami selari, saya terima komitmen bersama Dermalene kerana usaha mereka dalam mematuhi syariat Islam.
Selain menyampaikan ilmu melalui platform media sosial Dermalene, Ustazah Asma’ Harun juga akan terlibat dalam beberapa inisiatif utama, termasuk program Corporate Social Responsibility (CSR) yang melibatkan komuniti Perkampungan Hijrah di Negeri Sembilan. Ini sejajar dengan usaha Dermalene untuk tidak hanya memenuhi kecantikan luaran, tetapi juga mendalamkan makna kecantikan dari sudut syariah.
Selain itu, Dermalene baru-baru ini mendapat pensijilan ISO 9001:2015, mengukuhkan lagi komitmen mereka terhadap standard pengurusan yang berkualiti tinggi. Pensijilan ini bukan sahaja menjadi bukti profesionalisme mereka, tetapi juga keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.